Sahabatku Hana

Saya pergi rumah terbuka hari raya rumah Hans tadi. Kami keluarga yang kedua sampai.

Di luar hujan gerimis. Kelihatan Hans, sedang melayan tamu yang awal. Kami disambut mesra. Rumah Hans dipenuhi ahli keluarganya.

Hana, saya baru tahu Hana sudah tidak lagi menjadi penyeri di rumah ini. Terasa sepi, bila saya sampai, tidak ada lagi senyuman Hana menyambut kami seperti tahun-tahun sudah.

Ternampak-nampak Hana kesibukan ke depan dan belakang menyusun atur makanan sambil meraikan tetamu yang datang.

Hana, saya jumpa mama mertua Hana, yang tahun ini khabarnya, makcik dan pakcik beraya dengan Hans di sini. Mama Hans kata, jalannya sudah tidak cepat, kerana lututnya sakit. Sementara papa Hans masih kuat, masih cergas turut sama melayan kami semua.

Hana, mulut ini spontan sahaja bertanya tentang Hana pada tetamu yang saya rasa mengenali Hana juga. Dia juga dengan sopan, mengatakan dia tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya hingga Hana berpisah dengan Hans.

Sedih sekali kerana anak-anak Hans dan Hana adalah kawan-kawan anak mereka. Tapi mereka memilih untuk tidak campur menyibuk-nyibuk urusan rumah tangga Hans dan Hana.

Selepas saya menjamu selera, saya nampak kelibat Sofea. Hana, Sofea sangat cantik persis wajah Hana. Walaupun masih berumur 12 tahun, Sofea nampak matang dengan mekap nipis, yang cocok sekali dengan wajah ayunya yang lembut dan tenang.

Sofea menyalami saya. Dia tidak perasan saya sebagai kawan mamanya. Mungkin kerana kita jarang bersua.

Dan tak lama lepas itu, kedengaran pula Arif datang sambil berlari di kejar oleh kawan-kawanya. Arif.. berapa umurnya ye Hana? Mungkin 8 tahun. Mungkin 9 tahun. Nampak ceria tapi siapa yang tahukan…

Dari perbualan yang saya dengar tadi, setiap hari, selepas sekolah Sofea balik rumah sebelah tengahari. Arif pun sama. Ada kenderaan hantar dan jemput pulang. Mereka rupayanya di bawah jagaan Hans.

Bagaimana Hans mampu nak jaga? Bukankah Hans kerja jauh, pagi dan petang baru pulang menjelang malam? Apa yang berlaku pada anak-anak ini sebelah siang? Bagaimana bila Hans kerja di luar kawasan?

Banyak yang saya nak tanya pada Sofea, tapi saya tahu ia tidak akan memberi pertolongan apa-apa pada mereka.

Lalu, dalam kereta, waktu dalam perjalanan pulang, saya bertanya suami, apa yang berlaku? Bukankah mereka pasangan yang sangat mesra, selalu meraikan tetamu, selalu melakukan aktiviti bersama?

Hana, saya tidak mempertikaikan apa -apa keputusan yang sudah terjadi. Saya cuma memikirkan bagaimana Sofea menjalani kehidupan harian bersendirian bersama adik yang masih kecil.

Menguruskan makan pakai adiknya sementara ayah pergi kerja. Menguruskan keperluan dia yang emosinya pasti terluka dan emosi adiknya.

Sofea melangkah ke alam remaja, dengan seribu pengalaman dan cerita, siapalah yang hendak mendengar cerita dia. Siapalah yang hendak menerangkan pada dia proses menjadi remaja. Apakah sama mencurah cerita pada nenek yang ada menanti bersama Sofea di rumah?

Nenek juga bersedih. Nenek sedih, mama Sofea sudah tidak ada di rumah. Atok kata, selagi Hans tidak stabil, atok dan nenek akan duduk bersama Hans, Sofea dan Arif.

Arif pula jika Arif sakit, jika Arif rindu mama, siapalah yang hendak memujuk Arif? Sedang papa pun sedang menanggung rindu yang tidak menyusut.

Siapalah yang mahu memanjakan Arif, memberi kasih saya seorang ibu buat Arif. Siapalah yang menyiapkan Arif? Mungkin saban hari terkial-kial Arif mengurus diri sendiri.

Hana, anak-anak terkapai-kapai menumpang sayang makcik pakcik, atok dan nenek. Menderita mereka menjalani satu kehidupan yang pahit akibat perpisahan ini. Bukan salah mereka. Tapi kesannya tidak terperi sakit.

Hana, ketahuilah, anak-anak memerlukan kita sebagai ibu. Betapa mereka mengharapkan hanya kita untuk mereka mencurah kasih, bermanja, bermesra dan proses untuk menjadi dewasa memerlukan ibu yang kuat dan penyayang. Mereka mahu kita di sisi mereka.

Hana yang jelita, sentiasa berwajah ceria, pandai memasak, pandai mengatur rumah, sudah tentunya Hana yang mereka rindu adalah Hana yang sempurna sebagai ibu.

Hana, saya menulis ini ketika saya selesai menidurkan anak-anak. Mendengar kisah harian mereka dan membayangkan waktu ini apa yang dilalui oleh Sofea dan Arif?

Sebagai sahabat yang jauh, saya mendoakan. Mengharapkan Rahmat Allah buat kalian. Pasti ada hikmah yang besar di sebalik ujian ini.

– Yasmin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Kesian Hana. Orang nampak kehilangan dan tanggungjawab Hana je, tak nampak kesusahan yang dia tanggung sampai sanggup tinggalkan anak. Semua lupa perempuan ni lemah bila dipijak disakiti, sampai masa akan layu dan hilang. Tapi pompuan buruk mana pun tetap takkan sampai tembak orang macam kes klia tu. Fahamilah hana. Semoga hana dilindungi Allah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *