Rumah Sendiri Itu Lebih Baik

Assalamualaikum. Saya rasa terpanggil nak buat confession ni lepas membaca ramai yang mengeluh pasal masalah tinggal sebumbung dengan mertua/ ipar duai/ adik beradik.

Saya Suri, ibu kepada 3 cahaya mata yang dah berumahtangga selama 6 tahun. Seorang suri rumah sepenuh masa. Saya juga pernah punya pengalaman tinggal sebumbung dengan mertua dan ipar, biras diawal perkahwinan.

Masa tu tahap kewangan kami masih paras hidung, dengan keadaan saya yang bunting pelamin jadi terpaksa lah kami mengambil keputusan untuk tinggal sebumbung dengan mertua.

Saya bekerja sebelum berkahwin, tapi disebabkan suami nak saya berhijrah ikut dia selepas berkahwin, saya terpaksa berhenti kerja. Disitu lah punca kami mempunyai kekangan dari segi kewangan untuk menyewa sendiri.

Sepanjang tinggal bersama mertua, saya akui mestilah ada pasang surut, asam garam yang terpaksa ditelan. Biasalah, kita dari latar belakang yang berbeza, pasti akan ambil masa untuk menyesuaikan diri.

Itu perkara biasa. Cuma saya nak cerita beberapa hal positif yang saya dapat semasa tinggal bersama mertua. Mertua saya jenis yang akan angkut semua anak menantu cucu, kalau mereka nak bercuti atau menziarah saudara mara.

Pada saya, ini peluang yang baik untuk saya lebih mengenali keluarga besar suami. Setiap kali dibawa bertandang ke rumah saudara mara, saya akan diperkenalkan sebagai menantu baru.

Jadi sedikit sebanyak dapatlah saya mengenal budaya, adat resam keluarga suami. Dapat juga belajar tentang cara hidup suami sebelum berkahwin.

Saya dapat belajar memasak makanan kegemaran suami, mengikut resipi mertua saya. Saya dapat faham dan tau apa kesukaan dan kepantangan suami melalui ibunya.

Saya juga lebih kenal dan faham karakter setiap ibubapa suami, adik beradik suami, anak saudara dan ipar suami dengan lebih baik.

Saya seorang yang sangat reserved bila melibatkan hal peribadi. Jadi dengan mengenal karakter mereka, saya jadi lebih berhati hati dengan siapa saya berkongsi cerita. Topik perbualan pun biasanya mengenai minat mereka. Saya kurang bercerita dan lebih banyak mendengar.

Saya seorang yang suka memerhati. Jadi saya akan take note setiap do’s and don’ts dalam keluarga suami. Walaupun ada yang bertentangan dengan nature kehidupan keluarga saya sebelum ni, saya cuba fahamkan dan mana yang baik saya cuba adapt, yang buruk saya tolak secara baik.

Tipulah kalau hidup menumpang ni sentiasa indah sahaja. Bila dah ramai serumah, banyak kepala, banyaklah juga kerenahnya. Isu makan hati sana sini itu pada saya biasa.

Kadang mertua juga ada terkurang sini, terlebih sana, tapi saya cuba faham dengan situasi dan memilih untuk tidak memanjangkan cerita kerana niat saya hanya satu, saya nak redha orang tua dalam rumahtangga kami.

Saya juga akui sebagai menantu mustahil saya sentiasa betul dan sempurna. Pasti ada jugak salah silap saya yang mengguris hati mertua dan ipar duai.

Cuma, semasa kami tinggal sebumbung dengan mertua, saya perhatikan suami saya kurang berperanan sebagai suami. Itu sahaja satu satunya perkara yang mengganggu saya.

Pertama tamanya, bab nafkah. Banyak juga saya terbaca artikel yang menyatakan nafkah tempat tinggal seorang suami kepada seorang isteri hanya akan terlunas jika suami berjaya menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk isteri bersantai dan membuka aurat.

Wallahualam. Saya pun kurang arif mengenai hal ini. Tapi jika itulah yang dimaksudkan, maka memang tak lepas lah nafkah tempat tinggal untuk saya oleh suami.

Dari sudut perbelanjaan juga jadi kurang adil. Pendapatan suami saya pada ketika itu sangat kecil. Jadi, oleh kerana kami ni hidup menumpang, suami pilih untuk mengutamakan beri duit secara bulanan pada ibu dan ayahnya.

Balance dari semua itu barulah dijadikan nafkah saya. Kadang ada, kadang tiada langsung. Mertua saya tak pernah mintak duit, cuma kami ‘sedar diri’ sebab tu kami menghulur. Saya redha dengan keadaan itu. Tapi tipulah kadang2 kalau tak terasa langsung. Saya bukan malaikat.

Fast forward, kami telahpun dikurniakan seorang anak. Alhamdulillah. Apa yang saya nampak, kerana kami tinggal sebumbung dengan mertua, suami kurang involve dengan anak.

Dia pergi kerja, balik kerja, malam keluar lepak. Sebab? Katanya ala ramai yang melayan anak kami dalam rumah ni.

Saya tak setuju dengan situasi ni. Hubungan kami suami isteri pun jadi sangat renggang. Sebab suami lebih suka keluar melepak atau menghadap TV di ruang tamu bersama ahli keluarga nya yang lain berbanding meluangkan masa, heart to heart talk dengan saya.

Ruang privasi kami sebagai suami isteri memang betul2 terhad. Saya mula tertekan dan tak seronok dengan situasi ini. Dan apa yang saya nampak, rezeki kami makin sempit. Mungkin benarlah, apabila hak isteri tidak dijaga dengan baik, rezeki suami seakan tersekat.

Alhamdulillah, setelah puas saya menangis dan berdoa, Allah bukakan jalan untuk kami berpindah menyewa sendiri, di tempat yang agak jauh dari rumah keluarga suami. Suami dapat kerja baru dengan gaji yang 3 kali ganda berbanding sebelumnya.

Kalau sebelum ni, suami kerja sebagai buruh kasar, tapi sekarang suami kerja dalam office, cuti setiap weekend. Dulu boleh dikatakan hampir setiap hari suami bekerja dek kerana mengejarkan gaji hari. Saya bersyukur sangat atas rezeki ini.

Sekarang, hampir 4 tahun kami hidup dirumah sewa sendiri sebagai sebuah keluarga. Saya nampak perubahan yang sangat positif pada suami.

Dari seorang suami yang setiap malam keluar melepak, sekarang suami adalah family man. Dari setiap hari main game, sekarang no handphone selepas balik dari kerja. Dia sendiri yang buat peraturan tu. Anak2 juga makin rapat dengan suami.

Dari seorang suami yang tak pernah ambil tahu hal urusan rumahtangga, sekarang suami saya sangat ringan tulang membantu saya dengan kerja rumah dan menguruskan anak2. Nafkah saya pun dah naik, hehehe. Dari 2 angka sekarang dah 4 angka nafkah bulanan saya.

Alhamdulillah ya Allah. Dulu, suami lebih suka berbincang dan meminta pendapat ibunya mengenai hal rumahtangga dan anak kami, pendapat saya tak diendahkan, tapi sekarang kami bagailan satu team. Semua kami bincangkan bersama.

Segala keputusan mengenai rumahtangga dan anak2 kami buat bersama. Suami juga dah kurang berminat nak terima nasihat2 yang tak perlu untuk rumahtangga kami. Suami semakin matang dan bertanggungjawab sebagai nakhoda bahtera ini. Alhamdulillah ya Allah.

Setiap kali saya teringat perit getir diawal perkahwinan dulu, pasti saya akan tersenyum dalam tangisan. Benarlah nasihat orang tua2, dalam perkahwinan itu kunci utamanya adalah sabar. Sabar. Sabar. Dan terus sabar.

Semasa saya diuji dengan keadaan rumahtangga yang huru hara dan tidak bahagia diawal perkahwinan, saya cuba redha dan muhasabah diri.

Mana silap saya, saya cuba betulkan terlebih dahulu. Hal berkaitan mertua dan ipar duai, saya tak suarakan dihadapan suami, walaupun hati saya terluka. Kenapa saya buat begitu? Kerana pada saya, Allah ada, Allah takkan biarkan kita terus teranaiya. Doa. Minta pada Dia.

Ada benda yang kita boleh mengadu sesama manusia, tapi ada perkara yang bila diadukan kepada sesama manusia, akan makin mengeruhkan keadaan. Jalan terbaik, adulah pada yang Maha Mendengar. Pada saya, buruk mana pun keluarga mertua, mereka bukan lawan saya.

Suami manusia, saya juga manusia. Saya juga pasti tak dapat terima andai suami bercakap perkara yang tidak elok mengenai keluarga saya, walaupun itulah hakikatnya.

Jadi, saya pilih untuk teruskan berdoa dan muhasabah diri. Alhamdulillah saya nampak hasilnya. Saya dapat suami yang saya idamkan.

Pada pendapat saya, untuk sebuah rumahtangga dan keluarga itu berkembang secara sihat dan matang, eloklah diusahakan untuk tinggal dirumah sendiri. Supaya setiap ahli keluarga termasuk anak2 punya ruang mereka sendiri. Elakkan menumpang jika tidak terdesak.

Usahakan. Doa. InshaaAllah Allah makbulkan. Satu satu perkara baik dan rezeki yang tidak disangka sangka akan muncul jika kita bina keluarga kita dirumah sendiri. InshaaAllah. Keluarga juga akan lebih harmoni. Hubungan suami isteri juga akan lebih akrab.

Rasanya dah terlalu panjang cerita saya ini. Diharap dapat memberi sedikit sebanyak pengajaran dan input berguna buat kita semua. Maaf andai ada yang terguris hati dengan penulisan saya ini. Sekian.

– Suri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *