Salah Satu Daripada Kami Adalah Syaitan Itu

Mungkin kerana aku dilahirkan kembar, cara aku berfikir agak berbeza dari yang lain.

Aku baca kajian, dan membuat research berkenaan asal usul kembar sehinggalah aku terbuka satu artikel gelap dari negara barat berkenaan dark history kembar ni. Kenapa orang zaman dulu kata anak kembar ni adalah anak syaitan.

Sekiranya sepasang kembar dilahirkan, harus dibunuh seorang. Kerana beranggapan kembar satu lagi bukan manusia. Jika tidak dibunuh akan bawa malapetaka.

Dan terdapat pula kepercayaan orang zaman dahulu bahawa bayi kembar adalah satu petanda dan kelahiran mereka adalah simbol di antara kejahatan dan kebaikan dimana satu kembar merupakan dari bahagian kebaikan dan satu lagi kembar dari bahagian kejahatan.

Kembar memiliki spiritual berbeza dari manusia normal kerana mereka boleh berkomunikasi dengan kembar mereka tanpa bercakap.

Dan hampir majoriti kembar memiliki perangai yang pelik atau aku panggil unik membuatkan semua tidak faham akan kembar.

Mereka percaya bayi kembar tidak sama seperti bayi normal. Akibat itu bayi kembar di jadikan “sacrifice” iaitu korban kepada Tuhan supaya Tuhan tidak murka.

Mula-mula aku rasa semua itu mengarut. Percaya atau tidak aku baca artikel dan sejarah gelap bayi kembar pada umur 12 tahun. Saja memenuhi rasa ingin tahu.

Aku dan kembar aku selalu dilabel aneh. Aku anggap ia biasa saja Kerana berfikir mereka tak pernah tengok kembar. Tapi rupanya yang dikatakan aneh itu bukan dari rupa kami yang seiras tapi cara kami berkomunikasi.

Ambil masa sehingga aku tingkatan 3 untuk sedar bahawa bercakap dengan ‘kawan imaginasi’ aku sebenarnya tidak normal. Atau mungkin itu sebenarnya bukan ‘kawan imaginasi’ aku tapi benda lain.

Kami lahir tak cukup bulan. Lahir pula bulan Julai dan nama serta rupa pula seiras. Bila fikirkan semula ibarat aku ni ada 2. Aku adalah aku dan dia adalah aku.

Tapi ada sesuatu yang tak betul tentang semua ni. Kalau aku adalah aku dan dia adalah aku, kenapa Kena ada dua ‘aku’ ?

Terasa ganjil apabila kau hidup dengan diri kau yang satu lagi, makan bersama, sekolah bersama, bercakap bersama dan memiliki suara serta rupa sama tapi sebenarnya tak sama.

Aku dibandingkan setiap hari, tentang segala aspek tentang dia. Selama aku hidup di dalam dunia penuh dengan pelangi, bunga dan ‘kawan imaginasi’ aku, ini kali pertama pintu ke realiti terbuka luas. Kami serupa. Tapi kami tak serupa. Kalau sama kenapa tak sama? Tak faham.

Bayangkan lahir bersama, memiliki muka sama, suara dan hidup bersama hampir setiap masa tapi rupanya dia tak memiliki perasaan yang sama dengan aku.

Dia buat keputusan untuk “aku: aku, dan kau: kau”. Tak ada lagi “kita”. Aku faham. Tapi aku tak faham. Kenapa macam tu?

Berkecai jiwa aku ibarat separuh jiwa aku lari. Dia adalah separuh jiwa aku. Separuh dari aku. Dia adalah aku. Aku masih muda. Masih mentah. Tak faham apa yang aku rasakan.

Aku biarkan dia buat sesuka hati dia. Kami masih bersembang tapi dia buat keputusan untuk tak bercakap dengan aku di sekolah.

Aku tak faham dan aku biul. Aku anggap dia tak nampak aku jadi aku anggap ini permainan yang dimainkan kita berdua di sekolah. Bila balik rumah kami bercakap semula jadi apa salahnya.

Tapi nampaknya dia dah tak mahu bersembang di dalam rumah juga. Dia mula mahukan bilik asing. Aku masih biul. Aku anggap permainan kita dah dipanjangkan sehingga ke rumah.

Sekali lagi, apa salahnya kita main permainan ni. Seperti yang aku terangkan, aku masih mentah.

Tak faham apa itu heart broken.

Setelah 2 tahun main permainan ni aku dah sedar sesuatu. Sepanjang waktu aku jarang berkomunikasi dengan dia, aku habiskan waktu aku dengan ‘kawan imaginasi’ aku. Begitu juga dengan dia. Sekali lagi aku ingatkan, aku biul. Aku berada dalam dunia aku sendiri.

Aku tak tahu rupanya ianya tidak normal memiliki ‘kawan imaginasi’ apabila ada kawan aku yang berani tegur aku tentang hal itu. Aku budak popular manakala dia budak pendiam.

Aku memiliki ramai kawan dan selalu bergerak dalam kumpulan. Jadi mungkin itu sebabnya dia tidak mahu bercakap dengan aku ketika di sekolah.

Setelah ditegur berkenaan isu aku bercakap dengan ‘kawan imaginasi’, aku mula berhenti.

Tapi setelah lama kemudian sesuatu mistik berlaku pada aku. Bunyi bumbung bilik aku dihentak kuat. Bunyi cakaran pada tingkap kaca. Dan juga bayangan abstrak secara rawak di merata tempat setiap masa.

Ia berterusan selama beberapa tahun sehingga aku kadang kala tak sedar kerana sudah terbiasa. Sehingga kini aku tak pasti ‘kawan imaginasi’ aku tu adalah imaginasi atau benda lain. Tapi bagaimana pula dengan ‘kawan imaginasi’ dia pula?

Satu perkara sudah nyata, benarlah kembar memang memiliki spiritual atau bakat yang lain. Aku tak mampu melihat benda ghaib tapi aku boleh rasa, begitu juga dengan dia.

Beberapa tahun sudah berlalu, selepas tukar sekolah baru kami kembali rapat. Tapi sepertinya ada satu dinding kaca di antara kami. Dan makin lama dinding itu telah bertukar menjadi dinding bata.

Sekali lagi dia mengisytiharkan “aku:aku dan kau:kau”. Layanannya terhadap aku semakin aggresif. Aku seperti kehausan kerana cuba memberi segala air yang aku ada kepada dia.

Dulu aku anggap dia adalah aku, tetapi setelah ditindas berkali kali aku hilang identiti. Aku menganggap diri aku adalah dia. Aku dahulukan dia. Segala kemahuannya aku berikan. Aku bukan lagi dia. Aku adalah bayang-bayang dia.

Aku masih biul. Tak mengapa saja kalau aku adalah bayang-bayang dia. Dia masih aku walaupun bukan aku. Bayang-bayang tetap juga bayang-bayang dia. Tak ubah perasaan aku pada dia. Nombor satu dalam hidup aku. Separuh jiwa aku.

Sehinggalah tanpa dijemput hadir ke majlis perkahwinannya aku terkilan. Bahkan aku tidak tahu dia sudah ada ‘nombor satu’ dalam hidup dia. Bukan aku nombor satu itu.

Marah menutupi perasaan sedih aku. Aku pura pura marah supaya aku boleh tipu diri aku bahawa aku tak sedih dengan layanannya terhadap aku.

Tapi dia adalah ‘nombor satu’ aku. Setelah aku berikan segalanya kepada dia walaupun ditindas, segala buruk dilemparkan, segala sakit yang diukir ke hati aku ni, aku biarkan kerana beranggapan bahawa dia merasakan sama seperti aku. Iaitu Sayang dan kasih.

Baru aku sedar perasaan yang aku rasakan sewaktu dia buat keputusan untuk “aku:aku dan kau:kau” itu rupanya perasaan dikhianat.

Mungkin tak akan ada siapa yang memahami perasaan aku. Semua mengganggap ini perasaan yang adik beradik rasa setelah abang atau kakak mereka kahwin. Tidak ini lebih dari itu. Kasih aku terhadap dia bukan seperti adik beradik.

Bukan pula seperti kawan atau kekasih. Ia lebih dari itu. Aku mengganggap dia adalah aku. Jadi aku menyayanginya seperti aku menyayangi diri aku. Tapi Kasih aku besar. Aku menyayangi bukan untuk seorang tapi untuk dua orang.

Aku memiliki jiwa besar dan kasih yang aku curahkan cukup besar dan luas sehingga aku mampu menyayangi diri aku dan dia sama rata.

Mustahil seseorang itu untuk menyayangi orang lain lebih dari diri sendiri. Sekiranya kau dan rakan kau lemas sudah pasti kau akan selamatkan diri sendiri bukan?

Tapi bukan aku. Aku terlalu menyayangi dia sehinggakan segala masalah dia ibarat masalah aku, jadi apabila dia dibuli cikgu, aku; pelajar baik tetap bangun dan memaki cikgu itu sehingga kami dibuang sekolah bersama.

Dia sakit aku juga turut sakit. Tapi malangnya kalau aku sakit, dia tetap sihat. Sebab aku bukan nombor satu dia. Walaupun dia separuh jiwa aku, aku bukan separuh jiwa dia.

Lahir pada waktu yang sama, memiliki rupa dan suara yang sama, pemikiran yang sama tapi perasaan kami tak sama. Bagaimana boleh macam tu? Adakah selama ini dia menganggap aku ini lebihan daging yang kebetulan menumpang hidup dengannya?

Aku terlalu terkejut. Akibat itu mata aku terbuka luas seluasnya.

Disebalik cermin yang memantulkan imej aku ada satu syaitan yang aku tak kenal. Syaitan yang aku sayangi tanpa melihat rupa asalnya.

Syaitan yang aku terima buruknya. Aku demam. Dan menangis tidak henti selama sebulan.

Aku didiagnosis menghidap severe depression oleh doktor dan tak mampu tidur malam akibat mimpi ngeri setiap kali. Realiti terlalu sedih dan perit untuk aku yang biul ni hadam.

Separuh jiwa aku lari di bawa dia kemana tah aku pun tak tahu.

Dia sudah hilangkan diri bersama suaminya. Iaitu seorang lelaki berumur 30 an yang curang dengan isterinya. Isteri kepada lelaki itu pula merupakan rakan sekerja dia. Jadi benarlah perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat

Dia menjadi seorang manusia yang aku tak kenal. Berubah 360 darjah setelah berkahwin. Dia kembali bercakap baik dengan aku. Bercakap lembut seperti sewaktu mula-mula aku sedar aku menyayanginya lebih dari diri aku.

Tapi kini sayang aku bertukar benci. Apa yang berlaku tak mampu diterima akal. Dia hanya datang menangih kasih pada aku apabila suaminya tiada. Aku adalah tempat persinggahan sementara bagi dia.

Aku juga telah berubah. Seperti watak kami terbalik pula. Aku mengisytiharkan “aku:aku dan kau:kau”. Aku benci terlalu benci benci benci benci benci benci benci sehinggakan aku berdoa atas kematiannya.

Setiap kali melihat muka atau mendengar suara dia aku menggigil ketakutan dan menangis. Mungkin ini trauma. Aku melihat sesuatu dalam diri dia yang aku tak sepatutnya lihat.

Aku berazam untuk kumpul duit dan lari dari semua orang atau tempat yang mengingatkan aku kepada dia. Selagi memori itu ada selagi itu peritnya hati aku untuk hidup normal. Terasa seperti guli tersekat di kerongkong. Aku Rimas.

Aku tidak lagi hadir ke jamuan keluarga. Aku pinggirkan diri dari keluarga. Aku tegaskan kepada keluarga supaya berhenti menyebut nama dia didepan aku.

Keluarga aku menganggap aku dengki pada dia kerana dia sudah berkahwin dengan lelaki yang kaya manakala aku baru tamat belajar masih tidak berkahwin dan tak punya rumah.

Sedangkan hanya aku sahaja yang tahu cerita sebenar disebalik kehidupan dia. Hanya aku yang nampak. Keluarga menyayangi dia lebih dari aku. Membuatkan aku semakin sedih.

Aku teringat pada artikel dan sejarah gelap kembar yang aku baca sewaktu aku muda dulu. Baru aku faham kenapa salah seorang kembar harus dibunuh. Kenapa kembar menjadi simbolik malapetaka dan seterusnya.

Seperti cerita Habil dan Qabil. Pasti akan ada satu dari kembar tu yang berjaya dihasut syaitan. Kerana selalu dibandingkan dengan kembar, perasaan dengki atau benci itu sukar digambarkan oleh mereka yang tidak memiliki kembar.

Ia berbeza dengan dengki terhadap kawan atau adik beradik. Ia lebih dari itu. Kerana setiap kembar beranggapan kembar mereka adalah dia dan apabila kembar mereka dapat “happy ending”, dia akan mula persoalkan kenapa.

Sebab muka sama, lahir waktu sama, suara sama dan hidup bersama tapi kenapa hanya salah satu kembar dapat “happy ending”? Kenapa dua-dua kembar tak dapat “happy ending”?

Kalau menurut sejarah gelap kembar, setiap kembar yang lahir, salah satu adalah syaitan, aku tahu akulah syaitan yang dimaksudkan tu.

Sebab aku tak dapat “good ending” dan jiwa aku yang dahulunya besar, dah kecut, mati dan hilang.

Setiap penjahat dalam cerita Marvel atau joker, asalnya baik tapi jadi jahat sebab sesuatu. Ini adalah cerita tentang kelahiran penjahat baru.

Penjahat yang asalnya baik tetapi ditindas oleh dunia. Tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.

Ini kisah betul. Dari aku. Budak ‘tu’

– Budak ‘tu’ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *