Sakitnya Body Shaming Itu

Assalamualaikum wbt kepada semua pembaca IIUM Confession. Terima kasih Admin jika sudi siarkan kisah saya.

Nama aku Dee (bukan nama sebenar), berumur lingkungan 20-an. Kisah aku seperti dipaparkan. Aku mempunyai badan yang besar, sejak hormonku berubah meningkat alam remaja.

Masyarakat sering menganggap bahawa teguran terhadap insan gemuk seperti aku normal sahaja. Walhal mereka tidak tahu, dari usia aku semakin membesar aku sering mendapat ‘penghinaan’ ini.

Aku tidak lagi bertandang ke majlis keramaian seperti hari keluarga, makan-makan antara keluarga, atau kenduri kendara yang dianjurkan oleh saudara mara juga sahabat handai. Bermacam alasan aku beri bagi mengelakkan diri untuk hadir ke majlis tersebut.

Manakan tidak, aku sering kali dihina di hadapan orang ramai: “Eh, kau makin besar lah ye.” “Tengok budak ni, besar dari maknya.” “Kau ni seorang je la besar kat sini.”

Penghinaan itu berlaku bukan di hadapan seorang dua, adalah sekumpulan juga lebih kurang belasan manusia yang turut memandang aku dengan sinis. Aku hanya mampu telan air liur dan menunduk sahaja. Aku malu ya Allah. Aku malu.

Kadang-kala aku tidak mengambil peduli namun jauh di sudut hati aku tatkala aku seorang diri aku terluka dan menangis sendirian.

Luaranku seperti tiada apa berlaku namun hati aku hancur, lebih-lebih lagi keluarga sendiri pun sering menghina aku. Emosi aku terganggu dengan kata-kata ‘body shaming’ mereka.

Mungkin gurauan bagi mereka: “Nanti besar macam pintu, nampak macam tong dram.” Lebih teruk lagi mereka samakan aku dengan binatang. Namun bagi aku, aku kecewa. Ya, aku sangat kecewa. Hari demi hari aku hanya berkurung di bilik.

Aku mungkin mengidap depresi akibat ‘gurauan’ mereka. Sering juga aku putus asa untuk hidup. Orang macam aku ni menyusahkan orang lain ke? Lebih teruk lagi bila aku terfikir: “Kenapa Allah tak tarik nyawa aku? Mungkin aku menyusahkan mata semua orang sekeliling aku.”

Namun jauh di sudut hati aku, daku panjatkan doa pada Tuhan, moga Dia tutupkan hatiku dengan sifat dendam. Jauhkan aku dengan kebencian.

Walaupun mereka sering membuat aku menangis dan terluka, pupukkanlah sifat maaf dalam diriku terhadap mereka. Moga ada sinar baru untuk aku.

Bukan aku tidak usaha. Bermacam diet aku lakukan. Sesekali mencuba satu dua produk kurus, masih sama juga. Hingga suatu saat, aku sendiri putus asa dengan diri sendiri dan mengeluh: “Kenapa aku gemuk? Kenapa aku tak kurus seperti orang lain? Mereka nampak bahagia sangat.”

Aku mohon kalian doakan aku cepat kurus dan beroleh kerjaya sebagai seorang pensyarah kelak. Ya, aku ada juga menghadiri temuduga untuk kerjaya. Mereka lebih memandang personaliti dan rupa. Itu hakikatnya.

Dalam kancah percintaan pula, aku tidak menafikan lelaki lebih cenderung memilih wanita cantik rupawan, kurus dan sedap mata memandang. Ada juga aku bercinta namun setelah lama-kelamaan dia juga inginkan wanita yang sempurna. Aku makin depresi. Aku makin kecewa.

Tapi di sini aku ingin katakan, untuk semua orang yang pernah menyakiti hati aku, aku sudah memaafkan kalian. Aku doakan kalian jangan ulangi lagi ya. Kerana padah kata-kata itu boleh membinasakan hati orang lain. Penerimaan si penerima itu mungkin menganggap serius.

Ok lah rasanya dah panjang kisah aku. Sebenarnya banyak je lagi kisah yang menyakitkan tapi aku buang. Biarkan ia berlalu.

Jadi, aku mohon dari hati aku yang paling dalam, pembaca doakan aku kurus. Aku dah penat hidup dalam alam orang gemuk ni.

Doakan perjalanan aku dalam diet menu sihat dipermudahkan dan dapat mencapai berat ideal yang aku idamkan. Tak lupa juga doakan kejayaan kerjaya aku juga kebahagiaan keluarga aku dunia akhirat.

Terima kasih semua.

– Dee (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Waalaikumussalam..Dee,ini memang lumrah dunia..yang kurus,slim,cantik yang dipandang orang..dipuji dan dijulang…yang sebaliknya,dipandang hina,diejek, diperli,dan dihina. Saya pun macam awak..dan faham sangat apa yang awak rasa.srbab saya pun obes..ya.Obes.
    dulu saya pun macam awak,rasa rendah diri sangat2. Selalu menangis waktu malam kerana kerap sangat orang hina asbab badan yang besar ini.yang sedihnya,bukan keluarga terdekat je yang hina,orang yang tak dikenali pun tergamak bodyshaming kita. Pernah mengalaminya dan masih mengalami hal yg sama.
    Tapi,lama kelamaan,saya dah sampai tahap nekad tak mau peduli apa orang lain kata. Tak berbaloi kita berendam air mata dek mulut2 laser dari makcik pakcik ,tok nenek,pemuda pemudi spesies cap bawang busuk ni..
    Percayalah..puak2 ni memang suka dan tak serik hina orang..bila kita diam,lagi diorang happy..apa kata sisbuat macam ni…setiap kali diorang hina sis,tengok muka diorang,senyum dan jawab je dengan tenang..”Allah tak pandang rupa paras dan badan kita,tapi Allah pandang hati dan iman kita”..jawab je dengan selamba..Dalam Islam kan,tak dibolehkan menyakiti tubuh dan hati orang lain..RasulullahSAW tak pernah ajar umatnya bodyshaming orang lain..
    Ambil inspirasi dari Sahabat Nabi, Sayyidina Bilal Bin Rabah..beliau amat disayangi oleh Rasulullah SAW.walaupun ada kekurangan.
    Sekarang saya dah dapat cekalkan hati saya.Alhamdulillah dan saya doakan awak di petang Jumaat ni,masa ni di tempat saya hujan sedang turun dengan lebatnya supaya awak juga diberikan Allah ketabahan hati yang sama,atau lebih lagi.
    Saya dah berjaya turun 5 kg untuk tahun ini.sebelum ni berat saya tak pernah turun. Rahsianya saya cuba sedaya upaya tidak minum minuman bergula.kalau nak minum tu mungkin sebulan 4 kali.l cut sugar secara perlahan-lahan..jangan terus cut sugar 💯 Percent pada minggu pertama..kalau tak,boleh pitam nanti..slow n steady. Minum air kosong …
    Saya juga kurangkan makan..try kaedah Suku Suku Separuh…suku protein,suku karbohidrat dan separuh pinggan tu makan sayur,ulam dan buah-buahan…dlm FB ada group Suku Suku Separuh ni.sis boleh try follow n ikut tips group ni.
    Lagi satu,tentang senaman..yap.senaman jugak penting..kalau rasa tak larat nak mula bersenam, buleh try buat kerja kerja rumah dengan lebih pantas..yang penting sis bergerak dan berpeluh…sapu sampah,kemas bilik,buang sampah,cuci toilet,cuci bilik air,sapu halaman rumah,banyak aktiviti kita boleh buat.
    Lepas beberapa hari,try senaman mudah..macam brisk walk.mulakan dengan jalan perlahan-lahan 10 minit saja dulu pada hari pertama.buat 3 hari seminggu… tingkatkan kekerapan dan tempoh masa briskwalk tu..sama jugak ngan senaman jenis lain .. istiqomah dan disiplin amat penting.
    Hati hati dengan lambakan ubat kurus di pasaran..lebih baik kurus secara semulajadi dan sihat walaupun berat lambat turun.
    Saya doakan juga sis berjaya jadi pensyarah dan sukses selalu.moga sis juga berjaya kurangkan berat badan secara sihat..kurangkan berat penting supaya kita mudah beribadah ,mengelakkan penyakit dan memudahkan pergerakan seharian. Yakinlah sis akan berjaya.Insya Allah.🥰

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *