Setiap kali buka ruangan menulis, otak aku beku, tangan aku kaku. Tak tahu bagaimana mahu curahkan apa yang berselirat dalam kepala dan dada. Berat… perit menanggung sendiri…
Mahu diceritakan pada teman, aku tiada teman… cerita pada keluarga, percaya aku pada mereka sudah musnah… jadi aku telan sendiri dan tanam dalam2…
Aku harap dengan cara meluahkan di sini tanpa ada yang tahu siapa empunya diri, dapat meringankan lelah yang aku papah.. tapi aku tidak tahu dari mana hendak aku mula. Aku cuba, jika pembaca boleh memahami sudah cukup aku syukuri.
Aku anak kedua. Anak perempuan kedua. Kata orang, anak kedua ini sifatnya keras, degil dan baran. Aku tidak tahu itu cuma omongan atau ramalan tapi aku percaya setelah dilihat buktinya melalui aku.
Aku membesar dalam keluarga yang baik, mementingkan agama namun sayang mempersetankan hal jiwa dan mental. Aku dari kecil dimasukkan ke sekolah agama, dari tadika sehingga la menengah. Perfect.
Sekiranya orang dengar latar belakang pendidikan ku, orang akan kagum dan pandang aku tinggi. Luaran aku ya, aku masih bertudung, berbaju longgar, menjaga aurat. Namun dalaman, aku tahu aku makin tenat.
Dari kecil, aku sering dibuli rakan sekolah. Memang tidak dipukul dibelasah separuh mati, namun diejek, dipulau, dicerca ini cukup terseksa.
Tiga tahun aku di sekolah menengah, aku dibuli mental. Aku menangis sendirian, cerita pada waris, waris tidak menenangkan. Seumur 14 tahun, aku pernah ucapkan pada ayah ibu ku, “Saya nak mati. Nak bunuh diri” sebab tak mampu ku tanggung sudah derita jiwa dibuli emosi.
Tapi ayah ibuku tengkingku katanya “belajar sekolah agama dari kecil. Ini yang diucap? Macam tiada agama.” Tersentak diherdik, aku cuma sambung menangis. Bukan hendakku mahu benar2 mati, aku cuma mahu ibu ayahku membantu ku.
Dipanggil ke sekolah kerap kali kerana aku tidak siapkan kerja sekolah, ibu ayah cuma tahu marah. Aku tidak degil. Aku tidak malas.
Aku sentiasa cuba siapkan kerja sekolah yang diberi dgn baik namun buku2 ku sering hilang walau sudah disimpan elok. Tidak ditanya aku yang dibuli, buku ku disorok dihilangkan rakan yang membuliku sehingga reputasiku buruk.
Aku pernah dipanggil ke bilik kaunseling kerana diriku bermasalah walhal aku cuma mangsa. Nasibku baik apabila rakan kepada pembuli tidak mahu lagi bersekongkol dengan pembuliku.
Dia membuat pengakuan kepadaku dan kepada guru2 mengenai hal2 yang terjadi selamani kepadaku. Namun derita 3 tahun yang aku tanggung takkan padam dari ingatan.
Seusia 16 tahun, aku mula ‘sakit’. Ketika itu masih belum familiar mengenai kesihatan dan penjagaan mental. Aku sangka aku cuma lesu rupanya aku ‘sakit’. Sakit yang membuatkan diriku menjadi tumpangan kepada makhluk lain untuk sekian lama.
Ketika aku memerlukan rawatan, ayah dan ibu kurang mempercayai mengenai hal2 begini. Katanya aku kurang jaga solat. Kurang baca Quran.
Kurang dekat dgn Tuhan. Bagaimana yang dikatakan kurang jaga solat sedangkan aku tidak pernah tinggal 5 waktu, malahan ditambah lagi amalan sunat.
Bagaimana juga dikatakan kurang baca Quran sedangkan setiap hari 2 helaian ku baca dan fahami maksud kalam Dia. Ditambah dengan maathurat pagi dan petang.
Bagaimana dikata tidak dekat dengan Tuhan, sedangkan aku sentiasa mengalunkan zikir dan selawat kerana hanya dengan cara itu, aku terasa berteman. Jadi, tetap salah aku?
Kalau begitu yang difahami, biarlah, aku tidak mahu bertekak dgn ibuayah sendiri. Sekali lagi, aku bangkit melawan tanpa sokongan dari sesiapa. Letih.. aku akui, letih.
Klimaksnya bermula bila aku di pengajian tinggi. Ketika ini, aku sudah memahami aku bukan sihat seperti yang disangka. Aku kerap kali memandu laju dengan tujuan mahu menyakiti diri sendiri. Di sini, pemberontakan jiwaku mula terserlah. Aku penat. Aku letih.
Aku sunyi. Aku sendiri. Aku mula berfikir macam2 hal yang bodoh. Mula menyakiti diri sendiri. Ibu ku herdik, ayahku jeling. Tiada lagi hormat.
Dengan Tuhan, aku mula berani tinggal solat dengan sengaja. Aku fikir aku cuma beban atas dunia. Dari kecil hidupku susah. Emosiku seksa. Walau luaran ketawa tersenyum namun hatiku pedih.
Tahun 2020, tahun getir buat semua orang. Tidak terkecuali aku. Dalam bilik, ketika bersendirian, gunting ku capai. Menangis tanpa sebab. Pergelangan tangan kanan dihiris2. Aneh, tidak sakit. Makin dihiris, makin tidak ku rasa apa2. Tp sakit di jiwa tak tertanggung.
Menangis meratap di lantai keseorangan. Aku cuma mahu mati. Andai ku mati, orang sekeliling ku bahagia.
Keadaan makin parah bila semalam aku bergaduh dengan teman lelaki ku, sambil video call, aku acukan gunting ke leher.
Hampir menikam diri namun ibu sempat menjenguk dan menghalang kerana katanya dia mendengar sedari tdi aku menjerit2 memaki seperti marahkan seseorang. Ibu larikan gunting, aku hantukkan kepala ku berkali2 ke dinding.
Demi Tuhan, aku bukan mahu mati. Tapi aku cuma mahu ringankan pedih di hati. Aku cuma mahu otak ku berhenti menekanku. Jiwaku berat. Aku tidak tahu bagaimana cara untuk ku ringankan beban ia. Aku sakit. Hatiku sakit. Jiwaku sesak. Berat.
Aku cuma mahu ringankan. Itu sahaja niatku. Demi Tuhan, aku takut dengan diriku. Saban waktu ketika selesai solat, aku minta pada Tuhan, jaga diriku daripada diriku sendiri.
Aku tahu aku perlu bantuan, tapi aku kelam. Umpama berada dalam ruangan yang maha luas, tapi kelam. Pusing ke kanan, gelap. Ke kiri, gelap. Tiada hala tuju. Tidak tahu harus ke mana.
Banyak kali aku cuba dapatkan bantuan, tapi akhirnya kata ibu ayah “kau cuma jauh dari Tuhan.” Lalu berlalu tinggal kan aku sendiri. Lagi. Aku terleku merenung kosong. Sendiri..
Doakan aku, berjaya dapatkan bantuan dengan usaha sendiri. Sungguh, aku cuma meluahkan rasa kerana aku sunyi. Kelak aku berazam, andai aku direzekikan menjadi isteri dan ibu. Aku akan cakna mengenai emosi anak2 ku. Kerana aku sudah melalui dan mengalaminya.
Berjaya menahan diri daripada melampau menyakiti diri sendiri bukanlah mudah. Namun aku cuba. Aku cuma berharap aku berjaya menghabiskan terowong gelap ini dengan baik walaupun sendiri dan tanpa sokongan sesiapa. Perit, tapi aku yakin aku mampu.
Doakan aku tak putus asa di tengah2 jalan. Tetap aku gagau dan kuatkan diri sehingga aku keluar dari ruangan gelap ini walaupun terpaksa merangkak. Ruangan ini cukup menyeramkan. Dan menyeksakan.
Bantu aku keluar. Doakan aku. Terima kasih atas masa kalian. Aku hargainya.
– Liya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit