Selamat pagi warga iiumc. Ku tiada tempat untuk meminta pendapat. Ku harap warga iiumc boleh memberi pendapat serta teguran kepada. Memang panjang, silalah baca sehingga habis.
Aku N, umur 26. Bekerja agensi kerajaan dan bergaji RM3K. Suami pula umur 31, berkerja bidang pertanian kerajaan negeri dan bergaji RM2K lebih. Kami mempunyai seorang anak perempuan yang comel dan aku sekarang tengah mengandung anak kedua.
Semua bermula apabila aku genap 3 tahun bekerja. Semua sedia maklum bahawa waktu itu pengeluaran kwsp dibuat sekiranya genap 3 tahun bekerja. Bulan 3 telah masuk duit kwsp ke akaun aku. Berjumlah 10K lebih.
Aku dan suami PJJ sebelum ini dan syukur kerana telahpun mendapat kelulusan berpindah pada awal bulan 5. Indah sungguh rancangan Tuhan… dapatlah menampung perbelanjaan berpindah kerana perpindahan tidak dapat dibuat tuntutan. Tidak apalah,asal berpindah dan bersama suami serta anak.
Bulan 5 aku bekerja di tempat baru, kuarters pun disediakan. Suami cuma datang pada waktu hujung minggu kerana tempat kerja aku dan suami jauhnya 3 jam lebih perjalanan. Tidak apalah ku kira kan, daripada dulu yang memerlukan perjalanan 2 kali penerbangan atau 12 jam perjalanan darat. Kesian suami.. 3 bulan sekali bertemu anak. Anak pada waktu itu ibuku jaga bersamaku.
Aku merupakan tiang keluarga walaupun anak kedua. Kakak telah berkahwin dan tinggal bersama suaminya di tempat yang jauh. Adik perempuanku masuk universiti. Aku yang sering menghulurkan duit. Memberi perbelanjaan di kampung, membayar bil dan sebagainya. Serta menguruskan perbelanjaan keluarga kecil aku sendiri. Suami juga membantu. Aku pastikan duit suami diguna untuk membeli pampers dan susu anak. Supaya lebih berkat duitnya itu di mataku walaupun hanya cukup-cukup. Kenapa cukup-cukup?
Rupanya suami dahulu telah berkahwin dan mempunyai 2 anak. Sesungguhnya ku tidak tahu. Suami seperti orang bujang. Aku kenal keluarga dan kawan-kawannya. Tiada yang memberitahu pasal status suami. Sebelum aku mengetahui hal itu, kami pun pernah terlanjur dan ku disahkan mengandung. Gembira? Tidak sama sekali.
Walaupun kami kristian, tapi agama tetap agama. Anak tidak dapat mendapat nama suami pada sijil lahir sekiranya kami tidak berkahwin. Apabila ibuku tahu, mengamuklah dia dan tidak menyukai suamiku kerana telah menipu. Aku? Rasa sangat tertipu. Ku hanya memikirkan bayiku sahaja.
Suami dan isterinya telah lama tidak sependapat dan tidak berhubung. Proses masuk mahkamah berjalan dan mereka bercerai. Tetapi suami memberi nafkah anak rm400 sebulan melalui potongan gaji. Demi Tuhan, sekiranya ku tahu tidak ku akan menganggu rumah tangga perempuan lain.
Aku juga perempuan. Tidak berniat di hati untuk memisahkan kasih sayang anak-anak dan bapa mereka. Ku kata pada suami, kalau ingin berjumpa ku benarkan. Aku tahu salahku pada mereka. Sekiranya ku tahu tidak akan ku ganggu keluarga kecil mereka.
Setelah kes mereka selesai barulah kami berdua dapat berkahwin.. itupun sebulan sebelum ku bersalin. Malu yang amat membawa perut memboyot bersumpah kahwin di JPN. Saksi ketika itu kakak dan abang iparku. Semuanya biasa-biasa. Tiada majlis kahwin.. tiada makan-makan.
Syukur sehingga sekarang, suami amat baik. Pandai menjaga anak, pandai membantu menguruskan rumah tangga. Boleh dikatakan semua pasal anak, suami tahu uruskan. Ibuku mulai memuji suamiku kerana tidak mengharapkan mertua untuk melakukan semua. Aku bersyukur Ya Tuhan kerna tidak silap memilih suami.
Sambung pada pengeluaran duit kwsp tadi, tidak ku bercerita pada ibuku. Perlu kah aku memberitahunya? Ku rasa tidak perlu. Dengan duit itulah membeli kelengkapan rumah, perabot dan alat elektrik. Sebelum ini menyewa di rumah yang fully furnished. Apabila pindah tempat baru, kuarters baru adalah bilik kosong semuanya. Ku kirim duit pada adik dirumah untuk belanja mereka.
Tengah bulan 5 adik minta duit lagi kerana tiada duit untuk membeli lauk katanya. Aku marah. Kataku baru sahaja ku kirim kenapa masih meminta.. tidakkah cukup kataku. Kata adik, semuanya tidak cukup. Sungguh ku marah kerana membeli pakaian di shopee di lazada ada pulak duitnya. Itu duit diberi teman lelaki kata adikku. Aku jadi marah pulak.
Masih ku ingat dulu waktu masih di kolej… setengah elaun ku beri pada ibu dirumah untuk belanja di rumah. Dengan setengah elaun rm400 untuk ku hidup di kolej membeli makanan dan buku. Tidak pernah langsung ku meminta pada ibu. Suami (teman lelaki ketika itu) pun selalu mengirim duit sekiranya ku memerlukan duit lebih. Tidak sekalipun aku pernah meminta pada emak. Bapaku pesara tetapi gaji pencen kecil. Memang tidak cukup untuk belanja keluarga.
Aku menyuruh adik berjimat. Walaupun duit dari teman lelaki, apa salahnya membeli makanan di rumah. Adik menggunakan duit seperti orang yang bekerja. Aku sendiri yang bekerja lagi dimarah emak sekiranya membeli baju. Bagiku ibu pilih kasih. Adik yang tidak bekerja boleh pula membeli baju. Aku yang bekerja pulak dimarah dengan alasan nanti hujung bulan tidak cukup duit untuk dihantar ke kampung. Huh.
Adik pun mengadu pada ibu berkenaan aku ada duit kwsp tidak mahu memberi mereka wang yang mereka mahu. Bergaduh besarlah aku dengan ibuku. Adikku mengadu domba mengatakan aku tidak memberi duit langsung untuk membeli lauk. Ibuku menangis memarahi aku tidak pandai memberi duit. Kesian bapak tidak pernah makan duit kau, kata ibu. Terus aku hubungi adik dan memarahi dia kenapa bercerita pada mak. Kenapa dia memberitahu yang bukan-bukan pasal aku.
Setiap kali adik minta duit,setiap kali itu aku bank in kan duit. Kali itu sahaja aku tidak memberi kerana sakit hati. Ibuku berkata aku seperti membuang keluarga dan berahsia pasal duit kwsp. Pembaca iium, adakah aku yang salah? Dari aku kecil duitku dikontrol ibu. Sejak tahun 6, cuti sekolah aku akan bekerja.duit semua akan ku beri pada ibu. Yuran sekolah aku sendiri bayar guna duit gaji kerja. Di kolej aku pula yang memberi setengah elaun. Waktu belum bersuami sampai rm700-800 belum termasuk ku bawa beli keperluan rumah lagi.
Kata ibuku, dia perlu tahu in out duit aku. Ku kata aku telah bersuami, bukannya boleh dikontrol malahan aku sudah besar. Aku memberi adik duit bukan ku bercerita. Tidak perlu rasanya aku bercerita memberi itu ini. Malahan pada bapak ku hulurkan duit diam-diam. Suamiku juga begitu.. hulurkan tidak di depan orang sekalipun. Akaun mak telah aku beri duit rm2K duit kwsp. Tidak ku bercerita pada mak dan adik. Sedih ku rasa… diungkit ibuku lagi mengenai status suami sebelum ini. Kerana ku bekerja gaji besar oleh itu suami sanggup tinggalkan isteri lama.
Mertua ku semuanya suka akan aku bekerja gaji besar. Tapi ibu tidak tahu, mertua ku bekerja untuk membayar bil-bil dirumah. Mempunyai gaji sendiri untuk membeli barang. Sakit hatiku mendengar ibu mengutuk mertuaku. Mertuaku baik.. sangat baik. Boleh dikatakan jarang ku membeli lauk di rumah mertua kerana dia memang sediakan semua. Dia bekerja.. tidak pernah harapkan duit anak. Kesian mertuaku.
Ku kata pada ibu.. cukup sudah kau menjaga anakku. Pulanglah kau, suruh adik bekerja. Nanti ku belikan moto baru untuk bapa. Biar dapat hantar adik bekerja. Apa guna degree adik kalau setakat mengharapkan kerja kerajaan. Apa salahnya kerja kilang. Kerani pun ada. PTPTN nanti perlu dibayar kataku. Ya.. aku harus memikirkan transport adikku kerja. Akulah yang diharap menyediakan semua. Kerana gajiku besar kata ibu.
Selepas ini mertuaku akan menjaga anakku. Dia sanggup. Ku pun baru buat loan untuk membuat rumah. Rumah ku dulu hangus. Ya…aku jugs yang diharap membuat rumah. Tidakku berkira tetapi setelah apa yang terjadi… seperti hatiku tidak redha dan rela. Sakit hatiku difitnah adik. Dulu kami rapat. Semua masalah bercerita. Kini aku tiada tempat bercerita. Berapa malam sudah ku menangis. Betullah kata orang..buat baik haruslah disebut-sebut biar orang kata kita ini baik. Kalau buat senyap-senyap macam aku sampai bila-bila tidak dipercayai.
Suamiku memang tahu ibuku tidak menyukainya. Dia diam sahaja. Bercakap bila perlu. Ku tahu pengorbanannya selama ini. Walaupun gajinya kecil, gajinya itulah yang memberi duit sekiranya kami tiada wang.
Gaji aku? Banyak memberi mereka di kampung. Tambahan aku buat loan ini… susah aku nak hulurkan sebanyak dulu. Aku pun punya komitmen lain. Aku juga ada keluarga kecil. Dari dulu lagi ibu anti sungguh kalau aku keluarkan duit. Mahunya suami sahaja yang berbelanja. Oleh itu selama ini aku beri suami duit siap-siap sekiranya berbelanja di luar bersama keluargaku. Aku tahu duitnya sendiri tidak cukup.
Pembaca… adakah salahku tidak memberitahu pasal duit itu? Aku sayang ibu tetapi dia melampau bagiku. Buat pengetahuan pembaca,ibuku ibarat mak cik bawang kampung. Setelah dia berada denganku kuranglah ku dengar dia mengata orang lain. Puas sudah ku nasihati… jangan bercakap pasal orang lain. Jangan jaga tepi kain orang lain. Uruskan keluarga sendiri sahaja kataku.
Pembaca.. berikanku teguran sekiranya aku salah. Berikanku nasihat sekiranya perlu. Terima kasih semua..
– Puan N (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit