Salah Faham Bunuh Diri

Assalamualaikum semua. Nama aku Izz. Terlebih dahulu aku ingin ucapkan terima kasih kepada admin sekiranya luahan aku disiarkan. Aku disini untuk beritahu tentang salah faham tentang seseorang yang ada kecederungan untuk membunuh diri.

Ini cuma pendapat peribadi aku dari apa yang aku lalui sendiri. Jadi sebelum aku terangkan tentang salah faham, aku ceritakan dulu serba sedikit kisah aku supaya kalian mengerti yang aku memberi pendapat bukan berdasarkan teori tapi dari pengalaman aku sendiri.

Sejak aku darjah 2, aku dah terfikir untuk bunuh diri. Kelakar bukan? Apalah yang budak berumur semuda tu tahu makna kehidupan? Tapi itulah hakikat. Dirumah,aku ada masalah keluarga. Disekolah, aku dibuli. Aku tak ada sesiapa yang boleh aku luahkan perasaan.

Nak buktikan Allah tu maha penyayang, Dia lindungi aku setiap kali minda aku dalam keadaan paling teruk. Aku tak pernah jumpa dr. untuk masalah mental aku sebab aku yakin aku boleh pulihkan diri aku sendiri. Apa masalah aku sehingga aku cederung nak bunuh diri? Tak perlulah tahu sebab aku disini untuk beritahu salah faham tentang mereka yang ada fikiran macam aku.

1. Ingat Tuhan.

– Percayalah. Seseorang yang nak bunuh diri dan tidak melakukannya kerana percaya bunuh diri akan masuk neraka, itu dah cukup. Tak perlu paksa mereka untuk dekatkan diri dengan Tuhan. Kerna, saat itu merekalah yang paling banyak menangis tiap kali solat,membaca al-quran mahupun saat sendiri. Jangan kelirukan mereka yang mereka sedang jauh dari Tuhan sedangkan hakikatnya mereka sedang dalam keadaan paling dekat dengan Tuhan.

2. Sayang diri sendiri.

– Ini adalah nasihat yang paling mustahil nak dilakukan. Kenapa? Seseorang yang nak membunuh diri. Mereka sedang membenci diri mereka sendiri walau kau tahu yang buat mereka jadi macam tu adalah orang lain tapi bila mereka ada fikiran nak membunuh diri, itu bermakna mereka dah tak salahkan orang lain. Mereka akan sentiasa cakap dengan diri mereka bahawa merekalah yang salah.

Jadi, bila kalian jumpa seseorang yang ada niat nak bunuh diri. Daripada bagitahu mereka jangan salahkan diri sendiri, kalian bagitahu yang kalian sayang mereka. Sentiasa ulang ayat yang kalian sayang mereka setiap masa. Pastikan ikhlaslah ya. Percayalah, orang yang membunuh diri tak akan dan tak pernah tahu untuk menyayangi diri sendiri. Sekurangnya dengan mengatakan kalian sayang mereka, mereka tahu masih ada seseorang untuk mereka didunia ini.

3. Luahkan.

– Meluahkan apa yang mereka rasa adalah perkara yang sukar untuk dilakukan. Mereka lebih suka untuk pendam. Tapi itu tak bermakna mereka tak nak bercerita. Mereka akan bercerita juga cuma perlukan masa. Dan bila masanya tiba, adakah orang sekeliling mereka akan sudi mendengar? Boleh ke orang sekeliling mereka tepikan dulu urusan mereka dan mendengar luahan orang nak bunuh diri ni?

Aku pernah nak luahkan masalah aku dan akhirnya, aku batalkan niat bila aku sedar tiada sesiapa yang mahu luangkan masa untuk dengar apa yang aku rasa. Bila aku luahkan sepatah, nasihat mereka lebih banyak dari apa yang aku cuba sampaikan. Kerna itu, mereka yang ada niat bunuh diri lebih suka pendam dan esoknya kau lihat mereka dah tak bernyawa. Dan ketika itu, kau baru sedar bahawa hebatnya sesuatu yang mencengkam jiwa mereka.

Cukuplah 3 ini sahaja dulu. Untuk mereka yang ada niat untuk membunuh diri. Ini nasihat aku untuk kalian.

1. Tidak memikirkannya bukanlah bermakna melupakan.

– Jangan paksa diri untuk melupakan sesuatu yang kau tak suka. Itu mustahil. Kerna kau akan bawanya sampai mati. Semua memori itu akan tetap abadi di dalam jiwa dan minda kita. Tapi pilihlah untuk tidak mengingatinya. Buat sesuatu yang membuatkan kau semakin terlupa akan sesuatu yang menyakitkan.

2. Tak mengapa.

– Tak mengapa kalau tiba-tiba kau jadi terlebih murung, terlebih menangis, terlebih lemah. Tak mengapa kalau tadi kau gembira, sesaat kemudian kau menangis. Tak mengapa kalau kau takut untuk berasa gembira. Tak mengapa kalau orang lain terlihat kau lemah. Kau manusia, sedih,lemah,marah itu juga menjadikan kau manusia. Tak mengapa.

3. Masanya akan tiba juga.

– Mati. Semua orang akan mati. Mungkin hari ini, mungkin esok, mungkin lusa. Pujuk diri supaya tahankan sedikit masa lagi. Aku tahu hidup dan nafas ini adalah beban untuk seseorang yang ada niat untuk bunuh diri. Tahanlah sedikit masa lagi, pasti masanya akan tiba juga. Dan akhirnya, semua ini cuma mimpi.

Itu sahaja dari aku. Aku tak kata aku dah pulih. Ada masa, niat itu datang semula bila sesuatu perkara mengingatkan aku kembali. Aku juga tak kata, apa yang aku cakap betul. Mungkin banyak salah dari betulnya. Untuk itu, aku minta maaf.

Akhir kata, selamat berpuasa dan selamat menyambut bulan ramadhan. Semoga kita semua sentiasa dibawah lindunganNya dari segala sesuatu yang buruk yang datang dari diri sendiri mahupun sekeliling.

Sekian, dari aku.

– Izz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *