Salah Sangka

Kes ini bermula apabila seorang pelajar di universiti tempatan ini dimasukkan ke zon kecemasan akibat pengsan. Asalnya, dia sihat walafiat sahaja sebelum ini, namun saat kemalangan motosikal yang minor membuatkan dia rebah dan tidak langsung menunjukkan tanda-tanda respon terhadap penglihatan, percakapan dan pergerakkan.

Jam 10.45 malam, pesakit ini dikejarkan ke hospital oleh sebuah ambulans yang kemudiannya tiba jam 11.00 malam. Melihat keadaanya yang tidak sedarkan diri langsung, aku cuba pelbagai cara untuk memeriksa Glasgow Coma Scale nya, atau dikenali sebagai GCS.

GCS ini membolehkan seorang doktor menentukan pelan rawatan sepenuhnya. Pesakit ini bernama Muiz, berumur 20 tahun. Agak muda. Aduan rakan-rakannya mengenai keadaannya yang mengalami kemalangan apabila motosikalnya merempuh belakang sebuah kereta serta terus tidak sedarkan diri membuatkan aku sedikit skeptik.

Aku sudah bekerja di bawah jabatan kecemasan melebihi 5 tahun. Pelbagai kes-kes yang lebih kurang sama seperti ini berlaku, di mana hujungnya, setelah diperiksa, pesakit-pesakit tersebut sebenarnya hanyalah berbuat sedemikian untuk menutup salah silapnya.

2 bulan lepas, seorang pelajar perempuan juga jatuh motosikal, dan hadir dengan GCS nya 3, iaitu markah paling rendah. DIa langsung tiada respon, baik dari segi matanya, percakapan mahupun pergerakkan. Taktala aku menyatakan pesakit ini perlu di masukkan dengan satu tiub kencing, serta merta dia sedar. Rupa-rupanya dia hanyalah berlakon tidak sedarkan diri.

Soalan demi soalan ditanyakan mendapati bahawa dia berbuat sedemikian kerana motosikal rakannya yang dipinjam sewaktu kejadian remuk sedikit. Dia tidak mahu dipersalahkan, dan membuat keputusan untuk berlakon, seolah-olah tidak sedarkan diri.

Banyak lagi kes-kes sebegini, ada yang kononnya tidak sedar kononnya dirogol, walhal suka sama suka. Ada yang buat-buat gila, dan hanya jadi waras apabila aku mengugut untuk menelefon ibunya. Perbuatan sedemikian hanyalah kerana takut dimarahi ibunya kerana dia keluar malam.

Jadi, berbalik ke kes melibatkan Muiz, aku juga pada awalnya mempunyai prasangka sedemikian. Sedikit skeptikal dengan lakonan-lakonan kreatif pesakit yang adakalanya semata-mata kerana ingin menutup kesalahan mahupun inginkan perhatian daripada doktor.

Mengikut kepada medical assistant (MA) yang menjadi orang pertama melihat dan memeriksa pesakit, anak mata pesakit ini reaktif ketika disuluhkan dengan lampu pentorch. Pengecutan kedua-dua anak mata ini dipanggil pupillary reflex, di mana tanda ini boleh menunjukkan keadaan otak yang normal. Sebaik pesakit dipindahkan ke zon kuning, aku menekan-nekan dadanya untuk menilai tahap kesedarannya, tetapi dia langsung tak bergerak.

Aku lihat, seorang house officer di situ menyuluh mata pesakit. Dia menyatakan kepada aku bahawa pupil reflex pesakit masih reaktif terhadap cahaya. Aku mengangguk sahaja.

Aku kemudiannya berteriak kepada jururawat untuk memberikan pesakit ini topeng gas, beserta tiub kencing. Tetapi, pesakit masih tidak sedarkan diri. Aku dapat rasakan kes ini bukan kes lakonan lagi.

Aku membuat tanggapan, mungkin refleks anak mata pesakit yang dinilai oleh house officer dan MA tadi salah.Aku segera mendapatkan pentorch yang terletak di poket kiri bajuku, dan aku sinarkan cahaya kepada mata pesakit.

Anak matanya yang mengembang dan tiada respon terhadap cahaya yang aku sinari menyebabkan aku jadi cuak dan terkejut. Pesakit ini betul-betul mengalami masalah dengan otaknya, bukan main-main! Aku segera melihat vital signs nya di mesin Dynamap, menunjukkan tekanan darah dan denyutan nadinya masih normal.

Aku mencapai set intubasi yang terletak di troli kecemasan. Memang itu langkah pertama yang aku buat taktala aku melihat tekanan darah dan denyutan nadi pesakit normal. Sekurang-kurangnya aku perlu memastikan pernafasannya tidak terhalang. Dalam keadaan ini, aku faham bahawa vital signs yang normal itu tidak akan bertahan lama.

Aku mendongakkan kepala pesakit, serta memeriksa. Nyata gag reflex nya sudah tiada! Gag reflex adalah satu jenis refleks yang dimiliki oleh orang normal untuk menghalang apa-apa bendasing daripada termasuk ke saluran pernafasan. Apabila gag reflex ini tiada, ini menunjukkan pesakit mengalami masalah pada bahagian kepalanya. Aku membuat prosedur intubasi, serta menyambungkan tiub pernafasannya kepada ventilator mudah alih.

“We need CT Scan now!”, aku berteriak kepada jururawat, yang dengan pantas hadir dan bersedia untuk menolak pesakit ke bilik pemeriksaan radiologi.

Aku jadi semakin cuak apabila keputusan CT Scan pesakit menunjukkan ada pendarahan di dalam otak pesakit. Segera aku capai telefon, menghubungi pakar bedah otak yang oncall malam itu. Sambil itu, aku mengarahkan house officer aku menghubungi dewan bedah untuk kes kecemasan.

Pesakit masih stabil sewaktu itu. Dalam hatiku sedikit marah dengan house officer aku, kerana aku rasa penilaiannya terhadap anak mata pesakit itu tidak betul. Namun, aku terfikir juga, mungkin semasa penilaiannya tadi, pesakit masih normal.

Tanda anak mata pesakit yang mengembang semasa aku memeriksa tadi jelas menunjukkan otak pesakit tidak mendapat oksigen yang cukup. Dalam hatiku sedikit kehairanan, mana mungkin kemalangan kecil sebegini boleh menyebabkan pesakit yang sihat serta muda ini mengalami pendarahan dalam otak.

Kemudian, aku teringat. Ya, mungkin kerana ada salur darah yang tidak normal di dalam otaknya sebelum kemalangan itu tadi. Mungkin kerana salur darahnya terlalu fragile, yang mana dalam kes-kes arterio-venous malformation (AVM), tidak banyak daya diperlukan untuk menyebabkan pesakit mengalami pendarahan seteruk ini.

Hentakan kecil sahaja boleh menyebabkan salur darah yang abnormal ini pecah, dan lebih malang buat Muiz apabila AVM ini terdapat di bahagian otaknya! Mr Yusuf datang bersama medical officer nya ke jabatan kecemasan. Setelah dia membuat penilaian, dia mengarahkan pesakit ditolak ke dewan bedah kecemasan.

Sememangnya, apabila kes-kes melibatkan salur darah yang pecah di dalam otak, kes ini akan meningkatkan tekanan di dalam tempurung kepala pesakit, dan peningkatan tekanan ini boleh menyebabkan kematian! Satu-satunya rawatan adalah dengan membuat satu lubang di tempurung kepala pesakit, serta membuang mana-mana darah yang beku.

Pembedahan ini kita namakan sebagai craniectomy and evacuation of blood clot, di mana pakar bedah otak merupakan doktor bedah yang bertanggungjawab terhadap kes-kes sebegini. Sebahagian tengkorak kepala pesakit akan dibuang bagi meredakan tekanan dalam tempurung kepala yang terlalu tinggi itu akibat pendarahan dan pembengkakkannya.

Setelah pesakit ditolak ke dewan bedah, aku termanggu-manggu di balik tirai yang menempatkan pesakit ini tadi. Aku berfikir, adakah kerana disebabkan diri aku yang mempunyai sikap suka menuduh dan berfikiran negatif terhadap pesakit ini melewatkan diagnosis pesakit dibuat?

Adakah silap MA atau silap house officer aku, mahupun silap aku sendiri yang menyebabkan kelewatan dalam rawatan pesakit? Aku terfikir sejenak, namun kemudian aku tahu, tiada siapa perlu dipersalahkan, kerana mana mungkin seorang doktor, mahupun petugas kesihatan sengaja membuat penilaian dan pemeriksaan yang salah terhadap pesakit.

Pesakit masuk bertali arus pada malam itu. Aku perlu menumpukan perhatian sepenuhnya untuk rawatan pesakit yang lain. Sambil itu, aku menadah tangan, berdoa kepada tuhan agar pembedahan otak Muiz berjaya dan dia kembali sembuh semula tanpa apa-apa kecacatan.

Namun, doa aku ibarat tidak diterima. Muiz maut di meja pembedahan akibat pendarahan otak yang tak terkawal. Walaupun pakar bedah berusaha bersungguh-sungguh menstabilkan keadaan pesakit, namun usaha itu tidak berkesan apabila tekanan darah Muiz semakin rendah, dan akhirnya maut.

Aku terfikir, memang sebagai petugas kesihatan, kadangkala ada beberapa pesakit yang memang hadir ke jabatan kecemasan dengan niat yang lain. Adakalanya berlakon sakit semata-mata untuk mendapatkan Medical Certificate (MC) dan ada yang berlakon tidak sedarkan diri kerana ada tujuan lain.

Namun, dalam kes malam itu, aku mendapat satu pengajaran dan pukulan kuat terhadap diriku, supaya berhenti memberikan sikap prejudis, sifat negatif dan menganggap seseorang itu menipu dan berniat lain sebelum aku membuat penilaian dan pemeriksaan fizikal pesakit tersebut sendiri.

Aku juga dapat belajar untuk tidak menerima keputusan pemeriksaan terhadap pesakit sewenang-wenangnya tanpa membuat pemeriksaan tersebut sendiri.

TAMAT…

Cerita ini dikongsikan oleh rakan saya, seorang medical officer yang bekerja di jabatan kecemasan selama hampir 5 tahun. Segala nama, lokasi dan kejadian diubah serta beberapa fakta ditambah untuk membuatkan cerita ini lebih menarik.

– Ilzanno Sharky (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *