Rintihan Mangsa Buli Untuk Pembuli

Salam semua. Disebabkan kini kes buli sedang viral, saya ingin mengambil kesempatan untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati saya yang saya pendam lebih daripada sedekad lamanya.

Boleh saya katakan memori hitam tersebut sering kali mengganggu kehidupan saya, lebih-lebih lagi apabila kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh itu muncul.

Boleh jadi ini merupakan trauma terhadap insiden yang pernah saya hadapi sepanjang saya berada di sekolah menengah daripada tingkatan satu hingga lima.

Lebih dari sedekad atau hampir 20 tahun lalu, saya merupakan seorang yang kelihatan sangat ‘nerd’ dalam masa yang sama saya seorang berperwatakan lembut.

Saya seorang yang sopan santun, soft spoken dan tidak pernah mencari masalah dengan sesiapa pun.

Dari sudut lain, saya tidak pandai bergaul dan hanya fokus kepada pelajaran, yang penting bagi saya, saya boleh belajar dengan baik dan mencapai keputusan yang secemerlang mungkin.

Entah kenapa, ada beberapa orang pelajar satu batch dan senior berbeza setahun menjadikan saya sebagai target untuk dibuli.

Secara mental, saya sering kali dilontar dengan kata-kata makian seperti pondan, sengaja menjadi lembut untuk mendapat perhatian orang lain dan sebagainya.

Wajah saya yang hodoh juga menjadi bahan untuk dicaci dan dihina. Saya hanya mampu bersabar untuk terus melalui hari-hari yang penuh dengan dugaan seperti ini.

Saya masih ingat sewaktu hari masih hujan seorang pelajar sebatch datang menumbuk saya di perut sehingga saya terduduk dan menangis, saya ditumbuk tanpa sebab!

Saya masih ingat sewaktu saya berjalan pada petang hari yang sedang hujan, sebuah batu yang besar datang menghinggap di wajah saya, dilempar oleh seorang pelajar setingkatan Katanya dia tidak sengaja, dia hanya ingin bermain dengan air.

Wahai “Ular” (gelaran di sekolah) sekiranya kau masih hidup dan belum bertaubat, saya berharap agar Tuhan membalas perbuatan kau dengan azab yang begitu keji.

Maghrib hingga malamnya saya menangis sendiri. Mujurlah ada seorang sahabat baik yang masih berkawan dengan saya sehingga hari ini datang memujuk saya.

Saya langsung tidak pernah laporkan kepada warden, lebih-lebih lagi apabila warden seolah-olah tidak berfungsi, kami lebih banyak dijaga oleh abang senior menengah atas.

Banyak juga kes-kes lain yang berlaku kepada sahabat yang lain, tak cukup untuk saya ceritakan disini.

Dan suatu masa, saya sudah tidak lagi pasrah, saya bangkit menentang mereka yang membuli saya. Saya sudah tidak tahan dibuli.

Saya masih ingat pada suatu hari saya sedang mandi dan saya menyanyi riang usai tamat sesi sekolah, tiba-tiba datang seseorang melempar saya air sabun, saya mengamuk dan terus menampar sekuat hati saya.

Malamnya tilam saya basah dengan air. Dia juga menyimpan dendam terhadap saya.

Saya masih ingat pada suatu hari, saya telah dikacau semasa berada di dalam masjid.

Seorang rakan satu batch saya datang mengacau saya dengan menyentuh badan saya, menggeletek tanpa sebab dan sebagainya sedangkan saya sedang fokus membaca membaca al-Qur’an, saya hilang sabar lalu hentaman tangan saya terkena wajahnya.

Pembuli-pembuli ini merupakan pengecut, mereka yang memulakan segalanya, apabila saya membalas kembali, mereka datang pada waktu sebelah malam di asrama dan datang memukul saya beramai-ramai.

Saya disepak dan diterajang sekuat hati oleh mereka. Saya masih ingat pada malam itu saya menjadi histeria, saya menjerit sekuat hati saya.

Saya sangat sedih kerana rakan-rakan saya hanya memerhatikan dan menganggap saya layak dibuli hanya kerana saya lembik dan pondan, pukulan-pukulan fizikal seperti ini dianggap akan menjadikan saya lebih keras.

Pada pandangan mereka saya seorang yang layak dilaknat oleh Allah kerana menyerupai wanita disebabkan saya seorang ‘pondan’ seperti mana kata mereka.

Untuk berminggu-minggu lamanya, saya tidak bercakap dengan seorang pun daripada mereka, saya hanya menangis dan membawa diri sendiri, lagipun peperiksaan sudah dekat, lebih baik saya fokus kepada ulangkaji pelajaran sahaja.

Saya menyalahkan mereka kerana tiada seorang pun yang menolong saya daripada dipukul sebegitu rupa.

Demi Allah, sampai detik ini walaupun sudah lebih sedekad berlalu, saya masih belum mampu melupakan segala perbuatan mereka.

Ada hikmah disebalik kejadian-kejadian ini dimana mental saya sering kali mengatakan “Kau study lah baik-baik, kau dapat straight A kau akan keluar daripada neraka ini”.

Dan benar, saya dapat peluang untuk keluar daripada neraka itu iaitu keluar ke sekolah berasrama penuh terbaik di Malaysia setelah mendapat keputusan cemerlang straight A semasa tingkatan 3.

Namun, saya tidak pernah berterus terang kepada keluarga saya terhadap apa yang terjadi kerana hal itu sangat aib untuk saya.

Mesti bapa saya akan sangat malu kerana anaknya digelar pondan dan kerana itu dibuli di sekolah. Mental cognitive saya ketiku itu hanya mampu untuk berfikir setakat itu.

Apabila saya menyuarakan hasrat untuk berpindah keluar daripada sekolah tersebut semasa tingkatan 4 dan menerima tawaran ke SBP terbaik Malaysia pada ketika itu,

Ibu-bapa saya tidak bersetuju dan menentang keputusan saya kerana ingin keluar daripada sekolah aliran agama, saya dianggap seolah-olah ingin mencari dunia berbanding ilmu agama.

Inilah antara detik yang sukar untuk lupakan, menangislah air mata darah, keputusan untuk saya keluar daripada neraka tersebut tidak dipedulikan oleh keluarga saya.

Saya meneruskan senior years semasa tingkatan 4 di sekolah yang sama, rakan-rakan yang sama. Kali ini akademik saya kurang pedulikan, daripada pelajar yang mengejar straight A saya menjadi pelajar biasa-biasa sahaja.

Saya banyak fly keluar malam daripada asrama ke Mall berdekatan atau ke restoran.

Rakan-rakan sebatch juga banyak berubah termasuk mereka yang pernah membuli saya, sebahagian mereka telah berpindah keluar, sebahagiannya kekal.

Mereka tidak pernah meminta maaf secara berterus terang, namun hati saya yang suci tetap menanggap seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku selama ini.

Ada yang masih kekal dengan mulut yang toxic, namun saya sudah tidak peduli lagi, saya hanya ingin bersabar untuk keluar dan mencapai cita-cita saya dua tahun akan datang.

Saya mula berkawan dengan mereka, saya menjadi rujukan mereka apabila mereka tidak faham akan subjek-subjek tertentu sehinggalah tamat SPM dan kami membawa haluan masing-masing.

Saya cemerlang dalam SPM dan menyambung pelajaran ke luar negara. Memori alam persekolahan saya cuba lemparkan jauh ke Laut Cina Selatan.

Akibat perbuatan buli, saya mula merasai kesannya apabila saya melangkah ke alam universiti dan alam pekerjaan,

Saya tidak mampu untuk melakukan presentation dan berhadapan dengan orang yang datang memerlukan perkhidmatan saya walaupun saya kini dirujuk oleh orang lain disebabkan kepakaran saya.

Saya mudah menjadi ketar, mudah blank, takut dan bermacam-macam sympthom anxiety walaupun saya mampu untuk score di atas kertas. Saya juga dalam proses untuk bertemu pakar untuk mengesahkan sekiranya saya ada depression.

Saya mudah sedih dan kadang-kadang menangis tanpa sebab. Bertahun-tahun berlalu dalam alam kerjaya, saya berperang dengan diri saya sendiri untuk mencari jati diri saya yang telah dihancurkan semasa alam persekolahan.

Percintaan saya juga telah gagal meskipun sudah dalam proses ke jinjang pelamin kerana saya tidak yakin akan menjadi suami yang baik disebabkan masa lalu saya. Saya rasa diri saya tidak layak untuk siapa-siapa.

Saya menjadi seorang yang pentingkan diri, bahagiakan diri sendiri terlebih dahulu sebelum saya berkongsi cinta dan kebahagiaan saya dengan orang lain.

Saya lebih banyak mengembara dan mencari kebahagiaan dengan melihat dunia luar, saya jarang pulang ke kampung halaman sendiri.

Hati saya masih terluka dan masih berdarah sehingga saat ini, saya ingin mereka datang dan berlutut kepada saya dan meminta maaf terhadap perbuatan mereka.

Saya tidak pernah melakukan apa-apa kesilapan, hanya mereka yang memulakan segalanya dan menjadikan saya mangsa buli tanpa apa-apa sebab.

Saya tidak akan pernah lupa akan kalian, datang dan carilah saya di akhirat nanti, saya berdoa agar kalian tidak aman di dunia dan di akhirat. Bertaubatlah.

– Mangsa buli yang tidak akan pernah lupa. (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *