Rindu Yang Tak Berpenghujung

Assalamualaikum. Namaku Floretta. Tak tahu kenapa terasa ingin menulis hari ini. Mungkin sekadar untuk mengeluarkan rasa dalam hati ini. Terima kasih admin, kerana sudi membaca. Tak meletak harapan yang tinggi untuk tulisan ini disiarkan, cuma mencari seseorang untuk membaca luahan hati ini.

Pernah tak korang rasa satu kerinduan yang korang sendiri tak tahu di mana hujungnya? Perasaan ni taklah menguasai aku sepanjang masa tapi ia akan menjenguk sekali sekala.tak kira masa dan tempat. Dan bila perasaan tu datang, rasa sedih dan sayu tu kuat sangat.

Aku selalu rindu kehidupanku yang dulu. Rindu diriku yang dulu. Rindu persekitaranku yang dulu. Tapi adakah mungkin sebenarnya itu hanya benda-benda yang trigger rinduku kepada sesuatu? Mungkin aku bukan merindui seluruh masa lalu aku, tapi aku sebenarnya rindu orang-orang yang berada dalam lingkungan kehidupan ku ketika itu.

Aku selalu rindu pulang ke rumah tempat ku membesar di kampung halaman. Rumah tu masih sama sampai sekarang. Halaman masih sama macam dulu. Pendek kata hampir kesemuanya masih sama seperti ketika aku meningkat remaja.

Tapi biarpun aku selalu pulang ke kampung, tinggal dalam rumah itu, berehat dalam bilikku yang sama, berteduh di bawah pokok yang kuingat telah wujud sejak aku lahir, berjumpa dengan adik beradik.. tapi perasaan homesick yang kurasa tetap ada.

Cuti habis, kembali ke perantauan,masih rindu. Dah rindu,balik kampung lagi. Tapi rindu masih tak lunas. Cycle ni berulang-ulang. Seolah-olah kampung itu, rumah itu tidak mampu lagi melunaskan homesick ini.

Bila aku merenung jauh, menyelidiki hati sendiri. apa sebenarnya yang aku rindu, mengapa rindu ini seolah-oleh dah tertanam kekal dalam diri ini. Akhirnya aku faham.

Ya, aku sebenarnya rindu kedua arwah ibu bapaku. Rindu yang tak mampu aku lunaskan lagi di dunia. Mereka dah tak ada menanti kepulanganku di rumah itu. Tak kira beratus kali aku pulang dan pergi dari rumah tu, rindu ini tak mungkin lunas lagi.

Dulu, homecoming adalah perkara paling dinanti. Boleh request apa saja makanan,pasti dapat sesampai di kampung. Aku rindu perasaan teruja itu.

Aku rindu mengikuti mereka ke sawah bendang. Di awal pagi melihat matahari terbit, atau kadangkala di waktu senja, melihat matahari terbenam. Selalu aku terbayang susuk tubuh mereka yg kulihat dari belakang sewaktu dalam perjalanan ke bendang,ketika berjalan berturutan menyusuri permatang sawah sambil menggalas beg bendang yang lusuh.

Aku selalu terbayang susuk tubuh ibuku, yang ku lihat dari kejauhan berjalan memasuki halaman rumahku dengan pakaian bendangnya. Sambil memegang hasil-hasil tanaman yang diambilnya di kebun tepi bendang. Aku rindu.

Setiap corak lusuh baju ke bendangnya masih kuingat. Oh ya. Baju itu masih ku simpan dengan rapi selama hampir 7 tahun di dalam almari pakaianku. Itupun selepas lebih setahun ku simpan di bawah bantal untuk ku hidu setiap malam sebelum tidur.

Aku rindu, melihat sungai. Sungai di mana aku mengikuti arwah ibu dan ayahku menjala ikan. Bermula  dari sungai tepi kampungku sehingga tembus ke perkampungan sebelah menyusuri sungai mencari rezeki.

Arwah ayah menebar jala, aku dan arwah ibu menanti untuk memungut ikan yang berjaya ditangkap. Ketika lapar dan kepenatan datang menjenguk, kami beteduh di bawah pokok di tepi sungai, membuka bekalan nasi kosong yang dibawah dari rumah,berlaukkan ikan bakar yg berjaya kami tangkap. Aku rindu rasa itu.

Aku rindu berduaan dengan ibuku. Memasuki hutan di belakang kampung mencari kayu api. Aku cumalah peneman. Sekadar melihat kemahiran ibuku memotong, mengerat dan menyusun kayu api kemudian mengangkatnya sehingga selamat sampai ke rumah. Sekadar ingatan random dan biasa, tapi pemandangan itu sungguh cantik. Aku rindu. Rindu, sayubyang menusuk pedih di dalam hati.

Aku rindu susuk tegap ayahku. Yang gigih memanjat pokok langsat hutan yang tingginya seolah boleh mencapai langit. Menggapai buah langsat untuk diberikan kepadaku ketika dalam perjalan balik dari bukit seusai membersihkan kebun. Hanyalah segugus langsat yang masam, tapi aku rindu.

Rinduku selalu datang tiap kali aku melihat persekitaranku. Tapi kadangkala rindu itu datang tanpa sebab. Pada hari hari biasa, bukan hari istimewa untuk diingat, bukan ulangtahun apa pun. Hanyalah hari biasa.

Mungkin beginilah rasanya merindui. Merindui insan yang jaraknya sejauh jauh alam yg tak mampu kita gapai. Ia datang menerjah secara tiba-tiba tanpa amaran. Rindu itu memang sentiasa ada setiap hari. Cuma kadangkala ada hari yang aku merindui mereka, lebih banyak dari hari-hari yang lain.

Hari ini, ketika sedang membasuh muka di hadapan cermin,aku disapa perasaan rindu itu lagi. Just a random day after so many years of losing them. Bezanya aku tak lagi tertanya-tanya kenapa mataku tiba-tiba berkaca, atau kenapa hatiku tiba-tiba terasa pedih. Sayu. Kerana aku tahu. Oh, ini aku. Sedang merindui mereka.

Mungkin inilah kesedihan yang hanya orang yang pernah kehilangan faham. Mungkin merekalah yang akan faham kenapa aku begini, on random tuesday di bulan Januari tiba-tiba menangis terduduk di dalam kamar mandi.

Maksudku sudah tentu orang terdekatku ada bertanya kenapa? Tapi agak susah untuk perkataan ‘aku rindu arwah ibu ayahku, hanya rindu.Tak sakit’ untuk diungkapkan oleh seorang ibu beranak 2 yang telah hampir 10 tahun pun hidup tanpa ibu bapa.

Pada usia begini aku memahami satu perkara. Sungguh senang menjemput orang lain menyertai kegembiraan kita. Tapi untuk menjemput mereka dalam kesedihan yang kita simpan jauh di dalam lubuk hati. Terasa payah sungguh untuk mengungkapkan.

So this is me. The old lady who suddenly miss her dead parents. On random thursday morning.

Terima kasih kerana sudi membaca. Tiada niat lain selain sekadar berkongsi secebis rasa yang sukar diungkapkan dengan suara.

– Floretta (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *