Ayah aku seorang yang sangat disayangi oleh ramai orang. Dia bukan siapa – siapa, hanya orang biasa yang memiliki sikap yang baik. Dia kelakar, suka ketawa, bertanggungjawab, suka menyakat, baik dan tak pernah marah kami adik – beradik.
Ayah sekolah setakat darjah 2 sahaja. Menurut cerita arwah nenek, ayah sekolah setakat darjah 2 sebab ayah lari tak nak sekolah. Ayah menyorok belakang pokok pisang, dan akhirnya nenek pun berhentikan sekolah ayah.
Walaupun sekolah tak habis, ayah boleh membaca dan menulis. Ayah anak kesayangan nenek. Tempias dari itu, aku turut menjadi cucu kesayangan nenek. Hahahaha…
Satu perkara yang aku ingat, ayah suka buat mak marah. Dengan kata lain, menyakat mak. Bila mak marah, ayah akan ketawa. Kami pun turut ketawa.
Ayah bukan sahaja suka buat mak marah, dia juga suka buat nenek, mak long, mak teh, mak njang dan moksu marah. Apabila mereka marah, ayah akan ketawa. Aku suka tengok ayah ketawa, nampak lesung pipitnya dan juga gigi depan yang tiada. Hahahaha…
Bila mak marah aku, ayah akan datang pujuk aku. Nampak kerisauan di wajahnya bila aku merajuk. Aku juga suka menyakat adik – adik seperti ayah. Bezanya, bila adik – adik menangis, mak akan marah aku.
Aku merajuk dan lari duduk atas pokok walau waktu tu hujan lebat. Ayah datang, pujuk aku, supaya berhenti merajuk dan masuk rumah. Biasanya aku buat kering tetapi akhirnya masuk ke rumah juga bila dah tak tahan sejuk. Hahahaha…
Kami orang susah tetapi ayah tak pernah tunjuk susah. Masa kecil aku tahu kami susah bila buat perbandingan dengan jiran – jiran. Rumah jiran pakai lampu gasoline, tetapi rumah aku masih pakai lampu minyak tanah.
Kawan – kawan aku makan lauk sedap, tetapi aku jarang – jarang dapat makan lauk ayam. Kena tunggu ayam yang kami bela tu, besar dahulu. Hahahaha…
Rumah kami semua sama, rumah felda. Cuma nasib sahaja tak sama, ladang ayah aku jauh dan hasil tak banyak berbanding ladang orang lain.
Namun, aku budak – budak, mana tahu erti susah. Yang aku tahu, kegembiraan bermain sahaja. Seronok zaman kanak – kanak dulu.
Ayah aku jarang sakit dan tak pernah aku tengok dia sakit teruk. Namun, terjadi satu tragedi yang tidak disangka iaitu ayah aku tiba – tiba sakit strok. Masa tu, aku dah kerja dan duduk jauh dari keluarga. Ayah ku dibawa ke hospital namun dia koma.
Alhamdulillah, percaturan Allah itu hebat. Ayah nak dimasukkan ke wad icu tetapi wad penuh. Jadi, dimasukkan ke wad kelas 3 tetapi diletakkan di hadapan kaunter nurse. So, ayah dapat dipantau setiap masa oleh doctor dan nurse.
Aku nak guna kelayakan aku untuk wad kelas 1, tetapi atas nasihat ramai orang, aku membatalkan hasrat tersebut. Banyak kekurangan jika pindahkan ayah ke wad kelas 1.
Bila ayah duduk di wad tersebut, ayah dapat dipantau setiap masa. Selain itu, kami semua dapat menziarah ayah tanpa halangan.
Masih aku ingat, betapa ramainya keluarga kami datang menziarah ayah sehingga semua pesakit yang berada di wad tersebut berasa pelik. Siapa pak cik ini sehingga orang yang datang berziarah terlalu ramai dan tidak putus – putus?
Sanak saudara, jauh dan dekat, sahabat handai, jiran tetangga, bekas rakan sekerja ayah… semuanya datang berziarah dan mensedekahkan yasin untuk ayah.
Ada yang turut buat solat hajat untuk kesembuhan ayah. Terima kasih semua atas kunjungan dan doa untuk ayah.
Kami, sanak saudara dan ahli keluarga berkampung di wad tersebut sehingga nurse, doctor dan pengawal keselamatan tidak dapat berbuat apa – apa. Mereka cuma menasihati kami agar tidak membuat bising sehingga menganggu pesakit lain. Kami akur.
Waktu malam, kami bentang toto dan tikar dan tidur di kaki lima wad beramai – ramai. Ayah, kami tidak biarkan keseorangan. Kami bergilir – gilir membaca yasin untuk ayah.
Masih aku ingat ketika itu, 1 Ramadhan dalam pukul 6 lebih. Aku solat Asar dan solat hajat untuk ayah di surau hospital. Tiba – tiba angin kuat datang, seperti nak tercabut atap hospital.
Hati aku dah tak sedap, dan kuat mengatakan, ayah dah tak lama tu. Mungkin malaikat dah datang. Selesai berdoa, aku ke katil ayah. Ya… ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah koma dan 3 hari berada di hospital.
Ayah dibawa balik malam itu juga ke rumah. Kami sekeluarga dan sanak saudara bergilir – gilir membaca yasin dan menjaga jenazah ayah.
Keesokan harinya, ayah dimandi, dikapankan dan disembahyangkan di rumah yang baru aku renovate untuk ayah dan mak. Sempatlah ayah merasa duduk di rumah baru tersebut selama setahun.
Wajah ayah menjadi buah mulut tetamu yang berziarah kerana kata mereka wajah ayah gembira. Dia tersenyum. Ayah dikebumikan di kawasan perkuburan di kampung kami. Ramai yang datang berziarah.
Sehingga hari ini, walaupun sudah 16 tahun ayah meninggalkan kami, ramai orang yang aku jumpa yang kenal ayah seperti sahabat – sahabat ayah dan saudara mara akan menyebut tentang kebaikan ayah dan betapa mereka rindu akan ayah.
Ayah yang baik, ayah yang kelakar, ayah yang happy go lucky.
Aku cuba menjadi seperti ayah tetapi aku tak mampu. Rindu ayah… Al Fatihah untuk ayah.
– Banana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Syukur alhamdulillah