Rumah Ibu Bapa Bukan Homestay

Alhamdulillah.. Selepas beberapa minggu PKP sekarang dah PKPP. Semua orang berpeluang pulang ke kampung. Syukur kan. Sudah lama wajah-wajah terindah tidak ditatap. Pasti senyuman terukir di wajah. Ramai yang merancang raya 2.0.

Izinkan saya menggunakan perkataan ‘aku’ sebagai pengganti diri. Lebih selesa. Lebih dekat. Mungkin bagi sesetengah orang rasa kasar. Terlebih dahulu aku minta maaf.

Berbalik kepada tajuk “Rumah ibu bapa bukan homestay”. Sila bayangkan sebuah homestay. Antara tempat yang kita tuju semasa melancong atau apa tujuan sekali pun sebagai tempat menginap.

Homestay ini kita mesti pilih yang selesa, nyaman, luas dan wangi. Ada rumah keluarga yang jika dibandingkan homestay memang tidak capai standard.

Tapi aku bukan nak bandingkan kemewahan yang ditawarkan. Rumah ibu bapa kita walau tidak mewah. Itulah syurga dunia yang dirindukan. Aku hanya mahu bandingkan cara dan watak kita semasa di rumah ibu bapa dengan homestay.

Di rumah ada ibu bapa yang memang tinggal di situ. Bila balik cuba perhatikan susun atur dan cara ibu bapa kita hidup seharian tanpa kita. Itulah keselesaan dan kebiasaan ibu bapa kita. Horm4ti privasi mereka.

Kenapa aku kata horm4ti privasi mereka?

Aku bagi situasi. Bila ada orang datang ke rumah kita. Agak kita suka atau tidak jika orang buat suka hati dengan rumah kita. Walaupun orang itu ibu bapa kita yang menyinggah. Mesti lama kelamaan kita rasa tidak selesa.

Baik di sini aku berikan beberapa isu apa yang patut dan tak patut dibuat. Macam remeh. Lama kelamaan mengundang padah.

-Susun atur.

Susun atur rumah ibu bapa kita, jangan diubah-ubah. Bila diubah pastikan kembali kepada susunan asal. Ibu bapa kita dah tua. Tidak mampu angkat benda berat. Tidak ada sekelumit rasa kasihan untuk mereka?

Kawal anak anda. Jangan dibiarkan melompat tak tentu arah. Patah sofa ibu kita. Ada yang bertahun idam sesuatu. Dihujung hayat baru ada rezeki. Sayang anak berpada-pada. Latih dari kecil supaya tidak letih kemudian hari.

-Pakaian

Pakaian yang kamu pakai, basuh sendiri. Jangan disepuk dan dibiarkan ibu tua itu mengutip, menyidai dan melipat. Urus masa sendiri. Jangan jadikan anak kecil alasan untuk bermalasan.

Apabila balik, pastikan diangkut semua baju kotor. Faham? Tidak cukup lagikah waktu dulu kamu dah susahkan dia?

-Bilik tidur

Pastikan sentiasa kemas. Tambahan mana yang tidur bilik berdekatan ruang tamu. Ruang tamu tempat tetamu datang. Bayangkan jika ada yang menyinggah tatkala bilik tidur bak tempat kerbau berkubang. Tepuk dahi!

-Tandas

Ada orang cakap, nak tengok tuan rumah itu macam mana. Sila tengok tandasnya. Kenapa ya? Yang pasti ini berkait rapat dengan kebersihan.

Kebersihan tanggungjawab bersama setiap penghuni rumah. Kesian ibu bapa kita yang terpalit dengan tabiat buruk kita ini. Sedangkan ibu bapa kita sangat rajin orangnya.

Tolong bersihkan tandas setiap hari. Bila pakai barang tertentu. Sila kembalikan ke tempat asal. Ubat gigi jangan dibiarkan memutih dilantai. Bersihkan. Tak enak dipandang mata.

Pampers anak dibuang selalu. Kalau boleh asingkan dengan sampah rumah. Bertanggungjawab sikit. Buang sendiri.

Ibu kita dulu boleh basuh lampin. Sambil anak merengek. Kita bertuah sudah mudah dapatkan lampin pakai buang yang mampu milik. Lampin anak takkan tak boleh buang. Tepuk dahi!

-Makanan

Bagi yang dah berkahwin. Ada anak. Ketahuilah kalian kanak-kanak ini ada yang jenis cepat lapar. Jangan dimarahi dia. Anda sebagai ibu bapa yang diberi amanah. Jalankan tanggungjawab anda.

Bangun awal. Sediakan sarapan. Kalau malas usahakan untuk beli. Jangan dibiarkan ibu tua resah melihat cucu yang dalam lapar itu. Ibu tua ini prihatin. Sayang cucu dengan sayang anak ini lain. Setuju?

Panjang pula jadinya. Sebenarnya banyak lagi. Aku fikir. Ada ke orang yang nak baca. Baiklah, aku rumuskan sahaja. Horm4ti ibu bapa kita. Horm4ti rules rumah mereka. Rumah mereka bukan tempat kita nak bersenang- lenang.

Cuba fikir balik apa tujuan kita pulang ke kampung? Tercapaikah objektif kita?

Kalau aku, tujuan aku nak jenguk untuk bahagiakan mereka. Jadi aku kena buat sesuatu untuk bahagiakan mereka.

Setiap hari, aku akan pilih apa yang aku boleh buat untuk ringankan beban mereka. Aku bukanlah anak yang terbaik. Ada juga perangai tak senonohnya.

Aku nasihatkan sebelum balik nanti. Pastikan rumah ibu bapa kita kembali ke asal. Baju kotor kutip bawa pulang. Cadar katil tukar baru. Sampah buang. Barang mainan anak simpan. Sebagaimana saat pertama kita melangkah masuk.

Aku ulang. Rumah ibu bapa kita bukan homestay! Check in and check out without doing nothing.

Terima kasih admin. Kalau sesuai disiarkan. Siarkan. Jika tidak admin simpan sahaja. Kadang kita alpa. Perlu ditegur. Aku juga ingatkan diri. Agar tidak hanyut dalam kealpaan.

– Si Kaca Mata (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *