Rumahtangga Dan Solat

Assalamualaikum. Ini kali pertama menulis di IIUMC. Tak pasti sama ada cerita ni Admin benarkan untuk publish tapi saya cuba ye. Terima kasih Admin. Awak seorang sahaja yang baca pun takpa. Tapi kalau orang lain baca sekali seronok jugak. Eh.

Saya perkenalkan diri dahulu. Seorang wanita, berumur awal 30an. Sudah berkahwin selama 5 tahun dan setakat ini kami mempunyai seorang cahaya mata. Kami bertugas sebagai orang kata time PKP ni ‘frontliner’ lah. Memang betul-betul ‘front’ duk jolok hidung ke tekak pesakit tu.

Sebelum jadi frontliner ni kami berdua sibuk bekerja oncall postcall macam orang gila. Demi membesarkan anak kami yang sentiasa dibawah jagaan orang lain kerana kami terikat dengan tugas yang lebih mementingkan nyawa pesakit daripada nyawa anak sendiri.

Rumahtangga kami hanya berpaksikan anak seusai kerja. Rumahtangga kami berasaskan hanya anak semata. Sehingga kami lupa menjadi suami-isteri. Tiada gelak tawa, tiada ramah mesra, tiada borak kosong di waktu senggang. Tiada adegan cuit-muit mesra seperti awal perkahwinan.

Basically hubungan kami hanya dua insan yang membesarkan anak dan sibuk sangat bekerja. Hambar.. dan sesungguhnya aku sedih. Rindu. Tapi hmm itulah pendam. Malah kami tiada adegan bersama hampir setahun.

Mati-mati aku ingat eh suami curang ke, ada perempuan lain ke. Tapi hasil penyelidikan bertauliah secara persendirian memang takda bayang-bayang orang ketiga. Kami kerja satu hospital. Memang aku kenal semua in/out staff yang kerja dan orang yang suami aku berkawan, berborak.

Sehinggalah PKP terjadi dan Ramadan tiba. Awal-awal apabila diumumkan PKP. Mak aku terkandas dirumah kami, dan sejak dari itu mak tolong jaga anak kami sebab sekolah dan taska kan tutup. Tup tup muncul pulak cerita korea World Of The Married tu.

Mak aku boleh layan cerita tu sampai episod 12 sekarang ni. Pada masa yang sama, dia paksa aku tengok sekali. Aku pun join lah sekaki tanpa rela. Curi-curi tengok time lunch hour. Satu episod aku amik masa 3 hari baru habis. Yelah aku kerja tengok pesakit Covid19 manada masa nak tengok sampai habis sekaligus.

Tapi cerita tu sumpah buat aku cuak sebab lelaki tu cukup licik sorok hasil hubungan sulit dia dengan perempuan lain. Aku duk terbayang suami aku buat benda sama ke. Sampai lah kami bergaduh. Ye bergaduh sebab cerita korea tu.

Gaduh sebab tiba-tiba aku meletup aku cakap “Saya rasa awak ni macam Mamat ni lah. Sorok perempuan lain belakang isteri”. Suami aku apalagi emo lah dia tiba-tiba kena tuduh. Hasil pergaduhan (lebih kepada argue mulut) aku pindah tidur bilik lain. Aku nangis teruk satu malam tu.

Yang lebih menyedihkan bila mak aku sendiri cakap rumahtangga aku nampak hambar. Takda spark. Macam member je. Terus aku menangis tak berlagu dan aku ceritakan hampir semua pada mak aku. Aku rindu nak bermesra dengan suami aku. Aku rindu nak peluk dia, nak bergurau dengan dia.

Setahun beb semua ni dah tak lagi berlaku sebab KERJA.. tahu macam ni aku tak nak jadi penjawat kesihatan. Aku dan suami akhirnya tak bercakap selama 3 hari dan pertama kalinya tidur asing juga 3 hari.

Esoknya merupakan hari pertama berpuasa. Dan merupakan hari dimana suami aku akhirnya ajak berbincang untuk selesaikan segala kemelut dalaman kami. Aku hamburkan semua isi hati aku, semua keinginan dan kerinduan aku pada rumahtangga kami yang macam dulu.

Aku menangis sambil aku luahkan segala. To my surprise, suami aku pun nangis.. huwa! Dia peluk aku kuat-kuat. Dia cakap dia pun rindu. Dia cakap dia ingat aku yang curang LOL. Dan kami reconcile. Sungguhpun sebenarnya ada saki baki ego, emosi yang belum sehabisnya selesai.

Aku cakap kat suami, “Sepanjang ramadan ni kita solat jemaah boleh? Solat jemaah tuk mana-mana waktu solat yang ada” Aku tak tahu macam mana tetiba tercetusnya permintaan macam tu. Sebab kami tak pernah solat berjemaah. Dan aku terkejut, suami aku setuju.

Dan sepanjang 19 hari berpuasa ni, kami berjaya solat jemaah bersama tanpa gagal. Ada yang jemaah time maghrib, kadang subuh, kadang zohor lepas postcall. Kerja kami kadang-kadang tak berjumpa. Ada kejap dia kerja malam, aku kat rumah. Aku oncall 36 jam, dia kat rumah. Asal mana yang boleh, kami solat bersama.

Sejak kami solat berjemaah bersama (pertama kalinya selepas 5 tahun berkahwin), ya Allah, kau nak tau apa jadi? Hubungan kami pulih. Pulih yang macam tak terbayang dek akal. Dan terasa manisnya lebih dari masa awal-awal berkahwin.

Kalau ada emoji nangis tu dah lama aku attached kat sini. Hiba, syahdu, sedih, terharu semua ada. Manisnya rumahtangga datangnya kembali bila kami mula solat berjemaah. Kalau aku tahu, dari awal kahwin kitorg solat berjemaah macam ni.

Hubungan kami macam orang baru bercinta sampai mak aku tegur. Mak aku kata rumah kami rasa ‘ringan dan tenang’. Allah. Terima kasih ya Allah. Betul lah, solat berjemaah ni pengikat hati. Dalam solat berjemaah, kita akan diajar untuk taat kepada imam, solat di awal waktu iaitu menepati masa, menutup aurat dan sebagainya.

Ini dapat disamakan dengan sebuah perkahwinan di mana ia menuntut isteri untuk patuh kepada suami selagi mendatangkan kebaikan begitu juga anak-anak patuh kepada orang tua.

Banyak hikmah solat jemaah bersama suami. Mengeratkan kasih sayang antara suami dan isteri. Sekiranya ada salah faham ianya tak berpanjangan kerana apabila masuk saja waktu kami pasti bertemu untuk berjemaah.

Selepas selesai solat dan berdoa mesti kami bersalaman dan meminta maaf atas kesalahan masing-masing. Rumah kita akan disukai oleh Malaikat Rahmat kerana malaikat Rahmat menyukai rumah-rumah yang rukuk yang dan sujud (solat). Patutlah mak rasa ‘ringan’.

Dah masuk 10 malam terakhir ni, jom pakat-pakat solat berjemaah dengan suami. Semoga dirahmati dan perkahwinan dilindungi. Oh ye, hasil aku dan suami kembali berbaik, aku mengandung anak kedua. Lama aku tunggu guys. Doakan urusan kami dipermudahkan. Thank you!

– Dr. Frontliner (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *