Salahkah?

Assalamualaikum.

Selalu saya bertanya pada diri saya setiap hari. Salahkah saya seorang yang pendiam? Hanya bersuara apabila perlu? Tetapi apabila saya bersuara sepertinya tiada yang mahu mendengar.

Salahkah saya menyuarakan pendapat? Apakah saya hanya perlu mengiyakan sahaja kata-kata mereka? Adakah kerana saya pendiam, maka pendapat saya tiada nilainya di mata mereka?

Salahkah saya mempunyai sikap yang sedikit berbeza berbanding mereka? Apakah perbezaan ini menjadikan saya kurang manusia berbanding mereka? Apakah saya hanya perlu menurut sahaja rentak langkah mereka, hanya untuk menjadikan saya sama seperti mereka?

Salahkah saya menjadi bodoh buat seketika? Adakah saya perlu tahu mengenai segalanya, dan tidak dibenarkan untuk berkata “maaf, saya tidak tahu. Boleh beri tunjuk ajar?”

Salahkah saya memikirkan mengenai perasaan saya terlebih dahulu sebelum perasaan mereka dalam sesetengah perkara? Mereka kelihatan seperti dibenarkan untuk berbuat demikian, tetapi hairan ya, saya seakan-akan tidak berhak untuk memikirkan perasaan saya. Malahan mungkin saya juga tidak dibenarkan untuk mempunyai perasaan.

Salahkah jika saya ingin dilihat sebagai satu individu, yang mempunyai personaliti tersendiri, dan mempunyai cara berfikir tersendiri? Saya tidak mengerti mengapa saya perlu dibandingkan dengan individu lain, yang sudah tentunya mempunyai personaliti yang berbeza daripada saya! Saya cuma mahu agar mereka melihat saya sebagai satu individu, dan memahami bahawa setiap langkah yang saya ambil, telah difikirkan semasak-masaknya oleh saya, dan saya tahu akan sebab dan akibatnya. Dan tidak semua perkara yang saya lakukan perlu dijelaskan sebabnya. 

Salahkah jika saya hanya berkongsi sedikit kegembiraan saya? Saya tidak tahu kepada siapa saya boleh kongsikan kegembiraan saya, apatah lagi segala kekecewaan dan kesedihan saya. Dan apabila saya telah menemukan mereka yang difikirkan sesuai untuk berkongsi gelak tawa saya, mereka kelihatan seperti tidak selesa/peduli. Lalu saya akan rasa bersalah, dan sekali lagi, simpan semuanya sendiri.

Salahkah jika saya hanya menyayangi diri saya seadanya? Kerana saya sudah penat mengharapkan mereka menerima dan menyayangi saya apa adanya. Saya hanya ingin menjadi diri saya yang sebenar-benarnya, agar saya boleh menyayangi diri saya seikhlasnya. Kadangkala ada yang berasa kurang selesa, dan berasa sedikit jengkel, lalu saya bertanya lagi, salahkah?

Mereka yang pernah dan sedang wujud dalam hidup saya semuanya baik-baik alhamdulillah, tetapi itulah yang orang kata, manusia ni tiada yang sempurna. Mungkin mereka terlepas pandang akan perkara-perkara kecil macam ni. Saya pun tidak sempurna, dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik. Tetapi pada dasarnya, saya tetap tidak sempurna. Saya cuma nak orang faham yang tu.

Terima kasih pada yang sudi membaca. Terima kasih admin publish confession ni. Semoga Allah memberkati kalian. Have a good day :)

– Domo

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *