Assalamualaikum, terima kasih jika confession ini disiarkan.
Nama saya Sarah. Saya terbaca mengenai confession tentang sikap suami yang mana membuatkan isteri hilang sabar. Ada sedikit sebanyak persamaan dengan saya.
Saya seorang yang berkerjaya, dan gaji saya lebih besar berbanding suami saya. Hampir sekali ganda. Kami sudah berkahwin hampir 15 tahun dan dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah InsyaAllah.
Awal perkahwinan kami bahagia seperti orang lain yang baru berkahwin. Tapi lama-kelamaan saya dapati dia culas bab solat dan langsung tidak pandai membaca al-Quran. Cuma hafal beberapa surah.
Pernah kami bergaduh hanya kerana saya suruh dia solat dan dia buat tak tahu. Geramnya waktu tu. Apabila saya tinggi suara, dicampaknya remote tv tapi bukan pada saya. Saya menangis kerana terlalu geram.
Kalau depan keluarga saya pandai pulak dia solat. Tapi seingat saya beberapa tahun perkahwinan kami, saya tak pernah nampak dia solat Subuh. Hanya solat Maghrib sahaja dan kadang solat Isyak.
Pernah juga saya rasa nak minta cerai sebab dia tak seperti suami dambaan saya yang romantik, yang boleh imamkan saya.
Tapi tak pernah terkeluar dari mulut ini. Hinggalah apabila kami mendapat anak yang pertama. Saya jadi makin cepat marah. Sikit-sikit kami bergaduh walaupun tak teruk tapi waktu tu kami tak seperti orang yang berkasih sayang.
Pernah waktu solat Jumaat di kampung dia waktu tu, saya cakap pada suami kakak ipar (biras saya), ajaklah suami saya ke masjid sama-sama.
Biras saya kata, dah ajak tapi dia tak nak. Mengalir air mata saya. Biras saya sempat pesan, Sara kena kuat, kalau Sara tak kuat dia takkan berubah.
Saya mungkin tidak begitu menghormatinya mungkin kerana gaji saya lebih besar pada dia. Saya mampu berdikari, apa-apa yang saya buat tak perlukan bantuan dia.
Kereta dan rumah semuanya saya yang buat pinjaman bank kerana gaji saya lebih besar dan mudah buat pinjaman.
Namun kami berkongsi membayar. Disebabkan ini saya rasa saya patut tegur dia jika dia masih tak solat.
Sebenarnya suami saya baik, cuma dia culas bab solat dan tak romantik je. Maklum la orang perempuan kan selalunya nak suami yang romantik kan.
Suatu hari saya mesej seorang ustaz di facebook. Saya tanya macam mana cara saya nak nasihatkan dan nak ubah suami saya yang tak solat? Mudah sahaja jawapan ustaz tu.
Kata ustaz, kita tak ada hak nak ubah orang. Lagilah nak nasihatkan suami. Hati seorang suami tu dipegang oleh Allah, jadi mohonlah pada Dia. Biarlah Dia yang ubah suami awak, kata ustaz.
Sejak hari tu saya dah kurang suruh atau paksa suami solat. Saya hanya doa pada Allah minta Dia lembutkan hati suami.
Tapi, jangan ingat sekejap doa dia dah berubah. Kalau dua tiga kali doa dia dah berubah, senang la kan.
Bukan.. Kadang-kadang rasa putus asa juga, doa pun sama tak berubah. Kadang-kadang juga saya rasa malas dah nak suruh dia solat. Sehingga saya terdengar ceramah seorang ustazah.
Katanya nak ubah suami atau isteri, kita dulu yang kena berubah. Kalau suami rasa isterinya degil, susah nak dibentuk, suamilah yang kena ubah dirinya dulu. Isteri pun sama.
Jika rasa suaminya bermasalah, maka yang perlu berubah ialah isteri.
Sungguh, kata-kata ustazah tu membuatkan saya tersentak. Rupanya saya yang kena berubah dan bukannya paksa dia berubah. Termenung dengar ceramah ustazah tu. Terasa pulak banyaknya dosa saya.
Saya muhasabah diri. Walaupun saya sentiasa solat, mengaji, saya bukan orang yang lemah lembut dengan suami. Tapi saya nekad saya nak berubah.
Saya cuba ubah cara bercakap dengan suami, dulu saya ego kerana saya lebih berpangkat dari dia. Sedangkan dalam apa keadaan pun saya wajib hormat dia sebagai suami walau apapun kerjanya.
Saya cuba untuk lebih mengutamakan pendapatnya dalam apa-apa hal. Saya minta izin darinya jika saya nak buat sesuatu atau nak ke mana-mana.
Pendek kata saya lebih utamakan dia berbanding dulu. Jika dulu saya berdikari, sekarang saya akan bagi dia rasa yang saya sentiasa perlukan dia.
Kemudian perlahan-lahan saya nampak dia berubah, namun semuanya mengambil masa beberapa tahun juga.
Tapi dalam masa yang sama tetap saya nasihatkan dia secara tak langsung tentang solat. Saya cuba forward pada dia tentang azab jika orang tak solat, juga tazkirah-tazkirah pendek walaupun dia hanya membiarkannya blue tick sahaja.
Benda-benda ni bukannya dia tak tahu, saya sedar dia tahu. Tapi kadang-kadang kita perlukan orang ulang-ulang bagitahu kita supaya kita sedar.
Alhamdulillah makin lama makin dia terima. Lagipun anak-anak dah makin besar. Ibu ayah contoh pada anak-anak kan.
Kalau dulu saya nak jadi makmum dia tolak sebab dia kata dia tak yakin. Akhirnya kami sekeluarga sekarang sentiasa solat Maghrib dan Isyak berjemaah.
Pertama kali kami berjemaah, saya solat di belakang dengan linangan air mata. Saya sungguh bersyukur kerana kami sekarang lebih bahagia. Walaupun kami tidak hidup mewah tapi kami ada semuanya. Dan saya nampak dia dah tak tinggal solat. Alhamdulillah..
Mungkin itulah perkongsian saya. Apa yang saya nak sampaikan, orang lelaki ada egonya sendiri. Kita sebagai isteri perlu hormat suami dan sebaliknya.
Selagi tidak melewati batas-batas agama, taatlah pada suami. Rumah tangga mana yang tidak dilanda badai, suami isteri mana yang tidak bergaduh, lidah mana yang tidak tergigit.
Kedua-dua pihak perlu ada sikap tolak ansur dan saling menghormati. Saya juga doakan para isteri yang diuji dengan sikap suami sebegini, bersabarlah kerana InsyaAllah suatu hari nanti ada manisnya.
Saya nak selitkan sedikit pesanan daripada Ustazah Asma Harun, jika anak-anak kita mencabar kesabaran kita, elakkanlah daripada marah atau pukul.
Bacalah ‘
Maafkan saya jika ada salah dan silap dalam penulisan ini. Yang baik itu semuanya dari Allah. Terima kasih.
– Sarah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit