Salahkah Aku Berdoa Untuk Diceraikan?

Mohon maaf terlebih dahulu, jika cerita agak berterabur sebab aku bukan penulis. Berkali kali tulis padam balik sebab aku buntu.

Tak mampu meluah sebab aku bukan seseorang yang suka meluah apatah lagi mengadu domba pada kawan atau sesiapa sahaja yang rapat.

Pilih untuk menulis disini, sebab aku terlalu keliru, buntu, penat & perlukan pendapat yang boleh buat aku berfikir lebih waras. Lagipula, bila melibatkan hal rumahtangga. Yang semestinya aku sebagai isteri perlu menjaga aibnya. Korang baca, bukan korang kenal aku kan?

Tak tahu ingin bermulanya dari mana, ingin aku ringkaskan sahaja cerita. Aku berkahwin dengan A pada usia aku 27 tahun dan A pada ketika itu tua 2 tahun dari usia aku.

Usia perkahwinan kami baru menginjak tahun ketiga dan kami dikurniakan seorang cahaya mata yang baru berusia setahun.

Perkenalan aku dengan A tak lama. Disebabkan kecewa aku terima perkenalan dari A. Kenal 3 bulan dan 3 kali jumpa, aku terima A atas alasan berfikiran dia seorang yang bertanggungjawab, matang dari segi usia dan sedia untuk berkomitmen.

Urusan perkahwinan kami sangat mudah. Segalanya berjalan dengan lancar sehinggalah kami sah sebagai suami isteri dan disinilah bermulanya sebuah cerita.

Mungkin bagi orang masalah yang aku hadapi adalah kecil. Bagi aku juga kadang kadang pun begitu, aku fikir ada orang lain masalahnya lebih besar dari aku. Masalah aku cumalah sepele. Tapi aku mulai penat. Sumpah. Aku tak mampu.

Sebelum adanya anak,aku boleh terima semua kekurangan dia. Aku boleh buat sebab aku hanya uruskan dia. Dan waktu itu kami PJJ manakala dia tinggal bersama ibunya di negeri sebelah pantai timur.

Semua itu belum jelas kelihatan sehinggalah betul2 kami jadi housemate, roomate, toiletmate & kongsi segala isi rumah.

Aku, dari bujang memang akui tak suka orang yang pengotor. Waktu bekerja dulu kongsi rumah sewa ramai ramai pun aku sanggup pindah keluar kalau ada orang pengotor.

5 tahun aku kerja, 5 kali aku pindah masuk rumah sewa baru dari kongsi bilik sampai sewa bilik sorang. Tahun ke 6 bila gaji naik sikit, aku sewa rumah sorang.

Dia tahu sebab aku selalu bercerita dia pun tak suka orang yang pengotor. Yes. Dan aku pun terperangkap dengan kata kata beliau sebelum mengiktiraf dia menjadi suami.

Bila dah kahwin, terserlah sikap “sukakan kebersihan” si dia. Dimana, dia sanggup tinggalkan “sisa buangan” dia di toilet semata mata nak angkat panggilan telefon di bilik.

Entah basuh entah tidak bila aku tanya dia kata dia dah cuci. Aku pun tak sanggup bayangkan. Macam mana aku tahu?

Sebab aku dah tak tahan nak buang air kecil, memandangkan dia keluar dari tandas. Terburu buru aku masuk. Disitulah bermulanya kisah sedih aku. Aku persoalkan tindakan dia & dia pulak yang jatuhkan kesalahan atas aku tak menghormati privacy dia.

Aku pulak yang bersalah sebab terburu buru guna tandas tanpa tanya dia. Aku ke yang bodoh? Aku pelik wujud jugak orang macam ni.

Sebab kalau aku, aku tak ada gelojoh nak angkat call orang kalau aku dalam tandas. Sebab button dial semula itu ada. Hmm.

Bab yang boleh puji ,dia bukan jenis suka melepak. Tiap tiap malam memang melekat kat rumah. Tapi aku pulak naik rimas. Sebab pukul 10 malam tepat dia dah tertidur. Paling lewat pukul 12 malam. Tu kalau aku bising bising minta dia tengokkan anak.

Yang ada anak kecil tahulah kan, waktu budak tidur bukan konsisten. So totally, bab anak dari baby sampai setahun aku banyak bangun bagi susu, jaga malam2 tukar pampers. Dia?

Dia kalau aku cakap, memang cuba untuk berjaga malam tapi umpama orang yang tak tidur 1 malam. Tersengguk2. Dan masa tu anak kat sebelah pun dia tak perasan. Bila aku tanya soalan apa2, jawapan dia dah kelaut.

Korang rasa selamat ke aku biarkan anak aku dengan dia? Waktu dijaga dia, anak aku pernah telan skru, telan getah rambut dan aku tak tahu lah anak aku kena pijak atau tak waktu tidur dengan dia.

Aku cuma tawakal sebab aku kerja shift. Waktu mengandung banyak berendam air mata, sebab habit “tidur” dia tu. Minta diurut, tapi dalam keadaan mamai. Dia urut dalam 5 minit dia tertidur. Dengan alahan yang teruk aku waktu tu. Hanya Tuhan yang tahu.

Tahun ni aku diuji lagi. Aku pregnant lagi sekali. Walaupun aku dah ambil perancang. Tapi lekat lagi. Alahan aku kali ni bukan main2.

Awal trimester ni, dua kali aku admit ward kecemasan. Awal2 tahu aku mengandung. Aku menangis,aku mengamuk. Kenapa Tuhan nak uji aku lagi.

Ramai kawan aku yang berkahwin tapi masih tak ada anak, kenapa tak bagi dorang? Aku selalu persoalkan dan rasa Allah itu tak adil. Hmm aku penat.

Aku sembur suami aku dengan kata2 kesat. Dia tahu aku tak mahu anak. Dia tahu aku penat. Dia minta maaf janji berubah. Aku nampak perubahan tu tapi tak lama.

Habit tidur awal masih lagi jadi kebiasaan. Aku rasa mungkin mata dia dah di setting macam tu. Tambah2 lagi, anak aku kurang dengan dia.

Sebab dia juga yang kurang layan anak. Bila ada masa terluang, asyik melekat handfon kat tangan. Anak aku asyik nak aku. Aku stress.

Kadang2 aku termarah anak aku tanpa sengaja sebab aku terlampau penat. Aku sedih bila tengok anak aku tertidur sorang2 kat lantai. Aku tak larat nak dodoi dia macam selalu sebab kandungan ni aku jadi penat dengan alahannya lagi.

Bapak dia? Dah tidur mati. Kadang2 aku jahat aku terfikir kenapa dia tak mati je dalam tidur tu. Sebab aku boleh je nak handle anak sorang2. Huhu.

Bila siang, dia okay. Takde tidur2. Tapi itulah. Dia cuma tak pandai layan budak dia cepat penat. Aku nak juga offer perempuan2 yang nak laki aku tu, ambil lah. Aku bagi free. Huhu.

Tapi jujur aku cakap, kalau pagi pagi nak pergi kerja pun. Dia dah siap mandi, pakai baju kerja, tapi orang masih ingat dia belum mandi. Masih tak terurus. Tu belum balik kerja, bau badan jangan cakap. Tambah lagi dia berbadan besar.

Aku nasihat banyak kali cara cara jaga diri tapi buatnya tidak. Siap beli produk tu ini untuk dia. Tapi tersadai cuma. So, pada perempuan perempuan kt luar sana.. lelaki berusia tak semestinya matang ya.

Walaupun, dia macam tu tapi ada juga sikap yang boleh dipuji. Bab nafkah anak, bab makan pakai setakat ni terjaga. Hantar anak taska, ambil balik anak kat taska semua dia buat. Prepare barang2 taska pun juga dia buat.

Kerja rumah kadang kadang tolong aku juga. Tak semua yang buruk2 ada juga baiknya.

So, aku mohon pendapat dan idea yang bernas dari korang untuk aku boleh berfikir secara rasional.

Satu lagi, mohon doakan permohonan aku untuk bekerja dekat dengan family aku berjaya ya.. sebab senang aku nak minta dorang tengok tengokkan anak aku yang dah ada ni dan yang bakal lahir nanti.

Aku tak rasa suami aku boleh berubah dengan sekelip mata. Mungkin bila anak kami dah masuk universiti baru dia berubah dan mungkin waktu tu aku dah ada darah tinggi dan tunggu masa untuk mati.. huhu.. Terima kasih.

Yang benar,

– H (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *