Rindu Ayah

Terima kasih admin jika siarkan confession aku. Aku ingin duduk dikampung dengan mak dan ayah. Setelah turun naik jabatan, permohonan demi permohonan, akhirnya aku dapat bertukar ke kampung halaman sendiri. Alhamdulillah.

Ayah aku sakit. Ya itu alasan yang semua orang tak percaya. Sampai aku bawa segala dokumen pasal ayah aku untuk jadi bukti bahawa aku bukan mintak tukar sebab suka-suka, tapi ayah aku sakit. Ketua pengarah datang sendiri ke rumahku bersama isterinya, melihat dengan dua matanya sendiri keadaan ayahku waktu itu. Ayah aku menghidap stroke. Setelah beberapa kali serangan, ayah dah tak boleh uruskan diri sendiri lagi.

Mak aku bekerja. Mak aku ulang alik balik rumah untuk urus ayah setiap pukul 9 pagi, 1 tengahari dan terus balik pada pukul 5 petang. Mak aku jalan kaki. Ya. Pergi dan balik. Mak aku tak pandai apa-apa. Dia pandai jalan kaki je dan itulah yang dia selalu sebut, takut dia menyusahkan kami adik-beradik. Akak abang aku semua dah berkeluarga masa tu. Tinggal aku je yang bujang dan bongsu, jadi aku sendiri rela hati nak balik duduk dengan mak ayah dan ambil tanggungjawab jaga mereka.

Genap setahun aku dikampung, ayah mulai tenat. Petang tu kami semua minta maaf dengan ayah. Ya. Ayah seorang yang garang. Tapi sebenarnya ayah baik. Terlalu protective. Masa tu aku menangis bagai nak gila. Aku tahu kami akan berpisah tak lama lagi. Sejam. Dua jam. Mungkin esok. Mungkin lusa. Aku tak tahu macam mana nak hadapi perpisahan ni. Aku menangis dan tolong picit-picit ayah. Aku ajarkan ayah mengucap dan sebutkan nama Allah ditelinga ayah. Ayah dengar. Mata ayah pandang aku. Kosong.

Aku tak tidur malam tu. Ya aku duk mengadap ayah sepanjang masa tu. Sekejap-sekejap je aku tinggal untuk solat dan urus diri. Aku tak nak ketinggalan. Aku nak ayah nampak aku pada saat-saat terakhir dia kembali pada Allah. Aku duduk disisi ayah. Aku bacakan Yaasin dan apa yang patut. Aku memang menangis sepanjang malam tu. Aku tak tahu nak cakap perasaan waktu tu macam mana dan aku masih rasainya sekarang.

Pagi tu aku dah memang blur. Yela sebab tak rehat dan tak tidur langsung. Aku masuk bilik, nak lelap seminit dua. Tapi tak terlelap pun. Aku asyik fikir macam mana ayah. Tiba-tiba abang long panggil aku. Masa tu dalam rumah memang ramai saudara-mara, sepupu aku, jiran-jiran datang baca Yaasin dan menziarahi ayah. Aku terus berlari turun ke bilik ayah. Aku macam dah dapat agak kenapa abang long panggil aku. Terus aku terduduk dekat tepi ayah. Aku menangis lagi. Turun naik nafas ayah. Allah. Abang long bisikkan kalimah syahadah ditelinga ayah. Ya Allah sayangilah ayahku. Tak lama. Dua tiga saat, ayah pun pergi. Ayah dah tinggalkan aku. Dah tinggalkan kami. Ya Allah sayangilah ayahku.

Semua proses berjalan lancar. Ayah dah nak dikebumikan. Aku sorang-sorang duduk tepi kubur ayah. Betul-betul tepi. Aku nak tengok sendiri macam mana orang ramai dan abang-abang aku letak ayah kat situ. Aku nak tengok sampai akhir saat aku tak dapat melihat ayah lagi…

Masa tu air mata aku dah kering. Tak de tenaga dah nak menangis tapi dalam hati hanya Allah yang tahu. Lepas ni tinggal aku dengan mak berdua kat rumah. Tak de lagi suara ayah panggil aku.

5 tahun dah berlalu. Aku kini dah bersuami dan punya seorang anak perempuan. Aku masih disini, dirumah mak dan ayah. Katil arwah ayah masih disitu. Susun atur bilik ayah masih macam dulu. Cuma cadarnya saja bertukar. Cuma sekarang aku dah pandai simpan rindu tu sendiri-sendiri. Aku tak nak mak sedih sebab dia tentu lebih rindu ayah dari aku.

Untuk yang masih ada ayah, ada mak, ada keluarga, hargailah mereka. Sebolehnya spend time bersama banyak-banyak sebab nanti bila salah seorang dah tiada, tempat kosong tu takkan terisi lagi. Rindu pun dah tak terubati. Hanya doa yang mengiringi.. Buruk baik macam mana pun dia, ayah tetap ayah. Mak tetap mak. Dua insan ni memang tiada yang boleh ganti. Aku confess sebab aku rindu sangat kat ayah. Semoga ayah tenang disana. Alfatihah untuk Mohd Nordin bin Mohd Zhin.

– Anak ayah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *