Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih jika admin publishkan cerita tidak seberapa aku ini. Maaf jika agak panjang coretan ini.
Sebagai pengenalan, nama aku Cik Piy. Berusia penghujung 20an. Kata orang sekeliling, aku seorang yang ceria dan seorang pendengar yang baik. Ini apa yang dikatakan orang pada aku, dan mungkin benar kerana dari zaman sekolah menengah lagi aku sering menjadi tempat luahan kawan kawan. Aku bersyukur kerana Allah pinjamkan nikmat ini. Alhamdulillah, aku sendiri rasa suka menjadi tempat luahan sesiapa. Namun, aku punya masalah yang tidak reti meluahkan rasa aku, terutama masalah aku. Dalam erti kata lain, aku seorang pemendam perasaan. Mungkin di luar sana ramai yang punyai masalah seperti aku. Dan, sejak baca kisah di iium confession ini aku mula rasa ini platform terbaik untuk aku berkongsi rasa ini.
Aku ingin berkongsi tentang cinta sahabat. Ketika aku melangkah ke sekolah menengah, aku bersahabat baik dengan seorang rakan kelas lelaki. Aku namakannya sebagai Amir. Aku dan Amir memang rapat, hingga mereka yang tidak mengenali kami sering menganggap kami pasangan bercinta. Sedangkan, tidak pun. Aku langsung tidak minat untuk bercinta, tapi Amir ni memang ramai kekasih. Hahaha. Orang ada rupa dan nama, ramailah adik junior kejar. Ditakdirkan Allah, dari tingkatan satu hinggalah tingkatan lima kami sekelas dan pasti kalian dapat bayangkan betapa akrabnya kami. Malah, jika Amir punya masalah dengan teman wanitanya, akulah yang selesaikan, akulah yang menyelamatkan Amir dari terkantoi dengan kekasih kekasih dia tu. Hinggakan ada antara kekasih Amir yang membenci aku. Hinggalah tiba hari terakhir peperiksaan SPM, sedihnya hati aku nak berpisah dengan rakan rakan. Masa di dewan peperiksaan, sebelum pulang, Amir ajak aku bergambar. Katanya kenangan berbaju sekolah dengan aku hahaha. Padahal lusa kami akan berangkat ke Langkawi bersama rakan rakan asrama yang lain untuk rombongan sekolah. Jadi, tak ada lah aku rasa sedih sangat nak berpisah dengan Amir masatu.
Pulang dari asrama, aku terus on telefon 3310 aku. Banyak misscall dari Amir. Aku biarkan saja. Sedang sibuk mengemas baju hahaha. Malam itu, dalam jam 11.00 malam, Amir telefon aku lagi. Dan aku angkat, kata dia “weh, aku ada benda nak cakap, tapi nanti aku mesej kau”. Aku pun iya kan saja lah. Selepas beberapa minit, aku terima mesej dari Amir yang isinya “Piy, kau tahu kan lelaki dengan perempuan tak boleh berkawan baik? Pasti ada yang jatuh hati. Aku dah lama suka kau, dari pertama kali jadi sahabat kau. Tapi, aku tak nak paksa kau apa apa, cukuplah aku luahkan dan aku taknak kita lost contact.”
Tercengang aku baca isi kandungan mesej dia. Hahaha. Tapi aku buat biasa saja. Aku tak nak sebabkan perkara itu hubungan kami jadi renggang. Tapi, entah kenapa masatu aku rasa hati aku berbunga-bunga. Padahal, aku rasa aku tak ada perasaan pada Amir pun. Mungkin sebab aku belum pernah bercinta kot. Keesokannya, Amir datang ke rumah aku untuk ambil baju. (Oh ya, family aku memang kenal kami sebab dia kawan baik aku, tapi keluarga Amir tidak kenal aku) Ketika Amir datang, aku buat biasa saja. Taknak cipta suasana janggal. Cuma Amir lah malu malu kucing, ya lah baru lepas luahkan perasaankan hahaha.
Selepas pulang dari Langkawi, Amir terus bermesej dengan aku hari hari. Kadang kadang dia call, berjam lamanya. Kadang chat di massenger fb. Bahagia rasanya. Aku sendiri tidak tahu apa aku buat. Aku semakin hari semakin mesra dengan Amir. Dan rupanya, perasaan sayang lebih dari sahabat telah wujud di hati aku untuk Amir. Selepas beberapa ketika, kami pun ambil keputusan SPM dan alhamdulillah kedua duanya diberi keputusan cemerlang. Terima kasih ya Allah. Aku dan Amir masing masing mendapat tempat di IPTA yang berbeza. Seorang di utara seorang di pantai timur. Amir pun mula menjalankan tugasnya untuk memastikan aku menjadi setuju menjadi kekasih dia. Akhirnya, dalam keadaan bahagia, aku terima Amir menjadi lelaki pertama sebagai kekasih. Oh indahnya cinta masa itu. Begitu setianya aku hingga memang tiada satu pun lelaki yang aku layan lebih dari rakan biasa. Memang aku nekad dalam hati, aku tidak mahu ada sahabat lelaki lain selain Amir. Walau sepuluh lelaki cuba mendekati aku, aku sebolehnya mengelak. Dan aku pasti Amir di sana juga sama seperti aku kerana beribu janji ditaburnya. Tapi, ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Amir semakin hari semakin jauh. Seperti biasa, aku memang tidak reti luahkan rasa kecewa aku, jadi aku diamkan saja dan hanya ikut rentak dia. Sikit pun tidak ada aku marah. Walau aku sendiri punya bukti bahawa Amir bukan cuma dengan aku. Suatu hari, mungkin Amir tersedar sendiri, dia meminta maaf dan aku maafkan. Banyak kali juga dia sekejap jauhkan diri sekejap berbaik semula. Hinggalah dia sendiri sedar aku semakin jauhkan diri juga, dia minta maaf dan janji tidak akan ulang lagi. Aku maafkan. Keadaan kembali normal, dan kami okay okay saja. Pelajaran juga baik baik saja. Cukup seronok apabila aku mendapat anugerah dekan dan dia di sana juga sama. Kami hanya berjumpa pada cuti semester.
Pahitnya bermula selepas kami berjaya tamatkan pelajaran masing masing di peringkat Ijazah. Bercinta bertahun, pastinya kami ingin melangkah ke gerbang perkahwinan sama seperti orang lain. Keluarga aku pun mula bertanya “Amir serious ke nak kan adik? Taknak ke kenalkan adik pada family dia?” Aku sedapkan hati mereka dengan mengatakan bahawa kami ingin stabil dalam kerjaya dulu. Sedangkan aku pun terfikir perkara sama, ya lah, bertahun dia bersama aku, tidak pernah sekali dia kenalkan aku pada keluarganya. Cukup marah dia kalau aku publishkan gambar dia di mana mana socmed aku atau aku suruh dia upload gambar aku. Katanya, dia nak aku hormat privacy dia dan segan dengan family. Aku paham dan aku turutkan. Jadi, dipendekkan cerita, suatu hari tu aku tanyalah dia apa langkah seterusnya. Tidak mahu ke dia halalkan hubungan kami yang hampir 6 tahun ini dan persahabatan kami yang sudah lebih 10 tahun ini. Amir kata, okay dia akan suarakan pada keluarga dia. Aku punyalah happy tapi berdebar juga. Hahaha. Sebab keluarga Amir ni berpengaruh, aku pula cuma anak seorang petani kampung.
Beberapa ketika, Amir cari peluang untuk berjumpa aku. Tenang saja petang itu, seperti tiada apa. Namun, senyum dan tawa aku mati selepas Amir memberitahu bahawa ayahnya inginkan Amir berkahwin dengan gadis pilihannya. Sedaya upaya aku cuba simpulkan semula senyuman aku. Aku tahankan air mata aku. Aku tanya Amir, apa kata dia. Kata Amir, dia perlu turutkan saja arahan ayahnya. Aku sedikit kecewa kerana aku berharap Amir akan perkenalkan aku dahulu pada ayahnya. (Ini kerana aku kenal dengan ayah Amir, ayahnya seorang yang boleh dirunding) Ayah Amir juga kenal aku, cuma tidak tahu bahawa aku adalah kekasih Amir. Dek kerana sedih, aku terus sahaja pulang. Beberapa hari berlalu, Amir cari aku semula. Buat seperti biasa, seperti tiada masalah. Aku sudah fikir untuk angkat kaki, aku tidak mahu menjadi duri dalam keluarganya. Pasti ayah Amir ingin yang terbaik buat anaknya. Namun, kembalinya Amir memberi harapan sekali lagi buat aku keliru. Gaya Amir tidak ubah mahu pertahankan hubungan kami, mana tidaknya, sungguh sungguh katanya akan memperisterikan aku. Aku kembali tersenyum membawa harapan. Berharap Amir akan perkenalkan aku pada keluarganya.
Bulan berganti bulan, Amir semakin menjauhkan diri. Aku pujuk diri sendiri, aku pujuk hati, berkata bahawa Amir sedang sibuk dengan kerja. Amir dinaikkan pangkat, pasti dia sedang sibuk memperbaiki dirinya. Hingga pada suatu hari, aku terlalu rindu dan aku whatsapp Amir. Amir balas acuh tidak acuh. Tapi keep online. Chat aku lambat dibalasnya. Seperti biasa, aku masih lagi tidak meluahkan rasa kecewa atau marah. Jauh sekali ingin bertanya dengan siapa dia chat. Aku takut mengganggu perasaan dia. Tidak lama kemudian Amir call aku, Amir suruh aku lihat post terbarunya di FB. Aku buka dan bagaikan dihempap batu, aku terduduk menangis. Gambar mesra Amir bersama seorang gadis. Cantik dan sesuai di sisi Amir. Terus aku chat Amir dan bertanya siapa gadis cantik itu. Amir kata itulah bakal isterinya. Gadis yang diperkenalkan oleh ayahnya. Amir kata, “Kau tetap sahabat aku, aku sayangkan kau, jangan jauhkan diri dari aku, inilah hakikat buat kita berdua. Doakan aku” Satu persatu air mata aku jatuh berserta esak tangis. Bagaikan dipukul belati, terasa ngilu hatiku. Keesokannya, Amir chat aku sepeti biasa namun tiada satu pun aku balas. Hinggalah, kad jemputan walimatul urus Amir dan pasangannya sampai di rumah aku. Ibu dan Baba tidak tahu lagi masalah kami, setibanya aku di rumah, terus ibu peluk aku. (Macam drama kan hahaha) aku ingat ibu saja nak manja manja dengan aku, anak bongsu lah katakan. Selepas ibu beri kad itu pada aku, aku tersenyum dan bawa masuk ke bilik.
Aku whatsapp Amir
“Tahniah Amir ! Sesuai sangat kau dengan dia. Sama cantik sama padan. Terima kasih sudi jadi sahabat aku bertahun tahun lamanya. Bagaimana aku cuba buat biasa masa kau luahkan perasaan dulu, begitulah aku sedang cuba sekarang untuk buat biasa tanpa wujudkan rasa janggal untuk bersahabat dengan kau. Tapi, dah tak bolehlah kawan baik macam dulu, kau dah ada hati kena jaga. Hargai dia Amir, jaga dia dan semoga kalian sentiasa di bawah rahmatNya. InshaAllah jika berkesempatan aku tibalah di majlis kau nanti.” Teresak esak aku menangis. Menyesali mengapa aku menyambut cinta sahabatku dulu.
Amir baca, dan Amir balas
“Terima kasih sahabat aku. Semoga Allah kirimkan lelaik baik buat kau.”
Tibalah hari dinanti nanti oleh merpati dua sejoli. Ibu tanya aku berpuh kali, betulkah aku ingin pergi majlis Amir. Hahaha. Mestilah aku nak pergi, dulu pernah berangan nak kahwin sama sama, ini dapat tengok salah seorang dari kami kahwin pun jadilah. (Hati bederai) Semanis yang mampu aku senyumkan. Aku letakkan kotak hadiah dan bersalaman dengan ibu pengantin lelaki. Kawan kawan sekolah semua perhatikan aku, yalah semua tahu tentang hubungan kami walaupun jarang sekali kami upload gambar berdua. Tapi, aku buat tak nampak saja. Ketika pengantin berarak, automatik aku tarik tangan kawan perempuan aku dan aku pegang erat tangan dia haha. Aku cari kekuatan, aku senyum walau hati sedang menangis bagai nak rak. Kawan aku paham dan membalas erat genggaman aku. Sedikit lega.
Aku tidak mahu berlama lama. Aku pergi ke pelamin untuk bergambar. Aku duduk di kaki pengantin (korang dapat bayangkan kan?) gambar terakhir aku bersama Amir dan disertai bidadari Amir. Turun sahaja dari pelamin, aku pandang mereka dan meminta diri. Amir menghantar aku dengan pandangan. Senyuman terakhir aku hadiahkan buat Amir. Melangkah saja kakiku, aku berjanji untuk tidak memikirkan Amir lagi dan akan sentiasa ikhlas terima semua ini. Hingga hari ini, aku masih belajar untuk ikhlas walau Amir sudah punya seorang cahaya mata. Alhamdulillah semoga terus bahagia sahabat. Semoga Allah ampunkan dosa kita.
Kalian, terutamanya adik adik, usahlah bercinta yang sia sia. Usahlah letakkan cintamu pada ajnabi. Usahlah letakkan cinta manusia lebih dari cinta pada ilahi. Kelak, kecewa seperti Cik Piy, baru terhegeh hegeh nak menyesal. Yakinlah, Allah ambil sesuatu dari kita beserta hikmahnya. Dekatkan cinta pada Ilahi, pasti diberinya cinta abadi. Mencintai tidak semestinya memiliki, memiliki tidak semestinya mencintai.
Terima kasih kerana membaca. Cik Piy tidak reti berkongsi, semoga kalian mengerti setiap bait kisah benar Cik Piy. Semoga Allah merahmati kalian. Doakan Cik Piy.
-Cik Piy-
– Cik Piy
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit