Rumah Sewa Singapore

Aku ada sedikit kisah untuk dikongsi sewaktu zaman covid dulu sekitar tahun 2021. Pada ketika itu aku tinggal di block x amk ave 6. Ketika itu aku menyewa bersama dengan dua orang lagi rakan aku.

Kami bertiga bekerja di tempat yang berbeza dan disebabkan itu waktu mula dan balik kerja kami adalah berbeza. Aku bekerja di tuas dan kebiasaannya aku selalu akan keluar awal pagi dan sampai di rumah pada waktu maghrib atau selepas maghrib.

Bulan-bulan terawal aku tinggal di situ, aku kerap menjadi orang pertama yang sampai di rumah berbanding dua orang lagi rakan aku. Mereka kadang-kadang pulang lambat dan dengan kata lain, aku selalu seorang di rumah. 

Rumah aku itu ada ruang tamu, dapur, 1 stor, dan 2 bilik tidur. Salah satu bilik tidur ini dikunci oleh tuan rumah. Katanya dia menyimpan barang-barang di dalam bilik tersebut.

Sementara itu, pintu dua bilik tidur ni bertentangan antara satu sama lain dan di antara dua bilik tidur ini adanya bilik stor. Jadi jika aku berdiri membelakangi bilik stor, kiri dan kanan aku adalah bilik tidur.

Baiklah, ini antara pengalaman seram sejuk beku ramly burger aku ketika aku tinggal di rumah tersebut. 

#1. Pada malam pertama, aku tidur di rumah tersebut, aku ada mengajak beberapa lagi teman lain untuk bermalam di rumah. Biarlah meriah sikitkan.

Malam pertama, yang tidur di dalam bilik ada tiga orang termasuk aku, kami tidur bertiga di atas katil. Sementara yang lain pula tidur di ruang tamu. Aku tidur di bahagian tepi sekali sebelah tingkap.

Malam itu aku mimpi bukan-bukan. Aku mimpi maya karin berjubah merah berdiri di luar tingkap dan melihat kami bertiga sedang tidur. Namun tiada yang pelik-pelik berlaku.

Keesokkan harinya rutin aku berjalan seperti biasa namun.. Beberapa hari selepas itu kawan aku yang tidur sebilik dengan aku tiba-tiba bercerita sesuatu yang tidak sedap di dengar. Dia memberitahu yang dia terpaksa cerita sedikit lewat kerana dikhuatiri aku menjadi takut.

Dia menceritakan, pada malam pertama kita tidur di rumah itu, dia terjaga sekitar jam 3 pagi. Ketika itu dia menghadap ke arah pintu bilik yang sememangnya terbuka sedikit.

Dia memberitahu yang ketika dia membuka mata, dia ternampak satu susuk tubuh lelaki sedang mengintai di celah bukaan pintu. Posisinya seolah-olah sedikit membongkok sambil mengintai dan bahagian badannya berada pada posisi dari arah stor.

Kau bayangkan yang kau tengah baring atas katil dalam bilik, ada seseorqng tengah perhatikan kau dari celahan bukaan pintu.. Krik.. Krik.. 

#2. Setiap kali pulang kerja, aku dapat rasakan aura malap dan seram di rumah tersebut. Nak buka lampu pun aku macam takut-takut.

Walaupun sebelum masuk rumah aku selalu baca ayatul kursi dan memberi salam tapi rumah itu tetap ada aura malap dan sunyi. Walhal aku tinggal di hdb yang mana kepadatan penghuni agak tinggi.

Ada satu malam aku membuat panggilan video dengan kawan aku di malaysia. Kerana rasa-rasa seram, sekurang-kurangnya dengan menelefon kawan-kawan dapatlah mengurangkan rasa seram aku di rumah itu.

Sewaktu aku sedang rancak berbual, aku hidupkan kamera belakang telefon aku. Aku pun tunjuklah pada kawan aku itu suasana rumah tersebut. Ketika itu aku duduk di sofa menghadap tv. Aku tunjuk pada kawan aku ruangan dapur, ruang tamu, pintu bilik..

Tiba-tiba kawan aku tegur.. “eh.. Yang pakai seluar merah tu siapa? Kawan kau ke?”.. Aku terus merinding. Cemas aku bukan kepalang kerana pada ketika itu memang hanya aku seorang di rumah. Kawan aku berkali-kali minta kesahihan.

“Aku nampak ada orang pakai seluar merah tadi.. Kawan kau ke?.. Atau ada seluar merah dalam rumah ini?”.. Aku terus membalas.. “kau jangan main-main, aku seorang je sekarang”..

Kawan aku menambah lagi, “betul aku bukan nak takut-takutkan kau. Memang aku ada nampak orang pakai seluar merah. Aku nampak dari paras peha ke pinggul. ”

Aku seterusnya membalas.. “dekat mana kau nampak? Dekat dapur?”. Jawapan kawan aku memang tak makan saman.. “aku nampak depan kau!!!!”.. Maksudnya orang pakai seluar merah tu ada depan aku di depan sofa sekarang.. Aku tak tahu nak cakap apa lagi. 

#3. Suatu hari aku nak mandi. Sebelum aku mandi. Housemate aku baru sahaja keluar. Tinggal aku seorang. Aku masuk ke dalam bilik mandi di dalam bilik aku. Tiba-tiba semerbak bau wangi minyak atar. Aku keluar bilik mandi, baunya hilang. Aku masuk balik dalam bilik mandi, baunya ada.

Bau tersebut hanya berlegar di dalam bilik mandi tersebut. Aku buat tak tahu, aku mandi macam biasa. Bila housemate aku balik ke rumah, aku soal selidik dia sama ada dia ada pakai minyak wangi atau tidak sebelum dia keluar tadi. Jawapan dia tidak. 

#4. Ada satu hari aku lambat pergi kerja. Aku memang dah tak sempat nak ambil mrt.. Sekitar jam 6.30am lebih kurang. Memang tak sempat. Jadi solusinya aku ambil grab.

Ditakdirkan pada hari aku ambil grab itu, pemandunya adalah melayu muslim. Tiada apa-apa yang pelik berlaku sepanjang perjalanan ke tempat kerja melainkan abang pemandu tadi berkongsi pengalaman dia merawat seorang pesakit terkena sihir.

Abang tersebut ada menunjukkan gambar-gambar sesi rawatan pesakit pada aku melalui telefonnya. Aku yang mesra rahmah alam ini pun bertanya.. “abang boleh scan ke???”..

Maka disitulah bermula satu fakta yang tidak sedap didengar. Abang itu mengatakan yang dia hanya bole scan jika diberikan keizinan oleh tuan punya badan.

Berborak lanjut aku dengan dia, tiba-tiba dia mencelah.. “maafkan saya, saya ingin tegur sikit”.. Aku membalas ya abang. Abang tadi terus sambung.. “sebenarnya, semasa saya nak ambil awak tadi.. Saya nampak awak berdua”..

Arghhhh sudah. Berdua macam mana pulak sekarang. Bala apa lagi sekarang ini. Aku elok-elok duduk bersandar di dalam kereta terus aku tegakkan badan sambil bertanya.. “dia ada ke dalam kereta ni bang?”..

Abang tadi menjawab. “ouh dia tak ada. Dia tak dapat masuk tadi”.. Aku bertanya lagi.. “dia nak apa dari saya abang?”.. Abang itu terus berkata.. “saya nampak macam dia nak berkawan”.. Arghhh sudah.. 

Itulah sedikit pengalaman yang tak seberapa dengan unit hdb tersebut yang boleh aku kongsikan. Hati-hati ketika tidur.. Risau ada yang memerhati. 

– Ahmad HANYA KERANA SARAPAN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *