Bila nampak ayat ini, selalu kita akan terfikirkan sesuatu yang mistik atau berkaitan dengan benda-benda khurafat atau bahasa kampungnya “orang buat”.
Tidak dinafikan alam ghaib ini wujud. Sifat tidak puas hati, dengki atau iri hati sesama manusia ini memang ada.
Aku sendiri pun percaya perkara ini memang ada berlaku. Tapi sejauh mana kebenarannya “ada orang buat” itu sebenarnya Allah sahaja yang lebih mengetahui.
Kenapa aku terfikir nak tulis semua ini kerana ada satu isu yang aku hadapi dimana anak buah aku sakit, tapi menurut dia doktor cakap tak ada apa-apa.
Ceritanya bermula dimana dia minta untuk pergi keklinik dari aku sambil menunjukkan kulit tangan dia ada banyak tompok- tompok melepuh dan bernanah. Katanya habis seluruh badannya naik seperti cacar air, cuma ianya nanah.
Bukan sekadar ada diatas kulit, ianya juga muncul didalam kawasan mulut sehingga dia tidak mampu makan secara normal.
Akhirnya, doktor memberi dia cuti sakit selama dua hari berserta surat rujukan ke hospital untuk membuat ujian darah.
Selepas 2 hari, dia masih tidak dapat datang kerja. Sekali lagi dia memberitahu aku dia nak tambah cuti untuk mendapatkan rawatan.
Gambar yang dia hantarkan kepada menunjukkan kesan nanahnya semakin merebak dan menjadi lebih teruk.
Katanya, doktor terkejut melihat sakit yang dialami dan mereka tidak pernah melihat kes seperti ini. Ujian darah juga menunjukkan semuanya baik saja.
Dan akhir dia beritahu aku, dia sudah jumpa 3 orang ustaz. Ketiga-tiga ustaz tersebut mengatakan bahawa ada orang yang “buat” dia.
Dia juga kata dia tidak mahu meneruskan rawatan hospital tetapi mahu terus membuat rawatan kampung.
Aku tidak menafikan semua itu. Aku nasihatkan dia, tak salah berubat cara “kampung” tapi jangan tinggalkan rawatan hospital.
Teruskan saja dengan segala ujian dan ubat-ubat yang doktor berikan. Tapi dia tetap berdegil. Aku tak ada hak untuk memaksa dia.
Selepas beberapa hari, surat cuti sakit dia sampai ke tangan aku. tersentak aku melihat tulisan doktor menulis nama penyakit yang dialami.
Tanpa buang masa aku terus laporkan pada HR untuk peringatan pada klinik panel yang merawat dia supaya membuat tindakan susulan terhadap dia.
Pada masa yang sama, aku terus telefon dia. Aku agak marah sebenarnya, kenapa boleh buat main dengan kesihatan diri. Kali ini aku terpaksa jugak memaksa dia untuk meneruskan rawatan hospital dan akhirnya dia akur.
Alhamdulillah, sekarang dia semakin pulih. Pihak HR juga ada beritahu aku, doktor ada pesan jangan sesekali tinggalkan rawatan jika tidak penyakit ini boleh meragut nyawanya.
Tetapi aku masih dengar- dengar dari anak buah aku yang lain, yang dia masih bercerita pada mereka bahawa ada “orang buat” dan doktor cakap dia tak ada sakit apa-apa dan darah semua dalam keadaan baik.
Aku tak kisah, asalkan aku tahu dia ada pergi mendapatkan rawatan kerana setiap kali dia menghadiri temujanji, aku akan minta bukti seperti “selfie” dan report selepas temujanji.
Kes ini agak membuka mata aku kerana bukan sekali aku dengar “doktor cakap semua ok, Doktor pun terkejut, doktor tak biasa jumpa lagi”. Aku terfikir, benarkah apa yang mereka sampaikan ini.
Adakah mereka menafikan bahawa mereka sebenar sakit kerana mereka memang benar-benar tidak sihat dan bukannya atas buatan orang.
Pesanan aku untuk sesiapa yang ada mak, ayah dan saudara yang tidak sihat supaya temani mereka semasa berjumpa dengan pakar atau doktor.
Mungkin juga penyampaian perawat tidak dapat dipahami oleh mereka dan jangan sesekali berhenti rawatan moden walaupun ingin menggunakan rawatan alternatif.
– Madam A (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit