Road To Jannah

Baca tajuk je aku pasti ramai yang akan triggered dengan kisah yang tular baru-baru ni kan?

Aku tak lah rasa tergugat ke apa cuma kesian dengan pasangan yang baru mendirikan rumahtangga atau yang baru berhasrat nak kahwin. Mungkin ada yang akan rasa seksanya nak menjadi seorang isteri yang mendambakan syurga.

Jangan risau adik-adik. Baca boleh. Tapi nak amalkan tu fikir-fikirkan lah ye. Buat apa nak menyeksa diri sendiri kan. Okey meh aku cerita apa yang aku lalui dalan rumahtangga.

Aku dan suami kedua-duanya bekerja dalam sektor swasta. Pendapatan pula tak menentu, adakalanya gaji aku lebih tinggi dari suami, dan ada ketikanya gaji dia lebih tinggi dari aku. Kami sering bertukar kerja ikut situasi semasa.

Ada juga ketikanya aku tak bekerja tetapi sumber pendapatan aku datang dari berniaga di rumah yang adakalanya lebih tinggi dari gaji suami tetapi suami turut mainkan peranan penting dalam perniagaan aku. Kira bukanlah usaha aku seorang.

20 tahun lepas aku dinasihatkan oleh seorang ibu saudara ketika di awal perkahwinan supaya ‘buat-buat tak tahu’ untuk sesetengah perkara dalam rumahtangga supaya suami akan ada rasa empati untuk membuatnya bagi pihak isteri.

Jadi aku pun berlakonlah, pura-pura tak tahu campur dengan sesetengah perkara yang memang aku tak tahu dan tak reti dan saja tak nak belajar semata-mata nak ‘bermanja’ dengan suami.

Tapi kisah ni tak lama, aku confess dengan suami dan syukur suami tersenyum je dan dia dengan bersahaja bagitahu, tak apa, memang tugas dia sebagai seorang suami. Fuhhh.. Nasib baik. Mungkin disebabkan dia anak sulung dan dah terbiasa dengan rutin demikian.

Rutin seharian yang dibahagi dua di awal perkahwinan tetap diteruskan. Dia menguruskan bab kain baju, basuh jemur pakaian & gosok, kemas rumah & urus anak-anak. Manakala tugas aku hanya memasak & mengemas dapur. Tapi tugas tu tak lah tetap, tengok keadaan semasa.

Bila aku mabuk teruk, boleh dikatakan 100% kerja rumah dia yang buatkan. Uruskan anak pun dia. Lima kali kehamilan, lima kali tu juga lah dia ambil alih tugasan aku dalam tempoh yang agak lama. Nak buat macamana kan, memang lembik terus.

Selepas bersalin pun dia akan teruskan tugasan aku sehingga lah aku benar-benar sihat. Dia suami yang sangat mudah dijaga makan minum. Tidak seperti sesetengah orang yang nak makan malam tepat pukul 8pm. Wajib ada dua lauk. Nak kena berhidang bagai. Memang tu bukan dia.

Aku breastfeed kesemua anak-anakku jadi ketika pulang dari kerja, memang masa aku agak terhad untuk buat kerja rumah. Kadang aku masak & tinggalkan sahaja. Suami aku akan hidangkan atau suap juga aku makan ketika anak meragam nak mengempeng saja.

Dia juga menguruskan peralatan aku mengepam & menyimpan stok EBM. Katanya sebab aku dah membantu berjimat banyak dengan menyusukan anak, jadi apalah sangat dengan tambahan tugasan seperti itu.

Aku pernah cuba untuk teruskan tradisi ibu yang aku lihat sejak kecil. Hidang makanan untuk ayah, sediakan pakaian ayah, ‘merajakan’ suami, tetapi suami aku tegah untuk aku teruskan kerana dia nampak aku terkejar-kejar dengan rutin itu. Tambahan aku juga bekerja. Katanya tak seperti ibu aku dulu surirumah sepenuh masa. Jadi jangan cuba untuk bandingkan dengan ibu aku.

Ketika aku turut bergelar surirumah, aku cuba untuk teruskan kembali gaya hidup seperti ibu aku dulu, tetapi sekali lagi suami bagitahu tak perlu. Cukup lah sediakan makan sahaja. Dan buat apa-apa tugasan lain hanya bila aku rasa lapang. Selebihnya dia akan selesaikan ketika pulang ke rumah. Aku hanya memasak & melayan anak-anak.

Memasak pun aku ikut mood. Kalau aku dah buntu atau boring memasak, dia akan tapau sahaja makanan atau dia yang akan ambil alih tugasan memasak. Aku cuma bantu menyediakan bahan mentah. Adakalanya juga kami lakukan bersama-sama.

Pernah kami berdua lalui PJJ dan dia ambil alih kesemua tugasan aku (atas restu dia yang menyokong kerjaya aku). Ketika itu aku rasa bersalah dan menawarkan untuk mencari isteri kedua bagi membantu ‘menjaga’ dia & anak-anakku. Tetapi dia menolak dan katanya tak nak cari masalah dihujung-hujung usia.

Kesimpulannya di sini, dalam perhubungan suami isteri kena banyak bertolak ansur, give and take. Tak perlu nak set diri kita seperti bermain ‘game’. Tak perlu nak terkejar-kejar sehingga di hujungnya kita yang rasa tertekan nak pastikan semuanya sempurna.

Cuba untuk terima apa sahaja yang ditetapkan untuk kita, lalui susah payah hidup berumahtangga bersama-sama. Semoga syurga menjadi milik kita semua. Aamiin.

– Isteri Bukan Hamba Abdi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *