Assalamualaikum sahabat semua. Nama saya Yana. Umur lingkungan 30-an, saya sudah berkahwin hampir tahun yang ke-12.
Salahkah saya terasa hati dengan mentua saya? Sebab bila bertemu dengan kami, tak pernah ditanyakan keadaan kami.
Bila kami balik je, mesti yang disebutkan anak perempuan dan lelaki yang bongsu (kedua-duanya sudah berkahwin dan mempunyai anak). Dia sebut-sebut tentang anak-anak dan cucu dia yang lain, sedangkan dengan anak saya, dia cuma layan biasa saja.
Ibaratnya macam suami saya tu dibuatnya macam anak tiri. Saya pernah duduk menumpang di rumah dia setahun, tapi bila kami cakap yang kami nak pindah, dia terus halau kami sehelai sepinggang. Tapi tu kejadian 6 tahun lepas, saya pun dah maafkan.
Masa saya duduk dengan dia, bila kawan-kawan saya datang tengok saya, dia buat muka, jeling-jeling dan pernah dia tengking saya di depan kawan-kawan saya.
Pernah saya dimalukan ketika ada kenduri di rumah dia, sampai orang dekat halaman rumah pun dengar. Saya tak terasa sangat kalau memang sifat dia macam tu, tapi yang saya pelik, dengan saya je dia buat macam tu. Dengan menantu dia yang lain-lain, dia tak buat, siap cakap beralas.
Mungkin sebab saya anak yatim/susah, menantu dia yang lain anak-anak orang senang. Bila menantu yang lain balik, dia masak macam-macam, tapi bila saya yang balik, sayalah yang urus dapur dan masak berjenis. Sampai nak keluar berjalan pun kena urus semuanya dulu.
Baru-baru ni dia datang ke rumah saya 2 minggu. Saya layan macam biasa, tak bagi dia masak, semua saya yang uruskan. Saya nak dia gembira bertandang ke rumah saya. Tapi selepas 3 hari tu, dia ajak kami ke rumah anak dia di negeri sebelah.
Saya pun cakaplah yang suami saya tak dapat cuti. Suami saya kerja drive lori, memang susah cuti. Saya pun bagi pendapat,
“Apa kata mak suruh adik (anak lelakinya yang bongsu) datang ambil mak kat sini?”
Dia pun terus buat muka, dia tengking saya,
“Menyusahkan adik lah pula nak kena ambil dan hantar!”
Terkejut saya. Kenapa dia rasa macam menyusahkan anak-anak dia yang lain, tapi dia tak fikir pula kalau tu menyusahkan suami saya, nak kena cuti lagi?
Sedangkan bulan sebelum tu, suami saya dah banyak cuti dan habiskan duit KWSP kami untuk bawa dia ke mana-mana dan kami dah bawa berjalan. Sebelum ni, kami susah macam mana pun, tak pernah minta dengan dia.
Yang buat saya terasa betul, bila dia lepaskan geram pada anak saya sebab kami tak ikut kehendak dia untuk pergi ke negeri sebelah. Masa bawa dia ke pasar raya, dia tengking saya dengan suami di depan orang ramai.
Kedua, bila ada jiran saya datang ke rumah saya, dia berborak dengan jiran tu sambil perli saya yang tengah memasak untuk dia.
Masa tu tangan saya sakit, tapi saya gagahkan juga untuk memasak. Dia perli kononnya dulu-dulu dia layan mentua dia terbaik. Apa mentua nak makan, dia masak sampai jadi. Dia perli lah, macam saya ni tak reti nak buat apa-apa.
Saya ni hanya pandai masakan negeri saya sahaja, saya tak reti masak masakan negeri mentua. Tapi sekurang-kurangnya saya masak dan tak pernah bagi dia letih bila datang rumah saya.
Sampaikan jiran saya tu panas telinga dan back-up saya. Jiran saya kata,
“Tak salah kan Yana tak reti masak macam-macam. Sebab dia pun ayah meninggal kecil lagi, mak dia sibuk cari duit membesarkan anak-anak. Mak dia dulu makan ala kadar je.”
Masa tu saya tengah basuh beras, dengar je perbualan diorang sambil tahan air mata. Lepas je jiran saya back-up saya, dia terus melenting dan cakap macam-macam. Saya pun terus masuk bilik air dan nangis.
Esoknya, mentua saya balik ke rumah dia. Sejak dari hari tu, kalau dia call saya tak angkat. Dia WhatsApp, saya balas acuh tak acuh.
Sekarang ni, mentua dan suami dia terus WhatsApp suami saya dan cakap saya macam-macam. Tapi suami saya tak dengar apa kata mereka, sebab suami saya lagi kenal dan faham perasaan saya.
Jadi, salahkah saya terus menjauhkan diri daripada mereka sebab tak nak melukakan perasaan saya sendiri? Selama berbelas tahun saya tahan sabar, sekarang saya sudah letih. Banyak sangat yang mereka lakukan pada saya, tak tertulis di sini…
– Yana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Assalam sis. Tak salah langsung nak terasa hati. mereka yang berkelakuan buruk yang harus rasa malu. tapi mereka tak rasa malu. atas tiket mak mertua, mereka tidak menjaga adab. Jangan nak rasa bersalah pula tak suka suatu perangai yang buruk