Sakit Hati

Assalamualaikum semua. Sebelum tu aku minta maaf kalau tulisan aku ni agak tak sedap di baca ke atau tidak teratur aku pun menulis dalam keadaan marah walaupun benda ni dah lama. Dah lebih 10 tahun.

Aku waktu tu umur 16 tahun dan akak aku pula 17 tahun tu SPM. Kami ni keluarga sederhana. Ibu dengan ayah aku bekerja. Ayah aku ni boleh dikatakan biawak hidup juga, sekejap kerja cuti dia lama.

Sampai sekali ni ayah aku punya bodoh (maafkan bahasa kasar sebab sampai sekarang aku geram bukan setakat aku, akak aku pun geram juga) dia pinjam duit ahlong.

Masalahnya dia pinjam duit ahlong tu bukan untuk kami sekeluarga atau diri dia. Tapi untuk adik dia, adik lelaki dia iaitu pakcik aku. Jumlah dia banyak bukan seribu dua tapi RM7 ribu ringgit Malaysia.

Bayangkan gaji ibu aku waktu tu RM1200 sahaja. Ayah aku gaji tak adanya tak pernah kasi baik duit sewa rumah duit air api semua ibu aku yang bayar.

Tanpa pengetahuan ibu dia pergi pinjamkan. Sekali macam yang korang jangka adik dia tak bayar dah ahlong ni kacau kami sekeluarga.

Awal tu kami ingat gangster mana sebab orang Melayu yang kacau bukan orang Cina jadi tak ada lah syak ahlong.

Sekali akhirnya bila dah kena sampai simbah cat dekat rumah baru ibu aku macam “bang awak ada pinjam ahlong ke?” Ayah aku seboleh cakap tidak.

Tapi lepas benda dah berlarutan orang tu sampai kacau aku dengan akak pergi sekolah.

Sampai kami nak pergi dan balik sekolah kena sembunyi. Baru ayah aku mengaku cakap dia pinjam tapi untuk adik dia, guna ic tu semua ic ayah aku.

Ibu aku macam nak pengsan bila dapat tahu. Akak aku tanya berapa sekali dia jawab “tak banyak dalam 7 ribu nanti pak ngah kau tu bayarlah” menjerit ibu aku bila dengar RM 7 ribu. Mana nak dapat duit banyak tu.

Ibu aku dengan akak suruh report polis tapi ayah aku seboleh dia cakap jangan kalau report dia nak pukul akak aku.

Dah lah orang sekeliling tahu. Sebab kena simbah cat ni. Lepas tu balik sekolah aku akak dengan ibu aku yang kena bersihkan cat tu ayah aku goyang kaki.

Ibu aku suruh telefon pakcik aku suruh bayar tapi memang tidak lah orang tu nak angkat dia tu dah duduk tempat lain.

Bila angkat pun dia cakap “nanti lah long ada duit aku bayar, bayarkan dulu sikit²” apa jahanam kami sekeluarga nak kena bayar hutang dia.

Paling kesian akak aku. Akak aku ni dia tahun tu spm salah seorang calon untuk pelajar cemerlang sebab dari ujian awal bulan sampai ke percubaan SPM dia result cemerlang.

Tapi lepas kejadian ni nak belajar tak dapat. Nak keluar takut, bila malam nak belajar tak boleh sebab kami semua tutup lampu tak nak kasi orang nampak.

Akhirnya dah tak tahan ayah aku dengan tak bersalah cakap dengan ibu “gadai dulu emas awak nanti saya bayar balik” ibu aku cakap tak boleh ni arwah mak saya. Lagipun kalau gadai tak cukup.

Tapi lepas dah bergaduh sampai ibu aku kena pukul terpaksa gadai rantai dengan gelang ibu. Terpaksa gadai harga paling mahal tak silap aku dapat dalam 4ribu.

Tak cukup lagi 3 ribu ayah aku dia tak tambah langsung alasan dia “tengah tak ada gaji” padahal berbulan tak kerja. Kami ada motor satu rgsport tu aku rasa kalau lahir 90an tahulah motor apa.

Ayah aku berkeras nak jual sebab dia tahu cakap tak tahan kena kacau dengan ahlong. Ibu aku suruh cari adik dia taknak cakap tak tahu. Akhirnya jual motor tu.

Ibu aku menangis paling sayu sebab motor ni beli waktu zaman muda dia dulu.

Akhirnya lepas dah jual banyak barang termasuk bunga habis kami bayar. Ayah aku balik tu cakap “Alhamdulillah selesai” tapi aku akak dengan ibu dia punya marah jangan cakap.

Akak aku spm tak capai apa sebab terlampau stress dengan situasi ahlong. Sejak hari itu kami teruskan hidup tapi serba kekurangan.

Umur aku 22 tahun waktu tu tengah belajar ibu aku meninggal dunia sebab sakit. Lepas ibu dah meninggal aku dengan akak memang tak balik langsung. Ada setahun sekali balik itu pun terpaksa.

Sampai raya tahun 2019. Waktu ni datang pakcik aku yang sekian lama hilang. Datang minta maaf dekat ayah aku menangis-nangis.

Aku waktu tu tahan lagi tapi akak aku dia terus cakap “bayar balik duit ibu aku, bukan sikit tapi RM 8200”. Akak aku siap cakap kalau ikut kadar inflasi sekarang lebih kurang 10 ribu ringgit. Depan ayah aku pakcik aku, isteri dia anak anak dia.

Ayah aku dia macam tengking “kau apa ni hari raya mulia” akak aku cuma jawab “tak payah nak marah yang bayar bukan ayah itu duit arwah ibu ayah belikan balik tak motor ibu barang kemas ibu tu ayah tebus balik tak”

Lepas hari raya tu aku dengan akak terus tak balik rumah. Ayah aku siap call suruh balik tapi akak aku cakap kalau pakcik aku bayar jumlah duit yang ibu bergadai barang baru dia balik.

Sampai sekarang ye kami tak balik. Waktu covid pun tak balik. Selepas covid pun tak balik.

Aku ada lah rasa macam nak bersalah tapi akak aku cakap jangan tak payah. Selama ni dia tak kesian dekat arwah ibu tapi kita pula nak kena kesian.

Sampai sekarang tak dapat satu sen pun dari jumlah yang ibu bayar. Ibu waktu hidup pun asyik cakap rindu barang kemas ibu. Nak tebus tak dapat tapi cuma mampu bayar bunga. Tapi bunga tinggi.

Ayah aku dengan pakcik aku boleh bermaafan macam tu. Sepatutnya yang pakcik aku kena minta maaf arwah ibu aku. Dia yang terpaksa bergadai nak lunaskan hutang ahlong tu.

– Masitah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit