RM600 Buat Suamiku

Semenjak dua menjak ni banyak cerita pasal gaji isteri lebih besar dari suami, dan aku pun ada dalam situasi yang sama. Aku seorang isteri dan ibu. Aku dan suami bekerja. Gaji aku boleh dikatakan berganda-ganda lebih besar dari suami. Gaji hakiki ditambah dengan side income yang lumayan. 5 tahun aku pendam dilema “bergaji lebih besar” ni. Bukan tak pernah berbincang, tapi bila berbincang, tak berpenghujung. Setiap bulan akan hadapi perkara yang sama.

Suami aku, ada tanggungan kereta, rumah sewa (kami tinggal di negeri berasingan), minyak dan tol untuk balik setiap hujung minggu dan loan. Dan ada sikit baki untuk makan minum dia sorang. Aku pula, ada tanggungan rumah, kereta, rumah sewa, bil, pengasuh dan personal loan. Itulah sedikit sebanyak komitmen bulanan kami.

Dulu, pernah juga aku rasa geram sebab asyik aku kena keluar duit, asyik pakai duit aku je, kan “duit suami duit isteri, duit isteri duit isteri”. Tapi Alhamdulillah baru baru ini aku jumpa jalan penyelesaian. Hati aku pun makin bahagia. Setiap kali aku nak terbabas aku akan ingat benda ni “sebaik-baik sedekah seorang isteri, adalah kepada suaminya”.

Dekat sini aku nak kongsi apa aku buat, dan aku harap, isteri-isteri “bergaji lebih besar” dekat luar sana tu, kalau ianya baik, ambillah kalau tak baik, jadikan iktibar.

1. Berbincang, visualize

Suami aku ni alhamdulillah boleh dibawa berbincang, tapi kena ada cara nak ajak bincang. Cara yang aku guna dulu, aku bagitau dia tak boleh tidur hotel mahal2, tak boleh shopping, tak boleh beli kasut tiap2 bulan, tak boleh itu tak boleh ini, end up, tak jalan. Mungkin sebab terlalu banyak “tak boleh”. Aku tukar taktik. Aku buat satu excel, aku tulis berapa banyak gaji aku, dan berapa banyak komitmen aku. Termasuk sewa, api, air, astro, pengasuh, belanja dapur, duit untuk mak ayah aku dan mentua, susu, pampers, loan, asb, takaful, SSPN, semua aku tulis. Dan ada satu lagi aku tulis nama suami aku dalam list komitmen aku tu. Aku letak RM600.

2. Kenang pengorbanan suami

Nampak macam aku yang bagi nafkah dekat suami aku kan bila aku bagi dia RM600 tiap2 bulan? Aku beruntung, sebab gaji aku besar, tapi sebelum aku dapat duduk dekat position aku sekarang, suami aku lah yang banyak sokong aku. Kalau bukan sebab dia, bukan sebab restu dia, aku tak sampai tahap ni sekarang. Jadi apalah sangat RM600 tu. Tapi sebenarnya, maksud tersurat aku, kalau dia nak shopping ke, nak holiday ke, nak tidur hotel ke, dia cuma ada RM600 untuk dia guna. Jadi, tak adalah over budget, lepastu aku geram sorang2 bila over spend. Tapi sebenarnya, RM600 tu, guna untuk aku dan anak2 juga. Kadang2 suruh dia singgah kedai beli pampers, beli ikan, bayar dekat kedai makan, ataupun anak2 minta beli biskut, beli roti canai pagi2 itulah duitnya.

3. Beri kuasa duit pada suami

Aku tak berapa suka cara pegang duit suami dan bagi dia belanja hari2. Sebab pada aku, orang lelaki ni (tak semua but mostly), dia ada ego, dia ada pride. Tapi masih aku yang jadi menteri kewangan. Kena tau kemana duit tu pergi atau berapa banyak nak guna. Sebelum aku terima offer kerja sekarang, aku bagitau siap2 pada suami aku yang aku tak nak dia rasa rendah diri atau rasa tak ada kuasa dalam keluarga hanya sebab “gaji aku lebih besar”. Siapa ada duit, dia raja. Aku tak nak macam tu. Sebab, aku sendiri takut kalau aku jadi sombong dan tak hormat pada suami aku hanya kerana “gaji aku lebih besar”. Jadi, bila pergi kedai makan, suami yang bayar dekat kaunter, kan nampak elok, dia pun tak segan. Maruah dia sebagai seorang suami pun terpelihara. Suami pun reti segan bila setiap kali keluar makan nak minta duit daripada isteri.

4. Redha

Yang ini atas diri sendiri. Ada orang mulut cakap ok, tapi dalam hati tak rela. Cuma apa yang aku perasan, bila aku redha, rezeki kami makin bertambah2. Jangan sempitkan rezeki suami lagi, redhakan duit yang kita kongsi dengan dia. Walaupun itu duit aku, aku tetap minta kebenaran suami untuk guna. Tanya dia boleh tak nak beli itu atau ini. Aku buat macam tu supaya aku hormat dia sebagai suami. Bila suami aku ada rezeki lebih, selalu je dia belikan aku hadiah mahal2. Pokoknya, jangan berkira.

5. Tuntut nafkah

Yang ini memang aku tuntut tiap2 bulan. Aku akan minta duit yang dia keluarkan dari akaun bank dia sendiri. Walaupun 10 ringgit 50 ringgit, aku akan tuntut. Sebab aku yakin, kalau suami tak culas bagi nafkah, insyaAllah murah rezeki dia. Dulu aku tak minta, dengan harapan dia akan bagi sendiri. Walaupun aku sendiri tau keadaan kewangan dia. Dan aku pun ada duit sendiri. Pernah dia bagi, tapi aku cakap tak payah aku ada duit. Lepastu sepi hidup aku tanpa nafkah bulanan. Kawan aku ada takut-takutkan aku kalau tak ambik duit suami bagi nanti dia bagi nafkah dekat orang lain baru tau. Terus lepas pada tu aku minta tiap2 bulan.

6. Give and take

Yang suami pun, kalau isteri dah hulur2 tu, awak pun ringan2 kan lah tulang. Ini dah lah isteri tu tolong topup duit bulanan, kau perangai malas pulak tu, manalah isteri tu tak mengungkit. Alhamdulillah, lepas aku bincang dengan suami pasal benda ni, suami pun rajin je membantu, mengemas semua memang serah dekat dia, perfect! Sebab, dia sendiri dah nampak, kemana gaji aku pergi, berapa banyak duit aku spend untuk keluarga, berapa banyak aku tolong tanggung.

Pokoknya, kena berbincang, tulis terang2 dan jangan simpan makan dalam sorang, kena tau cara nak berbincang dengan suami, cakap elok2 insyaaAllah dia boleh terima dan bertolak ansur. Dan paling penting, redha. Kalau bukan suami yang kita nak bahagiakan, siapa lagi. Untuk si suami pulak, kalau isteri tu dah bahagiakan kau, kau jangan nak “tolong bahagiakan” orang lain pulak. Reti?

– Bukan Isteri Sempurna

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *