Salahkan Menantu

Assalamualaikum. Untuk pengetahuan, saya bukanlah menantu kepada confessor yang bertajuk “mertua vs menantu”. Saya cuma tertarik untuk meluahkan pengalaman saya sebagai seorang menantu.

Secara ringkasnya, semasa perkahwinan saya dulu pun tak berapa direstui keluarga mertua disebabkan saya tidak bekerja & pastinya rupa paras saya yang tidak setanding dengan adik-beradik suami yang putih.

Suami merupakan anak kedua dari 8 beradik dan anak tunggal lelaki. Sejujurnya semasa perkahwinan dengan suami, majlis hanya dibuat di sebelah pihak saya dengan alasan adik suami (saya namakan si G) akan berkahwin lepas 4 bulan majlis kami suami isteri.

Perkahwinan saya sepenuhnya ditaja oleh mak ayah saya. Mak ayah saya pun bukan orang yang berduit. Orang kampung yang hidup bersederhana saja.

Kami bernikah tanpa duit hantaran. Hanya mas kahwin RM500 & sedikit barang hantaran. Perkara ni diputuskan mak ayah saya selepas tengok kesungguhan suami untuk peristerikan saya.

Segala persiapan sehinggalah barang hantaran dari pihak suami pun saya yang menggubah. Tiada sedikit campurtangan dari pihak mertua.

Tiada sedikit pun bertanya mengenai persiapan. Tiada sesen duit yang mertua keluarkan untuk majlis kami.

Selepas kahwin, saya & suami duduk dengan keluarga saya. Saya cuma pernah 2 kali bermalam di rumah mertua sepanjang perkahwinan kami. Sekali semasa raya & sekali masa perkahwinan si G. Nanti saya ceritakan sebabnya.

Semasa majlis si G, saya la yang bertungkus lumus siapkan semua hantaran. Ada yang tak cukup saya belikan. Tak pernah berkira. Masa majlis tu, si G ada isu dengan pihak butik. Saya yang sebelum subuh bangun pergi selesaikan dengan pihak butik. Ulang alik.

Walaupun saya tahu saya tak disukai tapi saya tetap ceria orangnya. Buat baik dengan semua adik beradik, dengan mertua, dengan saudara suami.

Cuma saya, saya kurang berkemampuan untuk memberi hadiah yang mahal, untuk memberi duit belanja sebab suami kerja hanya biasa-biasa dan saya tak bekerja. Kereta pun kami tak mampu beli masa tu. Hanya pinjam kereta ayah saya.

Saya nak ceritakan pula kenapa saya tak bermalam di rumah mertua. Saya boleh duduk di rumah mertua pagi sampai malam tapi saya tak bermalam. Saya sanggup ulang alik walaupun jaraknya lebih kurang 20km.

Di rumah mertua tiada bilik khas untuk suami. Hanya ada 3 bilik. Satu bilik mertua dan 2 lagi bilik adik-adik. Oh lupa. Kakak suami ( si K) pun dah berkahwin tapi tinggal berasingan.

Setiap kali saya pergi ke rumah mertua, saya akan menumpang bilik adik suami. Masa tu saya tengah senggugut. Suami suruh saya rehat dalam bilik.

Tengah berehat, saya terdengar suara ayah mertua yang kuat dari luar bilik, “Siapa dalam bilik tu tolong keluar. Hisyam (suami K) nak berehat.” Sedangkan ayah mertua tahu saya yang ada dalam bilik tu.

Bilik adik suami (si Y) yang satu lagi tu kurang selesa sebab adik dia jenis suka berkurung dalam bilik & tak suka sangat orang masuk bilik dia. Jadi saya sedikit segan la. Yelah. Rumah orang kan.

Satu kali, pernah mak mertua masakkan sesuatu dan menyuruh saya makan. Saya ni sejenis susah untuk makan dekat rumah orang sebab segan. Takut dikata macam-macam.

Tapi lepas mak mertua bersungguh-sungguh menyuruh saya makan, saya pun makan dengan niat ambil hati mak mertua.

Baru je suapan pertama, ayah mertua muncul depan saya dan buat-buat tanya mak mertua dengan suara yang kuat “Makanan tu dah simpan ke untuk Hisyam. Nanti habis.”

Bayangkan perasaan saya yang tengah makan. Waktu tu memang saya seorang je yang tengah makan. Bergenang air mata.

Bukan sekali benda ni jadi. Banyak kali. Saya taknak makan pun dipaksa mak mertua. Bila makan terus kena sound dengan ayah mertua.

Mak mertua pun ada bagitahu bila masak mesti sebut masak untuk Hisyam. Tak pun untuk Leman (suami G). Tak pernah la masak untuk satu-satunya menantu perempuan ni. Tapi takpelah. Saya tak nak ambik hati pun.

Saya tetap teruskan semua benda macam biasa. Saya baik dengan keluarga suami. Saya siap tolong jagakan anak-anak saudara untuk bagi mak-mak dorang berehat sebab masa tu saya lambat dapat anak.

Saya seorang yang suka bercakap ye dan memang orang yang ceria. Jadi apa yang orang buat, orang kata saya tetap buat tak tahu.

Sampai la satu masa, setelah 4 tahun saya baru dikurniakan seorang anak. Masa dalam pantang pun keluarga mertua datang melawat tapi ayatnya “Hitamnya baby”. Dan ayat tu masih berterusan sehingga la sekarang. Selama 5 tahun.

Memang suka banding-bandingkan hitam putih sebab cucu-cucu yang lain putih ikut adik beradik suami.

Tapi sebenarnya anak saya dan saya sendiri pun bukanlah hitam. Kulit melayu yang biasa. Tapi takdelah hitam cuma bila dibandingkan dengan adik beradik suami tu jadi tona tak sekata. Haha.

Si G ni pulak tak puas hati dengan nama anak saya sedangkan nama ni suami saya yang pilih. Suruh tukar ikut pilihan dia sebab nama pilihan saya ni moden tak ada maksud katanya.

Sedangkan nama anak saya ada maksud & suami dah tanyakan ustaz. Ustaz siap cakap cantiknya nama. Si G tak puas hati sampai sekarang pun dah 5 tahun dia tak panggil anak saya dengan nama tu. Pelik kan.

Dan semasa saya masih pantang, tiba-tiba si G whatsapp saya dan mengadu.

Dia bagitahu yang mak mertua ada bagitahu dia yang suami tak hulurkan duit untuk dia. Terus cerita dosa pahala. Dia cerita la kebaikan dia yang hulurkan duit untuk mak dia. Sedangkan masa tu suami saya tengah struggle.

Dengan anak yang baru lahir. Hanya isteri yang tahu kewangan suaminya kan. Bukan tak pernah hulur. Hulur tapi cuma semampunya.

Cuma ketika itu, suami betul-betul tak mampu. Suami cuma kerja kampung.

Si G bagitahu yang tanggungjawab suami ni sepatutnya utamakan mak ayah & adik beradik dahulu. Dia juga bagitahu yang rezeki suami ni tak berkat. Saya masa tu hanya mampu terkedu.

Mertua memang suka bandingkan suami dengan menantu lelaki yang lain. Si G bagitahu dia usaha untuk hulur RM150 untuk mertua walaupun dia tak bekerja. Gaji suami dia 12k.

Saya masa tu memang tengah stress berpantang. Sakit belum hilang. Memang terus meroyan. Siap saya suruh suami balik rumah keluarga dia untuk jaga keluarga dia sebab si G bagitahu sepatutnya keutamaan suami untuk keluarga dia. Cuma saya nak anak saya.

Tapi suami balik rumah mertua & tanyakan sendiri dengan mertua. Mertua mengaku. Masa tu kakak sulung (si K) ada. Si K terkejut & dia tegur mak mertua dengan si G. Rupanya si G teruk kena marah dengan si K disebabkan benda tu.

Si K ni memang baik. Tak pernah ketepikan saya. Memang agak rapat. Suami dia si Hisyam tu pun peniaga yang berjaya. Jadi tak hairan la mertua sayang.

Cuma si Hisyam tu kadang-kadang tak boleh nak bertolak ansur. Contoh yang bilik tu la. Dia boleh je rehat dekat ruang tamu. Nak tido balik je lah rumah dia yang jarak 4 meter tu. Tapi nak jugak kat situ. Setiap kali.

Lepas kejadian si G tu, saya buat macam biasa je. Saya buat tak tahu walaupun saya dah tahu dia kena marah teruk dengan si K & suami saya. Saya pun takde la masam muka.

Tapi keluarga mertua ni jenis apa-apa pun jenis last minute bagitahu suami. Adik dia (si Z) nak bertunang pun kami tahu last minute.

Sedangkan orang lain semua bertema. Saya & suami je yang tak bertema. Sedara mara lain semua ikut tema. Tapi saya tak dibagitahu. Takpe lah.

Walaupun kecik hati, tapi saya buat tak tahu. Memang setiap kali ada majlis, majlis start pukul 8malam, pukul 6 petang baru bagitahu.

Setiap kali.

Masa si G masuk hospital nak bersalin, saya dengan suami pukul 4 pagi tercongok dekat hospital tu temankan mak mertua dan Leman.

Lepas bersalin, saya balik hantar mertua kemudian saya balik rumah saya untuk mandi. Kemudian pergi lagi hospital untuk bantu yang mana mampu.

Mak saudara suami masuk hospital, saya yang tengah mengandung masa tu yang ke hulur, ke hilir. Bukan sekali, dua. Banyak kali.

Macam-macam saya buat untuk bantu keluarga suami. Macam-macam usaha yang saya buat untuk tunjuk yang saya bukanlah menantu hantu walaupun saya tak mampu hulur dari segi kewangan.

Tapi ada kejadian yang berlaku sebelum saya meletup sepenuhnya. Ada satu salahfaham antara suami dengan mak mertua. Mertua menangis mengadu dekat si K yang suami marahkan dia.

Sedangkan masa tu saya dengar perbualan suami dengan mak mertua. Tak ada sedikit pun percakapan suami yang marahkan mertua. Cuma suami nasihatkan mertua saja dengan nada yang biasa. Nada yang sepatutnya seorang anak bercakap dengan ibunya.

Bila si K dengar, si K terus update status mengata suami. Suami baca. Suami saya pun telefon mintak penjelasan. Si K pun cerita tentang perkara tu.

Semua adik beradik pulaukan kami suami isteri kecuali si G. Selepas tu suami saya berjumpa dengan Hisyam dan cerita apa yang terjadi. Hisyam pun faham dan akui salah faham mertua dan si K yang sebabkan semua ni.

Tiba-tiba, si G dan suami dia Leman yang konon-konon baik dengan kami ni mulakan cerita yang buatkan saya meletup. Mereka jumpa suami dan bercerita yang semua yang terjadi ni salah saya.

Ya. Salah saya. Suami terkejut dan tanya kenapa saya yang disalahkan. Leman pun suruh si G cerita. Si G ni pun cerita la salah saya dari awal kahwin sampai la sekarang.

Macam-macam yang diceritakan sampaikan hal tak saya tak hulurkan duit dan bermalam rumah mertua pun diungkitkan.

Si G paling sibuk menyuruh saya dan suami pindah berdekatan rumah keluarga suami dengan mengatakan yang dia ada untuk menjaga anak-anak saya. Saya pun tak tahu apa motif si G berkata demikian. Segala benda pun si G la yang akan arahkan untuk saya dan suami.

Semua benda nak kena ikut rentak dia. Sampaikan brand pampers & susu pun dijadikan isu sedangkan anak saya memang sesuai brand tu saja. Bukanlah brand yang mahal pun. Yang masih mampu milik.

Saya nak jelaskan, salahfaham suami dengan mertua sikit pun tak ada kena mengena dengan saya. Salahfaham yang langsung tidak melibatkan saya. Sikit pun nama saya tiada dalam isu tu. Dan saya pun tak masuk campur.

Tapi tiba-tiba si G dan Leman mengungkit salah saya dan saya dipersalahkan. Macam-macam yang dia menyalahkan saya. Sehinggakan hal yang tak ada kaitan dengan saya pun saya dipersalahkan.

Selepas dari kejadian tu, saya terus berubah sikap. Saya memang tak mampu nak hadap keluarga suami. Selama 6 bulan saya diamkan diri.

Saya tak pergi ke rumah mertua. Sehinggalah satu hari tu saya mengalah. Saya pergi hanya untuk menjaga hati suami saya walaupun hati dah tawar. Tiap-tiap hari saya bergaduh dengan suami disebabkan mulut keluarga dia.

Masa tu mak mertua boleh cakap “mulut si G memang camtu”. Macam tu je penyelesaian mak mertua. Sedangkan semua yang berlaku kerana mulut mertua, si G dan Leman.

Ayah mertua? Memang diam je sebab dia memang susah nak bercakap dengan saya. Saya bagitahu mak mertua supaya nasihatkan anak dia sebab anak dia pun tak tahu yang mulut saya boleh jadi lebih teruk dari dia.

Kemudian, si G datang konon-konon nak mintak maaf. Saya cuma cakap “Lain kali jaga kata-kata”. Cuma tu sahaja yang keluar dari mulut saya.

Oh rupanya lepas saya balik dia terus buat drama airmata sebab terasa hati dengan mulut saya. Saya cuma cakap macam tu je.

Tak lama lepas kejadian tu, ada satu lagi kejadian yang suami suruh kami bermaafan. Dengan spontan si G cakap tapi benda ni bukan salah dia. Saya pun terus cakap “Kalau macam tu, tak payah cakap” lepas tu saya terus lari.

Kami suami isteri ni tak payah cakap la perang dalam kereta sampai bergegar kereta. Haha. Suami pun salahkan saya dan macam-macam kata yang tak sanggup didengar.

Anak kami diam je renung ke luar tingkap. Kesian dia terpaksa dengar. Saya pun memang dah jadi keras hati masa tu.

Memang saya lawan cakap suami. Last sekali saya cakap, saya tak mintak dia pilih tapi saya nak dia pilih keluarga dia. Lepaskan saya. Benda ni jadi bukan sekali.

Setiap kali ada campurtangan si G tu memang kami akan gaduh teruk. Mula kejadian ni saya memang terus tawar hati dengan suami.

Malam tu, suami pergi jumpa si G dan cakap semuanya. Si G sekali lagi drama airmata. Siap bagitahu suami yang dia sedih dan terasa sangat dengan saya.

Dia cakap dia nak mintak maaf masa tu tapi saya lari. Padahal, dia tahu je kenapa saya lari. Sekali lagi, kami suami isteri bergaduh macam tak ada hari esok dah.

Suami memang seorang suami dan ayah yang baik. Orang kalau tengok kami memang akan cakap sweet couple. Sebab kami memang tak pernah ada isu.

Memang pasangan yang bahagia. Tapi bila ada kejadian macam tu, suami yang sangat baik dengan saya terus berubah 360 darjah. Tengking saya, mengamuk walaupun dalam rumah mak ayah saya. Mak ayah saya tahu tapi mereka diam tak masuk campur.

Saya dengan suami dah jadi macam orang asing. Duduk sebumbung tapi dah tak ada kemanisan macam dulu. Saya memang terus tawar hati. Sekian lama suami sedar dan dia berubah. Dia bagi saya ruang untuk jarakkan diri dari keluarga dia.

Dia dah sedar yang banyak perkara yang saya dah lalui dalam keluarga dia cuma dia nafikan. Saya tak pernah halang dia jumpa keluarga dia. Saya yang suruh dia jumpa keluarga dia sebab saya taknak orang salahkan saya lagi.

Tapi suami saya sendiri yang taknak. Dia akan pergi bila saya yang pergi. Saya cuma mengalah sebulan sekali saja berbanding dulu hampir tiap-tiap hari lepas suami balik kerja, saya akan ajak suami pergi ke rumah mertua.

Sampai hari ni saya tak pernah bercakap benda ni dengan suami sebab saya dah penat gaduh. Sebab suami walau macam mana pun tetap akan pertahankan keluarga dia. Saya cuma buat tak tahu tapi bila dia ajak pergi rumah mertua, saya akan beri alasan.

Saya suruh dia pergi sendiri tapi dia yang tak nak. Mungkin kalau sekali lagi terjadi, kami memang pilih jalan untuk berpisah sebab saya betul-betul tawar hati.

Saya tak pernah bermewah duit suami. Saya nak beli makanan pun saya akan mintak izin walaupun suami dah bagi duit. Saya ada niaga kecik-kecik. Duit tu la saya guna untuk diri saya & kadang-kadang belanja keluarga suami. Tapi mak mertua tak pernah tahu tu duit saya.

Saya tak ada barang kemas langsung. Saya tak pernah mintak dengan suami sebab tahu suami tak mampu.

Sebelum ada anak, kami beli kereta tapi tu pun dengan bantuan ayah saya. Kalau tak, mungkin tak merasa untuk kami ada kereta. Pernah suami mintak tolong dengan keluarga dia, semua taknak tolong.

Dulu suami struggle. Perlukan duit untuk modal. Mintak bantuan dengan mertua, mertua cakap tak ada. Mak saya yang keluarkan semua duit yang dia ada untuk bantu suami saya.

Elok je lepas mak saya bagi, mak mertua tayang gelang emas baru. Masa anak lelaki dia perlukan, dia cakap tak ada duit.

Duit mak saya sampai hari ni tak terganti. Mak saya tak pernah ungkit. Tapi mak mertua selalu sebut rezeki suami tak berkat. Walaupun masa suami saya struggle, dia tak pernah tolong.

Mak mertua selalu bandingkan saya dengan menantu lelaki dia yang lain. Menantu dia yang lain keje bagus, banyak duit, bagi hadiah mahal-mahal. Saya ni tak kerja. Siap suruh saya cari kerja yang bagus untuk tolong suami saya.

Dia tak tahu selama ni anak lelaki dia ni saya yang banyak tolong walaupun nampak macam saya tak kerja. Pakai motor, kereta, tempat tinggal semuanya ehsan mak ayah saya.

Kalau saya nak ceritakan setiap satu, 10 kali buat confession pun tak habis.

Sampai ke harini, saya tak mampu untuk maafkan si G dan Leman. Keluarga suami pun sampai harini salahkan saya walaupun sebenarnya mereka tak tahu pun apa sebenarnya yang si G dan Leman katakan dekat saya. Mereka ingat saya yang mulakan.

Belakang suami macam-macam keluarga dia sindir saya selama ni. Depan suami baik bukan main. Saya cuma sabar je. Bermacam-macam benda yang tak mampu terluah. Panjang sangat untuk saya ceritakan.

Suami pun kalau dengan keluarga dia, walaupun orang mengata saya, dia diam. Dia tak ada pun nak tegur apatah lagi nak tengking. Tapi dia akan balik marah & tengking saya. Depan anak pun dia sanggup.

Macam mana saya tak tawar hati. Tak sanggup dengar kata-kata dia. Saya bertahan pun kerana fikirkan anak.

Cuma kesimpulannya, jangan menilai berubahnya sikap orang tu. Mungkin ada benda yang terjadi yang betul-betul buat seseorang tu berubah sikap.

– Kemboja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *