Sakit Dengan Diri Sendiri

Pertamanya, terima kasih kepada admin jika confession ini disiarkan. Dah lama aku memendam rasa. Aku tak tahu kena semenjak dua menjak ni, makin bercelaru kepala aku. Rasa tak tenang.

Aku tak tau sama ada aku menghadapi depression atau sekadar terlalu ikutkan perasaan sendiri. Aku tak pernah luah kepada sesiapa. Sebab aku rasa tak ada siapa pun akan faham. Aku takut bila aku luah, orang nampak masalah aku remeh. Orang buat endah tak endah. Aku takut makin bertambah rasa bukan bukan dalam hati aku.

Aku berusia 23 tahun. Pelajar tahun akhir kursus kejuruteraan. Dahulu, aku seorang yang periang, mesra, peramah dan suka berbual. Semakin aku besar, perlahan lahan personaliti aku berubah. Kini aku semakin pendiam, sentiasa muram dan susah mesra. Even with my own siblings.

Aku tak tahu kenapa aku boleh berubah. Adakah sebenarnya tu semua faktor kematangan? Tapi sedikit sebanyak perubahan ni buat aku rasa jauh dari semua orang. Dari adik beradik aku tak kisah sangat, sebab alhamdulillah mereka care pasal aku. Jadi aku pun cuba sedaya upaya bermesra.

Tapi bila dengan orang luar..dengan kawan sebaya, guru dan pensyarah, kawan satu persatuan, junior dan senior… aku rasa jauh sangat. Bukan aku tak cuba. Aku sentiasa cuba meringankan mulut bertegur sapa. Tapi mungkin sebab gaya aku yang kadang kadang terlalu formal buat orang rasa janggal untuk terima aku dengan lebih rapat.

Aku sepi. Sunyi. Dulu aku ramai kawan. Aku riang. Kini, aku cuma ada beberapa orang rakan yang betul betul aku boleh jadi diri sendiri. Hanya dengan beberapa orang ni saja aku akan lebih banyak bercakap.

Aku memang semakin introvert. Orang pasti tak sangka aku introvert sebab mereka nampak aku aktif berpersatuan. Aktif berdebat dan public speaking. Tapi mereka tak sedar, itu semua luaran. Dalaman aku, aku terlalu takut untuk bersosial.

Mungkin sebab tu lah situasi yang berlaku sejak kebelakangan ini mendera perasaan aku. Aku tak kisah jika tak ‘disayangi’ orang lain. Tapi kawan kawan rapat aku sendiri pun sering melebihkan orang lain berbanding aku. Padahal aku sentiasa ada untuk mereka. Bantu selagi aku mampu (wang ringgit, kenderaan, masa dll).

Lagi sedih bila aku mula rasa ibu kepada salah seorang kawan aku macam dingin dengan aku. Aku mulanya ingat tu cuma perasaan. Tapi lepas berkali kali dilayan macam tak wujud, maka benarlah tanggapan aku. Bila disiasat, rupanya sebab ibunya tak suka aku kerana parents aku berbeza fahaman politik dengan ibunya.

Note that parents aku bukan orang yang ‘rajin berpolitik’. Sekadar mengundi 4 tahun sekali dan itu sahaja. Tak pernah ke perhimpunan mahupun mana mana persatuan atau markas. Tapi arwah atokku merupakan bekas ahli parlimen satu masa dulu, jadi mungkin sebab tu ibu sahabat baikku bagaikan terbawa bawa untuk benci aku.

Aku sedih sebab perkara remeh sebegini pun aku kena hadap.

Beralih pula cerita aku di sekolah dulu.

Aku dulu bersekolah di sekolah asrama penuh perempuan. Aku antara pelajar harapan kerana sentiasa top 10 dalam batch dan aktif dalam pelbagai bidang hingga ke peringkat kebangsaan. Aku sering disebut sebut sebagai calon straight A.

Malangnya, sewaktu keputusan SPM aku keluar, aku gagal mendapat straight A. Sejak dari tu, aku rasa rendah diri yang amat sangat. Aku rasa takut sangat nak berhadapan dengan guru guru sekolah aku dulu. Padahal, aku sangat rindu dan sayangkan cikgu cikgu yang dulu mendidik aku selama 2 tahun aku di asrama. Tapi aku tak sanggup nak bersua muka dengan mereka sebab dah kecewakan mereka.

Sejak ambil keputusan SPM, aku masih tidak berhubung dengan guru guru aku padahal aku setiap hari teringatkan mereka. Sebab aku malu. Aku kesal. Aku rasa hina.

Aku tak tipu, rasa kesal aku membawa bawa sehingga ke mimpi. Aku seringkali bermimpikan guru guru aku. Aku juga selalu bermimpikan orang yang pernah rapat dengan aku. Sakit rasa bila semua ni jadi.

Aku tak tau.. aku yakin bila aku cerita kepada sesiapa. Orang pasti akan kata masalah aku remeh…atau menyalahkan aku dan sebagainya. Tapi demi Allah, perasaan ni tak tertahan aku tanggung dan aku tak tahu nak cerita macam mana dah.

Maaf kalau penceritaan aku berterabur. Fikiran aku berkecamuk. Doakan aku agar diberikan petunjuk dan ketenangan.

– Arinah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit