‘Sakit’

Lama aku nak hantar “confession” ni tapi selalu kecundang bila dah setengah jalan menaip. “Confession” ini lebih pada meluahkan perasaan sebenarnya. Aku harap admin sudi luluskan penulisan aku ni sebab aku perlukan rasa “to be heard”.

Aku sebenarnya aktif menulis status di mukabuku aku sendiri tapi cuma mengupas isu-isu semasa dan sedikit ketidakpuasan hati mengenai hidup yang aku jalani. Semua status yang aku tulis hanya lah apa yang aku nak orang tahu saja.

Aku tak nak orang yang kenal aku “judge” aku dan rasa aku ni seorang yang bermasalah. Sebab tu aku hantar pengakuan disini –

Kemungkinan besar apa yang aku luah ni akan dikecam oleh pembaca tegar IIUM Confession.

Aku mulakan dengan perkenalkan diri sebagai K, seorang wanita dalam awal 30-an. Belum berkahwin dan tak pernah terdesak untuk mencari pasangan hidup. Aku tak secantik perempuan lain yang pandai berhias dan menjaga penampilan diri.

Aku suka “simple and plain”. Seorang yang sedikit kasar, agak serius, “reserved” tetapi “open minded”. Sebelum pandemik, bila aku ada masa terluang aku akan pergi memancing, berkhemah, bonceng motor besar dan bercuti ke luar negara.

Aku buat semua tu sorang-sorang atau dengan kawan rapat (2@3 orang) atau dengan keluarga saja. Sebut pasal keluarga, mak aku dah meninggal dan ayah dah lama ada keluarga lain yang dia sayang (mak ayah aku bercerai masa aku di sekolah rendah lagi).

Kakak dan abang kandung aku masing-masing bekerja sebagai pegawai kerajaan dan dah berkahwin. Keluarga kami sederhana, tak kaya dan tak susah. Begitulah latar belakang aku.

Aku bekerja dalam bidang professional/ korporat, sebelum aku berani mati mengambil keputusan untuk berhenti dan berehat seketika walaupun dalam musim pandemik. Ramai kawan-kawan cakap aku tidak bersyukur sebab mensia-sia kan apa yang orang lain nak sangat.

Gaji besar dan bertuah sebab walaupun muda tetapi berjaya menyandang jawatan tinggi dalam syarikat. Tak siapa yang tahu aku berhenti kerja kerana selalu di buru lelaki hidung belang/ lelaki yang kesunyian.

Lupa nak cerita, sebelum-sebelum ini aku bekerja di syarikat lain tetapi masih dalam bidang yang sama.

Aku tak pernah diberhentikan melainkan aku yang letak jawatan. Aku berpindah dari satu negeri ke satu negeri yang lain dalam masa yang singkat.

Aku senang dapat tawaran pekerjaan, dari taraf pekerja “junior” sehingga “middle level management” mungkin kerana kebolehan dan pencapaian aku.

Ok. Untuk memendekkan cerita, permulaan aku menjadi ‘sakit’ adalah semasa aku baru setahun jagung dalam dunia pekerjaan.

Hubungan aku dengan staf biasa sahaja sebab aku tak suka nak bergaul rapat, tapi semua orang suka kerja dengan aku dan anggap aku seorang yang “cool and reliable”.

Hubungan aku dengan bos pula, sama seperti dia dengan staf yang lain cuma makin lama makin rapat sebab aku banyak berurusan secara langsung dengan dia.

Semasa bekerja aku adalah seorang yang serba tahu apa yang klien mahu, tangkas dalam menyempurnakan tugasan dan fleksibel.

Mungkin atas dasar aku selalu cuba berikan yang terbaik untuk syarikat, segala ilmu dan pengetahuan dari segi teknikal dan pengurusan semua bos ajarkan kepada aku.

Setelah lebih setahun aku bekerja, bos sediakan rumah yang lengkap perabot dengan deko seperti hotel 5 bintang berhampiran pejabat untuk staf perempuan bujang duduk. Alasannya, rumah tersebut disewa dengan niat untuk membantu kawannya yang baru kehilangan penyewa.

Staf syarikat juga dapat bonus, insentif, duit raya (raya puasa dan raya haji), percutian ke luar negara mengikut peredaran masa. Semua staf makin gembira dan semangat untuk bekerja. Aku pula makin hari makin rapat dengan bos.

Sentiasa kesana kemari dengan bos umpama “assistant” bos. Setelah beberapa ketika, ada gosip liar mengenai aku.

Semua nya bermula apabila staf perempuan sengaja mengusik aku semasa di jamuan makan-makan bahawa ada staf lelaki tak tidur malam bila aku senyum pada dia,

Dan pada ketika itu kebetulan bos terdengar dan terus kami dibagi amaran supaya tidak bercinta semasa bekerja dengan muka yang serius.

Setelah kejadian tersebut, yang menjadi perhatian staf di pejabat ialah “mood” bos aku.

Mereka berpendapat, bos akan ceria kalau aku ada dan sebaliknya kalau aku tak ada atau keluar menyiapkan tugasan bersama staf lelaki, keluar berjumpa klien lelaki atau berurusan dengan mana-mana lelaki lain.

Mereka mula mempertikaikan perubahan perangai bos dimana sebelum aku bekerja disitu tak pernah pun staf diberikan pelbagai kelonggaran dan imbuhan dan bos yang terkenal dengan sikap pemarahnya makin kurang angin semenjak aku bekerja disitu.

Semua ni staf perempuan yang paling lama bekerja disitu beritahu kepada aku. Ramai yang mengatakan aku dan bos mempunyai hubungan istimewa. Aku menidakkan sekeras-kerasnya tuduhan tak berasas tersebut.

Staf tersebut percaya sebab aku bukan lah jenis perempuan gedik dan aku memang tidak melayan lelaki yang cuba mengorat aku.

Balik rumah, aku cuba berfikir semula apakah pandangan orang lain terhadap aku dan bos.

Otak mula mengimbas segala perlakuan aku dengan bos. Semuanya atas urusan kerja cuma kami sudah selesa bercakap hal peribadi. Bos banyak menceritakan kisah hidup dia dan aku suka untuk mendengarnya.

Iya lah, umur aku dan bos jauh beza iaitu 20++ tahun jadi sudah tentu banyak pengalaman hidup dia daripada aku.

Dia suka berkongsi cerita mengenai selok belok perniagaan, keluarga dan cabaran hidup merantau ke negara orang. Dia pun banyak bertanya pasal kehidupan aku dimana pada awalnya aku keberatan nak bercerita tetapi akhirnya keluar sedikit demi sedikit.

Pasal ayah aku yang lama meninggalkan aku dan keluarga, mengenai mak aku yang tidak sihat dan lain-lain.

Tidak ada satu pun yang aku rasa melebihi yang sepatutnya (pada masa itu) sebab aku hanya menjadi diri aku dan mengganggap bos seperti seorang kawan dan kadang-kadang seperti bapa.

Disebabkan gossip liar tersebut, aku mula tak selesa bekerja disitu. Sedaya upaya aku cuba menjauhkan diri daripada bos dan bos seakan- akan dapat rasa perubahan diri aku. Sampai dia jadi marah-marah dan mula menjadi diri dia yang dahulu.

Aku meluahkan perasaan aku kepada staf perempuan yang paling lama bekerja di syarikat tu dan menjelaskan kenapa aku berbuat demikian (aku tak mahu rapat dengan bos lagi).

Keadaan di pejabat makin lama makin tegang seolah-olah berada di zon perang. Semua orang bekerja dalam keadaan tertekan.

Aku pun tak tahan dengan provokasi staf yang mengatakan aku lah punca hilangnya keharmonian syarikat.

Lelaki yang ada hati dengan aku pun sama saja suka memperli aku, dia cakap yang cita-cita aku besar sebab hanya nak cari lelaki kaya saja walaupun lelaki tua pun aku sapu.

Sedihnya bukan kepalang.

Kenapa aku yang dipersalahkan dalam hal ni. Kalau lah staf syarikat yang tidak berperasangka buruk terhadap aku dan bos sudah tentu tidak ada apa yang jadi.

Tanpa ragu-ragu aku bagi notis perletakan jawatan mengikut syarat kontrak aku. Sampai waktu hari terakhir aku bekerja tak nampak kelibat bos di pejabat.

Aku mendapat tawaran kerja di tempat lain dengan cepat. Masuk lah aku ke dalam syarikat baru dan berazam untuk mulakan hidup baru.

Aku menjadi lebih berhati-hati semasa berinteraksi. Tapi perkara yang amat aku berhati-hati dan mengelak semampu mungkin tetap terjadi.

Aku diminati oleh rakan sekerja.

Untuk pengetahuan, majoriti jantina yang bekerja dalam bidang aku ni adalah lelaki jadi memang lelaki-lelaki yang jumpa aku ni senang tertarik dengan aku,

Walaupun aku ni bukan wanita idaman (lemah lembut, manja dan seksi) sebab mereka tak banyak pilihan dan yang ada pun kebanyakannya dah berkahwin.

Dan aku mula rasa jelik dengan lelaki dan staf dalam syarikat. Dah ada anak bini pun masih nak menggatal, tak sedar diri.

Pada masa yang sama, sifat ingin tahu apa sebenarnya lelaki nak makin meninggi sebab sejarah hidup aku dimana bapak aku pun ada perempuan lain masa masih berkahwin dengan mak aku.

Aku mula melayan demi secebis jawapan. Tak kira dari “top management” ataupun staf bawahan, tak kira klien mahupun “supplier/sub”.

Suami orang, duda, bujang… semua ada.

Berbalik dengan perwatakan aku yang sejenis serius dan “reserved”, senang sangat aku nak memikat hati lelaki – lelaki yang ada sekeliling aku.

Bila berurusan secara berdua aku akan lebih relaks/“laid back”, aku buat macam kawan-kawan. Mungkin para lelaki disekeliling aku ni akan rasa diri dia istimewa kalau aku boleh bersembang dan membalas gurauan.

Sebab tak semua orang akan dapat tengok aku gelak dan tersenyum melainkan bila aku bergaul dengan klien perempuan/ beberapa staf wanita lain. Senyuman aku mahal. Masa aku berharga.

Sekiranya orang dapat perhatian daripada aku maka berbanggalah mereka seumpama mendapat kemenangan.

Yang menjadikan semua ni senang sebab aku akan memilih mangsa dengan bijak. Bukan semua aku akan layan dan orang lain memang tak perasan sebab di khalayak ramai aku akan bersikap professional macam taka da apa-apa jadi.

Yang bagusnya juga, lelaki – lelaki yang masuk perangkap ni semua pandai simpan rahsia sebab masa fasa awal untuk berkenalan secara rapat, aku cakap aku akan tarik diri kalau benda jadi kecoh.

Aku dah penat menaip jadi aku ringkaskan cerita. Lelaki – lelaki yang aku pilih dibahagikan kepada dua. Pertama, lelaki tak semenggah iaitu memang gatal tak bertempat tapi takut bini. Kedua, lelaki yang sederhana baik tetapi sunyi atau hilang keyakinan.

Yang paling aku puas hati adalah dengan lelaki kategori pertama, gatal tapi takut bini. Lepas aku dah dapat jawapan yang memadai dan bosan dengan “game” tu, akan akan tinggalkan lelaki tu begitu saja.

Aku tak rugi apa pun sebab aku tak pernah memberi, aku hanya menerima.

Bila lelaki tu tak puas hati aku akan ugut untuk bagitahu bini dia, senang saja. Ada juga yang kena tindakan tatatertib sebab aku adukan pada HR kena ganggu. Macam tu lah kitarannya.

Lelaki ketegori kedua, yang buat aku ada rasa bersalah dan berhenti untuk bereksperimen. Ada yang betul-betul serius nak kahwin dan sanggup bagitahu bini.

Tapi aku bukan nak kahwin pun. Benda dah jadi kucar kacir sampai bini cari di pejabat, jadi aku pun berhenti dan cari kerja di syarikat lain. Lelaki tu dengan bini dia lepas tu aku tak tahu apa jadi, selamatkan diri aku lagi baik.

Apa yang aku boleh rumuskan berdasarkan pengalaman aku, lelaki ni sukakan sesuatu yang bercanggah dari apa yang dia miliki.

Contoh, kalau ada bini yang baik sangat sentiasa setuju dengan semua perkara suami buat pun dia tak suka, dia suka perempuan yang suka mencabar kejantanan dia, yang sedikit aggresif dan ada pendapat sendiri.

Kalau bini dia pandai, dia nak cari perempuan kurang pandai sikit tak banyak menjawab.

Kalau bini yang cantik tapi sibuk kesana kemari walaupun untuk cari rezeki, dia nak cari perempuan biasa-biasa pula sebab nakkan perhatian nakkan rasa disayangi sebab dia yakin dia lah segalanya untuk perempuan biasa-biasa ni.

Kalau ada bini yang suka control, dia nak cari perempuan yang “submissive” dan patuh atas segala aturan dia. Dan macam – macam lagi aku tak larat nak tulis.

Keseluruhannya, lelaki ni memang tak pernah puas dengan apa yang dia ada dan suka kan benda yang mencabar. Dia sukakan kepelbagaian.

Dia cepat bosan dan suka mencuba benda baru. Kadang-kadang nak merasa bebas dari tanggungjawab untuk seketika dan nak rasa hidup seperti sebelum kahwin, boleh berfoya-foya “fly high and free” sentiasa berjiwa muda.

Semua ni buat aku bertambah rasa tak nak kahwin. Aku mengaku kadang-kadang aku rasa sunyi dan aku perlukan teman tapi aku tak nak kahwin. Laki orang lagi aku tak nak. Lelaki bujang pulak terlalu baik bagi aku. Mungkin sebenarnya lebih pada aku tak percaya lelaki.

Dan aku takut aku menerima nasib yang sama seperti perempuan lain yang dicurangi suami, sama seperti arwah mak aku. Aku seorang feminist, aku cuma nak kenakan lelaki. Aku tak suka dengan lelaki yang tak setia walaupun aku tahu aku penyebabnya.

Senangnya lelaki beralih kasih dan tak kenang pengorbanan bini sendiri. Di kala pandemik yang membataskan pergaulan, aku kurang mendapat perhatian lelaki hidung belang.

Aku rasa aman sikit hidup ni. Aku mula bermuhasabah dan berfikir baik buruk perbuatan aku sebelum-sebelum ni.

Aku rasa bersalah. Aku tahu aku banyak berdosa kerana menyakiti hati ramai orang. Aku berdoa agar semua dosa aku diampunkan Tuhan.

Aku minta maaf, aku terpaksa hentikan penulisan walaupun banyak lagi aku nak kongsikan. Aku tahu aku bersalah. Maafkan aku.

– K (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *