Assalamualaikum semua. Nama aku Jaja (bukan nama sebenar). Sebenarnya dah lama aku simpan benda ni dalam lubuk hati yang paling dalam.
Tujuan aku tulis semua ni bukanlah untuk menagih simpati atau menyalahkan sesiapa. Cuma sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan kalian semua.
Top student. Nombor 1 hingga 3 tak pernah lari dari genggaman. Sentiasa naik pentas tiap-tiap tahun. Aktif dalam sukan dan mewakili sekolah dan daerah. Juga aktif di sekolah dalam nyanyian (aku solo untuk nasyid), lakonan, pertandingan pidato, tarian.
Pendek kata bila ada saja acara atau persembahan pasti aku akan jadi orang pertama yang menawarkan diri untuk menyertainya. Aku juga pengawas sekolah.
Dari cerita di atas seolah-olah akulah manusia yang paling beruntung di dunia, kan? Tidak, salah tekaan kalian. Satu yang aku pasti, Allah itu Maha Adil.
Mungkin semua kelebihan di atas itu Allah kurniakan kepada aku. Tapi sebagai kontranya, aku bukan berasal dari golongan yang berada. Ayahku ketika itu hanyalah askar pencen yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Ibuku pula suri rumah sepenuh masa.
Adik-beradikku yang seramai 6 orang (aku yang ketiga dari enam beradik) tidak memungkinkan kami bermewah-mewah. Kehidupan kami agak daif. Makan dan minum kami sentiasa bercatu untuk memastikan cukup bekalan sampai hujung bulan.
Kalau dapat makan 2 lauk sehari (biasa telur, ikan atau sayur) pun dah syukur alhamdulillah. Kadang-kadang bila habis bekalan pernah juga aku makan nasi letak minyak bekas goreng ikan dan kicap. Sedap tau rasanya hehe. Lagi satu jarang aku dapat beli baju, beg dan kasut sekolah yang baru.
Biasanya aku warisi baju, beg dan kasut sekolah dari kakak-kakakku (mujurlah saiz badan kami sama dan kakak keduaku pengawas macam aku jugak). Dan kami sekeluarga juga sering dipandang lekeh oleh sanak-saudara kami kerana kehidupan kami yang daif di sebuah perkampungan setinggan.
Cuma sekarang ni bila aku dan adik-beradik sudah agak berjaya dalam kehidupan, barulah sanak-saudara yang dulunya mencemuh datang bertandang kembali.
Baiklah. Cukup kisah pasal kehidupan keluargaku. Sebab kalau nak cerita pasal ni terpaksa pula aku buat luahan yang lain, hehe.
Oleh kerana statusku sebagai antara top student dan pelajar yang amat aktif di sekolah, maka aku amat disayangi dan disenangi oleh semua guru-guru. Aku juga mempunyai kawan-kawan seangkatan yang sama level dengan aku (pandai, aktif bersukan dan duduk di kelas teratas seperti aku).
Tapi jangan salah anggap ya. Hubungan aku dengan kawan-kawan dari kelas bawah juga amat baik kerana aku ni sejenis manusia yang peramah dan sangat gemar berkawan. Buktinya aku mempunyai 2 orang kawan baik.
Seorang tu jiran aku bernama Zaza (bukan nama sebenar) yang duduk di kelas bawah. Seorang lagi Dimi (bukan nama sebenar) yang sekelas dengan aku. Zaza dan Dimi tidak suka antara satu sama lain.
Tapi aku sentiasa berusaha untuk mengeratkan hubungan mereka berdua walaupun aku tahu memang tak berhasil.
Cerita bermula bila aku mula menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Suatu hari Mr A (pelajar lelaki) menghantar sewarkah surat untuk berkenalan dengan aku. Kemudian kawan Dimi iaitu Syasya mula tidak bertegur sapa dengan aku. Pelik juga.
Takde angin takde ribut tiba-tiba Syasya bermasam muka dan taknak bercakap dengan aku. Dimi kemudiannya beritahu aku yang Mr A tu rupanya pakwe si Syasya. Dimi siap cakap, cukuplah jadi top student dalam sekolah. Janganlah sampai pakwe orang lain pun nak rembat pulak.
Haish, geram pulak aku dengar. Sudahnya hari tu juga aku tarik tangan Syasya, kami berdua pergi mengadap Mr A dan gengnya tak kurang dari 10 orang yang sedang melepak di tepi gelanggang badminton. Aku cakap terus dengan Mr A. Ni awek awak, kan?
Kalau dah ada awek janganlah dok mengayat awek lain pulak. Terkebil-kebil jugalah Mr A dan semua gengnya kat situ. Sejak kejadian tu diorang dah tak panggil aku pengawas…tapi pengganas!!
Ingatkan lepas kejadian tu takdelah budak lelaki yang sudi berkawan denganku. Rupanya Mr B pulak menghulurkan salam perkenalan. Aku terima salam perkenalan tersebut namun awal-awal lagi aku bagitahu, kami sekadar kawan. No dating, no movie. Kawan di sekolah semata.
Sebab aku taknak kerana cinta pelajaran aku merosot pulak. Tapi yang peliknya Dimi pula yang beria-ria suruh aku bercinta sakan. Tapi aku abaikan jer.
Dalam masa yang sama aku sibuk berlatih dalam acara tarian untuk persembahan sempena Minggu Kesenian. Walaupun sibuk berlatih namun kerja sekolah tetap aku siapkan. Malah Dimi, Syasya dan rakan-rakan yang terlibat dengan acara tarian siap meniru lagi kerja sekolah matematikku.
Keesokan harinya macam biasa aku pergi ke dewan untuk berlatih. Dari jauh aku nampak Dimi, Syasya dan rakan-rakan lain. Aku terus menegur mereka.
Tapi….. mereka semua sekadar menjeling ke arah aku. Langsung tak bersuara. Pelik ni. Aku pergi ke tandas selepas itu dan terserempak dengan Zaza. Zaza terus bertanya pada aku. Hey Jaja, betul ke cerita yang aku dengar ni?
Erin dah hebohkan kat semua orang tau? Kau keluar dengan Mr C, siap naik motor pastu tidur kat rumah dia? Tercengang kejap aku.
Untuk pengetahuan kalian, Mr C ni seorang pelajar lelaki yang agak gengster di sekolah. Menyertai geng mat rempit dan selalu bawak bohsia bersiar-siar dengan motornya.
Erin pula pelajar kelas bawah yang agak sosial dan mempunyai ramai kawan lelaki. Terus aku pula lempar soalan kat Zaza. Kau percaya ke dengan cerita tu?
Laju Zaza geleng dan jawab. Aku kan kawan baik kau. Aku lebih kenal kau siapa. Aku tak percaya kau buat macam tu. Lega aku dengar. Sekurang-kurangnya Zaza percaya kat aku.
Kemudian aku balik ke dewan dan terus menerpa Dimi. Dimi, takkanlah kau percaya dengan cerita si Erin tu? Sambil mencemik Dimi menjawab. Alah, tak payah nak berlakon macam suci sangat, Jaja. Mengaku jelah. Tak guna jadi pandai kalau perangai macam munafik.
Aku terkedu. Tak sangka Dimi, kawan baik aku sendiri tak percaya kat aku. Latihan selepas itu diteruskan macam biasa. Cuma Dimi dan rakan yang lain langsung tak bercakap dengan aku. Diorang seolah-olah memulaukan aku. Sedihnya hati ni…Allah saja yang tahu.
Tiba waktu rehat. Dimi tak nak pergi kantin dengan aku. Maka aku pun duduk bawah pokok kemboja di tepi pintu pagar masuk sekolah seorang diri. Tiba-tiba Erin dan Mr C tercegat di hadapan aku. Dengan lantang Erin terus berkata.
Ha, dengar sini semua. Ni, Mr C nak buat pengakuan. Betul tak aritu Jaja naik motor dan tidur kat rumah kau, Mr C? Laju Mr C jawab. Ya, memang pun. Ini memang melampau. Aku terus bangun dan mempertahankan diri. Bila masa pulak saya naik motor dan ikut awak ni?
Erin dan Mr C terus berlalu dengan senyuman sinis. Ramai pelajar lain di situ turut memandang sinis padaku. Dimi dan Syasya yang baru muncul juga turut melemparkan jelingan tajam.
Ya Allah, sesungguhnya aku difitnah. Bantulah aku untuk keluar dari kekusutan ini. Agak-agak kalian apa yang akan jadi lepas ni??
– Ex Top Student (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit