Assalamualaikum semua. Maaf aku confess kat sini sebab aku perlu kan pandangan dan nasihat. Aku cuma perlukan komen murni, tolong jangan kecam.
Kisah ini agak panjang macam sinetron, dan maafkan aku andai penulisan aku sukar difahami kerana aku jarang menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu formal.
Aku A, anak sulung perempuan, umur 24, seorang engineer di ibu kota. Adik aku B, perempuan, umur 23 seorang eksekutif di selatan tanah air. C dan D perempuan, masih belajar dan E lelaki, masih bersekolah.
Waktu aku masih kecil (4 tahun), aku terjumpa sijil nikah ibu bapa aku. Aku waktu itu sudah boleh membaca. Nikah di Thailand. Apa yang aku tahu, pernikahan mereka tidak dipersetujui keluarga ibu aku disebabkan alasan alasan tertentu yang wajar. (Sekarang kami sudah diterima baik)
Fast forward, tahun ini adik aku B merancang untuk bernikah. Pihak lelaki sudah datang bertemu keluarga. Dalam perancangan majlis B, aku usulkan untuk B selesaikan masalah pendaftaran perkahwinan ibu bapa kami terlebih dahulu.
B terkejut kerana tidak pernah tahu perihal ini. Ya, cuma aku yang tahu. Adik adik aku yang lain juga tidak pernah tahu. Aku cuma risau nanti akan timbul masalah berkaitan hal ini.
Kebetulan sewaktu aku dan B pulang ke kampung sewaktu kematian salah seorang saudara, kami membawa ibu bapa kami ke pejabat agama.
Pada awalnya pegawai penguatkuasa itu mengesahkan bahawa sijil nikah itu benar. Beliau cuba membaca butiran butiran nikah, namun gagal membaca tempat nikah. Namun, ayah aku menyebut, Kampung Bawang (Bukan nama sebenar) di Daerah Narathiwat.
Untuk makluman, ayahku buta huruf. Lalu pegawai terbabit mengesahkan tempat tersebut. (Butiran surat sikah tersebut ditulis dengan tulisan tangan jawi yang agak sukar dibaca).
Tiba tiba, pegawai berkenaan menyatakan bahawa jarak antara tempat tinggal wali (datuk aku) dengan tempat nikah tak cukup dua marhalah. Ah sudah. Aku dah bersedia dengan keadaan ni. Lalu aku bertanya, adakah pernikahan mereka tidak sah?
Menyedari perubahan riak wajahku, pegawai terbabit mengatakan, “kita tidak boleh memutuskan pernikahan mereka sah atau tidak, kemungkinan ada faktor lain yang boleh di ambil kira untuk menentukan. Contoh: kena tipu dan sebagainya”
Lalu beliau bertanya, anak dah berapa orang? 5 orang. Umur berapa? Ayahku 60an, ibuku sudah 50an.
Pegawai terbabit mencadangkan supaya dibuat akad baru untuk “memperbaharui” iktikad pernikahan. Aku dah tahu maksud dia. Aku tanya, “boleh ke ayah mewalikan pernikahan kami?” Selepas berbincang dengan Qadhi, beliau cakap, tidak boleh.
Kami adik beradik perlu naik ke mahkamah tinggi untuk mengesahkan nasab. Kemungkinan pernikahan ini sah bergantung kepada faktor faktor yang dipertimbangkan oleh Yang Arif Tuan Hakim katanya. Kita tidak boleh memutuskan apa apa sebab kita bukan ahli.
Aku terdiam namun kami boleh menerima. Andai tidak sah, hubungan kami adik beradik hanyalah adik beradik susuan.
Apabila pulang ke rumah, ibu bapa ku berbincang sesuatu. Selepas itu, kami semua dipanggil. Ibubapaku menyatakan kami memang anak mereka.
Ayahku mendesak ibuku untuk bercerita kisah sebenar yang terjadi. Mereka mengaku yang pernikahan dibuat di Terengganu, dan sijil nikah itu dibuat yang mana butirannya hanyalah rekaan.
Pulak dah.
Aku tanya, Terengganu kat mana?
Ayah: Dekat Kuala Terengganu.
Ibu: Eh, lepas Kuala Terengganu la. Atas lagi.
Aku: Kat mana exact place tu?
Ibu&Ayah: Tak ingat.
Aku: Kalau sana, dah cukup marhalah. Tapi siapa yang menikahkan dan saksi?
Mereka cakap tak kenal, bukan orang yang ditulis dalam surat nikah. Aku menyatakan bahawa pernikahan hanya boleh dilakukan oleh Tok Kadi yang disahkan sahaja.
Selepas ayahku beredar, ibuku cakap ibu menyeberang Sungai Golok dengan perahu manakala ayahku ikut jalan darat waktu itu.
Aku tanya, “Kalau nikah di Terengganu, kenapa kena pergi Golok? Golok tu kan pintu ke Narathiwat?”
Ibuku cakap, untuk ambil Qadhi dan saksi ke Kuala Terengganu.
Aku tanya, “siapa? Jurunikah tu Haji Abdul bin Abdullah yang kat sijil nikah ke?” (Bukan nama sebenar) Ibu jawab ya. Aku bangun dan keluar bilik. Aku takut aku mengamuk.
1. Tadi cakap tak kenal jurunikah dan saksi, bukan yang tertulis di surat nikah. Ni pergi ambil kat Golok.
2. Kalaupun pergi ambil, kenapa kena menyeberang? Tunggu je lah sebelah sini.
3. Aku syak ibu terlepas cakap.
4. Mustahil ayah dan ibu tak ingat tempat dinikahkan (andai Terengganu) sebab kami pernah tinggal di Terengganu dalam 5-6 tahun.
5. Ingat tak ayah aku buta huruf? Macam mana dia boleh sebut Kampung Bawang (sedangkan aku dan pegawai penguatkuasa pun tak boleh nak baca tulisan jawi tu) Selepas itu barulah nampak tulisan tu memang Kampung Bawang.
Ya, aku tahu kami memang anak mereka, tapi persoalannya anak yang sah taraf ke? Aku boleh terima andai kami dilahirkan bukan dalam pernikahan yang sah. Kami masih sayang kedua ibubapa yang bersusah payah membesarkan kami.
Namun, perkara ini bukanlah gurauan. Ini perihal nasab dan keturunan. Jika ayah menjadi wali sedangkan dia bukan lah wali yang sah, bayangkan apa yang terjadi dengan seluruh keturunan kami. Aku tak kisah pun status kami, cuma aku mahukan kebenaran. Biar lah pahit asalkan benar.
Aku sudah tawar hati untuk berkahwin suatu hari nanti kerana ragu dengan status aku sendiri. Sepertinya aku tidak rela untuk berwalikan ayahku sendiri.
Namun untuk aku bernikah di luar negara dengan wali am juga aku tidak mahu. Aku bimbang aku tidak sekufu, dan statusku dipersoalkan dan dihina kelak.
Aku bercadang untuk meminta ibu dan ayahku melakukan sumpah laknat. Tidak kiralah mereka bernikah di mana, bersumpahlah andai mereka bercakap benar. Aku dah memang tak percaya keduanya.
Aku mohon pembaca semua komen dengan berhemah, kerana seburuk apa pun, mereka tetap orang tua yang membesarkan kami, cuma mereka terkhilaf di masa silam. Sebarang cadangan yang bernas amat aku harapkan. Aku mohon maaf semuanya. Terima kasih.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit