Rindu Pada Yang Tiada

Aku baru saja kehilangan ayah. Baru sangat-sangat. Belum sebulan lagi. Ayah aku pergi disebabkan kanser. Aku masih belum move on lagi dengan pemergian ayah. Hari-hari aku masih nangis, masih rindukan ayah. Hari-hari bukak dompet, tengok gambar ayah. Masa ayah aku masih ada dan sakit, kadang2 pukul 4 pagi aku bangun nak siapkan bekal atau sarapan untuk anak-anak, sambil masak aku nangis bila teringatkan ayah kat kampung.

Sejak aku zaman sekolah, ada jugak yang fikir aku anak manja ayah. Bila aku dah kerja pun masih ada yang fikir aku anak manja ayah. Aku tak tahu kenapa. Sedangkan hakikatnya jarak hubungan aku dengan ayah cukup jauh berbanding adik beradik yang lain. Zaman aku sekolah, nak duduk semeja makan nasi dengan ayah pun aku takut. Kalau bole cepat-cepat aku nak habiskan nasi dalam pinggan.

Aku kekok nak sembang, nak gurau-gurau dengan ayah walaupun kawan sekolah aku yang kenal ayah aku selalu puji ayah aku baik sangat. Tapi bukanlah bermakna aku tak borak langsung dengan ayah. Nak cakap, nak respon ayah sekadar yang perlu saja. Cuma, benda wajib yang akan aku tanya hari2 kat ayah, “ayah nak makan ka?, ayah nak minum ka?” Bila ayah kata nak, aku dengan adik yang sediakan. Mak, kita orang bagi rehat ja…

Dalam pada aku yang paling tak banyak cakap dengan ayah, ada satu perkara yang hanya aku sorang ja buat pada ayah dalam keluarga aku. Selama ni, benda ni kami adik beradik cuma buat dekat mak. Tapi ntah dari mana datangnya keberanian aku peluk cium ayah pertama kali (tolak tepi zaman budak2), semasa ayah lepaskan tanggungjawabnya pada suami aku. Aku rasa ayah aku pun terkejut agaknya waktu tu, dan aku dapat lihat wajah sebak ayah.

Hilang kekok aku waktu tu sedangkan masa tu ramai jiran dan saudara mara yang ada sebelah ayah. Dan itu adalah  permulaan tingkah aku pada ayah dan ianya berterusan hingga ke nafas terakhir ayah aku. Lepas aku kahwin ada la perubahan pada hubungan aku dengan ayah. Boleh la sembang ramah2 sikit. Tapi masih tak serancak adik beradik aku yang lain. Ayah aku disahkan kanser dalam awal tahun 2017. Semuanya terlalu pantas.

Bila aku betul2 rapat dengan ayah? Bermula sejak ayah makin sakit lepas raya puasa tahun ni. Bila sel kanser makin melemahkan ayah untuk bergerak dengan lancar. Aku dah makin kerap balik kampung waktu ni. Walaupun kadang2 rasa sengkek jugak hujung bulan sebab cuti dah habis, gaji kena tolak 3 ke 4 ratus sebulan, aku dah tak kisah. Aku terpaksa drive hampir 500 km dengan anak2 untuk ziarah ayah pun aku dah tak kisah. Sebab kesempatan ni ja yang aku ada. Dan ibarat magic, rezeki Allah bagi tu sentiasa cukup.

Masa kat kampung, bila aku hantar makanan kat ayah, aku akan cakap “cheq suap ayah na?” Ayah aku gelak. Senyum manis. Nampak lesung pipit ayah. Tapi ayah kata, ayah nak makan sendiri. Masa tu takda kesempatan lagi nak suap ayah. Tapi bila ayah dah semakin lemah aku mula suap ayah makan, minum. Tapi tak selalu sebab ayah seboleh mungkin nak makan minum sendiri selagi mampu. Tapi aku dah tak kekok nak lap2 badan ayah, pimpin ayah, peluk ayah rapat2 dan kuat2 bila ayah nak ke toilet.

Masa tu terasa dekat sangat dengan ayah. Kalau ayah batuk, aku dah tak kekok nak usap2 dada ayah, nak lap2 mulut ayah lepas ayah muntah. Ayah pun dah tak kekok nak suruh aku sapu2 minyak kat badan ayah, kat dada ayah. Sebelum ni ayah nak mak ja buat. Dan setiap kali aku buat semua tu, sambil aku tahan air mata.  Sebab setiap perlakuan aku pada ayah, aku terfikir apakah ini yang terakhir kali aku diberi peluang untuk berbakti pada ayah. Aku teringat betapa zaman aku kecil dulu, mak ayah la yang jaga aku bila sakit demam. Mak ayah la yang cuci berak, kencing, muntah aku.

Part paling syahdu, bila pertama kali aku potong kuku kaki dan tangan ayah. Masa tu ayah gagahkan diri nak sarapan kat dapur. Tengok ayah dah selesai makan aku ambil pengetip kuku, aku duduk kat tepi kaki ayah. Aku terus pegang tangan ayah, sambil cakap “cheq nak potong kuku ayah”. Ayah gelak, tapi ayah hulur jugak tangan. Aku masa ni aku dah tak mampu nak angkat muka tengok mak ayah. Lain benar perasaan ni. Sebak. Tahan air mata ni tak mau bagi menitik atas tangan ayah. Sambil ketip kuku ayah, aku teliti tangan ayah. Keras dan kasar.

Inilah rupa tangan dan kaki kedut seribu yang dah banyak berkorban untuk anak2. Tangan yang selama ni tak pernah aku pegang lama2. Yang tak pernah aku sentuh lama2. Tangan yang hanya sekadar untuk disalami dan dicium tak sampai 10 saat. Sambil aku ketip kuku kaki dan tangan ayah, tak habis2 aku imbas balik tentang jasa ayah pada kami anak2 selama ni. Selesai aku ketip kuku tangan dan kaki ayah, cepat2 masuk bilik, sembam muka kat bantal dan nangis. Bila anak2 dah tegur, kenapa ummi nangis, aku lari masuk bilik air, buka air kuat2, sambung nangis lagi.

Saat ayah pergi, Alhamdulillah, anak2 ada disisi. Bila abang aku call bagitau “kalau nak balik, bole balik la sekarang”, aku dah tak tunggu lama untuk buat keputusan walaupun baru ja 3 minggu sebelum tu aku dah balik kampung. Aku ambil anak2 kat sekolah terus balik ke utara sedangkan masa tu aku tahu, aku akan sampai lewat malam ke kampung dan aku tak pernah balik malam2 hanya ditemani anak2. Tapi kali ni aku harus berani.

Melepasi terowong Menora sebelum maghrib pun aku dah cukup bersyukur walaupun aku tak bole nak pecut laju-laju dengan keadaan jalan yang licin disebabkan hujan. Sampai saja kat rumah dah 10 malam. Aku terus ke tempat ayah. Kakak yang masih bertelekung sedang bacakan Al-Quran kat tepi ayah. Ayah dengan nafas yang tak berapa sempurna dilihat hanya memandang pada satu arah. Bila aku panggil kali ke 2, baru ayah toleh. Ayah cuma mengangguk lemah bila aku tanya “ayah kenal cheq dak?”

Allah… aku tak kuat. Renungan ayah, cukup aku maklum yang masa ayah aku dah tak lama. Terus aku ambil wuduk, mengaji tepi ayah. Sambil baca quran, baca yassin aku berkata dalam hati, “Ya Allah, permudahkanlah urusan ayah aku. Aku dah redha, aku dah sedia.”

Dipertengahan alunan Yassin, ayah angkat tangan dia, aku dekatkan diri dengan ayah, ayah sentuh pipi aku, sejuk tangan ayah. Aku pegang tangan ayah yang melekap kat pipi aku, aku cium bertubi2 minta ampun segala salah dan dosa aku walaupun aku tahu mak dari awal dah maklumkan yang ayah dah bagitau mak seminggu sebelum pergi yang ayah dah ampunkan semua salah mak dan anak2. Aku menangis waktu tu. Kemudian ayah qiamkan semula tangan. Tak lama selepas tu, dengan kalimah syahadah ayah pergi dengan tenang. Aku lihat ada air mengalir ditepi mata ayah.

Syukur, segala-galanya dipermudahkan Allah. Anak-anak uruskan jenazah ayah sebaik mungkin. Anak menantu dan cucu-cucu yang sama2 mandikan jenazah arwah ayah di masjid. Sebak hati bila diberi peluang mengucup dahi dan pipi ayah buat kali terakhir sebelum wajah ayah dikapankan. Dingin…

Jujur, hingga saat ini aku masih tak dapat lupakan kenangan aku dengan ayah disaat akhir walaupun berlangsung hanya dalam tempoh yang singkat. Sentuhan ayah di pipi aku meninggalkan kenangan yang paling aku rindu. Aku tak pernah serindu ni. Jika aku tahu begini sakitnya menahan rindu pada ayah yang sudah pergi, pasti aku takkan sia-siakan masa yang telah berlalu…

Sesungguhnya, pemergian ayah ditangisi. Pemergian ayah dirindui. Ayah pergi meninggalkan pedoman buat anak2 dan insan sekeliling. Dengan segala kebaikan yang pernah ayah lakukan sepanjang hayat ayah, moga Allah letakkan ayah disebaik-baik tempat… Aamiin…

– Ummi, Anak Ayah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *