Salah Teknik

Assalamualaikum. Sebelum aku mulakan kisah “salah teknik” ini, aku ingin ceritakan sedikit tentang latar belakang hidupku. Aku merupakan seorang isteri yang bekerja dan memiliki 3 orang anak.

Di awal perkahwinan, aku tersilap menilai suamiku sendiri, aku anggap suamiku tidak mampu untuk menyara hidupku,

Aku anggap suamiku lemah dan tidak mampu untuk menandingiku kerana dia hanya mempunyai sijil kemahiran, dan aku memiliki ijazah.

Oleh kerana aku salah menilai suami sendiri, aku tidak mengharapkan apa-apa dari suamiku sendiri,

Aku mencari rumah sewa sendiri, aku tidak minta duit dari dia, aku bergerak dan membuat segala keputusan tanpa meminta pendapat dia. Kerana aku fikir aku lebih “mampu” dan lebih “bijak” dari dia.

Untuk pengetahuan semua, di awal perkahwinanku, suamiku bekerja dengan gaji RM800 sebulan. Dan aku masih belum bekerja. Kami menumpang di rumah ibubapaku.

Suamiku merupakan seorang yang baik dan pemalu. Selepas berkahwin aku mendapat pekerjaan dengan gaji permulaan RM1400 sebulan.

Walaupun aku tidak pernah meminta suamiku memberikan wang kepadaku, namun, suamiku memberikan wang nafkah RM200 sebulan kepadaku (semasa gajinya RM800).

Selepas mendapat anak, segala keperluan anak seperti susu dan pampers di sediakan oleh suamiku setiap bulan.

Suamiku tidak pernah meminta aku membayar apa-apa bayaran, tapi aku sendiri yang menawarkan diri untuk membayar pengasuh, untuk membayar sewa rumah,

Aku masih lagi menganggap suamiku tidak mampu untuk menanggung diriku dan anak. Sehinggalah aku melahirkan anak yang ke 3.

Aku mula rasa “terbeban” dengan tanggungjawab yang aku cipta sendiri dalam rumahtangga kami. Suamiku pula seakan akan selesa dengan kehidupannya.

Aku pernah tidak cukup wang, tapi aku tidak minta dengan suamiku, kerana aku menyangka dia tidak mampu membantuku.

Aku tidak pernah meminta dia untuk menjaga anak-anak kerana aku menganggap dia tidak boleh diharap.

Dan akhirnya aku rasa sangat sangat penat dan “meletup”. Aku mengungkit semua pemberianku selama ini, aku luahkan kepenatan ku.

Dan pada malam itu, buat pertama kalinya, suamiku tidur di sofa. Tanpa suami di sisi, aku rasa sangat kehilangan, walaupun dia hanya protes tidur di sofa, tindakannya itu menyebabkan aku rasa sangat sangat lemah.

Keesokan harinya, suamiku bertindak seperti biasa, tapi aku rasa sangat resah, aku akhirnya meminta maaf.

Lepas minta maaf baru lah hatiku kembali tenang.

Selepas kejadian itu, aku mula mengubah pandanganku terhadap suamiku, aku anggap dia lah Heroku, aku tidak lagi menjadi supermom, aku lebih banyak “bodohkan” diriku,

Singki tersumbat, aku biar suamiku baiki, minyak kereta kosong, aku minta tolong suamiku isikan, anak bergaduh, aku panggil suamiku leraikan.

Pinggan bertimbun, aku serah pada suamiku, baju tak berjemur, aku tinggalkan nota cinta utk suamiku bereskan.

Rupa rupanya, suamiku boleh lakukan semua itu, walaupun kadang kala tidak menepati piawaian ku, tapi sekurang kurangnya boleh meringankan bebanku.

Apabila covid-19 melanda, kami betul2 dikurung, oleh kerana waktu itu kerajaan memerintahkan hanya ketua keluarga yang dibenarkan keluar, jadi tanggungjawab membeli keperluan harian menjadi tanggungjawab suamiku.

Aku langsung tidak mengeluarkan wang pada ketika itu. Aku tidak lagi memandang suamiku sebagai seorang yang tidak mampu, aku kini menganggap dia adalah lelaki yang bertanggungjawab menafkahiku.

Tambahan pula selepas munculnya aplikasi tiktok yang banyak memaparkan ceramah-ceramah ustaz yang menceritakan tentang cara untuk membuat suami murah rezeki,

Aku lebih yakin untuk “meminta” suamiku membelanjakan wangnya kepadaku.

Kini, aku tidak tahu berapa jumlah gaji yang di perolehi oleh suamiku setiap bulan, namun setiap kali dia mendapat gaji, dia akan bertanya kepadaku berapa jumlah perbelanjaan yang aku perlukan.

Dan aku dengan yakin meminta jumlah yang aku perlukan(aku tidak lagi menanggung apa yg tidak perlu aku tanggung).

Walaupun aku rasakan jumlah yang aku minta itu agak banyak, tapi suamiku mampu untuk berikan kepadaku dan tidak pernah untuk meminta “diskaun”. Dan aku lihat duitnya sentiasa ada.

Aku kini lebih tenang dan bahagia, rupa rupanya aku salah teknik.

Seorang isteri patut menjadikan suami sebagai hero, dan seorang isteri tidak perlu malu untuk jadi “lemah dan bodoh” di mata suami.

Dalam lemah dan bodoh itu, kita sebenarnya kuat kerana kita ada senjata yang paling tajam – iaitu “Doa”.

– Newbie (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *