Roda Kehidupan

Saya menulis lagi. Tulisan saya sebelum ini bertajuk “Kerana Bujang Lama Sangat” bertarikh 6 Apr 2022 (https://iiumc.com/kerana-bujang-lama-sangat/).

Terima kasih kepada yang sudi mendoakan saya dan isteri. Semua komen tuan puan saya hargai. Sekiranya tulisan saya itu ada memberi sebarang keburukan kepada mana-mana pihak, saya memohon ampun dan maaf.

Untuk kali ini saya menulis tentang cerita masa lalu keluarga saya.

Perjalanan hidup setiap insan tidak sama. Setiap dari kita berada dalam laluan / path yang berbeza sebenarnya. Namun, kadang kala path kita akan bertembung, bersilang, atau saling bersambung antara satu sama lain. Begitulah resam kehidupan.

Sepanjang perjalanan hidup mencecah separa abad ini, saya telah melalui pelbagai acara turun naik kehidupan. Semua kesusahan, kepedihan, kesengsaraan, kegembiraan dan kebahagaian telah saya lewati. Putaran roda masih lagi akan berjalan sehingga nafas saya yang terakhir.

Saya lahir dalam sebuah keluarga agamawan dan pemimpin masyarakat setempat yang dihormati di kampung. Keluarga saya besar dan berpengaruh. Secara sejarahnya, hampir seluruh tanah di kampung itu dimiliki oleh susur galur keluarga saya.

Masa berlalu dan generasi yang bersilih ganti, datuk nenek saya melalui zaman bermulanya era apabila wang fiat menjadi tukaran utama.

Sedikit demi sedikit harta bertukar tangan demi wang untuk menyara kehidupan, pendidikan dan kehendak keduaniaan.

Dari segala kedudukan yang dominan dalam masyarakat pada satu ketika dahulu, pangkat keluarga saya sedikit demi sedikit telah menurun dan kini tidak lagi menjadi siapa-siapa.

Hanya sebilangan orang-orang tua sahaja yang masih mengingati kenangan berkaitan terhormatnya keluarga saya satu ketika dahulu.

Apalah yang tinggal jika hartanah yang luas itu telah difaraidkan untuk sebuah keturunan yang besar dan bergenerasi. Akhirnya, tidak banyak harta warisan yang tinggal semasa kelahiran saya.

Walaupun nenek saya masih mempunyai sawah bendang berelong-relong, tetapi warisnya hampir sebelas orang.

Dari sebelas waris itu pula paling kurang pun terdapat enam orang anak dan kini separuh darinya juga sudah bercucu-cicit. Bayangkan bagaimana hartanah besar akhirnya menjadi kepingan kecil sekangkang kera.

Ayahanda saya telah kembali kepada Sang Pencipta tatkala umur saya empat tahun. Beliau pada ketika itu merupakan seorang pendidik yang bergaji RM240 sebulan.

Manakala bonda saya merupakan seorang surirumah sepenuh masa yang menuruskan enam orang anak kecil.

Semasa pemergian ayahanda saya, tiada apa-apa harta dunia yang ditinggalkan kecuali sebuah motorsikal honda. Selebihnya adalah bakat-bakat seni beliau yang kami sekeluarga maktabkan untuk tontonan waris keturunan kelak.

Ayahanda juga secara hukumnya tidak layak mewarisi harta warisan nenek kerana beliau telah pergi dahulu sebelum nenek.

Pemergian ayahanda secara tiba-tiba itu merupakan titik terendah dalam kehidupan kami sekeluarga. Bonda dan kami anak-anaknya terputus punca nafkah kehidupan. Ihsan nenek dan masyarakat sahaja yang menjadi nadi kami sekeluarga untuk beberapa ketika.

Ayahanda adalah anak sulung yang mempunyai adik-beradik yang masih muda dan belum bependapatan. Nenek pula adalah juga seorang balu yang kematian suami.

Jadi bukan sahaja kami yang hilang tempat bergantung, malah nenek juga hilang tempat bergantung beganda-ganda. Anak harapan beliau telah pergi dahulu sebelumnya setelah suaminya juga pergi.

Pendapatan nenek yang tidak seberapa sebagai pesawah telah menjadi punca pendapatan utama sebuah keluarga yang besar. Pendapatan pesawah tidak menentu.

Ada ketika padi tidak menjadi kerana penyakit dan cuaca. Turun naik kehidupan pada waktu itu sangat memeritkan. Itulah yang diceritakan kepada saya dan saya juga melaluinya bersama-sama mereka pada usia yang masih kecil.

Survival bonda selepas kematian ayahanada adalah menggantikan tempat ayahanda menguruskan sawah bendang bersama-sama nenek.

Mereka juga berkebun dan menternak ayam itik dikeliling rumah.

Walau bagaimanapun, selepas setahun pemergian ayahanda, bonda telah membuat keputusan untuk keluar dari rumah nenek dan pulang ke kampung halamannya. Sebagai menantu, bonda mungkin mempunyai sebab tersendiri mengapa beliau membuat keputusan itu.

Atas ehsan nenek juga, sebuah rumah kecil dapat didirikan untuk kami berteduh di kampung bonda. Begitulah sifat keibuan nenek. Kasih sayangnya pada kami tidak terbalas.

Walaupun nenek juga susah dengan kehidupannya, namun sentiasa mengambil berat tentang kami.

Bonda memulakan kehidupan sendiri di kampung membesarkan kami anak-anaknya. Bonda menyediakan nasi lemak dan kuih-muih yang diletakkan di gerai berdekatan.

Bonda juga kadang-kadang mengambil upah menjahit. Dari situ bonda mula berpendapatan dan kekal sehingga kami semua habis belajar dan mula bekerja.

Anggaran pendapatan harian bonda adalah pada kadar RM25 sehari. Dari wang itulah bonda mengagih-agihkan kepada kami untuk tujuan persekolahan dan lain-lain keperluan harian. Bonda tiada wang lebihan. Yang lebih adalah hutang-piutang.

Kehidupan kami jauh sekali dari kemewahan. Makanan pun bercatu. Menu harian adalah kicap dan ikan sepat, puyu, keli atau haruan yang ditangkap di sungai berdekatan.

Kalau sesekali dapat makan ayam atau daging itu terasa seperti ada perayaan di rumah. Peralatan dalam rumah cuma sekadar yang asas sahaja. Peti ais, mesin basuh atau tv memang tiada. Pakaian kebanyakanya adalah terpakai hasil sumbangan orang ramai.

Kami sekeluarga juga banyak mendapat ehsan masyarakat setempat yang perihatin. Setiap musim padi, ada pihak-pihak yang akan menyampaikan zakat kepada kami. Di sekolah, kami menerima bantuan manakan RMT.

Keluarga kami juga menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Yuran persekolahan pula banyak dari sumbangan nenek dan beberapa saudara terdekat. Alhamdulillah, semuanya cukup-cukup untuk kami.

Kadang-kadang jika mahukan duit belanja lebih, saya dan adik beradik akan memungut botol-botol untuk dijual, mengambil upah memotong rumput, mengambil upah ke kedai membeli barangan jiran-jiran, mencuci kereta dan banyak lagi.

Dapatlah sedikit wang saku untuk membeli mainan seperti gasing, layang-layang, guli dan sebagainya.

Kami sudah lali dengan caci maki dan keji mengeji segelintir masyarakat yang memandang rendah pada orang miskin.

Kami sekeluarga selalu dipandang hina, dituduh pencuri dan disindir-sindir oleh pemiutang-pemiutang. Hendak diceritakan yang buruk-buruk terlalu banyak. Pedih bila dikenangkan.

Saya kagum dengan bonda yang sangat cekal menghadapi kehidupan. Sebagai balu kematian suami pada usia muda, bonda pernah difitnah dengan banyak gelaran yang tidak baik.

Saya sendiri mendengar tohmahan itu di khalayak. Ianya berbekas dalam hati saya hingga ke hari ini. Semoga Allah SWT membalas kata keji hina mereka pada bonda.

Semasa saya mendapat tawaran menyambung pendidikan di peringkat tinggi, bonda sangat dalam kesusahan. Saya buntu dan sedih kerana memikirkan kemampuan untuk membayar yuran pendaftaran.

Permohonan bantuan zakat ditolak dengan alasan abang saya sudah bekerja, sedangkan abang saya cuma bergaji RM1600 dan telah berkeluarga. Bagaimana beliau hendak membantu saya?

Mujur ada seorang guru saya yang sudi meminjamkan kepada saya sebanyak RM1500 untuk tujuan pendaftaran dengan janji saya akan memulangkannya apabila saya sudah mendapat pinjaman pelajaran kelak.

Jasa cikgu akan saya kenang sampai ke hari ini. Tanpa bantuan cikgu, mungkin saya tidak menjadi insan seperti hari ini.

Zaman belajar, saya melakukan pelbagai pekerjaan sampingan untuk menambah duit belanja supaya tidak bergantung lagi dengan bonda dari aspek kewangan. Saya menyertai pasukan simpanan tentera dan memperoleh elaun latihan dan juga makanan.

Saya juga bertugas secara sambilan menjadi casher di café cyber. Duit elaun dan upah yang saya terima saya salurkan sedikit untuk bonda di kampung.

Fast forward, Alhamdulillah, kehidupan kami sekeluarga kini semakin bertambah baik.

Walaupun kami anak-anak bonda bukanlah semuanya berjaya dalam pelajaran, tetapi kami bahagia seadanya dan rasa diberkati dalam kehidupan. Survival bonda dan nenek banyak mengajar kami tentang erti hidup dan kesyukuran.

Segala penat lelah bonda membesarkan kami telah dan sedang kami balas dengan sebaiknya. Bonda adalah keutamaan kami.

Bonda sekarang adalah ratu kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu. Bonda tidak lagi bekerja dan menumpukan hidupnya kepada ibadah pula. Nenek pula telah lebih 20 tahun meninggalkan kami.

Bonda dan nenek adalah lambang wanita yang cekal. Saya menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri bagaimana kecekalan mereka berdua mengharungi cabaran hidup. Jasa dan pengorbanan keduanya tidak akan pernah terbalas selama-lamanya.

Doakan bonda dapat menunaikan haji pada tahun ini. Sekian lama bonda memendam hajat. Menabung sedikit-sedikit dari nafkah anak-anak kepadanya.

Dua tahun lalu bonda telah menerima surat panggilan haji, namun virus covid-19 telah merencat hajat bonda. Semoga tahun ini hajatnya dapat ditunaikan. Aamiin.

– Abu Angau (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *