Barangkali benarlah kata-kata bahawa perkahwinan itu suatu percaturan.
Tak siapa mampu menduga dan meneka bagaimana sebenarnya ‘wajah’ peribadi insan yang kita pilih sebagai peneman hidup.
Namaku Ayi (bukan nama sebenar). Inilah kisah perjalanan perkahwinan yang aku bina atas kemahuan sendiri.
Ya, sudah tentu lantaran rasa kasih yang tercipta antara kami berdua.
Entah mengapa, aku sedari awal menyenangi lelaki yang bersikap ‘mahal’.
Hal ini bererti aku lebih cenderung menyukai lelaki yang pendiam, tak banyak bicara dan tentunya tak mudah menegur wanita lain waima kenalan sendiri.
Tuhan takdirkan lelaki demikianlah yang menjadi teman hidupku. Aku bersyukur. Lelaki yang menjadi pilihanku demikian adanya.
Namun, sikap mahal itulah yang menjadi medan uji buatku.
Saat awal perkahwinan (sepuluh tahun pertama), apabila berlakunya pergeseran antara kami, jujur aku mengharapkan suami datang memujuk.
Sekeras mana hati perempuan, aku kira sepotong kata maaf bisa mencairkan amarah. Demikian adanya.
Saat hati tersakiti, suami akan memujukku, kadang waktunya beserta jambangan mawar merah. Saat sedemikian merupakan momen manis yang ku simpan kemas di tasik hati.
Sedari awal pernikahan, kami memutuskan agar setiap salah faham, sang pemula sengketa perlu terlebih dahulu memohon kemaafan.
Demikian MOU tanpa dokumen kami persetujui atas nama membina mahligai yang harmoni.
Mengisi raga rumah tangga, tentulah aku seperti insan lain mahu mendengar ucap selamat ulang tahun daripada lelaki yang bernama suami.
Dek peribadi suami yang sebegitu, dia juga sangat mahal mahu mengungkapkan ucapan sedemikian.
Namun, saban tahun aku akan mengingatkannya, meminta ucap selamat hari lahir, ha ha ha. Nasiblah ada perempuan yang seperti aku.
Sudah semestinya, aku memiliki personaliti berbeza daripada suami. Tiap ulang tahunnya, usahkan ucapan, pasti ada pemberian atau kejutan untuknya.
Ya, pada awal perkahwinan, aku sentiasa berharap bahawa aku juga akan diraikan sedemikian. Namun, harus ku akui kita sentiasa tak sama dengan insan lain.
Malah ada ketika saat bertanya, tak sepatah kata suami menjawab. Sungguh, terasa hiba jiwa, jauh hati dan persis aku si dungu yang tak diperhati.
Seperti mana saat merajuk ingin rasa dipujuk, saat menangis ingin rasa diberikan simpati, begitu juga saat hari lahir ingin sekali tarikh itu diingati tanpa diminta.
Namun, pada akhirnya saat aku memutar waktu, harus ku akui tak semua mimpi kita menjadi realiti.
Saat waktu terus berlalu, usia kian mendaki masa, perlahan-lahan aku akui bahawa tak perlu lagi aku berlari, mengejar mimpi yang tak pasti.
Membaca dan meneroka dunia ilmu banyak mendidik aku memahami bahawa aku telah tersasar jauh dari kenyataan hidup. Aku khilaf meletak harapan kepada manusia.
Pumpung ada waktu berbaki, aku mula mendidik hati, mengasuh diri dan mengajar nurani, bahawa atas nama apa pun, usah sesekali meletakkan pengharapan kepada manusia.
Ya, berikan seluruh jiwa, seluruh raga dan seluruh rasa hanya buat Dia Yang Maha Pengasih.
Maka, bermulalah aku berhenti berharap. Aku mula merenung diri. Walau pada awalnya, aku bertanya kepada diri. Dingin ini di mana silapnya? Akukah yang bersalah?
Lewat satu kuliah agama, aku menemui jawapan yang jitu. Bahawa akulah yang salah.
Ya, salah kerana meletakkan harapan kepada manusia, salah kerana mahu perhatian manusia dan salah kerana mahu penghargaan daripada manusia. Kuliah tersebut satu ‘turning point’ buat aku.
Maka, inilah yang aku lakukan:
1. Menerima setiap kita berbeza.
2. Letakkan seratus peratus pengharapan kepada Allah SWT. Anda akan rasa, “ala setakat manusia tak hirau, kita tak akan rasa kecewa”.
3. Teruskan lakukan kebaikan buat pasangan tanpa syarat (tidak mengharap balasan timbal balik). Percayalah, anda akan lebih bahagia memberi. Paling menarik, anda akan rasa jadi pemenang kerana berjaya menghargai sesama insan.
4. Rawat hati dengan bercakap kepadaNya.
5. Ambil masa berlama-lama selepas solat (terutama solat malam), mengadu dan menangislah semahunya. Perlahan-lahan anda tak akan mudah menangis kerana manusia.
6. Belajar melupakan kebaikan kita. Namun, sentiasa berbuat baik.
7. Hargai diri sendiri. Contohnya, solat hajat sempena hari lahir untuk doakan diri sendiri. Usah berharap waima kepada pasangan. Buatlah ucapan paling cantik buat diri sendiri.
8. Ingat selalu, setiap kebaikan adalah kemenangan. Maka, kita sedang menanam benih pahala untuk diri.
9. Belajar hadiahi diri sendiri. Contoh, beli seutas gelang emas untuk hari lahir kita.
10. Membaca secara berterusan buku-buku motivasi selain melazimi Al Quran dan terjemahannya.
11. Tuliskan kebaikan pasangan dari sekecil-kecil perkara. Sungguh, ia membantu anda bersyukur. Untuk aku, suami masih memiliki banyak kebaikan yang boleh memujuk hati sendiri.
12.Anda boleh menambahnya jika mahu
Syukur Alhamdulillah, hasil ujian klinikal yang aku lakukan di klinik kaunseling, aku bebas daripada stress malah memiliki daya positif yang tinggi dalam diri. Bagiku ia suatu kejayaan diri yang patut aku syukuri.
Untuk mana-mana perempuan, aku kira air mata ialah teman paling akrab. Pun begitu kiranya aku.
Setiap berlaku salah faham, gugusan tangisan yang melimpah sudah menjadi kemestian. Ya, tiap kali itu berharap agar lelaki yang menikahi aku simpati dan memahami.
Buat para lelaki di luar sana, seandainya anda masih bisa melihat air mata isteri anda mengalir di hadapan anda, maka bersyukurlah.
Ya, bersyukur kerana dia masih mahu anda melihat tangisannya, harapannya dan kemahuannya untuk anda mengasihani.
Andai isteri tidak lagi menangis di hadapan anda, ketahuilah bahawa dia sudah bersedia memberikan tangisan luhurnya hanya buat Sang Pencipta (akulah itu).
Saat itu bererti dia akan menyimpan segunung air matanya daripada anda.
Dan… tangisannya sudah terlalu mahal untuk dipersembah buat anda. Atau, barangkali anda sudah tidak layak menyaksikan walau setitis pun air mata seorang isteri.
Maka, andai saat itu tiba, mengertilah bahawa seorang isteri itu sudah kehilangan rasa.
Ya, dia masih setia menemani anda, namun hati dan jiwanya sudah kian nihil dari mengharapkan kasihan belas seorang lelaki bernama suami.
– Ayi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit