Salahkah Aku Membencimu Ayah?

Assalamualaikum. Nama saya Anna. Umur 30 tahun, single mom. Sebenarnya saya tidak tahu ingin memulai dari mana. Tapi saya berterima kasih pada yang sudi membaca dan memberi nasihat kepada saya.

Confession ini tentang hubungan ayah dan anak perempuannya, yang dia jaga tapi dalam masa yang sama, dia hancurkan seluruh masa depannya. Tidak! Ayah saya tidak melakukan perbuatan terkutuk atau hal-hal yang menyalahi norma.

Saya tunggal dalam keluarga ini, anak perempuan yang sangat dijaga dan diharapkan menjadi penerus nama baik keluarga, umpama seorang ratu yang sedang dipersiapkan memimpin empayar.

Ayah saya, tipikal ayah keras yang sangat protektif. Dia adalah penentu dan nahkoda yang menentukan hala masa depan saya. Tiada ruang bertanya mahupun berbincang didalam dunianya, hanya ada perintah dan anggukan tanda setuju sahaja dalam kamus hidupnya.

Ayah mendambakan saya menjadi seorang peguam terkenal, maka demi impiannya, saya dihantar ke universiti terbaik didunia, ya saya pelajar harvard university. Bangganya dia bercerita pada keluarga dan rakan bisnisnya, anak perempuannya adalah graduan Harvard.

Saya? Hanya seperti hamba abdi, menurut segala perintah. Seperti boneka, yang bergerak ke arah yang tuan besar mahukan. Impian saya bergelar doktor pun terkubur.

Masih saya ingat, saya begitu bersemangat menyiapkan dream board saya, saya hias dan saya letakkan ia di dinding bilik tidur saya. Namun, saya terpaksa membakar segala impian demi memenuhi keinginan ayah.

Ayah..

Meskipun saya menurut segala arahan dari telunjuknya, tidak pernah sekalipun dia memeluk saya, memegang tangan saya, memandang kedalam mata saya sambil mengatakan kalimat sayang seorang ayah.

Pandangannya dingin, bahasa tubuhnya kaku umpama tirani yang hidup untuk dirinya sendiri.

Begitupun sikapnya pada Ibu, jauh dan dingin. Tiada kata-kata manis mahupun pandangan sayang pada Ibu, hanya kata-kata keras dan kesat.

Hati saya mulai mengeras, mendendam dan membenci dalam diam. Didepan Ayah saya hanya diam dan menurut segalanya, namun didalam lubuk hati saya, saya berdoa semoga Allah mencabut nyawanya.

Ya! Saya tahu, saya berdosa mendoakan keburukan pada Ayah saya. Tapi saya tidak perduli, saya tetap membencinya.

Suatu hari, Ayah membuat pengumuman, dia akan berkahwin lagi. Saya masih ingat, saat itu saya tengah mempersiapkan diri menghadapi ujian A level. Berita itu seperti gempa bumi, yang menggoncang hidup kami.

Saya masih ingat cara Ayah menyampaikan niatnya untuk berkahwin lagi, dingin dan tegas “abah kahwin dengan maya jumaat ini, ibu dengan Anna tak payah datang. Tunggu saja dirumah”

Maya..

Mendengar nama itu saja boleh membuat saya ingin membunuhnya. Dia adalah kerani di syarikat Ayah. Cantik, muda dan pandai menggoda. Tipikal perempuan hedonis, yang sanggup membunuh demi memdapatkan kemewahan.

Setelah Ayah mengumumkan perkahwinannya, Ibu orang yang paling tersakiti, hanya diam. Pandangannya kosong, tanpa sebarang reaksi. Ibu berlalu masuk kedalam biliknya, langkahnya tenang, namum saya pasti hatinya sudah berkecai.

Dari saat itu, kebencian saya pada Ayah menggunung. Saya bahkan tidak bercakap dengannya lagi. Saya anggap dia hanya orang memegang kendali hidup saya, bukan Ayah saya lagi.

Saya dan ibu meneruskan hidup seperti biasa, saya meneruskan pengajian seperti apa yang Ayah mahukan. Selesai pengajian, saya kembali ke Malaysia. Saya meneruskan kerjaya sebagai peguam syarikat ayah.

Semuanya berjalan seperti biasa, hingga pada suatu hari Ayah memberitahu, dia ingin saya berkahwin dengan anak rakan bisnisnya. Graduan Ivy League yang gemar berpesta dan bertukar teman wanita seperti bertukar pakaian. Anak kepada orang penting di negera ini.

Saya seperti biasa, hanya mengangguk tanpa sebarang bantahan, walaupun saya tahu bakal suami saya sedang hangat bercinta dengan seorang model. Saya pasti dia pun terpaksa menerima perkahwinan ini.

Singkat cerita majelis perkahwinan kami berlangsung gilang gemilang, undangan VVIP datang dengan pakaian paling mahal bersama sang isteri yang memakai busana desainer luar negara.

Majlis perkahwinan saya tidak ubahnya seperti parade kuasa dan harta. Semuanya saling tunjuk kuasa dan harta.

Saya? Hanya duduk diam dipelaminan berharga ratusan ribu ringgit, yang dihiasi bunga ros berwarna merah jambu.

Busana perkahwinan saya yang dijahit oleh pereka terkenal, terasa menyakitkan dan memualkan. Lelaki disebelah saya, yang seharusnya menjadi penenang hanya berdiri dan tersenyum melayan tetamu.

Majlis yang gilang gemilang itu berakhir, saya kini berdiri dalam bilik pengantin yang indah, ditingkat paling atas hotel termewah.

Namun saya berdiri dengan perasaan terluka dan sayu, suami yang baru beberapa jam mengucapkan Ijab dan qabul didepan imam, memandang saya dengan dingin. Sama seperti pandangan ayah saya.

Suami yang seharusnya menyentuh dan mencintai saya, hanya berdiri didepan saya dan mengatakan yang dia terpaksa berkahwin dengan saya, dia mengatakan cintanya pada teman wanitanya tidak akan pernah padam.

Saya? Hanya mampu terdiam berdiri kaku. Dunia saya yang telah lama hancur kini tenggelam, saya seakan tidak mampu melihat sinar masa depan lagi.

Perkahwinan kami hanya formaliti. Saya bergelar seorang isteri hanya diatas sijil, realitinya saya hanya orang asing yang tinggal didalam rumah ini. Tiada gelak tawa dan canda suami isteri yang dimabuk cinta, yang ada hanya pandangan kebencian.

Suami saya jarang balik kerumah, ssaya tahu dia menghabiskan masa bersama teman wanitanya. Dia lebih gemar tinggal bersama teman wanitanya, berbanding cuba memperbaiki perkahwinan kami.

Hati saya sebagai isteri, sangat inginkan suami saya pulang dan memperbaiki perkahwinan ini, saya berdoa pada Allah agar memberikan setitik kebahagiaan pada saya.

Hari berganti hari..

Bulan beerganti bulan..

Tahun berganti tahun..

Tidak terasa 3 tahun sudah saya bergelar seorang isteri, namun tidak pernah sekali pun kami tidur bersama. Saya berfikir, mungkin dengan adanya anak dapat memperbaiki perkahwinan ini.

Akhirnya saya mengandung, kandungan yang sangat saya nantikan. Namun tidak oleh suami saya. Dia tidak menyukai kandungan ini, dia bahkan mengatakan tidak ingin memiliki anak dari saya.

Saya kuatkan hati demi anak dalam kandungan, saya lalui semuanya berseorangan. Menghadiri temujanji diklinik sampai lah melahirkan berseorangan.

Ayah saya? Terlalu sibuk dengan Maya dan wanita simpanan lainnya.

Ibu? Saya tidak mahu menambah beban hidupnya.

Setelah melahirkan, anak lelaki. Saya dilanda depresi. Hal yang paling saya takutkan akhirnya terjadi. Saya hampir saya menikam anak saya, beberapa kali saya cuba membunuh diri.

Saya hilang pertimbangan, seperti burung kehilangan arah. Saya merasa hanya awan hitam berarak mengelilingi saya.

Suami saya langsung tidak memperdulikan saya dan anak. Entah apa yang merasuki saya, saya cuba untuk membunuh suami saya.

Dan seperti mendapat ilham setelah lama menyepi, suami saya menjadikan depresi saya sebagai hujah di mahkamah untuk menceraikan saya.

Akhirnya jatuhlah talak pada saya, saya dapat rasakan dunia saya sudah tengelam didasar lautan. Hanya kedukaan dan kegelapan menyelimuti hari hari saya.

Saya kembali pada Ibu, berharap ada sinar ditengah hebatnya badai. Tapi harapan hanya tinggal harapan, terbang bersama angin.

Hari demi hari berlalu dengan depresi yang semakin memburuk. Saya habiskan masa didalam bilik lama saya, didalam bilik ini dulu saya membangun impian saya namun sekarang saya kembali dengan kehancuran.

Bilik ini gelap dan dingin. Saya tutup semua tabir, saya tidak ingin melihat dunia, saya asingkan diri dalam dunia saya sendiri. Dunia yang gelap segelap malam tanpa bulan dan bintang. Dunia yang dipenuhi badai.

Saya merasa tiada makna hidup didunia, saya terus mencuba mengakhiri hidup saya. Saya memandu dengan kecepatan tinggi, dengan harapan tidak akan kembali ke dunia ini. Saya bergelut dengan diri saya. Saya tidak mampu keluar dari bulatan kesedihan.

Saya mula menyalahkan Ayah saya, kalau bukan kerana Ayah, saya pasti masih sihat sekarang, kalau bukan kerana Ayah pasti saya sudah menjadi doktor pakar bedah seperti impian saya.

Tapi kerana Ayah, saya sekarang berada dalam bilik yang sejuk ini, meratapi hidup yang kelam. Saya membenci Ayah saya.

Dialah penghancur hidup saya dan Ibu.

Tidak terhitung berapa kali saya blow up sehingga menghancurkan seluruh isi rumah Ayah. Saya membenci Ayah. Sangat benci.

Beberapa bulan setelah perceraian saya, Ayah terkena stroke. Ayah jatuh di pejabatnya. Seperti drama, Maya pergi begitu saja setelah Ayah jatuh sakit. Ibu.. ibu lah yang sudi menjaga Ayah dari Hospital sampailah dirumah.

Saya?

Saya hidup dengan kebencian terhadap Ayah, selama dia jatuh sakit, tidak sekalipun saya merawatnya.

Kejam? Derhaka?

Dialah penyebab semua ini, dialah yang menghancurkan hidup saya. Saya tidak mampu bekerja lagi, depresi ini membunuh saya dalam diam. Saya tidak mampu meneruskan hidup dengan normal, sepanjang masa saya habiskan didalam bilik.

Anak saya dijaga oleh baby sitter. Saya jarang bertemu anak saya, Ibu tidak izinkan saya bertemu anak saya, Ibu takut saya akan melukai anak saya. Setiap petang anak saya akan bermain di laman belakang, saya hanya mampu memandang tubuh kecil itu dari jendela bilik saya.

Saya hanya mampu meminta maaf padanya, kerana lahir dari ibu seperti saya.

Beberapa hari yang lalu, ibu memberitahu, Ayah sudah mula boleh bercakap. Tapi saya merasa benci mendengarnya, saya ingin Ayah sakit supaya Ayah rasa apa yang saya rasa.

Ibu mengatakan Ayah sudah meminta maaf padanya, dan berharap boleh berjumpa dengan saya dan meminta maaf.

Jujur saya benci, saya tidak akan memaafkan ayah. Saya tidak ingin bertemu dengannya. Beberapa kali saya katakan pada Ibu agar menghantar Ayah ke pusat jagaan orang tua, sebab saya tidak ingin dia berada dirumah ini.

Tapi ibu, tetap menjadi Ibu. Begitu pemaaf, begitu lemah lembut, begitu berlapang dada.

Ibu meminta saya supaya memaafkan Ayah, namun saya tidak dapat memaafkan Ayah seumur hidup saya.

Ayah lah penghancur hidup saya.

– Anna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *