Salahkah Apa Yang Kami Buat Ini?

Salam dan hai semua. Sedikit pengenalan mengenai saya. Saya seorang ibu bekerjaya yang berusia 33 tahun & mempunyai seorang baby girl yang kini berusia 6 bulan.

Ya baby saya adalah pandemik baby, lahirnya dia dikala negara masih mengenakan sekatan rentas negeri. Dia juga lahir setelah beberapa tahun kami berkahwin. Oh ya, dia anak pertama kami.

Tak tahu bagaimana nak mulakan penceritaan tapi saya cuma ingin meminta pendapat dari kalian. Salahkah apa yang saya buat ini? Saya buat apa yang saya rasa perlu dan bagi saya penting tambah-tambah lagi musim pandemik ini.

1) Saya antara ibu moden yang tidak mengamalkan pantang tradisional. Saya hanya mengikuti segala nasihat doktor dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Sebenarnya dari sebelum mengandung lagi, saya memang menitikberatkan soal pemakanan sihat.

Jarang sangat untuk saya menikmati makanan manis dan bergoreng. Namun ketika dalam pantang, saya teruk dikecam gara-gara saya memuat naik di Instagram gambar gelas berisi ais bersama caption “nikmatnya minum masa cuaca panas-panas ni”.

Orang-orang tua dalam keluarga saya tak usah cakaplah, siap beri amaran lagi nanti dah tua, baru menyesal sebab sakit sana sini. Bila saya katakan saya hanya mengikut nasihat doktor, dibalas pula doktor tu bukan betul sangat.

Mereka nak duit sahaja. Kita sakit sebab tidak berpantang, pergi jumpa doktor, doktor dapat duit. Aduh. Jadi salahkah saya tidak berpantang secara tradisional?

2) Sejak dari lahir, baby girl saya minum susu formula. Ini kerana susu badan saya tidak mencukupi walaupun telah bermacam-macam petua saya cuba.

Hal ini juga saya dikecam oleh orang-orang tua dan saudara mara (specifically makcik-makcik). Katanya kenapa beri susu formula, nanti anak jadi nakal, tak dengar kata. Nak senang hidup saja, sebab itu beri susu formula. Inilah ibu-ibu zaman sekarang. Malas berusaha nak susukan anak.

Aduh pedih hati mendengarnya. Tahukah mereka susu formula itu tidak murah harganya? Bila mereka tahu harganya, dikatanya saya membazir pula. Dan ya, asbab saya tidak berpantang tradisional, mereka kaitkan juga mengapa susu badan saya tidak mencukupi.

Tidakkah mereka tahu yang saya tidak pernah berhenti berusaha namun apakan daya. Bagi saya, yang penting anak saya kenyang dan membesar dengan baik. Itu paling utama. Jadi salahkah saya beri susu formula kepada bayi saya kerana susu badan saya tidak mencukupi?

3) Saya dilabel ibu yang terlampau paranoid hanya kerana saya tidak membenarkan ahli keluarga untuk mencium baby saya. Kata mereka macam saya seorang sahaja yang ada anak sampai kedekut sangat. Baik tak payah bawa jumpa orang langsung jika tidak mahu orang menyentuh anak saya.

Saya akui saya memang paranoid kerana baby saya adalah baby pandemik. Lahirnya dia ketika kita semua masih sedang berjuang melawan virus covid-19 ini. Dan ingin saya memberitahu, baby saya adalah baby ivf. Setelah bertahun mencuba, kami akhirnya mencuba ikhtiar ivf dan berjaya.

Anda boleh google berapa kos ivf. Sudah banyak wang yang kami habiskan semata-mata demi zuriat ini, jadi salahkah jika kami jadi kedekut anak dengan orang lain?

Jika anak kami sakit, adakah mereka akan menyumbang wang ringgit atau mengerah tenaga menjaganya? Saya boleh jamin jawapannya tidak. Jadi, salahkah kami kedekut anak?

4) Anak saya baru sahaja memasuki usia 6 bulan awal Januari lalu. Jadi seperti ibu-ibu lain, saya memberi dia makanan asas dahulu seperti puree sebagai pengenalan. Baru- baru ini saya pulang ke kampung suami, ibu mertua saya mengatakan kenapa tidak diberi bubur nasi sahaja.

Malah mahu disuapnya kuah sup daging ke mulut anak saya. Saya menegahnya dengan mengatakan anak saya masih belum boleh makan garam dan gula. Mertua menjawab tak mati pun jika beri garam dan gula. Budak dulu-dulu elok sahaja hidup sampai besar.

Saya ini sahaja yang cerewet sangat semuanya tidak boleh. Nanti budak ni memilih makanan, baru kamu tahu susahnya. Salahkah saya mengawal pemakanan anak saya sekarang?

5) Saya menghantar anak saya ke daycare centre yang mana yuran bulanannya mencecah 2k sebulan. Saya tidak menghantar ke pengasuh kerana saya tidak percaya orang lain untuk menjaga anak saya.

Saya bukan skeptikal dengan pengasuh tapi saya cuma berhati-hati memandangkan terlalu banyak kes yang terjadi di rumah pengasuh. Oh daycare percaya pula? Ketahuilah di daycare, segalanya terjaga.

Malah ada akses cctv yang diberi kepada ibu bapa jadi kami boleh pantau apa yang anak kami dan caretaker buat sepanjang hari. Juga nisbah di daycare itu hanyalah 1 caretaker boleh menjaga 2 budak sahaja.

Itupun dipertikaikan katanya kami ini membazir wang sahaja. Duit yang ada boleh disimpan untuk masa hadapan. Bukan ingin membangga, tapi gaji kami suami isteri adalah lebih dari mampu setakat untuk membayar yuran daycare itu.

Malahan kami juga sudah mempunyai perancangan kewangan untuk anak kami. Kami tidak mengambil pembantu rumah kerana kami tidak selesa ada orang lain di rumah kami.

Salahkah kami kerana ingin memastikan anak kami mendapat penjagaan terbaik ketika kami sibuk bekerja di siang hari?

Sebenarnya banyak lagi perkara yang berlaku tapi cukuplah sekadar ini sahaja. Matlamat kami hanya satu, kami hanya ingin yang terbaik untuk anak kami.

Memang ada masanya ringan sahaja rasanya mulut ini untuk membalas segala kata-kata atau tuduhan buat saya namun atas dasar hormat kepada yang lebih tua, saya diamkan sahaja.

Tujuan saya menulis di sini adalah untuk bertanyakan pendapat adakah salah semua tindakan kami sehingga asyik dipersoalkan? Seolah-olah segala apa yang kami buat, semuanya tidak betul kerana bertentangan dengan pemahaman mereka (orang-orang tua).

– intan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *