Saat Semua Bersandar Dibahuku

Assalamualaikum wahai pejuang kehidupan semua! Hidup ini memang keras. Jika kau jatuh, bangkitlah lagi. “Bila hari tersulit itu hadir, ingatlah hari seperti itu dulu juga pernah datang kepadamu, dan Allah membantumu melewatinya.” Kata-kata itu selalu buat aku tersedar.

Iya, seribu dugaan sudah aku lalui, dan aku mampu melewatinya meski dalam air mata yang tidak tahu berapa banyak tumpahnya. Pokoknya, aku mampu! Kerana Dia yang memberi ujian itu sudah pun mengukur segala kemampuan kita.

Aku terpanggil ingin meluah di sini setelah menonton satu drama Indonesia di Netflix berjudul *”Home Sweet Loan”*. Drama itu betul-betul seperti kisahku. Aku menangis hiba membayangkan… sesedih itu rupanya hidupku dahulu. Allahu… namun Allah kuatkan dan selalu menemani tiap langkah dan jatuh bangunku.

Kisah seorang anak perempuan yang berjuang dengan hidupnya, bekerja keras membantu keluarga sehingga mengorbankan kebahagiaan dirinya. Kerana hatinya terlalu tidak tega melihat kesusahan orang tuanya.

Begitulah aku. Sejak kecil, aku berusaha membahagiakan emak dan ayah. Apa pun yang aku lakukan, semua untuk mereka. Ayah dan emak bukan orang senang. Aku selalu berjanji, suatu hari bila sudah dewasa, aku akan senangkan emak dan ayah. Aku belajar gila-gila untuk SPM. Tinggal di rumah sewa kerana tidak mahu duduk asrama.

Aku beli telur sepapan, hari-hari makan nasi dengan telur sebab nak jimat, dan itu je menu yang paling mudah nak masak. Telur kicap, telur sambal, telur rebus… Masa aku tidak boleh dibazirkan untuk memasak lama-lama, aku perlu study. Pukul 4 pagi setiap hari, aku bangun tahajjud dan akan mula belajar sampai pagi.

Alhamdulillah, result SPM aku dapat 8A. Namun, aku dapat sambung pengajian di universiti dalam bidang yang jauh dari minat dan anganku. Tapi, aku belajar juga walau muntah-muntah sebab aku tak minat gila course tu.

Niat aku masa tu cuma nak naik pentas di hari konvokesyen dan nama aku diumumkan. Itu sahaja! Aku cuma nak mak ayah bangga dengan aku. Allah sahaja tahu betapa strugglenya aku nak habiskan pengajian. Sampai dekan aku pun tahu segala masalah aku dan selalu bagi nasihat pada aku untuk kuat dan bertahan.

Masa tu, setiap kali dapat duit PTPTN, aku hanya mampu merasa separuh sahaja sebab separuh lagi aku bantu ayah lunaskan bayaran rumah dan untuk perbelanjaan rumah. Kadang cemburu juga aku tengok kawan-kawan belanja macam-macam dengan duit PTPTN tu, beli emas pun ada. Aku nak makan pun kena bercatu sebab duit tak pernah cukup.

Kalau aku makan sedap, mesti aku teringat dekat mak ayah di rumah. Aku akan bungkuskan benda yang sama untuk mereka. Apa saja aku buat, mesti aku fikirkan mak ayah. Jiwa aku selalu lirih tengok muka mereka waktu tidur. Sayu je rasa hati. Aku tak tahu macam mana nak cakap, tapi kerana emak dan ayahlah aku berjuang segala. Sayangku aku pada mereka, hanya Allah yang tahu.

Bila aku tamat belajar, aku masih ingat detik itu, semasa hari konvokesyen. Selepas menerima scroll dan keluar dewan, ayah menangis dan memelukku. Itulah pertama kali aku memeluk ayah! Selama ini, ayah terlalu sibuk bekerja dan mungkin dia pun tak pandai nak tunjuk kasih sayangnya pada anak perempuan.

Momen itu aku paling ingat sampai bila-bila. Air mata yang turun di pipinya… Allah… tersayat hatiku. Tapi aku bangga, impian aku nak buat mereka bangga punya anak sepertiku sudah tercapai.

Kisah cinta aku ada banyak. Ramai lelaki yang hadir, yang ke rumah pun ada ketemu orang tuaku. Semua aku tolak. Sebab bab ini aku memang sangat menjaga, sangat memilih, dan aku ada banyak prinsip-prinsip dan kriteria yang hanya Allah tahu.

Aku yakin, bila masa dan waktu yang tepat, aku akan jatuh hati pada pemilik jodohku yang sebenar! Aku tak nak buang masa jatuh cinta pada lelaki salah yang bukan jodohku (tapi 2 kali juga aku terkena… haha… jatuh cinta pada bukan jodohku… sebelum aku betul-betul ketemu jodoh sebenar).

Plan kedua – aku ingin senangkan mak ayah seperti impian masa kecilku. Setelah tamat belajar, aku mula bekerja. Gaji masa tu RM1800. Aku tekad nak beli kereta sebab nak bawa mak ayah berjalan-jalan ke mana saja yang mereka mahu. Senang juga nak bawa mak ke hospital sebab mak selalu sakit dan ada banyak temujanji di HKL.

Ke sana sini aku pergi dengan emak untuk cari kereta second-hand. Masa tu, owner kereta terpakai tu suka kat aku pulak, ajak kawin. Tak jadi aku beli kereta dengan dia. Akhirnya, Allah mudahkan juga urusanku, dapatlah aku sebiji kereta comel yang sangat berbakti padaku. Ke mana saja emak dan ayah nak pergi, aku bawa.

Duit gajiku jarang aku beli barang sendiri, semuanya untuk keluarga. Bayar rumah, beli barang-barang makan untuk rumah, belanja adik-adik, bayar sekolah adik. Baju aku pun tak banyak, nak beli baju lawa-lawa terasa sayang duit.

Itulah aku, mendahulukan perasaan orang lain berbanding perasaan sendiri. Memenuhi kehendak orang lain, berbanding kehendak diri sendiri. Aku happy bila mak ayah happy, family happy. Lelah pun tak mengapa… semua beban di bahuku. Aku menangis, aku jatuh… aku diuji seteruk apa pun di luar sana… Allah sahaja yang tahu sekeras mana aku berjuang.

Pernah dalam dompet aku hanya ada RM2. Aku doa lepas solat Asar (masa ni belum dapat kereta lagi). Aku doa nak lagi RM2 je untuk tambang bas balik rumah. Sekali lepas aku turun tu, dapat duit RM200… ada orang bagi zakat pada semua staff. Allahu… menangis aku teresak-esak dalam perjalanan balik. Aku cuma nak RM2, Allah bagi RM200.

Itu salah satu dari beribu keajaiban yang Allah beri padaku… sebab Dialah penguatku, Dialah segalanya untuk aku. Susah macam mana pun, aku yakin Dia akan bantu aku! Mungkin berkat cintaku pada mak ayah, Allah selalu menyertai langkahku.

Adik-adik jadi terbiasa meminta dariku. Mereka fikir aku kaya raya. Mereka tak pernah tahu seteruk apa aku berjuang di luar sana.

Aku pernah pinjam loan bank sebab masa tu adik bongsu nak masuk asrama. Aku belikan semua perkakasan dan baju-baju dia, pergi hantar dia ke asrama di Pantai Timur, tapi sebulan lepas tu dia lari. Semua tilam, baju, beg yang aku beli, dia tinggal begitu je. Seolah aku beli semua tu dengan air liur.

Memang aku letih hadap kerenah adik-adik. Tapi sebab cintaku terlalu besar pada mak ayah… aku tak nak tengok mereka susah… biarlah aku yang berkorban.

Aku buat semua untuk mak ayah. Kalau tak, ayah dan mak yang akan susah hati dan kena berhempas pulas cari duit. Kadang aku bagi mak duit, tapi mak akan bagi duit pada adik-adik. Dan duit mak tak cukup, aku kena tambah lagi dan lagi.

Mak nak sangat pergi umrah, sampai mimpi-mimpi pergi lawat makam Rasulullah. Siang malam aku berdoa dalam tahajjudku, moga Allah murahkan rezekiku dan dapat aku hantar mak ayah menunaikan umrah. Keajaiban datang lagi, suatu hari sepupuku yang mengajar agama beritahu ada Dato nak taja emak dan ayah ke umrah. Allahu… sujud syukur aku masa tu.

Aku sediakan duit dalam RM2k untuk mak ayah bawa ke sana. Dan aku beli segala kelengkapan emak ayah untuk ke sana. Satu yang aku percaya, apa saja aku minta dari Allah, mesti Dia bagi! Allahu… tak habis air mata aku mengalir-ngalir membayangkan cinta-Nya padaku.

Sehinggalah satu hari, aku berjaya juga mencapai salah satu impian terbesarku, untuk menjadi penulis terkenal. Duit hasil pertama tulisan ku itu aku lunaskan hutang rumah pada bank. Rumah itu kini sudah habis dibayar! Hadiah terbesarku buat mak ayah.

Namun, ujianku tidak berhenti di situ. Satu hari, aku diberi ujian paling besar! Aku dibuang kerja, dan pada masa inilah jodoh sebenarku hadir, gagah dia melindungiku, menjadi topang kuatku saat aku jatuh dan tidak mampu bangkit lagi!

Kerana hidup aku tidak mudah, kerana Tuhan telah menulis jalan takdirku begitu banyak onak dan duri, maka Dia hadirkan padaku jodoh yang sangat kuat, pelindungku, tempat aku bersandar dan bermanja.

Usai menikah, malam itu aku menangis lama di pelukan dia. Selama ini aku penat, aku berjuang sendiri, aku menangis sendiri, aku ubat lukaku sendiri, kini Allah hadirkan dia di sisiku. Gagahnya dia melindungi aku, mengusap air mataku, memujukku, memanjakanku.

Selama ini aku hanya tahu memberi dan memberi, dari suami aku belajar menerima. Menerima cinta, kasih sayang, perlindungan… aku terasa disayangi dan dimanja. Sebesar apa pun badai dan dugaan yang datang, aku berlari di pelukannya. Dia akan memujukku dengan kata-kata hikmah dan bijaksananya.

Aku bersyukur pada-Nya… untuk ke sejuta kali. Untuk anugerah dan pinjaman indah ini. Setelah penat aku berhempas pulas berjuang di kehidupan ini, Dia memberikan padaku suami sebaik ini.

Kini, emak dan ayah sudah pun tiada. Aku juga tidak mahu lagi berjuang untuk orang lain. Cukup sudah segala keringat dan pengorbanan masa laluku. Saat ini, aku hanya ingin membahagiakan suami dan anak-anak tercinta. Aku belajar mendahulukan perasaan sendiri, berbanding sibuk membahagiakan semua orang di sekelilingku.

Pada momen ini, aku belajar pentingkan diri. Hidupku juga tak henti-henti ujian. Aku tidak berharap bantuan manusia kerana aku yakin, Dia akan selalu ada bersamaku.

Aku kematian anak pada tahun lalu, titik paling lelah dalam hidupku. Kerana Allah cinta padaku, ujian padaku juga bukan sebarangan. Setahun selepas ayah pergi kerana Covid, anakku pula meninggal dunia. Aku yang selalu kuat, akhirnya tewas juga kerana Allah menguji pada ketakutan terbesarku selama ini. Cintaku pada anak-anak… maka Dia ambil anakku.

Dia Maha Pencemburu. Apa saja yang aku sayang dan cinta gila-gila, Dia akan ambil. Setahun aku belajar untuk bangkit dari kejatuhanku yang paling teruk. Aku buang ramai orang yang menjadi toksik dalam hidupku. Aku kecilkan circle sebab jiwa aku yang terlalu rapuh… aku tak kuat hadap manusia-manusia toksik yang menambah beban di jiwa.

Dulu masa mengandung anak syurga, aku teringin sangat nak kereta Alphard. Tak tahu kenapa… aku memang nak sangat-sangat. Suami tak suka kereta tu, sebab besar dan susah bawa area KL, nak parking pun susah. Tapi, lepas anak aku meninggal, aku dah tak nak pun kereta tu. Cuma, suatu hari… suami bawa balik kereta tu. Bukan dia beli, kereta syarikat, tapi kami akan pakai kereta tu.

Masa drive kereta tu, menangis lagi aku. Ya Allah, aku minta ini pun Kau bagi. Macam mimpi, tapi itulah dia seribu keajaiban yang Dia selalu beri padaku. Dalam sakit dan air mataku, Dia akan bayar dengan banyak nikmat-nikmat lain.

Sejak anakku meninggal, apa saja masalahku… bila aku berdoa, cepat sekali Allah kabulkan… atau cepat sekali Dia selesaikan semua masalah-masalahku. Zass… terus hilang semua hal yang serabutkan jiwa ragaku!

Hingga ke titik ini, setiap kali ada masalah datang, aku hanya tersenyum. Ternyata aku sudah di level yang aku rasa ujian sebesar apa pun, aku bisa tersenyum. Kerana Dia ada bersamaku. Aku tak takut selagi Dia Pemilik Alam ini… ada di sisiku, di tiap langkahku.

Untuk kalian yang masih berjuang di titik terlelah, kembalilah pada Dia. Jangan ragu dengan cinta Dia, jangan ragu dengan kasih sayang Dia. Mendekatlah pada Allah, sebab Dia nak kita cari Dia, mengadu pada Dia, bermanja dengan Dia.

“Hubunganmu dengan Allah, adalah satu-satunya hubungan yang tidak akan menyakitimu.”

Perindu Cinta Allah..

– AKIRA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *