Sakit

Assalamualaikum, terima kasih IIUM Confession jika luahan ini disiarkan. Aku tahu, perkahwinan aku ini masih lagi setahun jagung. Cuma, setiap kali madu yang aku balas, pasti luka yang aku dapat.

Bukan aku tidak pernah dengar nasihat orang lain yang acap kali berbisik di telinga aku, “Mertua dan Keluarga sendiri jauh panggang dari api. Keluarga pasti menerima kekurangan diri kita tapi mertua sentiasa membidas cacat cela diri kita”.

Tapi, itulah aku, hati aku lembut. Aku mudah kasihan. Tapi, hati aku sakit.

Sebelum aku mulakan luahan hati aku, biarlah aku meringkaskan status aku sejak bergelar isteri kepada seorang lelaki yang kini aku gelarkan dia suami.

Nama aku sofie, umur aku kini 27 tahun, aku seorang yang bekerjaya. Aku mula melafazkan aku terima nikahnya kepada suami aku ketika aku berumur 25 tahun.

Kami bernikah ketika musim PKP. Sebelum nikah lagi, aku sudah tidak sedap hati dengan perangai keluarga suami.

Tapi, cuba aku tepis segala sangka buruk aku, kerana aku percayakan jodoh aku dengan suami dan orang kata, yang penting suami kita yang tulus mencintai kita bukan keluarganya.

Kerana, yang akan bersama dengan kita selamanya adalah suami, bukan kita hidup bersama keluarga. Mungkin aku silap, sebelum nikah, sepatutnya aku mengambil berat soal keluarganya juga untuk menjamin keharmonian rumah tangga aku kelak.

Betul dengan ayat yang pernah aku baca sebelum ni, bila kita bernikah dengan suami, kita bukan hanya bernikah dengan suami sahaja tapi, kita juga harus mencintai keluarganya juga.

Kisah dah hampir 2 tahun berlalu, aku redho, mana mungkin aku boleh putarkan masa lagi untuk perbaiki jalan hidup aku. Suami aku memang seorang yang sangat baik, lembut sahaja tingkah laku dia. Dia sangat menenangkan aku.

Waktu awal berkahwin, suami memujuk aku untuk tinggal bersama, keluarganya sementara rumah sewa kami siap dikemaskan. Aku akur sahaja.

Cuma, sejak aku duduk di rumah itu, aku selalu ditegur, dimarah oleh mertua aku. Buatkan aku rasa tidak selesa untuk duduk lama di situ.

Aku tahu, cerita ni dah lama berlalu tapi, rasanya tu masih berbekas di hati aku sampai sekarang.

Aku masih susah nak melupakan suara tengking mertua aku dihadapan aku. Aku masih susah nak melupakan kata kata sindiran mertua aku dihadapan aku. Tapi, itulah aku pendam.

Aku telan. Perlukah waktu itu, aku ceritakan kepada suami soal hati dan perasaan aku?. Aku risau beliau tidak faham. Tidak mengapa aku maafkan. Aku lepaskan, aku cuba abaikan apa yang aku rasa.

Aku yang lemah dengan perasaan ini. Aku mudah rasa salah dengan apa yang aku buat. Aku suka, buat orang lain gembira.

Aku tidak suka memilih kasih antara keluarga aku dan keluarga mertua walaupun, mereka tidak pernah menganggap aku sebagai ahli keluarga tetapi, aku tetap bermanis muka dan menyantuni mereka.

Apa yang aku belikan untuk keluarga aku, pasti aku belikan juga untuk keluarga mertua. Tapi, aku perasan, pemberian aku tidak pernah dihargai.

Tahun lepas, mungkin pemberian terakhir aku untuk mereka. Aku rasa membazir belanjakan gaji aku, bonus aku, hasil titik peluh aku untuk diaorang.

Aku terkilan, apabila mertua fikir aku ni kaki kikis duit anak dia. Walhal, perkara yang dia tidak tahu, kadang-kadang aku yang bantu kewangan suami aku kerana kos sara hidup di kuala lumpur ni, sangat tinggi. Tapi, aku diam. Aku telan.

Kelemahan diri aku lagi, aku ini seorang yang sentiasa mendahulukan diri orang lain daripada aku sendiri. Aku sangat penyayang.

Ketika keluarga mertua sakit, berhari2 aku ingatkan suami untuk datang menjenguk keluarga mertua. Iyalah rumah kami pun tidaklah jauh dengan keluarga mertua.

Sekadar 10 minit dari rumah, apalah sangat kita nak menyulitkan keadaan. Aku ikhtiar supaya mereka cepat sembuh. Aku mencari ubat penawar untuk mereka yang terbaik. Tapi, mereka tak guna pun.

Bila aku datang, suami aku tanya mereka cuma kata, terpaksa buang sebab macam ragu-ragu.

Haih, tuhan sahaja tahu betapa kecewanya aku. Kesian ayah aku, jauh ayah aku memberi aku ubat yang aku minta untuk diberikan pada keluarga mertua. Tapi, mereka buangnya ubat yang ayah aku berikan itu.

Kecewanya aku ya allah. Padahal, ubat itu sudah terbukti bagus untuk ubati penyakit mertua.

Itulah manusia, apabila aku pula yang sakit, tiada siapa pun pedulikan aku. Jangankan melawat, telefon apatah lagi. Macam aku ini tidak wujud. Seperti aku ini bebanan untuk mereka ambil peduli.

Apabila suami aku sakit? Satu hari itu, 2-3 kali telefon siap bertanya aku jaga anak dia macamana. Risau betul mereka. Iyalah anak diakan? Darah daging. Aku ini orang luar sahaja. Bukan sekali, tetapi berkali-kali sampai aku sudah lali.

Sekarang, bila suami kata, keluarga dia sakit, hati aku dah mati. Aku dah malas nak ambil tahu. Balik jika suami ajak balik. Biar mereka sendiri cari ubat sendiri.

Ada lah juga mereka bertanya jika aku boleh bawakan mereka ubat yang dulu aku pernah beri, aku cuma balas in syaa allah, nanti tengok siapa ada di kampung. Biar suami yang ambil sendiri kalau betul mereka inginkan. Aku serik nak susahkan ayah aku lagi.

Aku selalu memikirkan hal orang lain, sampai aku tak sempat nak fikir perasaan aku sendiri. Sanggup aku korbankan cuti aku, demi bersama-sama keluarga mertua untuk aktiviti keluarga mereka. Yelah, waktu tu aku fikir aku ini sebahagian dari keluarga. Tapi aku silap.

Cuti yang aku ambil demi mereka sia-sia. Senyap-senyap mereka tinggalkan kami dan bergembira tanpa kami. Aku tahu, isu ini dah lama.

Tapi, rasanya itu masih berbekas dihati. Semahunya aku rasa ingin menangis sebab dilayan sebegini. Tapi aku telan aku pendam. Suami ambil hati aku, kami pergi bercuti berdua sahaja sebab kami dah ambil cuti.

Tapi, boleh pula, keluarga mertua berkias-kias dengan aku seperti aku ni selalu habiskan duit anak dia. Aku diamkan je.

Sebab aku sudah terlalu banyak diam dan telan. Lama-lama aku perasan, aku jadi derhaka dengan suami.

Setiap kali, suami ajak aku balik rumah mertua, aku buat endah tak endah. Sampai suami tegur, kenapa aku ini macam tak suka balik rumah ibubapanya. Aku rasa bersalah dengan suami.

Kadangtu, sebabkan nak balik rumah mertua saja sampai kami berdua bertekak bergaduh.

Suami kata, aku suka acah-acah buat sakit bila ajak balik rumah mertua. Aku asyik ikut mood aku saja, bila nak balik dan bila tak nak datang. Sedangkan, beliau tidak pernah melayan aku begitu jika aku ajak beliau pulang ke rumah ibubapaku.

Suami aku tegur, kenapa bila dirumah ibubapa beliau aku tidak seperti dirumah ibubapa aku?. Kata beliau, dirumah ibubapa aku, aku rajin.. mop lantai, buatkan breakfast, memasak, kemas rumah. Tapi, dirumah ibubapanya aku datang bagaikan tetamu.

Dan, waktu itulah aku berjurai air mata meluahkan segala yang aku pendam kepada suami, bukan aku tak pernah masak disana, pernah tapi membazir kerana tiada siapa yang nak makan. Bukan aku tak pernah kemaskan rumah, pernah tapi dimarah kerana cara aku salah.

Bukan aku tak pernah buatkan breakfast, pernah tapi tiada siapa mahu jamah. Jadi, aku rasa sia-sia nak buat semua itu.

Waktu tu, aku fikir, bukan rumah aku, dan takkan jadi macam rumah aku, jadi jangan nak buat pandai. Nasib baik, suami aku faham.Sejak itu, suami tidak pernah paksa aku untuk pulang kerumah mertua.

Aku jadi berkira-kira. Aku jadi menyampah dengan mertua. Aku jadi tawar hati. Walaupun, sekarang aku nampak, mertua macam cuba nak berbaik dengan aku.

Tetapi, aku sudah letak boundaries antara aku dengan mertua. Cukuplah kecewakan aku. Sekarang, aku sudah malas nak ambil peduli dengan mertua.

Aku jadi selfish apabila kaitkan diri aku dengan mertua. Aku mula martabatkan diri aku.

Tetapi, aku masih tidak berani tinggikan suara dengan mertua cuma aku akan bidas kata-kata mertua dengan cara yang elok. Tidak lagi cuma mendiamkan diri. Aku sudah keluar dari circle keluarga suami.

Aku sudah tidak peduli dengan kehidupan keluarga suami. Aku malas nak masuk campur lagi urusan keluarga suami. Hati aku jadi keras.

Tiap kali, suami bercerita pasal keluarga beliau, aku buat-buat busy. Kadang-kadang kalaupun aku dengar, aku cuma kata sepatah dua.

Jika ada saja ajakan dari keluarga suami yang tidak kena dengan waktu lapang aku, aku berani menolak. Aku sudah malas nak berier ambil cuti, last minute sebabkan nak puaskan hati keluarga suami.

Itulah, tetapi, sebab “dia”. Dia yang aku gelar suami. Sekerasnya hati aku dengan keluarga beliau, sebab “dia” aku mengalah. Sebab, syurga dia masih dibawah telapak kaki ibu dia.

Sakitnya dihati aku yang masih berbekas tetapi aku tidak sanggup untuk memutuskan silaturrahim suami aku dengan keluarganya. Aku buat kerana aku hormatkan suami.

Cuma itulah, hati aku masih lambat nak ikhlas untuk terima mereka lagi di dalam hidup aku. Apa patut aku lakukan? Sebab, aku tidak mahu hidup berdendam.

Aku juga tidak mahu dikecewakan dan makan hati lagi. Aku bahagia dengan tidak ambil tahu perihal mereka lagi.

Tetapi, aku juga tidak bahagia kerana hati aku yang berdendam dan masih susah nak melepaskan sakitnya apa yang mereka lakukan pada aku dahulu. Perjalanan aku dengan suami masih jauh. Aku rindukan diri aku yang dahulu

– Sofie (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *