Assalamualaikum semua. Kabare? Waras? Semoga korang sihat dan sentiasa di bawah naungan rahmat-Nya.
Aku kembali menulis setelah ramai yang memberi semangat dan meminta untuk disambung kisah luahan hatiku ini. Bagi sesiapa yang ingin membaca bahagian pertama boleh baca, (https://iiumc.com/rindu-tak-bertepi/).
Aku baca hampir semua komen-komen korang dan aku tak jangka tulisanku mendapat maklum balas yang positif dan memberangsangkan. Ada yang mendoakan aku ditempatkan di syurga.
Tiada apa yang dapat aku balas melainkan aku harap doa itu turut terkena pada orang yang mendoakan diri ini.
Ada juga kawan sepengajian semasa di universiti dulu yang komen memberikan kata-kata semangat. Terima kasih, aku terharu sebab kau kenal aku dan aku pun tak sangka kau pun layan juga IIUM Confession ni, huhu.
Selepas confession pertama disiarkan, seorang bekas guruku menghantar whatsapp. Katanya dia teringatkan aku selepas membaca confession tu huhu. Aku mengaku sahaja memang akulah empunya tulisan itu.
Dia aku namakan sebagai Cikgu Siti Z (mengajar Kimia) memang selalu membantu dan memberi dorongan kepadaku semasa berada di tingkatan 4 dan 5.
Pernah juga dia melawat arwah ibuku semasa sakit. Korang nak tahu tak.. beberapa bulan lepas dia ada whatsapp aku minta nombor akaun untuk beri duit raya.
“Kalau kamu ada perlukan apa-apa..pm saya ya. Insha-Allah mana yang boleh saya cuba..”
Nak menangis aku baca whatsapp tu. Dah bertahun terputus hubungan dengan cikgu tapi cikgu masih ingat aku.
Memang betul ketika itu aku kesempitan wang dan perniagaan pun masih lagi bertatih perlahan tapi aku tak bercerita pada sesiapa pun. Aku tak sangka Allah datangkan rezeki melalui jalan yang tidak aku sangka. Benarlah firman-Nya,
“…..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).”
“Serta memberinya REZEKI DARI JALAN YANG TIDAK TERLINTAS DI HATINYA. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
(Surah at-Talaak ayat 3-4)
Baiklah aku sambung kisah hidupku yang tak seberapa ini. Mengambil semangat dari komen-komen korang semua.
Namun jangan menjangkakan tulisan ini berakhir dengan pengakhiran yang indah belaka. Masih banyak liku perlu aku tempuhi…. Sekarang jam 12.29 pagi. Isteri dan anakku sudah berlayar melayari lautan mimpi….
Selepas aku tamat STPM dengan keputusan yang agak memuaskan, aku ditawarkan ke sebuah universiti yang terkenal di Penang. Waktu isi permohonan dulu memang aku tekad nak belajar jauh sebab sudah lama terperap di bumi Kota Tinggi ni sejak lahir lagi.
Apatah lagi melihat kawan-kawan aku selepas tamat SPM galak bercerita mengenai tempat pengajian masing-masing membuatkan diriku merasa cemburu sekali. Nahhhh ini masanya aku pula merantau ke tempat orang…
Sementara menunggu tarikh pendaftaran dan berangkat ke Penang, aku menghabiskan waktu duduk di rumah pusaka itu. Kakakku sudah berpindah kerna telah mendirikan rumah tangga.. tinggallah aku keseorangan.
Pada suatu malam aku tak dapat melelapkan mata. Aku duduk termenung menatap gambar arwah ayah dan ibuku.
Album-album gambar keluarga aku selak satu per satu. Aku rindu kenangan yang pernah aku lalui bersama dan kini aku merasai kesunyian dan kerinduan yang tak dapat aku gambarkan peritnya.
Masih aku ingat ketika itu… aku membuka audio rakaman al-quran qari kegemaran yang pernah aku ceritakan di confession terdahulu.
Dibacakan Surah Az-Zumar. Sampailah satu ayat qari membacakan dengan nada yang penuh perasaan. Seolah-olah nada tersebut melepaskan segala kelelahan.
“Qul Hasbiyallahhhhh…..” maksudnya,
“Katakanlah: “Cukuplah bagiku Allah…”
Aku tersentak dan seolah-olah mendapat suatu ketenangan… Aku mencapai komputer ribaku dan terus menaip coretan-coretan hasil inspirasi daripada ayat tersebut. Aku coretkan madah tersebut di bawah..
“Cukuplah Engkau bagiku
Biarpun ditakdirkan hidup ini tiada berteman
Cukuplah Engkau peneman suka duka hidupku ini
Biarpun ditakdirkan tiada yang mencintaiku
Cukuplah cinta-Mu yang ku nikmati
Biarpun ditakdirkan hidup ku sengsara di dunia
Cukuplah nikmat-Mu di akhirat sana
Biarpun semua makhluk membenci dan menghina diri ku ini
Cukuplah Engkau mencintaiku menyayangiku selalu
Rahmat kasih sayang tuhan
Ku dambakan selalu
Kurniakan aku ketenangan hidup
Demikianlah Halawah ku cari
Dan ku nantikan..”
Coretan ini akhirnya menjadi lagu sewaktu aku di universiti. Korang tak payahlah cari, malu aku nanti huhu.
Aku melanjutkan pengajian selama 3 tahun dan mengambil jurusan Sains Kemasyarakatan. Aku sebenarnya tak tahu apa-apa mengenai jurusan yang aku ambil. Aku cuma tertarik dengan nama jurusan tersebut kerana ada perkataan ‘kemasyarakatan’.
Aku cuma berharap aku dapat membantu masyarakat. Aku ni jenis tak boleh tengok orang susah. Bila tengok Bersamamu di TV3 mesti rasa kasihan pada golongan yang dibantu tersebut.
Di universiti, aku bertemu dengan kawan-kawan baru. Pelbagai ragam dan kerenah dari pelbagai negeri. Seronok! Namun hati ini tetap merindui bumi kelahiranku.
Rumah arwah ibu ayah memang ditinggalkan kosong begitu sahaja. Aku tak sewakan pada sesiapa sebab ianya sangat berharga buatku. Lagi pun aku nak duduk mana kalau cuti semester?
Kalau cuti semester tu memang gembira betul aku sebab dapat balik ke rumah tu. Subuh-subuh aku dah gerak dari Penang membelah lebuh raya utara-selatan dengan motosikal Yamaha Lc menuju ke Johor. Seronok wei pagi-pagi buta lalu Perak yang berbukit tu dengan motor.
Nyaman dan sejuk saja rasa. Aku berada di atas motor menempuh laluan sepanjang 780++KM selama 9 jam perjalanan.
Aku akan habiskan cuti aku dengan ziarah kubur arwah ibu ayahku, jumpa kawan-kawan lepak kat mamak Maqbul, main badminton, jemaah di surau dan masjid dan banyaklah aktiviti yang aku lakukan.
Tapi…………. walaupun aku isi masa dengan pelbagai aktiviti aku tetap rasa sangat sunyi.
Setiap malam di rumah bagaikan hanya ada aku dan dinding sahaja. Sebelum tidur pasti aku akan menangis kerna teringatkan arwah ayah dan ibu……….. suasana ini aku tak mampu elak…
Tiga tahun di universiti maka tamatlah pengajianku. Aku hampir tak datang ke majlis konvokesyen kerana bagiku…….. cukuplah sijil yang aku perolehi. Entah bagaimana dengan hasil desakan kawan-kawan aku, akhirnya aku ambil keputusan untuk datang juga.
Aku nak cerita satu suasana yang aku tak boleh lupakan. Sewaktu majlis konvo tamat. Kami semua keluar dari dewan melalui pintu yang tersedia ada.
Melangkah sahaja keluar, ada satu kawasan yang agak lapang. Di sekelilingku kelihatan ramai graduan bersama keluarga masing-masing mengambil gambar.
Wajah mereka bersama ibu bapa ceria-ceria belaka. Aku berjalan dan tanpa disedari aku sudah pun berada di tengah-tengah kawasan lapang tu sambil dikelilingi puluhan keluarga yang mengambil gambar bersama anak mereka.
Aku menunduk sebentar, termenung seketika.
“Ya…aku keseorangan…..” bisik hatiku.
Mungkin melihat keadaan diriku ketika itu keseorangan, datang seorang sahabatku mengajak mengambil gambar bersama. Dan itulah sahajalah gambar konvoku diambil beberapa keping hanya menggunakan kamera telefon huhu.
Aku mulakan kerjaya pertamaku sebagai buruh kasar membantu sahabat baikku. Seronok kerja dengan kawan aku ni…. borak sokmo haha. Tak lama selepas tu aku dapat tawaran menjadi pelatih SL1M di Tabung Haji berdekatan dengan rumahku selama setahun.
Aku seronok kerja di Tabung Haji ni. Walaupun ada masa stres tapi aku seronok. Jadi teller di kaunter. Aku suka kalau yang datang tu warga emas.
Kebanyakkan mereka ramah dan aku pula memang suka melayan mereka. Pelanggan yang ‘kerek’ pun ada tapi secara keseluruhan aku seronok bekerja di situ.
Balik kerja aku akan pergi beriadah jogging. Malamnya waktu aku berehat dan setiap kali nak tidur….. aku masih lagi terkenangkan arwah ibu ayah dan pasti berkaca mataku…..
Aku cuba untuk mengalihkan perhatian namun ingatan memori itu sangat kuat. Inilah rindu yang tak bertepi…. walaupun rumah itu watak-watak kenangan telah pun mati… kenangan itu masih hidup…
Aku tidur di katil yang sama. Katil sewaktu aku tidur menjaga arwah ibuku. Setiap ruang inci di dalam rumah itu akan mengingatkan aku terhadap kenangan bersama arwah.
Baiklah aku cuba pendekkan cerita… selepas aku tamat latihan di Tabung Haji, aku mendapat tawaran kerja sebagai pegawai tadbir kerajaan. Aku berkhidmat selama hampir 2 tahun dan aku ambil keputusan untuk berhenti atas sebab-sebab yang tak dapat aku ceritakan.
Pada waktu tu aku betul-betul sibuk dan merupakan kemuncak kerjayaku…. aku berhenti kerna ada beberapa perkara yang berlaku yang aku rasakan telah melanggar prinsip hidupku. Ramai yang cuba pujuk termasuklah Big Boss… pujuk supaya teruskan perkhidmatan.
Ramai juga yang kata bahawa tindakan aku ni tak bijak. Yelah kerja kerajaankan kerja idaman semua orang. Malah menjadi rebutan anak dara dan ibu bapanya sekali.
Malah ketika itu kerjayaku sedang meningkat naik dan mula dikenali. Ada juga ketua jabatan yang lamar aku untuk dikahwinkan dengan anak buahnya…. tapi aku menolak dengan cara baik…
Atas dasar prinsip, aku tetap teruskan keputusanku. Aku bertukar bidang 360 darjah menjadi guru di sekolah tahfiz dan beberapa tahun kemudian aku menjadi guru al-quran di sebuah pusat pengajian al-quran.
Setelah hampir 10 tahun menjalani hidup seorang, akhirnya aku pun mendirikan rumah tangga dengan isteriku yang sekarang ini. Aku dikurniakan seorang anak perempuan yang comel.
Pada waktu ini aku menyedari perubahan diriku. Aku sudah tidak boleh menangis. Jika dulu aku menangis setiap malam tetapi sekarang aku sudah tidak boleh menangis.
Jika aku merasa sedih sekalipun aku tetap tidak boleh zahirkannya dengan tangisan. Aku merasa pelik dengan perubahan tu…
Tak lama selepas berkahwin, aku mendapat tawaran berkhidmat sebagai penjawat awam di sebuah universiti di negeri berlainan. Aku terpaksa berpisah jauh dengan isteri dan anakku.
Aku menyewa rumah dan kembali duduk berseorangan. Jika dulu aku berkhidmat dengan cemerlang sebagai pegawai tadbir tetapi di universiti tersebut aku tiba-tiba menjadi bodoh.
Aku menjadi bingung dan pelupa. Keadaan aku itu menjadikan prestasi kerjaku menurun. Aku tiba-tiba menjadi resah dan gelisah. Aku tak boleh dengar bunyi telefon sebab aku akan jadi gelisah. Pelikkan?
Aku membuat ujian ‘Depression, Anxiety, Stress Scale’ (DASS) dan keputusannya sangat teruk. Aku dirujuk ke unit psikiatri hospital.
Rupanya aku ditimpa penyakit kemurungan………………. terjawablah soalan kenapa aku tak boleh menangis, tak bersemangat, pelupa, jadi bodoh dan lain-lain.
Aku dapat gambarkan keadaan diriku seperti mayat hidup. Jasadnya hidup namun semangatnya umpama mati.
Aku mendapat penyakit ini berkemungkinan kerana aku telah melalui kesedihan yang panjang. Hampir 10 tahun aku hidup keseorangan sebelum aku berkahwin. 10 tahun itulah tempoh aku menangis dulu…
Mengetahui keadaan diriku ini, ketua jabatanku menukarkan aku ke jabatan lain. Katanya supaya aku dapat merawat diri dan dapat kerja yang tak begitu stres. Aku bersetuju. Barang kali dengan keputusan itu dapatlah aku meredakan diri dan sembuh.
Apa yang kugambarkan rupanya tidaklah sama dengan keadaan sebenar. Aku diberi tanggungjawab menguruskan kes-kes yang lama tertunggak. Kerja-kerja tersebut memerlukan fokus dan ketelitian.
Aku terima dengan positif dan mencuba dengan sehabis baik. Rupanya usahaku yang sehabis baik itu tidaklah baik di mata ketua jabatanku.
Jika ada kesilapan akulah yang dimarahi. Kerap juga aku balik lewat jam 10-12 malam. Sampai di rumah aku tidur sebentar dan bangun awal pagi untuk sambung kerja jam 3-4 pagi.
Aku pernah juga memberitahu keadaan penyakitku pada ketua jabatan yang baru ini. Dia pada mulanya cuba faham. Namun setelah berkali-kali kesilapan aku buat dan progres kerja yang agak lambat, akhirnya aku tetap kena marah juga haha.
Entah berapa kali aku berniat nak tamatkan riwayat hidup ini. Aku rasa kematian itu seolah-olah hampir padaku. Aku rasa diri aku tak berguna.. Aku rasa terhimpit antara beban kerja dengan penyakit aku ini. Aku berusaha dapatkan rawatan berulang-alik ke hospital.
Suatu hari, aku telah dipanggil oleh ketua jabatan sumber manusia. Dia seorang wanita berusia 50-an dan berpewatakan seperti keibuan. Aku gelarkan sebagai Puan A. Aku duduk menunggu di pejabatnya.
Tidak lama menunggu, dia masuk dan menutup pintu seolah-olah hendak membincangkan perkara yang sulit. Aku sudah menjangkakan topik perbincangan tersebut. Dia memulakan bicara,
“Apa yang berlaku? Saya terima aduan mengenai hasil kerja awak urus kes-kes tu agak lambat. Awak tahu tak bos awak dah sakit kepala dengan awak. Bos awak tu isterinya sakit. Dia bertambah stres dengan masalah awak lagi” tegurnya kepadaku dengan nada yang kecewa.
Aku tersentak mendengar kata-katanya. Aku sedar yang aku ini tak berguna dan menyusahkan orang lain dengan penyakitku ini. Bos aku stres, habis aku yang sakit ni macam mana? Aku menjawab,
“Saya minta maaf. Saya dah cuba mendapatkan rawatan secara berkala di hospital…”
“Tak..tak saya tak nak tahu yang itu. Sekarang ini apa yang awak boleh buat bagi cepat selesai kes-kes yang tertangguh tu?, pantas Puan A memotong penjelasanku.
Aku kaku bagaikan tidak dapat memberikan jawapan. Aku juga merasa sangat sedih kerana aku merasa diriku keseorangan melawan penyakit ini. Apa yang mereka tahu… KPI, kerja,kerja,kerja.
“Awak kena fikir keberkatan gaji awak. Awak beri makan isteri dan anak.” Puan A menambah ceramah padaku.
Aku diam. Maruahku bagaikan dicarik-carik. Bukannya aku tidak berfikir semua itu. Bukan aku pinta ujian ini…
“Baiklah…. saya akan letak jawatan nanti. Apabila kes ini selesai” jawabku mudah.
Sesi perbincangan berlalu dan aku tak berniat nak tulis semuanya di sini.
Ironinya pihak universiti melalui jabatan sumber manusia selalu juga membuat talk mengenai kesihatan mental tapi kes staf macam aku ni pun mereka tangani dengan cara yang tidak sepatutnya.
Akhirnya aku meletak jawatan setelah kerjaku selesai. Aku bermaruah. Aku tak suka menyusahkan orang. Aku tak makan gaji buta. Aku tawakal pada Allah..
Sudah tentu tindakan aku berhenti kerja ini mendapat kecaman terutamanya mentuaku. Aku menghadapi konflik mentua ni dah lama sejak di awal perkahwinan lagi tapi….. aku tak berniat nak bercerita di sini… dan mereka juga penyumbang sakit aku tu.
Ya memang susah nak memahamkan masyarakat dan keluarga terdekat mengenai penyakit yang menimpa ini. Begitu juga dengan isteriku. Kadang kala terjadi juga perselisihan faham…
Yelah patah tangan orang boleh lihat luka dan balutannya tetapi penyakit berkaitan dalaman ini kita nak buktikan pun tak tahu macam mana…. aku bagaikan keseorangan di jalan ini…semoga Allah memberiku jalan keluar…
Aku kini meniaga kecil-kecilan secara online bagi menafkahi keluarga. Isteri aku bekerja tapi aku takkan minta dan mengharap duitnya…. selagi ada ringgit dan sesen dalam bank akan aku hulurkan menafkahi barang dapur dan segalanya.
Biarlah aku tampak miskin. Cermin mata aku ni pun sejak 2013 tak bertukar, pakaian aku juga banyak dah lusuh tapi biarlah isteri dan anakku yang cukup makan dan pakai dahulu. Jadilah lelaki yang bermaruah.
Maafkan aku andai pengakhiran kisah ini tak seindah yang diharapkan. Bagiku kejayaan sebenar dan pengakhiran yang indah hanyalah apabila kita berjaya masuk ke dalam syurga. Semoga aku dan pembaca sekalian dapat mengecapi kejayaan tersebut. Doakan aku ya.
“Ujian dan kepahitan, di dalam kehidupan, padanya ada kemanisan, ketenangan dan kebahagiaan, bayangan Syurga idaman..”
Assalamualaikum.
– Mencari Halawah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit