Salah Kami Ke?

Bismillahirrahmanirrahim

Dear team IIUM, please respect my privacy by not mentioning my name.
Saya seorang wanita bujang berumur 30+, ex-iium. Saya rasa, semua wanita berkerjaya yang berumur 30an dan masih single mesti pernah kerap kali mendapat persoalan berkaitan jodoh. Ada yang memberikan pendapat mereka mengenai ‘kenapa kami masih bujang’. Mostly mengatakan yang masalahnya ialah berpunca daripada diri kami sendiri.

Pernah ada seorang rakan lelaki menyatakan bahawa, lelaki nak cari wanita yang tak pandai menjawab. Senang nak control katanya.

Pernah ada seorang rakan lelaki menyatakan bahawa, ‘kalau kau cerah sikit, confirm ada lelaki nak.’

Pernah ada seorang saudara lelaki menyatakan bahawa, wanita kena pura-pura tak tahu walaupun serba tahu. Tak perlu tunjuk diri independent (berdikari).

Menurut mereka, semua perkara yang saya kongsikan di atas adalah kekurangan wanita-wanita bujang yang berumur 30an dan menjadi punca kenapa kami masih bujang. Wanita yang pandai menjawab dilihat sebagai satu kekurangan. Wanita yang berkulit gelap dan tak cantik dilihat sebagai satu kekurangan. Wanita yang serba tahu dan berdikari dilihat sebagai satu kekurangan.

Wahai saudara saudari sekalian,

Jika kami, wanita, pandai menjawab, bukanlah bermaksud kami hendak melawan kata. Tetapi kami cuba hendak mempertahankan hak kami. Terlalu ramai orang sekeliling termasuk rakan-rakan sekerja cuba menindas kami wanita bujang. Bujang boleh buat overtime. Bujang boleh kerja weekend sebab tiada komitment lain. Adakah anda tahu mengenai perkara itu? Berapa ramai suami orang cuba hendak menggatal dengan kami? Adakah anda tahu mengenai perkara itu? Berapa ramai mekanik cuba mengambil kesempatan dengan driver wanita? Adakah anda tahu mengenai perkara itu?

Walaupun kami tidak punya suami dan anak-anak, kami masih ada ibu bapa, adik beradik, saudara mara. Hubungan ini juga perlu dijaga.
Kami menjawab tegas segala soalan-soalan gatal daripada suami-suami orang kerana kami sebolehnya tidak mahu menjadi perosak rumah tangga orang lain. Kami cuba letak diri kami dalam kasut para isteri membayangkan jika suami-suami kami cuba menggatal di belakang kami, apakah perasaan kami.
Pengalaman saya kena tipu semasa membaiki kereta pada satu ketika dahulu amat menyakitkan hati saya. Rupa-rupanya barang baharu yang ditukar sebenarnya dah tersumbat dan berkarat. Wanita kurang pengetahuan mengenai enjin-enjin kereta, maka anda ambil peluang ini.

Wahai saudara saudari sekalian,

Jika kami berkulit gelap dan tidak cantik, adakah kami perlu menghabiskan duit untuk menjadi cantik di mata-mata lelaki semata-mata untuk didekati? Adakah lelaki-lelaki yang mencari wanita putih dan cantik itu semuanya sempurna fizikal? Allahuakbar, kecantikan fizikal tidak kekal. Adakah kita semua tidak tua? Semakin tua, kulit semakin kendur. Semakin tua, macam-macam penyakit ada. Kadang-kadang, tak perlu tunggu tua, berapa ramai orang muda yang berada di hospital sekarang kerana sakit?

Janganlah menilai kami dari segi rupa kami. Kami tidak cerah, kami tidak putih, semuanya itu telah diberikan oleh Allah. Dengan mengata paras rupa kami, adalah seperti mempersoalkan keputusan Allah. Allah jadikan seseorang sebegitu rupa mestilah ada sebabnya.

Wahai saudara saudari sekalian,

Kami wanita serba tahu dan berdikari bukanlah sebab cuba untuk mengatasi para lelaki. Keperluan di zaman serba moden dan canggih sekarang ini memerlukan kami para wanita untuk menjadi serba tahu dan berdikari. Bila mula-mula kerja dan masih bujang, kamilah yang selalunya dihantar untuk menghadiri kursus di luar kawasan dan perlu menguruskan pengangkutan sendiri. Adakah dengan cara meminta ayahanda yang dah berumur untuk menghantar kami ke tempat kursus jalan yang terbaik? Adakah dengan cara meminta kenalan lelaki yang sedang bekerja untuk menghantar kami ke tempat kursus jalan yang terbaik? Kami akhirnya perlu memandu sendiri ke tempat kursus. Kami akhirnya perlu merujuk peta sambil memandu sendiri ke tempat kursus. Kami serba tahu dan berdikari sebab kami tidak mahu menyusahkan orang sekeliling kami. In the end, kami menjadi pemandu serba boleh kerana ini adalah perkara yang biasa kami lakukan kerana kami masih bujang.

Wahai saudara saudari sekalian,

Tidak bolehkah jika kita semua lihat semua ‘kekurangan’ ini sebagai ‘kelebihan’?

Wahai kaum lelaki, mempunyai isteri yang pandai menjawab sebenarnya ada baiknya. Anda tidak perlu risau si isteri akan ditindas di tempat kerja. Bab di rumah, bimbinglah isterimu agar tidak dianggap melawan kata-kata suami. Itulah tugas suami, bimbing isteri.

Wahai kaum lelaki, mempunyai isteri yang tidak putih, tidak cerah dan tidak cantik ada baiknya. Anda tidak perlu risau si isteri akan digoda oleh lelaki lain. She is yours 100%!

Wahai kaum lelaki, mempunyai isteri yang serba tahu dan berdikari ada baiknya. Anda tidak perlu risau si isteri akan kena tipu kerana dia serba tahu, Anda tidak perlu risau si isteri memandu jauh kerana si isteri pandai memandu dan berdikari. Jika ditakdirkan si suami sakit terlantar di hospital, anda tidak perlu risau kerana isteri anda akan dapat menguruskan rumah tangga InsyaAllah dengan jayanya tanpa anda.

Walaubagaimanapun, itu tidak bermakna para suami boleh lepas tangan kerana tidak risau. Hargai isteri anda.

Anyway, berbalik kepada tajuk petikan ini,
Adakah salah seorang wanita pandai menjawab?
Adakah salah seorang wanita tidak putih dan tidak cantik?
Adakah salah seorang wanita serba tahu dan berdikari?
Adakah semuanya ini yang menyebabkan kami masih bujang?
Adakah semuanya ini yang menyebabkan kami tidak layak menjadi seorang isteri?

Salah kami kah? Diharapkan perkongsian ini dapat membuka mata saudara saudari sekalian, bahawa kita semua ada kekurangan dan ada kelebihan. Dan janganlah pandang kekurangan orang sebagai satu masalah. Sebaliknya cuba pandang kekurangan orang sebagai satu perkara positif dan unik. Semoga kita semua bermuhasabah diri.

Terima kasih.

– Z

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *