Saka: Kakak Puteri

Assalamualaikum wbt dan selamat petang. Aku Seri Melati, berusia 35 tahun.

4 tahun lepas aku pernah submit confession bertajuk Penghuni Bilik Dua Alam, https://iiumc.com/penghuni-bilik-2-alam/ . Terima kasih untuk komen komen nasihat dan teguran pada post tersebut.

Cuma nak betulkan, ramai yang berkata Riyadh dan Qadir adalah saka keturunan, penyebab aku sentiasa nampak “mereka”.

Mereka bukan saka keturunan dari orang tuaku. Kenapa aku yakin? Sebab aku tau siapa saka keturunan yang sebenar. Kakak Puteri.

Dah lama aku menulis kisah ni, hajat di hati ingin dibukukan, tapi terhenti di kisah Kakak Puteri ini.

Maafkan aku kalau lenggok bahasa aku aneh, mungkin cara ni aku dapat sampaikan dengan teliti apa yang aku alami. Maaf juga jika kalian bosan membaca nukilan panjang ini.

Kakak Puteri. Seorang wanita klasik yang sentiasa muncul antara jaga dan lelap. Tiap kali dia hadir, dia akan berkain kuning seperti penari istana zaman dahulu kala, bersanggul lintang,

Kadang kala bersiger sunda, sesekali bercucuk sanggul penuh, bersunting malar ringkas, dokoh bercorak awan larat, bergelang tangan dan kaki jenis tradisional yang diperbuat dari besi atau dawai yang dipintal, dibentuk menjadi bangle dan disadur emas atau barangkali sememangnya emas. Wallahua’lam.

Kakak ini tidak pernah memperkenalkan namanya dan aku tidak bertanya, hanya Kakak Puteri sebagai panggilan.

Sepersalinan lengkap di tiap kali kehadirannya, lenggok tarinya gemalai namun tangkas umpama rotan diracik sebatang lentur tubuhnya tatkala mempersembahkan tarian, tetapi menjadi bak seikat rotan asli dipepohonan kerasnya saat langkahnya dihayun untuk melawan musuh.

Pernah juga hadirnya Kakak ini di saat aku jaga, dan dalam kelam kelibut aku ketakutan, aku berdiri membelakanginya, dan dia mengampu tangannya di bawah tanganku, bergerak dengan penuh lembut, diajar lenggok tangkas kaki dan tanganku untuk menangkis pergerakan musuh.

Aku melalui fasa dimana aku teramat menyukai dan asyik dengan muzik gamelan. Aku jadikan music latar tatkala membaca, termenung, ulit tidur, sewaktu memasak dan sebagainya. Semakin lama makin aku sedari bahawa muzik ini hanya memanggil Kakak Puteri ke mari.

Pernah tatkala aku di ambang tidur, aku ternampak Kakak Puteri ini sedang tersenyum manis dihujung katil dan tanganku di awangan meliuk lentok. Lantas tangan aku turunkan dan muzik aku matikan.

Aku yakin pasti ada yang mempersoalkan kenapa berbanding al Quran, aku memilih gamelan. It was a phase. Dan apa pernah kalian membaca tentang banyaknya cara orang insomnia lakukan hanya untuk terlelap?

Ya, aku clinically diagnosed with chronic insomnia. Jika tidak pernah alami, ketahuilah bahawasanya kalian adalah antara yang sangat bertuah.

Apabila aku hanya membicarakan soal gamelan, janganlah bersangka yang aku langsung lupa akan Tuhan. Cuma kisah ini tentang Kakak Puteri, biarlah hanya tentang beliau sahaja intipati ini.

Berbalik kembali kepada kisah Kakak Puteri. Lama kejadian ini aku simpan rapi. Tidak berkongsi. Tidak ada yang mengetahui.

Hingga suatu hari selepas berkali penampakan, tergerak hati ini ingin mengutarakan persoalan yang lama terbuku. Saat cuma ada aku, umi, abah, aku langsung mengutarakan persoalan..

“Abah, nak tanya sesuatu boleh?”, ringkas aku memulakan perbualan.

“Boleh, apa dia?”

“Siapa Kakak Puteri yang selalu datang untuk ajar menari, dalam tari ada bunga bunga silat, macam macam lagi”

Diam. Hening seketika. Umi memilih untuk berdiam diri sementara, memberi ruang abah menjawab. Hampir seminit berlalu, abah masih berdiam seolah sedang menyusun kata yang sebaiknya untuk memberi jawapan. Aku ulang soalan sama.

Abah hela nafas panjang. Ada kerutan di wajahnya. Ada kerisauan bertamu. Ada kegundahan di mata redupnya. Ada keengganan diwajahnya untuk memulakan cerita padaku. Dan akhirnya dia mengalah, membuka cerita salasilah keturunan keluarganya.

“Moyang abah, moyang perempuan abah dulu adalah inang istana. Penari istana. Suaminya, hulubalang istana…”

Sebelum sempat abah menghabiskan ayatnya, aku sampuk laju.

“Maksudnya Kakak tu saka? Dari moyang?”

“Berkemungkinan jua. Orang dulu dulu ramai memakai pendamping bertujuan untuk menjaga tanaman, rumah dan sebagainya. Zaman dulu dan sekarang dah jauh bezanya. Kita tak perlu pun benda merepek ni”

“Tapi kenapa pilih along? Bukan pendamping ni diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya? Masih ada beberapa generasi atas along kan, bah?”

Jeda seketika.

“Pendamping yang ini bukannya dipindahkan oleh pemegang asal ke penjaga baru. Dia sendiri yang pilih. Dan dia akan langkau satu keturunan”

Menggigil tubuhku. Bukan kerana takut. Tapi amarah. Segala harta, emas, wang ringgit ditaburkan pada cucu lain, dan aku diberi saka pendamping? Kegilaan apakah ini?

“umi, ramai lagi cucu lain, kenapa pilih along? Kenapa selalu sangat nampak mereka ni?

“Sebab darah. Darah yang sama. Mungkin bau dari badanmu sendiri. Wallahua’lam ”

“Dah tu, takkan nak buang darah dalam badan ni? This is absurd”

Aku melampiaskan amarah di dada.

“Along tak terima dia kan?”, abah kembali bersuara.

“Terima? Maksudnya?”

“Terima untuk jadikan dia teman pendamping”

“Nauzubillah abah, apa abah ni. Mana nak terima. Dia pun tak pernah tanya nak terima dia atau tak tak”

“Allahurabbi, anak, bukan secara langsung dia tanya. Pernah ada pemberian dia bagi tak? Dalam mimpi sekalipun, jangan terima”

Jeda lagi.

“Rasanya tiada abah. Pernahlah ada orang tua nak bagi dupa kemenyan. Mak abah sendiri. Tapi rupa dia nampak tua sangat. Along cakap taknak”

Abah hela nafas lega. Hening kembali menghuni.

Kakak Puteri masih lagi hadir sesekali. Meneman diri, menghilang sepi. Tapi tiada lagi tunjuk ajar rentak tari. Tiada lagi ketangkasan tangan dan kaki. Hanya sekadar hadir. Senyuman manis sentiasa meniti di bibir delima merahnya.

Rindu? Sesekali bertamu jua. Tenang wajahnya bagai tiada yang mengganggu. Aman. Bukan rindu untuk berdamping. Cuma rindu lembut tatapannya.

Walau aku tahu, lembut wajahnya, kilauan rambutnya, sepersalinan kuning itu hanya wayang, kerana aku tahu betapa berbeza rupa sebenar bangsa mereka.

Sekian dulu kisah Kakak Puteri. Sebelum menutup cerita, ingin aku tanya jika ada sahabat boleh membantu aku cara menutup hijab yang makin rancak kelihatan ini.

Additional: Beberapa bulan lepas, aku sekeluarga merisik gadis pilihan adikku. Saat majlis bermula, aku terpandang di atas alang kayu tinggi di dalam rumah, ada perempuan berkurung putih sedang berjuntai kaki, diayun ayun kakinya, mata melilau melihat kami di bawah. Aku diam.

Selesai majlis, aku senggol lengan adik bongsu aku, dia juga sesekali nampak mereka, aku gerakkan kepala ke arah perempuan itu, aku tanya, “nampak tak?”

Dia diam dan senyum. “Jangan tegur. Biarkan saja. Buat tak nampak”.

Aku mohon kalau ada yang tahu cara menutup hijab ini. Aku taknak tengok. Berkali aku berubat dengan ustaz ustazah, hanya seminggu tertutup. Kemudian kelihatan lagi.

Bukan kerana takut aku ingin menutup.

Aku ingin menjadi normal. Boleh admit ward tanpa melihat mereka di hujung bilik, boleh drive atas highway tanpa melihat yang terbang dan berdiri atas kenderaan.

Jadi terbatas pergerakan.

Terima kasih sudi akhiri pembacaan.

Terima kasih jika ada yang mengajarkan aku ayat Quran untuk menutup pandangan keenam ini.

Semoga baik baik sahaja untuk semua.

– Seri Melati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Menarik sangat kisah awak ni..cerita lagi pleaseeeee..i used to read Fiksyen Shasha tapi since kenal IIUM, dah jarang baca kat sana..hahaha..saya doakan awak sentiasa dibawah lindungan Allah dan dipelihara iman..Allah knows what is the best for you..take care!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *