Sahabatku Yang Jauh

Assalamualaikum & Hi. Saja nak meluah sesuatu hari ni & luahan ni agak panjang. Harap sudi baca dan komen yang baik-baik ya.

Adakah anda percaya wujudnya persahabatan antara lelaki dan perempuan atau istilah ‘Platonic Friendship’?

Dulu sebelum kahwin aku percaya takde masalah untuk lelaki dan perempuan bersahabat baik. Sebab dulu aku memang ada ramai kawan baik lelaki. Tapi sekarang dah kahwin, kena jaga ikhtilat & suami akulah satu-satunya best friend lelaki yang aku ada.

Nak cerita kisah salah seorang best friend lelaki yang aku ada suatu masa dulu. Nama dia Azrin. Kami sebaya.

Aku ingat tak ingat macam mana kami kenal tapi kalau tak silap through online chatting. Antara MIRC atau Yahoo Messenger. Dua-dua medium ni dah lenyap daripada Internet tapi siapa yang tahu memang ‘legend’. Haha.

Kami kenal masa form 4, tak pernah jumpa tapi kerap bertukar email. Ditakdirkan sebelum tahu result SPM, kami decide nak jumpa face to face.

1st time jumpa dan borak, terus kami ‘klik’. Banyak benda boleh borak dengan dia. Politik, gosip artis, sukan, isu semasa dan topik paling dia suka ialah pasal IT sebab dia budak ‘geek’.

Aku pun suka pasal IT tapi more to software & website. Jadi banyak juga hal-hal berkaitan IT & komputer aku belajar daripada dia sampai tepu otak aku hadam istilah IT ni semua.

Beberapa minggu lepas kami jumpa, result SPM diumumkan. Result dia lebih 1 A daripada aku walaupun dia budak sekolah teknik, aku SBP.

Tapi alhamdulillah, kami dua-dua layak sambung belajar di area KL-Selangor. Dia sambung Diploma manakala aku sambung Matrik/Asasi di Selangor.

Sepanjang kami sambung belajar, kami masih berhubung melalui email. Masing-masing suka taip panjang-panjang dan bercerita kisah kehidupan kami dalam email.

Sekali-sekala aku ada contact dia pakai public phone bila takde kredit. Zaman tu takde WhatsApp. Nak topup paling sikit RM10 & aku pun bukan student yang kaya. Duit syiling je banyak. Haha.

Masa 1st semester Azrin sambung Diploma, dia berjaya dapat Dekan. Sayangnya lepas tu dia salah pilih kawan dan dia keluar dari duduk asrama.

Pelajaran dia merosot dan dia suka kerja part time sampai lewat malam. End up pointer diploma dia tak sampai 3 pointer dan dia pun macam tak berminat nak sambung Degree.

Aku pula sambung Degree 4 tahun lepas asasi. Masa aku sambung degree banyak kali juga kami keluar berdua lepak & tengok wayang.

Terus-terang, kami memang tak pernah confess perasaan apa-apa walaupun dua-dua single. Dia pun tak pernah mengayat aku ke apa dan aku pun susah nak suka dia lebih daripada seorang sahabat baik.

Masa aku degree dia banyak tolong aku. Ada satu time aku ada projek kena guna kotak. Dia angkut aku & satu team aku naik van buruk abang dia, tolong kami kutip kotak area shopping mall. Team aku kagum gila aku ada best friend macam tu. Bangga jap aku. Hihi.

Satu lagi dia boleh dikatakan kerap datang rumah aku. Masa kakak aku kahwin dan open house dia datang. Dia juga pernah hantar kad raya dan birthday card ke rumah aku.

Apa yang kelakar dia masukkan senyap-senyap kad ke post box dan aku tahu dia hantar naik motor by hand sebab kad tu takde setem. Haha.

Pernah PC aku kena format dan ada problem. Masa ni aku praktikal dan dia dah kerja dengan syarikat internet. Dia datang rumah aku tolong betulkan PC.

Elok je kami berdua duduk kat rumah ‘godak’ PC berdua sambil borak panjang sementara mak & family aku ada kat atas.

Masa aku praktikal tu juga aku dah ada BF & dia pun dah ada GF. Aku tak pernah jumpa GF dia tapi pernah message sepatah dua tapi aku tahu GF dia jealous dengan friendship kami.

Azrin pernah cakap yang GF dia macam marah kami bergambar bersama. Erm..

Dipendekkan cerita, lepas aku graduate degree kami dah jarang jumpa. But we’re still keep in touch through message & YM. No more email.

Dia banyak kali ajak aku jumpa tapi masa tu aku dah busy kerja dan kebetulan dia pun dah pindah ke negeri lain kerja jadi technician IT di sekolah.

Until February 2010, we finally met. Itu pun lepas aku balik dating & gaduh dengan BF aku. Haha.

Kami jumpa di satu restoran mamak di Wangsa Maju. Makan benda ringan je sebab lebih banyak borak & catch up about each other’s life stories.

Masa tu dia beritahu aku dia dah bertunang dengan GF dia. I’m happy for him, nak jealous pun aku dah ada BF. Aku doakan yang baik-baik jela masa tu.

Lepas tu nak balik, dia hantarkan aku sampai ke LRT area rumah aku sebab aku parking kereta kat sana. Aku ingatkan sampai parking je, lepas tu boleh pula dia escort kereta aku sampai aku sampai rumah dengan selamat.

Masa sampai depan pagar rumah aku, aku pandang dia buat kali terakhir. Aku ingat-ingat lupa moment tu tapi aku anggap itu situasi biasa kami akan berpisah lepas jumpa.

Dalam bulan Mei-Jun tak silap aku. Adik aku nak betulkan laptop. Aku contact kawan Azrin yang pernah betulkan PC aku juga sebelum tu. Tiba-tiba kawan Azrin tu tanya aku soalan yang buatkan aku terpempan.

“Awak tahukan Azrin dah meninggal sebulan lepas?”

Masa tu aku terus menangis teruk. Tak peduli kawan Azrin tu. Aku turun bawah bagitau Mak & adik aku pasal berita tu. Kawan Azrin bagi aku nombor contact sepupu Azrin yang aku langsung lupa nama dia.

Dia cerita Azrin meninggal dunia sebab accident masa nak U-turn masuk jalan lain. Exact date dia meninggal aku tak tahu.

Tapi yang aku kesalkan aku tahu berita tu terlalu lambat. Zaman tu dah ada Facebook tapi Azrin tak suka ada akaun FB. At least kalau dia ada FB, mesti ada orang share berita kematian dia ke apa kan.

Aku terus contact tunang Azrin & ucap takziah. Aku kecewa gak dia tak bagitau aku pasal Azrin dah takde tapi aku rasa dia mesti lagi sedih, tunang dia meninggal dunia.

Jadi kisah ni dah jadi 10 tahun lepas. Hari ni birthday Azrin. Kalau dia masih hidup, dia sebaya dengan aku & berumur 35 tahun. Dalam tempoh 10 tahun, aku dah kerja lebih 10 tahun, dah kahwin dengan BF aku dan dah ada anak.

Setiap kali hari kelahiran dia, aku akan teringatkan dia. Aku terfikir kehidupan dia macam mana, adakah sama macam aku? Adakah dia berpeluang membina hidup yang lebih bagus & bahagia?

Dulu aku selalu terfikir, berbelas tahun kami bersahabat, kenapa sikit pun Tuhan tak letakkan ‘perasaan’ lebih daripada sahabat antara kami berdua. Rupa-rupanya ‘jodoh’ kami hanya sebagai sahabat baik.

Aku adalah sahabat yang kena selalu mendoakan dia. Kalau aku dapat masuk syurga, aku nak dia pun masuk dengan aku. Sebab dia sahabat yang BAIK sangat, hanya Tuhan yang tahu.

Doakan sahabat ku Azrin tenang di sana. Moga Allah swt ampunkan dosa-dosa dia dan dia tergolong di dalam orang yang beriman. Aamiin.

Selamat Hari Lahir buat sahabat ku yang jauh – RZA. 8 November 1985-2010.

– Madam D (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *