Sakit Hati Dengan Bisnes MLM

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Terima kasih admin sebab siarkan perkongsian aku sebelumni tentang ‘Perlu Ke Fokus Bahasa Inggeris Saja?” (https://iiumc.com/perlu-ke-fokus-bahasa-inggeris-saja/).

Dan juga terima kasih kepada anda semua yang komen. Percayalah, aku baca setiap komen tu.

Tapi kali ni aku nak kongsi bab lain pulak. Ini pun lepas aku baca perkongsian sorang confessor yang cerita tentang kawan-kawan dia yang asyik ajak dia jadi ahli bisnes MLM (Multi-level Marketing).

Benda ni pun dah banyak kali terjadi pada aku. Tapi aku nak kongsikan 3 kisah aja disini. Mungkin ada sesuatu yang korang pun boleh belajar dari kisah-kisah ni.

Kisah #1:

Sorang kawan, namanya Romi (bukan nama sebenar) yang dah bertahun-tahun tak jumpa, call pun takde. Tiba-tiba satu malam tu dalam pukul 10 dia call aku.

Lepas baru 2-3 minit berbual kat telefon dia kata nak datang jumpa dekat kawasan rumah aku. Dalam hati aku rasa pelik gak, takde angin takde ribut tetiba call dan terus nak jumpa.

Malam-malam pulak tu, tak sempat nak tunggu esok. Aku kata ok aja. Yang penting dia datang tempat aku sebab aku malas nak keluar jauh-jauh. Tapi hati aku tetap tertanya-tanya kenapa dia beria sangat nak jumpa. Dan dari pengalaman sebelum-sebelum ni, ada tiga kemungkinan:

#1: Dia memang rindu nak jumpa aku. Maklumlah, aku ni cool, budiman dan baik hati. Hahaha;

#2: Dia nak ajak aku join MLM;

#3: Dia nak pinjam duit.

Tapi aku suka husnuzon, jadi aku fikir memang sebab pertama tu la dia nak datang jumpa aku. :)

Jam 10+ dia sampai. Dari jauh aku dah nampak dia tapi dia tak datang sorang, dia bawak sorang kawan bangsa Cina. Aku dah mula rasa tak sedap hati. Apa hal bawak kawan. Bila dah duduk, dia mula bukak cerita. Ya, dia cerita tentang bisnes MLM. Aku namakan syarikat tu Nowei.

Dia beritahu macamana bisnes Nowei ni mudah dan boleh ubah kehidupan kita. Kawan dia pulak tukang mengiyakan segala apa yang dia cakap dan untuk sama-sama diorang cuba nak yakinkan aku tentang bisnes ni.

Macam biasalah gambaran yang selalu diberikan – bersenang lenang baring ditepi pantai dengan angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa, sambil menghirup pinacolada. Rumah pulak tersergam indah seperti istana, berserta dengan beberapa buah kereta mewah.

Oh ya, kebetulan bisnes yang dia nak ajak aku tu memang aku dah jadi ahli. Aku jadi ahli untuk beli produk aja, bukan untuk tarik orang buat bisnes tu.

Aku biarkan aja si Romi dan kawan dia tu cerita ‘Compensation Plan’ dan benda-benda lain tanpa beritahu diorang yang aku pun ahli Nowei tu.

Hampir 40 minit dia bercerita dan pujuk aku untuk jadi ahli, baru aku bagitahu yang aku dah memang ahli bisnes tu. Terus hangin satu badan kawan tu.

Yalah, dah jauh-jauh datang, bercerita bersungguh-sungguh tapi rupanya aku dah ahli. Dia terus balik dan kembali senyap seperti sebelum tu.

Pengajaran disini: Kalau kawan yang tak rapat atau yang lama tak jumpa tiba-tiba call nak jumpa, baik hati-hati. Ada la tu agenda diorang ni. Kalau anda jenis tak berani nak kata ‘tidak’, baik ajak abang ke kakak ke atau mak ayah pun ok untuk ikut sekali.

Kisah #2:

Ada sorang tetiba mesej aku, katanya abang aku yang suruh dia mesej untuk cerita tentang peluang bisnes. Dia ni kawan abang aku, aku namakan dia Joe.

Aku kata ok dan Joe ajak aku jumpa di sebuah hotel. Katanya ada ‘business conference’ dan aku dijemput sebagai tetamu dia. Dalam 10 minit selepas bermulanya ‘conference’ tu aku dapat agak ni mesti tentang bisnes MLM.

Betul tekaan aku, memang bisnes MLM dan kebetulan bisnes Nowei jugak (waktu ni keahlian aku dalam bisnes Nowei dah terbatal sebab lama tak aktif).

Menyesal pulak pergi sana malam-malam lepas kerja, rasa macam nak balik tapi aku dah tersangkut kat situ. Jadi aku layankan aja, juga sebab hormat kawan abang aku.

Bila dah selesai, aku pun malas nak tunggu lama-lama dan nak terus balik. Di sekeliling aku ramai ahli-ahli ‘distributor’ bisnes Nowei tengah berbual dengan prospek-prospek yang dibawa kesana.

Bila aku kata nak balik, si Joe ni mulalah ajak bual-bual dan pujuk aku untuk jadi ahli. Oh ya, isteri si Joe pun ada sekali.

Diorang suami isteri berganding bahu berusaha taknak lepaskan aku balik. Bila aku nak jalan kearah pintu keluar, cepat-cepat dia tahan laluan aku dan terus kenalkan dengan ‘leader’ dia yang tengah berbual-bual dengan prospek lain. Terus ‘leader’ dia ambik alih dan kongsi cerita dengan aku pulak.

Kemudian ajak aku jadi ahli tapi aku kata belum bersedia. Isteri si Joe siap keluarkan borang keahlian untuk aku sertai waktu tu jugak, dengan cara yang agak mendesak. Tapi aku tetap tolak.

Bila si ‘leader’ ni habis aja cerita, aku terus jalan menghala ke pintu keluar tapi macam korang pun dah boleh agak, sekali lagi si Joe potong jalan aku dan kenalkan dengan ‘leader’ lain pulak.

Sampai berkali-kali jadi macam tu, aku jadi frust. Jam dah lepas pukul 11 malam. Esok aku kena kerja. Diorang takpe la, tak perlu pergi kerja. Duit memancut-mancut masuk sambil goyang kaki. Jadi lepas dah beberapa kali macamtu, aku tegas beritahu si Joe yang aku dah kena balik sebab dah lewat sangat.

Bila si Joe nampak yang aku memang berkeras taknak jadi ahli malam tu, dia hulur satu buku suruh aku baca dan minta pulangkan pada dia lepas habis baca. Lepastu aku pun pulang.

Ni pun satu strategi bisnes. Setiap kali aku jumpa si Joe ni untuk pulangkan buku, dia akan cuba pujuk aku untuk jadi ahli dan bila aku nak balik, dia akan pinjamkan buku lain pulak. Macamtu la berterusan dia akan pinjam buku supaya aku akan terpaksa jumpa dia sebab buku dia ada pada aku.

Akhirnya satu hari tu aku jumpa dia dan cakap yang aku memang tak suka dengan bisnes tu. Dan aku dah pernah jadi ahli dan memang dah tak minat nak jadi ahli lagi.

Kenapa sebelum-sebelum tu aku tak beritahu? Mungkin aku ni baik hati, nak jaga hati orang la konon. Tapi bila sampai merimaskan, memang kena terus terang aja. Lepastu si Joe dah tak ganggu aku lagi. Alhamdulillah.

Pengajaran disini: Berterus terang dan tegas tu lebih baik dari nak jaga hati orang sangat. Kalau tak minat, cakap je tak minat. Dan macam nasihat sebelumni, kalau nak jumpa lebih baik bawak seseorang untuk temankan. Kalau pergi sorang diri, memang jadi makanan diorang aja nanti.

Kisah #3:

Abang aku join satu bisnes MLM ni, namanya Unolife (bukan nama betul). Satu hari tu abang aku ajak aku hadir ceramah bisnes Unolife ni di satu hotel. Aku pun pergi malam tu. Si penceramah seorang jejaka muda yang dah berjaya. Aku namakan dia Jali.

Kereta dia berjenama mewah, bila aku tengok rasa terpegun jugak sebenarnya. Seluruh ahli keluarga si Jali ni pun ahli bisnes ni dan semuanya mampu jana pendapatan puluhan hingga ratusan ribu sebulan.

Jadi aku pergi dengar ceramah yang si Jali berikan. Dalam ceramah siap dia bagi hadith-hadith nabi, dan ayat-ayat Qur’an sekali, juga pandai pulak berlawak dan mengusik.

Makcik-makcik yang hadir semua nampak seronok bila Jali berceramah. Jali tu dah kahwin, kalau belum kahwin rasanya ada makcik-makcik yang berebut nak jadikan menantu.

Setiap kali lepas ceramah selesai, si Jali dan ahli-ahli ‘downline’ yang rapat dengan dia akan pergi makan. Ada beberapa kali tu aku ikut sekali. Saja nak tengok.

Oh ya, Si Jali ni bina rangkaian ‘downline’ dia dengan mencari prospek yang kebanyakannya di Malaysia. Banyak kawasan di bandar-bandar besar dia dah masuk dan ramai orang yang jadi ahli bawah dia dari kawasan-kawasan tu.

Dan bila si Jali dapat tau ada ahli dari kumpulan dia yang pergi ke kawasan sama untuk cari prospek, dia naik angin. Sebab pada dia, tu kawasan dia. Kalau sesiapa nak cari ahli baru, pergi cari kat kawasan lain.

Bila aku dengar, aku tersentak. Setahu aku, dalam MLM, semua orang jalankan bisnesnya sendiri. Takde sapa yang jadi bos, dan takde yang jadi kuli. Semua sama taraf, samada ‘upline’ atau ‘downline’.

Kalau dia ‘upline’, pasti dia adalah ‘downline’ pada seseorang, melainkan syarikat tu dia punya sendiri barulah takde ‘upline’. Jadi dia takde hak untuk halang sesiapa untuk cari prospek dimana-mana, walaupun di tempat yang sama yang dia dah masuk.

Satu lagi, abang aku ada ikut diorang untuk bukak rangkaian baru di luar negara. Kerana ada sebab tertentu, abang aku terpaksa pulang tiba-tiba.

Sebelum tu abang aku ada buat promosi di negara tersebut dengan membelanjakan wang yang agak besar sehingga beribu. Si Jali janji akan tolong abang aku ‘close’ prospek tu.

Bila sampai masa katanya takde sapa yang datang nak jadi ahli. Lepas beberapa waktu abang aku dapat tahu sebenarnya ramai yang datang dan prospek-prospek abang aku si Jali ambil dan bagi ‘faraid’ sesama geng rapat yang berada bawah dia.

Banyak lagi yang dia dan adik beradik dia lakukan untuk ‘matikan’ bisnes ahli lain yang dirasakan tak bersependapat dengan dia. Diorang hanya mahu prospek untuk setakat jadi ahli biasa yang gunakan produk aja tapi tak aktif untuk jalankan bisnes tu.

Pengajaran disini: Hanya kerana seseorang tu guna hadith dan ayat-ayat Qur’an, dan berpewatakan islamik, tak semestinya dia tu boleh dipercayai.

Jangan percaya pada orang tapi kalau nak jadi ahli mana-mana peluang bisnes, pastikan anda faham, yakin dan percaya pada bisnes tu sendiri. Dunia sekarang penunggang agama ada dimana-mana.

Sekarang ni aku tak jadi ahli mana-mana bisnes MLM. Aku memang tak minat sebab walaupun kebanyakan produknya bagus tapi harganya mahal, yalah syarikat nak bayar komisyen ‘upline’ semua. Produk yang kosnya RM20 pun boleh melonjak sampai RM150.

Dan pada anda yang buat bisnes MLM ni, harap janganlah mendesak bila nak tarik prospek. Sebaiknya cari mereka yang sememangnya perlu produk yang ada dalam syarikat tu.

Contohnya macamni, syarikat ada produk kuruskan badan. Buat kajian pelanggan dan cari prospek yang nak kuruskan badan.

Biar prospek guna produk tu dulu, bila nampak hasil yang memuaskan percayalah dia sendiri yang nak jadi ahli nanti. Sebab dia yakin bila dah nampak kesan positif. Dan dia adalah testimoni sebenar. Itu lebih baik dari cari prospek semata-mata nak ramaikan ‘downline’.

Panjang dah perkongsian aku ni. Ok, rasanya baik aku berhenti disini. Banyak lagi sebenarnya kisah yang ada, tapi kalau aku kongsi semua jadi panjang macam novel pulak nanti.

Terima kasih dan tahniah kepada anda yang berjaya habiskan baca. :) Aku doakan anda kaya dan berjaya, dunia dan akhirat. Aamiin.

– Ghazi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *