Salah Satu Daripada Kami Adalah Syaitan Itu II

Untuk part I, (https://iiumc.com/salah-satu-daripada-kami-adalah-syaitan-itu/).

Berbapakan ayah yang lepas tanggungjawab, tidak cukup ilmu dan naif, ibu aku tidak bahagia. Ibu aku seorang yang berpendidikan, dan penyayang.

Apabila ketua rumah tangga melepaskan tanggungjawabnya, ibu aku selaku penyokong suami kuat memastikan keluarga kami mampu hidup.

Oleh kerana ibu seorang yang kuat dan ayah pula seorang yang bendul, keluarga kami cukup makan, mampu tidur di tempat yang selesa dan aku serta kakak-kakak aku mempunyai pendidikan yang baik.

Ibu aku ibarat bateri yang menghidupkan keluarga. Tak ada ibu, runtuh keluarga kami. Oleh kerana ibu uruskan segalanya, ibu tiada masa untuk aku dan kakak-kakak aku.

Dalam memori aku, aku tidak pernah mendengar suara ibu aku. Aku hanya nampak kelibat ibu apabila balik dari sekolah.

Kemudian ibu lesap. Ibu kerja. Dan ayah aku seperti berpura-pura anak-anaknya tidak wujud. Dalam memori aku, ayah pula adalah singa yang tidur di dalam gua. Jangan dihampiri gua itu, jangan buatkan singa terjaga. Nanti berbekas badan dirotan.

Walaupun aku masih kecil, mata aku menyaksikan segalanya. Tunggu untuk aku dewasa baru aku faham apa yang aku saksikan.

Mungkin kerana tidak diajar maksud kehidupan, aku seperti sesat dalam dunia aku sendiri. Aku tak tahu apa yang aku rasakan. Dan aku tak tahu bagaimana untuk hidup dengan baik. Aku jauh menjadi seorang manusia normal.

Berbapa-kan singa naif, beribu-kan robot, dan berkakak-kan ikan duyung yang tidak mempunyai suara. Aku tiada siapa-siapa yang aku boleh belajar menjadi manusia. Aku cuma ada seorang kembar yang berkongsi dunia dengan aku.

Dunia aku amatlah gelap. Aku adalah raja dalam dunia kegelapan. Dan dia. Kembar aku, adalah matahari dalam dunia aku.

Menyinari dunia aku yang gelap. Dia adalah cahaya suam yang memanaskan badan aku yang beku dalam kegelapan.

Dia menghilangkan semua bayang-bayang menakutkan yang sembunyi di sebalik kesunyian… Sehinggalah dia terlalu bersinar menyilau. Membuatkan mata aku pedih dan akhirnya buta.

Dia adalah matahari yang terang, mengeringkan segala embun dalam dunia aku. Meninggalkan aku yang buta terkebil kebil tak dapat melihat dalam dunia aku yang telah kering kontang seperti padang pasir.

Oleh kerana aku hidup dalam fantasi aku sendiri, aku tak tahu apa itu realiti. Aku tidak diajar untuk hidup dalam realiti.

Separuh memori aku dipenuhi dengan memori sewaktu aku di sekolah rendah yang tegas. Terlalu tegas. Seperti kem askar. Kami dibaling buku di kepala, ditampar dan dihina.

Kerja sekolah dikoyak, dibuang dari bangunan sekolah oleh cikgu kami. Kami difahamkan untuk cemerlang itu markahnya 100. Apabila dapat kurang dari 100 kami menangis kerana takut.

Kami hanya darjah 2 dan 3 pada waktu itu. Ibu menghantar kami ke sekolah ini supaya kami berpendidikan tinggi dan tak menjadi seperti ayah.

Jadi aku telah belajar 3 perkara tentang dunia realiti sewaktu aku disekolah rendah itu. Pertama, harus sempurna dalam segala aspek.

Kedua, untuk disayangi, aku harus dengar cakap semua orang tak kisahlah ia baik atau buruk. Ketiga: hanya ada 2 golongan, iaitu ketua dan hamba atau perkataan lain, ‘yes man’.

Dan aku dalam golongan ‘yes man’ manakala semua orang adalah ‘ketua’. Kefahaman aku betul-betul songsang. Aku anggap diri aku objek.

Aku dahagakan pujian dan kasih sayang jadi aku cuba dengan sepenuh kudrat aku yang ada untuk membuat semua orang gembira. Bukan ibu atau ayah tak pernah beri. Mungkin tidak cukup kerana ibu selalu sibuk bekerja.

Ayah pula panas baran. Dan aku didera di sekolah rendah, dibuli oleh cikgu yang tidak menyukai aku. Aku tiada tempat bergantung. Aku masih mentah. Aku tak nampak kasih sayang yang dihulur oleh ibu aku kerana aku tidak diajar.

Apa yang aku mahukan adalah sepatah perkataan yang menjaminkan bahawa aku benar disayangi. Tetapi ibu adalah robot. Mana mungkin ibu faham bahawa aku tidak faham cara ibu menyayangi aku?

Jadi aku mencari kasih sayang dari semua manusia yang aku boleh jumpa.

Aku mengeluarkan segala kudrat aku untuk membuatkan semua orang gembira tanpa sebab. Kerana aku beranggapan, apabila orang gembira, mereka akan menyayangi aku. Aku mahu diperlukan dalam hidup seseorang.

Walaupun aku dipergunakan aku gembira kerana aku dapat membantu dan membuat semua orang gembira. Kegembiraan mereka, adalah kegembiraan aku juga.

Meningkat dewasa, aku sedar bahawa apa yang aku buat sebenarnya mengarut. Aku semakin penat. Aku lakukan segala yang aku mampu untuk gembirakan semua orang.

Tak cukup tangan dan kaki cuba membantu semua orang. Orang minta pinjam duit, aku pinjamkan walaupun sebenarnya duit aku tak ada.

Dipergunakan dan tidak dihargai. Mereka hanya datang apabila mereka susah dan setelah senang mereka lesap. Ditipu oleh pengemis yang menjual ubat semut dengan harga RM 50 satu paket.

Aku bukan bodoh. Sesungguhnya aku sedar tetapi aku biarkan diri aku ditipu, dipergunakan dan dipijak. Oleh kerana aku memegang 3 perkara itu.

Pertama, harus sempurna segala aspek. Jadi aku tutupkan segala buruk aku dan jadi apa yang orang mahukan dari aku.

Kedua, menjadi taat pada arahan orang. Pendapat serta perasaan aku tiada makna. Jangan sesekali menyatakan hasrat aku kerana itu melanggar peraturan. Itu dosa besar!

Ketiga, aku adalah hamba. Ingat! Hanya hamba! Aku takut dibuang dan dibenci oleh boss-boss aku. Aku tidak mahu dibenci. Kalau aku dibenci aku mati!

Memiliki hati yang baik. Masih tidak tercemar dek kejahatan dunia. Begitu bersih seperti kain kanvas putih. Aku berperang seorang diri.

Walaupun aku tahu ini perkara yang mengarut, tabiat memang susah nak mati. Akibatnya aku stress kerana penat memberi apa yang orang harapkan aku beri.

Walaupun aku taat menuruti 3 perkara tu, hasil yang aku mahukan dari semua orang masih tidak timbul. Tiada yang menghargai. Tiada yang menyayangi.

Tiada yang mengungkapkan perkataan yang aku mahu dengar tu. Penat meletakkan semua orang di tangga tertinggi tetapi apabila aku jatuh tidak yang turun mengutip aku ke tangga atas semula.

Akulah definisi ‘pijak semut tak mati’. Terlalu baik orang menganggap aku bodoh atau naif. Kerana sikap aku yang seperti ini, apabila susah aku senang dipermudahkan.

Sepertinya Tuhan menyayangi aku yang bendul ini. Tuhan memberi aku pelbagai keistimewaan. Walaupun aku bersyukur, aku lemah.

Aku tidak kuat seperti ibu aku. Aku perlukan sokongan. Dan memiliki kasih dari kembar aku sendiri membuatkan aku percaya aku tidak perlu kasih sesiapa. Aku mampu terima dipergunakan oleh orang lain. Kerana aku percaya Tuhan akan sentiasa menegakkan keadilan aku.

Dan aku tidak pernah dihampakan. Lagi pun tabiat memang susah mati. Aku gembira apabila aku diperlukan oleh orang lain. Walaupun aku tahu aku akan tidak dihargai, aku masih teruskan hidup seperti ini. Aku anggap membantu orang adalah hobi di waktu lapang.

Tetapi semuanya berakhir apabila orang yang paling aku percaya tidak akan menganiaya aku, telah pun menganiaya aku. Matahari aku.. tidak aku sangka matahari yang aku fikir akan menyinari dunia aku yang gelap ini telah membutakan mata aku.

Kerana aku tidak faham cara orang normal menyayangi manusia, aku fikir dia menyayangi aku. Rupanya dia membenci aku. Dia memberi aku cahaya, dan dia jugalah yang menarik mata aku dari melihat cahaya.

Bagaimana manusia boleh menjadi seperti itu? Kembar aku. Dan semua orang yang telah aku berikan segalanya?

Bagaimana seseorang itu mampu menjadi pentingkan diri? Bagaimana seseorang itu boleh menindas orang yang sama kaum dengannya? Bagaimana seseorang itu boleh berfikir seperti itu?

Kerana sesungguhnya aku tidak mampu melakukan perkara itu. Jadi adakah aku sebenarnya yang tidak normal? Atau sebenarnya semua orang tidak normal?

Jadi memiliki hati seperti ini adalah kesilapan. Baiklah aku faham. Restart. Aku mahu mulakan semula. Bunuh hati itu. Hati seperti itu tidak diperlukan dalam dunia seperti ini. Kalau memiliki hati seperti ini menjadikan aku tidak normal maka bunuh. Bunuh hati tu.

Hidupkan. Hidupkan api dalam dada tu. Panas. Sakit. Sengsara. Kesal. Kecewa. Ingat rasa tu. Biar api membuak buak rasa dendam.

Jangan biarkan air mata mengalir. Nanti terpadam api dek titisan kesedihan. Mengapa perlu disakiti lagi? Sekirannya hati sudah mati tidak akan sengsara lagi.

Tidak perlu bunuh diri. Hanya perlu bunuh hati. Tiada yang layak disayangi aku kecuali diri aku. Aku sepatutnya sedar. Dunia aku yang gelap itu adalah tempat sebenar aku. Biar sejuk biar sunyi. Asalkan selamat didalam kegelapan.

Kini Hati aku kering. Orang mati depan aku pun aku sudah tiada perasaan. Hidup dan mati sama sahaja. Tiada beza. Bunuh hati membuatkan aku dapat berfikir waras. Perasaan tidak lagi mengaburi minda aku. Masalah yang wujud seperti sudah tak merungsingkan.

Atau sebenarnya aku sudah tidak kisah akan masalah. Aku menjadi pentingkan diri seperti semua orang. Tidak perlu terlalu fikir akan sesuatu. Hanya lakukan sahaja perkara yang memberi aku manfaat.

Perkara yang tidak memberi aku manfaat aku hancurkan. Aku belajar dari kesilapan. Selagi ada manusia selagi itu ada masalah.

Yang menghiburkan adalah mereka melabel aku tosik dan pentingkan diri sedangkan selama ini itulah yang mereka lakukan pada aku. Aku hanya sekadar menjadi cermin yang memantulkan semula perbuatan mereka. Menarik bukan?

Ini kisah terakhir dari aku, budak ‘tu’.

– Budak ‘tu’ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *