RM100 terakhir untuk hari ini suami mak cik @ mc pinjam dari pekerja Indonesia yang berkerja di taman bunga belakang rumah kami pada maghrib semalam.
Seperti biasa, setiap kali ke tempat kerja, suami mc akan hulurkan RM10 untuk kegunaan mc. Tapi ada jugak hari- hari tertentu kami kehabisan duit, mc ke tempat kerja tanpa sesen pun. Mc ok je, sebab dah biasa.
Kadang kalau tersangat lapar, mc makan dulu kat kantin dan bagitau tuan kantin akan bayar keesokan harinya. Alasan mc pada tuan kantin, duit ada kat staffroom, malas nak pergi ambik sebab mc dari padang. Tak kan mc nak cakap mc tak de duit, sapa nak percaya .
Macam hari ni, mc ada meeting lepas kerja. Biasanya hari meeting, mc bawa RM15 tapi dah tak de duit, mc bawa RM10. Dalam kul 10am, mc ke kantin dan makan nasi berlauk, habislah RM8. Ada baki RM2.
Pukul 2 ptg, start meeting dan tamat pukul 4. Suami dan anak oku mc dah menunggu dalam kereta. Dari tempat kerja, kami akan terus ke bandar. Untuk makluman, anak mc severe autism… dah dewasa pun.. 25 tahun.
Kalau pembaca pernah ikuti kisah Zarina Zainudin dengan dua anak kembar autismnya, anak mc lebih kurang dengan anak kembar Zz yang tua.. bezanya, anak Zz bila tantrum akan cuba cederakan diri sendiri, tapi anak mc akan cederakan kami.
Nanti di lain masa, insha Allah mc akan ceritakan pengalaman hidup dengan anak autism yang waktu tidurnya selepas subuh dari kecil hingga sekarang. Bermakna mc dan suami pun tidak berpeluang tidur seperti kebanyakan orang lain selama 25 tahun. Itu ujian buat kami.
Tentu pembaca tertanya apa kerja suami mc? Awalnya suami mc adalah seorang peniaga dan pemborong. Masa beredar, anak membesar dan memjadi semakin agresif dan emak mertua yang tinggal bersama kami…yang sama-sama menolong menjaga anak kami, meninggal pada tahun 2012 dan suamipun terpaksa berhenti berniaga untuk menjaga anak kami sepenuh masa. Kenapa bukan mc yang berhenti?
Pertamanya mc kerja kerajaan, ada gaji dan pencen… inshaaAllah kalau berlaku apa2 sekurang2 nya keluarga mc ada sedikit bekalan. Suami mc berniaga sendiri.. tiada jaminan.
Kedua, anak kami sangat besar.. dengan saiz baju 8 XL, bayangkan bagaimana dia mengamuk… mc tak mampu nak pertahan kan diri sendiri. Pulak tu anak kami belum pandai berdikari, hampir 90% terpaksa kami uruskan termasuk makan pakainya. Jadi suamilah yang galas tanggungjawab jaga anak kami bila mc bekerja.
Berbalik pada kisah balik kerja. Dalam kereta, suami tanya berapa lagi ada baki duit mc… cari punya cari dalam bag galas dapat lah RM7 . RM7 tu baki dari hari ini RM2 dan semalam RM5. Biasanya mc akan makan sesikit yang boleh kat tempat kerja supaya bajet tidak melebihi RM5… so ada lagi baki RM5.
Baki RM5 mc standby untuk apa2 pungutan kecemasan. Sebab kerja macam mc ada saje nak kena bayar.. derma itu, derma ini ( dan biasanya derma ini telah siap ditetapkan harganya… macam RM10 ke, RM20 ke dan etc bergantung pada aktiviti yang hendak dibuat ). Suami cakap duit dah tinggal nazak.. minyak kereta nak kena isi, paling koman pun RM15.
Sebenarnya tiap2 hari kami wajib isi minyak sebanyak RM30 sebab dari anak mc kecil hingga sekarang, mau atau tidak.. sudah menjadi routine hidupnya, mesti bawanya ke bandar… kalau tidak bawa bermakna kami terpaksa berdepan dgn serangannya bila dia mengamuk. Hanya orang yang ada anak autism saje yang tahu bagaimana sukarnya cabaran hidup bersama mereka. Tapi dah mc terpilih untuk menjadi ibu kepada anak autism… terima aje lah.
Kemana duit RM100 yang dipinjam maghrib semalam. RM10 utk mc kerja. RM57 beli 3 ekor ayam dan 2 ekor ikan tongkol untuk jualan kami pagi besok. Bakinya adalah dlm RM15 stelah ditolak beli rempah, santan dan etc.
Untuk makluman, kami berniaga 2 kali seminggu di pasar minggu dekat kampung kami. Kami ada sebuah lot kedai yang disewa RM400 sebulan dari majlis daerah. Kami upah 3 orang pekerja untuk menguruskan kedai. Mesti pembaca tertanya, kenapa tidak menjual hari2… sebabnya semua pekerja kami ada komitmen lain dan tidak sanggup berkerja setiap hari.
Kenapa tak cari pekerja lain… jawabnya, bukan senang untuk mencari seorang pekerja yang amanah dan jujur apabila semua urusan kedai 100% diserahkan kepadanya… baik dari membeli barang yang tak cukup, membayar duit2 tertenti dan sbagainya. Tidak seperti peniaga lain, ada pekerja… ada tokey atau isteri atau anak tokey bersama pekerja.
Kami, tokey balik jaga anak, isteri tokey pergi kerja… kedai 100% diuruskan oleh seorang ketua pekerja yang amat baik. Dialah yang membayar pekerja lain bila tamat berniaga… dia juga lah yang menguruskan semua kewangan untuk hari berniaga… suami akan pergi untuk menutup kedai dan mengambil duit bersih. Makanan.. kami suami isteri yang masak.
Dengan hanya bermodalkn 3 ekor ayam, 2 ekor ikan tongkol, 2 kilo pulut kuning, 2 kilo nasi minyak , 2 kilo nasi dagang, sebungkus mee hoon dan sebungkus mee kuning dan jualan air minuman… biasanya untung bersih dapatlah dalam RM200 kalau semua jualan habis.. duit sebanyak itu paling lama pun kami bertahan 2 hari. Hari2 berikutnya… pandai2 la.
Gaji mc pulak.. untuk semua tanggungan.. minyak kereta sahaja mesti RM900 ke atas, kadang mencapi RM1300 bergantung kepada keadaan anak pada bulan tersebut.. bil air dan api RM500… banyak kan? Sebab anak oku kami, tanggungannya sangat tinggi.
Balik kepada baki yang ada di tangan suami dalam RM15 dan mc ada RM7… seluk poket2 car seat, dapatlah RM5 lagi. Jadi keseluruhan ada ditangan RM27. Isi minyak RM20… ada lah baki RM7.
Anak kami wajib dibelikan donat, ayam dan milo ais.. kalau salah satunya kami tak beli.. bergelutlah kami diserangnya dalam kereta. Dengan baki RM7.. mc usaha korek semua tempat yang ada dalam bag dan kereta… adalah lagi duit syiling yang tersepit kat celah2 seat dan sbagainya… bajet punya bajet, boleh lah lepas…
2 biji donat RM2.60 ( biasa 3 biji sehari )
Leher ayam RM 2.00 ( biasa leher RM5, peha 2 ketol RM6 )
Milo ais RM 2.00 ( biasa 2 bungkus )
Air minuman RM 1 .00
Abc kongsi dgn suami RM3.00…. habislah tak tinggal 1 sen pun kat tangan.
Semasa mc pergi kat pasar malam untuk beli leher ayam… perut mc lansung tak sporting… berkeriuk bunyinya… memang mc lapar pun sebab makan nasi dalam pukul 10 am. Terliurnya nak beli itu ini, tapi duit semput2 utk beli ayam dan air minuman anak je… so mc pun cakap pada diri… kalau aku lapar dan terliur, agaknya anak2 org miskin… ginilah perasaannya… sekurang2nya aku, hari gaji.. bolehlah lepas gian nak makan sedap sikit. Sabarlah perut… hari gaji nanti, boleh beli.
Mesti ada yang akan komen, kalau tak de duit.. jangan guna tenet.. simpan duit untuk mkanan. Jawapan mc… mc kerja gomen, semua maklumat sekarang melalaui wasap group… wasap official dan sebagainya. Pekerjaan mc mewajibkan mc ada internet. Dan kadang tenet ini pun mc dapat dengan cara redeem point. Itu aje.
So pembaca, apa yang ingin mc sampaikan dari kisah hidup mc hari ini adalah… Walau sesakit mana pun ujian tuhan, selalulah kita berlapang dada dan berfikiran positif. Jangan sesekali menyesali nasib, merasa iri hati dengan apa yang orang lain miliki dan jauhkan diri dari mengeluh.
Sematkan dihati.. ujian ini sebenarnya untuk meninggikan darjat kita disana… mungkin “kesakitan” yang kita hadapi didunia yang pendek ini… sebenarnya habuan manis untuk kita di akhirat. Seteruk mana kita diuji.. jangan mengalah, jangan bersusah hati.. bersabarlah… pasti suatu hari nanti, semuanya akan berakhir.. kalau kebahagian untuk kita bukan di sini… pasti disana ada sesuatu.
Mc sejujurnya tidak merasa susah hati untuk menghadapi beberapa hari lagi tanpa duit mencukupi di tangan sebab mc sangat yakin (dari pengalaman bertahun-tahun dengan masalah kewanagan).. selagi kita hidup, disaat kita diuji.. ujian itu pasti dapat kita hadapi selagi kita dapat mengawal emosi dan bersabar. Ya Allah… dalam solat 5 waktu, dalam tahajud… cukupkan rezeki kami hingga ke hujung bulan. Amin.
– Mc
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit