Salam’alaik.
Terima kasih kepada admin IIUMC sekiranya tulisan aku kali ini berjaya disiarkan. Alhamdulillah, ini tulisan ke-4 aku di IIUMC (tulisan pertama tidak disiarkan, manakala tulisan ke-2 & ke-3 berjaya disiarkan).
Bagi aku portal seperti ini merupakan landskap & padang yang sesuai buat mereka yang mahu berjinak-jinak kedalam dunia penulisan. Diikutkan, Malaysia mempunya dunia penulisan yang luas & mampu menjanjikan peluang kepada penulis-penulis muda menukilkan bakat mereka.
Berbalik kepada tajuk diatas, kali ini aku nak mengulas, menulis mengenai rokok. Atau lebih tepat lagi, mengenai perokok. Aku tahu, isu seperti ini telah ditulis berkali-kali, dan mungkin juga pernah ditulis dalam IIUMC.
Namun, setiap kali isu mengenai rokok & perokok ini dimuatnaik ke laman sosial, setiap kali itu jugalah “pergaduhan” terjadi diruangan komen, diantara yang bersetuju & juga yang tidak bersetuju.
Aku kira semua maklum & tahu bahawa di Malaysia rokok itu telah difatwakan haram dari sudut hukum. Namun, dari segi jualan ianya masih dibenarkan oleh kerajaan dan secara bebas boleh dibeli oleh golongan berumur 18 tahun keatas.
Aku tegaskan disini, rokok jangan disamakan dengan gula yang jika diambil berlebihan akan menyebabkan diabetis (kencing manis) ataupun garama yang mampu menyebabkan tekanan darah tinggi. Kenapa ?
Kita kena lihat kembali pada asas perkara tersebut, gula & garam adalah makanan, penambah rasa didalam masakan. Manakala rokok itu asasnya, komposisi didalam rokok itu sendiri mengandungi pelbagai bahan yang berbahaya, yang sekiranya disebut satu persatu adalah tidak logik dan sukar diterima oleh akal untuk bahan-bahan tersebut dimasukkan kedalam badan.
Antara bahan-bahan yang paling berbahaya terdapat dalam sebatang rokok adalah Karbon Monoksida & Tar.
Disini aku nukilkan pendapat Mazhab Shafie mengenai rokok & seumpamanya :
“Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu atau disedut) yang boleh memabukkan, perbuatan itu adalah jelas haram.” – Al Umm Imam Shafie
Ini adalah pendapat zaman yang terdahulu mengenai hal yang sama perihalnya dengan rokok yang terdapat pada zaman sekarang.
Manakala jika ditelusuri pendapat terkini maka boleh dilihat seperti yang dibawah :
Sheikh Abdullah Babatein memfatwakan: Kami mengharamkan rokok dengan dua sebab utama:
1. Boleh memabukkan apabila dihisap atau boleh mengkhayalkan.
2. Tembakau atau rokok adalah benda keji, kotor(busuk dan buruk) dan dikategorikan oleh syarak sebagai: “Benda keji, benda kotor dan boleh membinasakan.”
Aku nukilkan secara ringkas pendapat & fatwa mengenai rokok yang terdapat pada zaman dahulu & juga yang terkini.
Kepada perokok, fahamilah. Teguran demi teguran kami ini bukan kerana kami benci kepada anda, tetapi yang kami benci itu adalah perilaku merokok tersebut.
Kami juga faham, bukan mudah untuk anda berhenti merokok secara tiba-tiba. Tapi berusahalah, jangan malu & jangan mudah mengalah. Fikirkan untuk kesihatan diri anda dan orang disekeliling anda.
Mungkin ada yang mengatakan, sudah hisap rokok hampir 20 tahun, tapi masih tiada sakit apa-apa. Anda benar-benar yakin ?
Ada juga yang menjadikan perilaku Imam-imam Masjid dan Asatizah yang merokok sebagai dalil bahawa rokok itu dibolehkan. (Nauzubillahiminzalik)
Percayalah, ramai yang ingin membantu & memberikan sokongan sekiranya anda ingin meninggalkan perilaku buruk ini.
Abaikan suara-suara mereka yang mengejek anda sekiranya anda ingin berhenti merokok, sekiranya anda sakit nanti, anda sahaja yang tanggung !
Suara-suara sumbang akan sentiasa ada untuk mengelakkan anda kembali kepada kebaikan. Berusahalah sehabis baik, demi kesihatan anda.
Cukup-cukuplah kita menyalahkan orang lain semata-mata untuk menjustifikasikan sifat merokok kita. Tidak perlu disalahkan kerajaan, tidak perlu disalahkan kedai yang menjual, tidak perlu disalahkan asatizah yang merokok dan tidak perlu disalahkan pokok tembakau yang tumbuh.
Akhir kata bacalah fatwa dibawah :
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.
Aku juga sediakan dua link yang membicarakan soal pengharaman rokok & bahaya merokok.
1. www.muftiwp.gov.my/index.php/
2. https://www.medicalnewstoday.
Sekian, terima kasih
– Jejaka kurang kacak
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit