Sakitnya Tu Disini

Assalamualikum. Aku perkenalkan diri ku E. Berusia 40 tahun Ibu kepada dua orang anak remaja lelaki (A) 15 dan (Q) 14 tahun.

Baru-baru ini aku ada sedikit krisis dengan anak keduaku (Q) yang membuatkan aku terpanggil untuk mengimbas kembali kisah remaja ku yang lampau.

25 tahun yang lalu, ketika seusia anakku A, aku telah berkenalan dengan seorang lelaki yang 3 tahun lebih tua dari aku (M).

Dari awal perkenalan aku tak pernah merahsiakannya dari kedua orang tuaku. Ketika si dia bertanya adakah aku sayangkan padanya pun.. aku bercerita kepada emak.

Entah aku lupa reaksi emak. Tapi seingat ku emak tidak melarang. Abah pula kerja luar daerah yang hanya pulang seminggu sekali. Tapi aku pasti abah juga tau perihal aku dari emak.

Aku juga beritahu M emak abah tau hubungan kami jadi M kerap datang ke rumah. Oleh kerana aku masih bersekolah, M banyak habiskan waktu denganku di rumah saja.

Hubungan M dengan keluarga aku juga bertambah rapat malah turut memanggil emak abah ku ‘Emak, Abah’. Bukan setakat dengan keluarga saja malah dengan jiran-jiran pun M tidak kekok berborak dan bergurau.

Bila aku habis SPM barulah M berani bawa aku jumpa keluarganya. Seperti kebiasaan M dengan keluargaku, aku juga jadi rapat dengan keluarga M. Aku rasa aku diterima baik terutamanya dari ibu dan kakak-kakak ipar yang tinggal serumah dengan M.

Kami berborak dan bergurau, berkongsi masalah tanpa ada rasa janggal. Itulah yang membuatkan aku sangat yakin jodohku dengan M dan apalagi aku sangat yakin dengan kesetiaan M.

Bermula episod goyahnya hubungan kami bila aku sudah terdedah dengan dunia luar. Aku mula rapat dengan lelaki lain tapi sekadar untuk menjaga hati mereka. Entah kenapa aku selalu mengelak untuk berterus terang dengan lelaki lain tentang hubungan aku dengan M.

Aku tahu M sangat kecewa dan sedih bila dapat tahu tapi aku yakin M akan tetap setia dengan aku. Tapi rupanya apa yang aku sangka meleset sama sekali. Akhirnya M memutuskan hubungan kami kerana sudah ada pengganti baru yang lebih baik dari aku.

Peribadi aku yang sangat buruk juga mungkin jadi kekuatan untuk M meninggalkan aku. M bukan saja memutuskan hubungan dengan aku tapi juga dengan keluarga dan orang sekeliling ku. M tidak lagi menelefon dan datang bertandang ke rumah kami.

Ya Allah. Dunia aku kelam aku cuba menghubungi M tapi dia benar-benar ingin melupakan aku. Barulah aku sedar yang M bukan untukku dan M sedang mengecapi bahagia dengan kekasih barunya. Hati aku bagai disiat-siat setiap hari menunggu panggilan M.

Tiada daya aku merayu kerana M sungguh-sungguh membenci aku. Paling aku sedih bila aku dapat tau emak abah juga sedih kehilangan M. Sungguh aku tak daya sehingga emak mencari air penawar agar aku tak terbawa-bawa dengan kesedihan aku.

Dari situ aku muhasabah diri, terlalu banyak kekurangan aku untuk bersama M. Aku juga berpura sudah melupakan M dan berkenalan dengan orang lain untuk menipu emak abah.

Hakikatnya setiap kali bersendiri aku terlalu mengingati M dan hati aku ngilu bila terkenang. Ye sampai sekarang saat aku menulis hati aku sangat ngilu.

Ngilu itu bukan istilah tapi ngilu yang betul-betul aku dapat rasa dihati ni. M pernah bermanis mulut bukan nama aku tertulis dihatinya tapi terukir. Rupanya itulah aku.

Jika nama M tertulis dihati ni mudah saja aku padam tapi rupanya nama M terukir tidak terpadam cuma pecah berderai yang sakitnya sampai sekarang terkesan.

Sekian lama aku memendam, akhirnya aku nekad meluah pada suami apa yang aku simpan. Suami mengajar untuk aku ikhlas memaafkan diri sendiri dan M.

Bertahun lama sudah aku maafkan tapi rasa itu tidak hilang. Entah mungkin ikhlas dan redha itu tak seiring dengan hati.

Kadang-kadang bila aku berkumpul adik beradik kami selalu mengimbau zaman kanak-kanak dan remaja kami. Ada jugak kakak atau adik aku menyentuh tentang aku dengan M. Aku gelak sampai mengalir air mata.

Bukan aku gelak kerana kenangan lama tapi aku berlakon gelak kerana air mata mengalir menahan sakit ngilu dihati apabila teringat tentang M.

Baru-baru ini aku dapat tahu anakku Q ber’wasap’ dengan kawan perempuan. Aku sungguh melarang kerana aku tak mahu anak aku mengenal ‘sayang’ pada usia muda. Kerana bagi aku zaman remaja ini lah pengaruhnya sangat kuat pada ingatan.

Aku tak mahu anak aku menanggung hati yang ngilu sepanjang hayatnya kerana orang yang tak pasti seperti aku. Kerana melupakan seseorang yang pernah bererti dalam hidup kita tak semudah bercakap. Mungkin bila sudah nyanyuk baru boleh lupakan dia.

Kadang aku tertanya kenapa emak abah tak melarang dulu? Kenapa emak abah tak nasihatkan aku untuk habis belajar dulu? Kenapa tak ingatkan aku tentang dosa pahala (walaupun aku sendiri tau)?

Tapi aku tak salah kan mereka. Andai mereka menegah apa penerimaan aku seorang anak yang kepala batu dan keras hati dulu?

Untuk anakku, aku berazam untuk mengelakkan mereka berkenalan rapat dengan mana-mana perempuan dalam usia muda.

Aku berbincang dengan suamiku izinkan aku mengatur perjalanan anak-anakku. Walau sekeras mana mereka menolak aku tetap tarik mereka ke jalan yang aku rencanakan.

Mungkin orang kata aku zalim anak sedang meningkat remaja jangan dikongkong.

Zaman mereka juga tidak sama. Semoga Allah memberi aku kemudahan untuk aku membimbing anak-anakku ke jalan yang diredhaiNya. Dan semoga anak-anakku memahami dan tak membenci aku kerana aku melarang apa yang mereka inginkan.

– Ibu E (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *