Rindu Ayah

Assalamualaikum semua…. Saya perlukan pandangan ikhlas dari anda semua. Ini berkaitan jarak hubungan kami adik beradik dengan ayah sejak ayah kahwin semula selepas kematian emak.

Sifat ayah memang panas baran sejak kami kecil tapi selalunya disejukkan dengan sifat aruah emak yang lemah lembut, alhamdulillah.

Namun sejak ayah kahwin semula dengan ibu tiri (makcik) sekarang hubungan kami semakin jauh.

Awal perkahwinan kami sedaya upaya meraikan kedatangan makcik dalam keluarga. Namun semakin lama terserlah perangai makcik yang selalu menjadi batu api dalam keluarga kami.

Sedihnya ayah percayakan makcik dari kami adik beradik. Segala cakap makcik ayah percaya. Bagi ayah makcik lebih baik dari aruah emak kami sedangkan hakikatnya sebaliknya.

Kami 6 beradik tinggal jauh dari ayah, hanya adik lelaki berkorban tinggalkan gaji lumayannya semata-mata ingin bantu ayah dikebun (ayah peneroka felda)

Dan jadi peneman tapi tetap jadi bahan sumpah seranah ayah bila ada perkara yang makcik mencucuk kerana tidak puas hati.

Kami bersyukur adik banyak bersabar dari bujang hingga telah berkahwin sehingga adik ambil keputusan pindah dari rumah ayah yang besar dan menyewa rumah felda kecil berlainan blok demi menjaga perkahwinan mereka.

Panas baran ayah semakin menjadi-jadi sejak berkahwin dengan makcik.

Pernah kakak sulong dilempang dan kakak kedua saya di tarik rambut semasa ayah naik angin hanya disebabkan makcik mangadu dengan ayah kami adik beradik tidak menghormatinya di malam sebelum majlis perkahwinan adik.

Walhal kami semua tidak pernah meninggi suara pun kepada makcik.

Sedihnya semasa kejadian itu ada cucu ayah turut menyaksikan perbuatan atok mereka kepada ibu2 mereka sendiri. Nasib baik menantu2 lelaki tiada semasa kejadian.

Ayah telah berumur 80an tapi alhamdulillah masih kuat kudratnya tanpa sebarang penyakit. Kami adik beradik berumur linkungan 50-30 an. Bayangkan jatuhnya maruah kami.

Saya sendiri keguguran selepas balik dari kampung selepas kejadian mungkin kerana tekanan dengan kejadian kakak2 yang telah berusia dipukul ayah hanya kerana bersuara menegakkan keadilan demi kami semua.

Semenjak diperlakukan begitu kami amat jarang menghubungi ayah kerana telefon rumah dan hand phone ayah makcik yang akan angkat.

Selalunya makcik akan bagi berbagai alasan agar kami tidak dapat bercakap dengan ayah, selain terpaksa mendengar makcik bercakap segala perkara negative dan menyakitkan hati.

Bila balik dan kami beritahu ayah tentang hal ini makcik menafikan dan ayah percaya bulat2 dan tuduh kami sengaja burukkan makcik.

Makcik selalu bermuka2 didepan ayah, dia melayan dan bercakap baik dengan kami tapi sebaliknya jika ayah tiada.

Perangainya yang selalu bercakap buruk berulang2 kali sesuatu perkara didepan ayah buatkan ayah percaya tanpa selidik terlebih dahulu. Dan selalunya hal buruk kami adik beradik.

Walaupun selalu kecil hati dan terasa dengan ayah kami adik beradik tetap cuba hubungi walaupun kandang kala di maki hamun bila ayah naik angin.

Tetap juga mengirim wang bulanan mengikut kemampuan kami namun tetap rasa semakin jauh kerana setiap kali kami balik kampung mesti ada peristiwa yang menyedihkan dan menyakitkan hati berlaku.

Kami sebolehnya ingin selalu hubungi ayah dan balik kampung sekerapnya tapi seolah dihalang dengan berbagai cara oleh makcik.

Apa daya kami, kami bukan takutkan ayah tapi sayang dan hormat masih ada dan tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan anak beranak disebabkan makcik.

Diusia ayah dan kami yang ada yang telah bergelar nenek sangat teringin agar dapat selalu disisi ayah dan merapatkan hubungan ayah dengan cucu2 dan cicitnya tapi apakan daya. Terima kasih semua.

– Pn. Nor (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *