Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Penulisan ini hanya untuk berkongsi pengalaman membeli rumah pertama, pengurusan kewangan disamping ingin mendapat maklum balas dari pengalaman pembaca sekalian.
Memandangkan kita berada dalam keadaan pandemik ketika ini, aspek kewangan perlu diambil perhatian.
Aku baru bekerja 4 tahun, jadi ini apa yang aku lakukan tentang pengurusan kewangan.
Ketika aku mula dapat kerja, aku hanya menggunakan kereta keluarga yang sudah berusia 14 tahun. Sebuah kereta nasional di atas nama ayah aku, tapi aku membayar bulanan kepada mereka sebanyak RM300.
Aku memang bertekad untuk tidak membeli kereta baharu selagi aku belum dapat rumah pertama. Dan aku jenis tak mementingkan status kereta baharu.
Bagi aku komitmen kereta baharu bukan sekadar bayaran bulanan sahaja, tetapi ianya termasuk ekstra RM300+ sebulan bagi tujuan peyelenggaraan + cukai jalan + insurans + petrol + tol.
Memandangkan kereta ini telah berusia, jadi insurans juga semakin murah sekitar RM350 untuk ‘first-party’. Dan kereta ini telah dilakukan major servis tak ubah seperti memandu kereta baharu.
Antara kelebihan menggunakan kereta terpakai atau sudah habis bayar, kita ada lebihan bayaran bulanan. Dan aku sentiasa servis kereta ni menggunakan minyak pelincir terbaik dan penukaran alat ganti original bagi menjaga hayat kereta.
Jadi point yang ingin aku sampaikan disini, seandainya anda macam aku yang tak pentingkan status kereta baharu, banyak kelebihan yang kita dapat.
Nanti kewangan dah kukuh dengan kenaikan gaji serta pendapatan sampingan, mungkin boleh dipertimbangkan untuk memiliki jentera baharu. Komitmen kereta baharu akan memberi kesan kepada pembelian rumah nanti.
Jadi masuk tahun ketiga bekerja, dapatlah aku membeli kediaman sendiri selepas 3 tahun menyewa bilik. Memang aku tak sabar untuk memiliki rumah sendiri, sebab bagi aku rumah adalah tempat pertama yang penting setelah seharian penat bekerja.
Berkenaan rumah yang aku beli ni, ianya sebuah rumah ‘refurbished’ yang sudah berusia 10 tahun. Tapi ianya telah dibuat pembaharuan seperti rumah baharu.
Dahulunya kawasan kediaman ini digunakan oleh sebuah agensi sebagai asrama. Rumah berkeluasan 1200 sq ft dalam kawasan berpagar ada kawalan keselamatan.
Didalam kawasan rumah ini juga terdapat, ‘club house’, ‘gym’, dan juga ‘pool’. ‘Market value’ rumah ini sekitar RM 290 000, tapi pemilik amanah kediaman ini menjual pada harga RM 240 000.
Jadi aku pun buat semakan harga median di laman web brickz.my dan memang MV rumah ini 290k. Setelah meneliti hartanah lain di kawasan ini, aku terus bertekad untuk memiliki kediaman ini juga.
Beberapa faktor yang aku ambil kira termasuk ‘booster area’. Seberang jalan kawasan rumah ini terdapat sekolah rendah dan sekolah menengah yang sedang dibina yang akan siap pada tahun hadapan.
Disebelah sekolah ada masjid. Dan kawasan ini merupakan hub pendidikan di mana terdapat 2 sekolah berprestasi tinggi, 2 buah universiti, kolej kesihatan dan institut latihan industri.
Pasaraya besar sekitar 1 kilometer dan 2 kilometer, belakang rumah ada stesen minyak 24 jam serta segala restoran makanan segera kegemaran berada dalam radius 3 kilometer.
Dan yang lebih penting 5 minit perjalanan ke tempat kerja memandangkan aku bekerja ‘atas panggilan’ selepas habis waktu bekerja normal.
Point yang aku ingin sampaikan pada perenggan ini, pentingnya untuk memilih kawasan yang membangun walaupun sedikit mahal, tapi 10 tahun akan datang harga hartanah ini pasti melonjak naik dan paling tidak pun, senang untuk kita jual semula.
Memandangkan MV rumah ini 290k, dan aku membeli pada harga 240k, aku dapat 50k ‘cashback’. Disini aku ingin bertanya pendapat pembaca berkenaan pembelian rumah dengan ‘cashback’.
Ini kerana ianya termasuk dalam pinjaman rumah tersebut dan kita perlu membayar dengan ‘interest’ dalam tempoh jangka masa yang lama.
Biar aku perincikan apa yang aku buat dengan ‘cashback’ ini. Rumah ini dibeli termasuk semua kos yang terlibat dan tanpa perlu deposit pada harga 290k. Simpanan aku sendiri ada 40k dan dicampur ‘cashback’ menjadi 90k.
Unit yang aku dapat ni berhadapan dengan pool dan menjadi ketenangan bagi aku melihat lanskap serta orang beriadah dihadapan rumah ni.
Aku membuat renovasi plaster siling, kabinet dapur dan segala deko yang sedap mata memandang serta peralatan perlu seperti peti sejuk dan mesin basuh, habis sekitar 20k.
Rumah aku tiada TV sebab menonton guna laptop dan telefon pintar. Boleh dikatakan lengkap sebagai sebuah kediaman idaman dan aku pernah kongsikan dalam beberapa group di facebook.
Baki 70k aku letak dalam beberapa instrumen pelaburan dengan pulangan sekitar 4%-10%. Dan aku pernah dapat pulangan lebih 100% dalam bursa Malaysia.
Jadi aku agak skeptikal dengan sesetengah orang yang tidak berminat dengan ‘cashback’. Anda semua boleh bagi pandangan berkaitan ‘cashback’ ini. Ada pro dan cons, tapi kita cuba raikan pandangan semua.
Berkaitan ‘mortgage’ pula, aku rasa tiada beza dengan pembelian rumah dapat ‘cashback’.
Sebagai contoh, kawan aku yang sudah bekerja 13 tahun, dia membeli hartanah di taman berhampiran sekitar 150k pada 6 tahun yang lalu, MV kediaman tersebut sekarang sekitar 290k. Dia telah membuat ‘mortgage’ dan mendapat lebihan wang dalam 120k.
Apa yang kawan aku ni lakukan, dia telah membina 5 unit kediaman 2 bilik di Selangor dikongsi bersama ibu bapanya dimana dia memiliki 2 unit dari kediaman tersebut dan memberi sewa RM700 satu unit.
Jadi disini dia mendapat bersih RM1400 untuk membayar semula ‘mortgage’ tersebut dengan ‘cashflow’ RM100. Ini bermakna dia menduduki rumah yang di ‘mortgage’ dengan percuma. Bijak kan.
Jadi aku nak tanya pembaca semua, apa yang anda lakukan dengan wang lebihan, bagaimana anda diversify sumber kewangan.
Di zaman pandemik ni ramai orang sekeliling kita terjejas. Tak semua orang dapat rezeki yang sama macam kita dapat. Namun tanggungjawab sebelum datangnya ‘kemarau’ patut kita cakna.
Aku bercadang untuk berhenti kerja dalam tempoh 10-15 tahun akan datang, ini kerana ada beberapa agenda kemanusiaan yang ingin aku lakukan secara sepenuh masa. Jadi pandangan dan cadangan dari anda semua amat diperlukan.
Nanti ada kesempatan aku ceritakan bagaimana 2 rakan aku suami isteri yang bekerjaya tapi memilih untuk hidup sederhana tanpa hutang,
Dan memulakan kehidupan bersama anak-anak disebuah ladang yang penuh dengan ternakan dan pelbagai jenis tanaman sebagai sumber kelangsungan hidup dan pendapatan.
Dan aku pun berhasrat untuk mengikut jejak langkah mereka. Jadi dari penulisan ini, anda dapat menjangkakan aku ni mungkin jenis yang mementingkan ‘ketenangan minda’.
Terima kasih kerana sudi membaca dan memberi maklum balas.
– Nwaps (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit