Sabahan

Hari itu, jam 3.30 pagi aku sudah menuju ke KLIA2. Tiket Air Asia ke Kota Kinabalu berlepas pada jam 5:50 pagi. Jadi, molek lah kiranya aku sampai ke KLIA sebelum jam 5.00 pagi.

Dalam perjalanan, aku buka Sinar FM, muzik retro terbaik katanya. Sekadar peneman, penghilang mengantuk.

Satu jam kemudian tiba di KLIA2. Selepas mencetak tiket aku bersarapan di KFC, RM8.00, set nasi lemak.

Begitulah lumrah ku setiap bulan semenjak setahun lalu, ada harinya perlu ke KK atas urusan kerja. Hari lain, buat kerja di pejabat.

Sesampai di lapangan terbang KK, aku membeli tiket bas untuk bandar KK, RM5.00. Dari bandar KK pula, aku naik kereta prebet pula menuju ke tapak bina, di tempat urusan kerja aku. Di tempat lain, ada yang memanggilnya kereta sapu.

Jika naik teksi dari lapangan terbang terus ke tempat kerja, harga tiketnya sangat mahal.

Sebenarnya sebelum ini aku menggunakan perkhidmatan Uber. Namun, Uber telah berhenti perkhidmatannya, Grab pula tidak tersedia untuk phone aku, Nokia Lumia, ia menggunakan Windows Phone, bukan Android. Phone bijak aku yang pertama semenjak 4 tahun lepas. Rasa berat hati untuk menggunakan phone baru. Jadi, biar lah aku guna sehabis mungkin, asalkan ia masih berfungsi lagi.

Sewaktu dalam perjalanan aku berbual kosong dengan Hazir, pemandu prebet itu. Sambil berbual, aku menghulur buah jambu potong yang dibeli di Pasar KK sebentar tadi. Dia mengambil sepotong, dan begitulah kemesraan terjalin.

Hazir ini ibarat prebet khas aku di sanalah. Ini kali yang ke-3 aku menggunakan khidmatnya.

Sampai di tapak bina, aku menghulur not RM100.

“Tiada duit kecil kah?”, Hazir bertanya selepas melihat not tersebut.

“Tiada”, balasku.

Kemudian matanya meliar mencari jika ada kedai berhampiran.

“Di atas sana ada cafe”, kataku. Lalu dia menekan pedal minyak dan menuju ke sana.

Namun apa kan daya, cafe tersebut tutup.

Barangkali kerana masa ini para pelajar sedang cuti semester, kampus UMS juga nampak sunyi.

Aku bekerja dengan sebuah konsultan, jadi projek pembinaannya di dalam kampus UMS itulah.

Kemudian, Hazir berkata dengan loghat Sabahnya yang pekat, “Tidak apa, lain kali sahaja bayar”. Sambil mengukir senyuman bersahaja. Sedikit pun tidak marah, atau bermasam muka. Aku pula rasa serba salah.

Begitu luhur hati budinya. Tidak berkira sedikit pun. Rasa terharu juga di dalam hati apabila dipercayai sedemikian rupa. Sedangkan aku berjumpanya hanyalah sebulan sekali, itu pun dalam waktu yang singkat, hanya di dalam kereta. Namun begitu, mudah dia mempercayai aku.

Lalu aku menghulur apa yang ada, RM15 sahaja, baki RM10 lagi aku akan bayar pada petang nanti, janji ku padanya.

Hari itu, urusan kerja habis pada jam 3.00 petang. Selepas itu aku singgah di 1Borneo Mall, terletak bersebelahan di kampus UMS itu. Penerbangan pula jam 9:00 malam. Masih berbaki banyak waktu. Jadi, aku mengambil peluang menonton wayang. Menjamu mata melihat barangan di kedai atau butik aku tiada hati, barangkali hampir semua lelaki begini.

Jam 6 petang aku menuju kembali ke bandar KK. Menaiki teksi sahaja dari sana. Kemudian turun di Pasar Malam Ikan Todak. Sudah menjadi kewajipan bagi rakyat Semenanjung, makan ‘seafood’ di sini kerana harganya yang murah dan segar belaka. Harganya lingkungan RM3-RM4 setiap 100 gram. Jika di semenanjung, harganya dua kali ganda. Makan lauk ikan seekor, sekitar RM20-RM25. Di semenanjung, set ikan di kedai siam biasanya sehingga RM80.00

Habis menikmati makan malam itu, aku menghubungi Hazir kembali, mintanya menghantar aku ke “airport”, aku kata akan tunggu di tempat biasa, iaitu di pondok hentian bas di hadapan pasar itu.

Hazir membalas, tetapi akan lewat 15 minit. Ada sedikit urusan. Rupanya dia mengambil isterinya di tempat kerja.

Dia pernah bercerita dahulu, isterinya membuka sebuah salon. Mereka berkahwin muda, sewaktu masih dalam usia persekolahan jika tidak silap aku. Katanya, dulu kalau tak boleh belajar, kahwin sahaja. Balik sekolah cari duit lebih. Tapi, tinggal di rumah ibu bapa dahulu lah. Sudah senang sedikit, barulah tinggal di rumah sendiri.

Kini dia sudah mempunyai beberapa orang anak. Walau Hazir masih muda, sekitar 30an, namun anak sulungnya sudah mencecah 20 tahun. Itulah lebihnya kahwin muda, fikir ku.

Namun, pasti sudah berbagai-bagai gelombang dan badai kehidupan yang sudah dia tempuhi. Berkahwin muda, pasti lebih banyak dugaannya. Hanya yang benar-bebar tabah dan cekal sahaja yang akan berjaya mengharunginya. Tapi, kalau sudah kerana cinta, biar nyawa bercerai badan, menyerah tidak sekali. Kan?

Dalam perjalanan ke “airport”, kami bersembang kosong seperti biasa. Kerana gelap, aku hampir tak perasan kehadiran isterinya di belakang, tiba-tiba terdengar suara sahaja. Mereka bersembang perihal kuih raya. Sambil itu, isterinya menghulur seketul, boleh tahan juga rasanya.

“Buat pakai butter kah ini”, kataku cuba menduga.

“Itu pakai minyak sapi”, balasnya, juga dengan loghat Sabah yang juga pekat.

“Sedap…boleh tahan juga ya”, puji ku seikhlas hati.

Kemudian isterinya mempelawa pula kuih yang lain, lalu aku ambil merasa, yang itu juga sedap.

Sudah menjadi kelumrahan, kuih raya ini terasa lebih sedap hanya apabila raya sudah habis. Kalau sebelum itu, ‘hajab’ pun tidak.

Barang kali, isterinya mungkin berbesar hati dengan pujiam tadi, sebelum aku keluar dari kereta, dia menghulur sebalang kecil kuih raya, buat bekalan katanya.

“Terima kasih. Jauh kuih ni berjalan, naik kapal terbang ke Semenanjung lagi”, kata ku bergurau.

Rasa terharu sekali lagi. Orang Sabah ini ramai yang baik-baik sebenarnya.

Biar tidak kaya harta, namun rezeki yang apa adanya itu, tetap dikongsi bersama, sama-sama merasa. Sungguh mereka kaya budi.

Aku teringat beberapa trip beberapa bulan lepas. Pernah aku tertinggal ‘sling bag’ di kerusi bas di KK itu. Di dalam itu ada duit, kad bank, Mykad, lesen, semua yang penting dan berharga.

Tapi, kerana budi, pemandu bas muda itu menegur aku sewaktu aku turun, mengingatkan aku dengan ‘sling bag’ di kerusi. Betul-betul rasa berterima kasih, rasa bersyukur di hari itu, kalau tidak, susah jadinya. Semoga Tuhan membalas dia dengan balasan yang setimpal. Sabahan, ramai yang baik-baik kan…hihi

Kebaikan orang-orang di sana, sebenarnya sedikit sebanyak mengubah diri dan hati ini.

Beberapa lama sebelum projek di Sabah ini bermula, aku mengenali seorang gadis dari Sabah ini, kerjanya di KL.

Sebagaimana Tuhan menciptakan semua hamba-hambaNya berpasangan, begitu jugalah dengan aku. Dalam berkawan, tentulah menyimpan hasrat untuk mengikat dengan tali pernikahan. Dalam pada itu, aku mengumpul duit, untuk kegunaan di hari mendatang kelak, waktu itu, baru lepas tamat Universiti. Biar cinta setinggi langit, sayang seluas laut sekali pun, tak berguna kalau sekadar omong kosong, nafkah kelak tetap memerlukan wang.

Aku bukanlah pandai bermain cinta, sekolah dulu pun tidak pernah. Jadi, dalam berkawan, aku memasang niat, niat itu pula dinilai dari cara kita berkawan, melayan. Buat pengisytiharan rasmi ‘couple’ dan sebagainya, bukanlah cara aku.

Namun apa kan daya, sudah suratan takdir, delima manis yang ku semai, peria pahit yang bersemi. Hubungan itu terputus di tengah jalan.

Dalam diam, dia sebenarnya sudah ada yang lain, akan berkahwin beberapa bulan sahaja lagi, dengan orang Sabah juga.

Aku bertanya, memohon penjelasan, mengapa sekian lama tidak berterus terang, mengapa jalan seperti ini yang dipilih?

Hari itu, lama dia diam. Lama kemudian, barulah dia membuka cerita memberi penjelasan. Katanya, tak boleh buat apa, orang tu dah jumpa mak dengan ayah dekat kampung, hantar rombongan, jadi dia terpaksa menerima.

Hanya sekadar itu penjelasan darinya, malah, maaf juga tidak pernah dipinta, sedikit pun rasa tidak bersalah.

Jika tiada ombak dan gelombang, tidaklah dipanggil lautan. Jika tiada curang dan khianat, tidaklah dipanggil dunia. Semua itu sebahagian dari lakonan di pentas dunia.

Janji setia, sehidup semati yang aku dambakan, rupanya cuma permainan perasaan.

Mengapa perempuan gemar bersikap sedemikian rupa? Menjadikan sebahagian lelaki sebagai sekadar bahan taruhan. Apakah salah mengaku jika sudah bertunang? Apakah gunanya cincin belah rotan itu disimpan? Atau lelaki dianggap tidak punyai hati dan perasaan?

Semenjak hari itu, aku lebih banyak berdiam diri. Dia, tidak lagi aku hubungi. Perlahan-lahan, amarah di dalam hati membakar diri. Rasa kecewa, menguasai diri. Hari berlalu dengan pedih, air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.

Sampai hati dia buat begitu.

Sehinggalah suatu hari, Tuhan memberikan hikmah atas takdir yang telah ditentukanNya, yang telah tertulis oleh pena di kitab Luh Mahfuz.

Hari itu merupakan kali pertama aku menjejak kan kaki ke Sabah, urusan kerja di Sabah yang sekian kalinya.

Justeru itu, aku mengambil peluang, berjalan-jalan di sekitar KK. Barangkali kerana peristiwa sedih beberapa bulan lalu dengan orang Sabah itu menjadikan aku berpijak di tanah negeri itu dengan suatu perasaan yang lain, suatu yang tidak dapat digambarkan dengan penulisan.

Ketika berdiri berhampiran pasar, di tepi dermaga itu, mata aku melihat ke arah deretan rumah yang dibina di atas air, yang terletak di sebuah pulau. Rumahnya diperbuat daripada kayu dan tidak begitu tersusun.

Bot tambang pula kelihatan berulang-alik mengambil dan menghantar penumpang. Ada penumpang yang berpakaian uniform sekolah, ada juga yang pulang dengan plastik berisi barangan dapur di tangan. Tentu mereka ini tinggal di pulau.

Aku terus memerhati gelagat di situ. Dalam hati, begitu teringin aku menaiki bot dan melihat rumah-rumah di situ dengan lebih dekat.

Di kala itu, orang bot tambang itu bertanya aku mahu ke mana. Jadi, aku menunjukkan ke arah pulau itu, kemudian, naiklah aku ke bot itu. Dengan berpakaian kemeja dan berkasut kulit, muka juga tidak dikenali, pasti dia fikir aku dari Kuala Lumpur.

Sangkaan aku betul, semasa di dalam bot dia bertanya apakah aku bukan orang sini. Aku hanya menggangguk.

Di dalam bot itu hanya kami bertiga, seorang lagi anak kecil, lingkungan sekolah rendah. Aku fikir, itu pasti anaknya.

Bot menyelusur laju, menuju ke arah perkampungan suku Bajau di Pulau Gaya, sekali sekala bahagian depan bot terangkat-angkat dek membelah gelora laut, air dari kiri dan kanan terpercik sedikit. Walaupun cuaca terik dan bot tidak berbumbung, namun panasnya tidak ku rasa. Barangkali kerana diselimuti bayu laut. Pengalaman sebegini tidak pernah dapat aku nikmati di Semenanjung.

Sesampai di perkampungan suku Bajau itu, dia mula membuka bicara. Pak Cik Kabir aku menamakannya. Dari suku Bajau, pekerjaan nya sehari-hari mengendalikan bot tambang, kulitnya jelas kelihatan gelap kerana dibakar terik mentari. Dalam pada itu, raut wajahnya tenang, menggambarkan betapa dia redha dengan takdir Ilahi. Pekerjaan sebegini, tentulah berat, hasilnya pula tidak seberapa, tapi tetap tidak serik mengemudi bot.

Kadangkala, aku rasa terpukul dengan keadaan itu. Di Semenanjung, biasanya taraf hidup lebih tinggi, hampir semua orang ada motor dan kereta, mudah ke sana ke mari, tetapi belum tentu beroleh bahagia. Sungguh bahagia ini, sebahagian rezeki dari Tuhan juga.

Dalam pada itu, kami bersembang kosong. Di kawasan kampung Bajau itu, Pak Kabir memberi pengenalan. Dia menceritakan di sini seperti tempat lain juga, ada yang kaya, ada yang miskin. Kemudian,Pak Kabir bercerita serba serbi mengenai cara hidup orang Bajau. Semuanya sudah masuk Islam katanya.

Aku bertanya juga mengenai Bajau Laut. Hasil dari cerita Pak Kabir, Bajau Laut ini hidupnya semata-mata di atas bot, cuma sekali sekala mereka akan menghampiri darat, biasanya untuk membeli beras dan barangan makanan lainnya. Perubatan pula, mereka sangat pandai mengghasilkan ubat-ubatan dari sumber laut juga.

Suatu masa dahulu, semua orang Bajau membuat rumah dan tinggal di atas laut. Itu adat dan pantang larang orang Bajau untuk tinggal di darat. Namun, kerana peralihan zaman, semua itu sudah berubah, kebanyakan golongan muda sudah bekerja dan tinggal di darat.

Aku pernah juga membaca serba sedikit mengenai kehidupan Bajau dulu-dulu, terdapat satu amalan di mana bayi yang lahir di kalangan mereka, akan dicampak kan ke laut, dan ayahnya pula serta merta akan ikut terjun dan menaikkan bayi itu. Jika bayi itu hidup, maka dia layak menjadi Bajau, jika sebaliknya, tidak layak hiduplah. Ini amalan dulu-dulu lah, sekarang tidak lagi.

Kemudian, dia mengemudi pula bot ke arah suatu bangunan kayu, cantik dan besar dari rumah yang lain. Rupanya, itu ialah sebuah sekolah rendah. Itu lah pertama kali aku melihat sekolah di atas air. Sungguh negeri Sabah ini kaya dengan budaya.

Sebenarnya, ada sebab mengapa aku tuju ke perkampungan itu, ada sesuatu yang menjemput. Jika jodoh ku tertulis dengan gadis Sabah itu, kampung itu jugalah bakal menjadi sebahagian kampung ku juga. Jadi, kedatangan aku ke situ, kerana memenuhi perasaan ingin tahu yang kuat. Tapi, apakan daya, segalanya tinggal sejarah.

Sepanjang aku di bot, aku merasakan hubungan yang begitu mesra, aku dilayan dengan baik. Terasa dihargai. Barangkali, kerana kemesraan itu juga, telah melembutkan dan melunakkan hati aku. Selepas pengalaman di bot itu, aku menulis text yang sedikit panjang, kepada gadis Sabah itu, dia…aku maafkan.

Aku fikir, marah lama-lama tidak bergunakan, apa yang terjadi, jadikan pengajaran, jadikan pedoman hidup. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Jatuh bangun, teruskan melangkah ke hadapan. Apa yang terjadi, tentulah ada hikmah dariNya.

Dalam hidup ini, tiada sesiapa pun yang boleh memaksa kita mencintai dirinya, dan kita juga tak boleh memaksa orang mencintai diri kita.

Makanya, cari pasangan yang kita sudi untuk terima dia seadanya, dan dia juga sudi untuk menerima kita apa adanya.

Tanpa disedari, dari peristiwa dengan gadis Sabah itu menjadi titik tolak aku mencari dan jumpa gadis yang lebih baik. Jika tiada aral yang melintang, dengan izin Tuhan, tahun hadapan bakal mengikat tali pernikahan.

Sebelum pulang pada petang itu, Pak Cik Kabir sempat menjemput aku makan tengah hari di rumahnya jika datang ke Sabah lagi kelak. No telefonnya sudah aku ambil, tapi, sehingga ke kali itu, belum pernah lagi aku menghubunginya setiap kali di Sabah. Lain hari, InsyaAllah aku akan datang juga.

Begitulah serba sedikit pengalaman aku di Sabah. Dari awal berjumpa Pak Kabir, sehinggalah hampir setahun pengalaman aku datang ke Sabah, semuanya berbudi bahasa. Mengajar aku sedikit erti kehidupan.

Terima kasih yang orang Sabah, ini pantun untuk kamu semua,

Banyak ubi perkara ubi,

Ubi Daik saya tanamkan;

Banyak budi perkara budi,

Budi baik saya kenangkan.

*Ada orang Sabah ka di IIUMC ini, Sabahan mana? Original kah? xD

– matz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *