Assalamualaikum.. Perkongsian ini adalah sekadar luahan sahaja.. Saya tidak tahu sama ada tajuk berkaitan atau tidak, yang pasti ia adalah lagu di mana mengingatkan saya kepada seseorang.
Saya W, bekerja sebagai tutor di sekolah memandu. Selama saya hidup selama 27 tahun, saya tidak pernah bercinta atau menaruh cinta kepada perempuan.
Cerita bermula pada awal bulan September yang lepas.. Saya ditugaskan mengajar seorang perempuan yang berumur 36 tahun.
Dalam sangkaan saya perempuan itu tentulah seorang kakak-kakak. Data perempuan itu telah dihantar kepada saya untuk makluman awal dan saya menerima task tersebut.
Nama perempuan itu R. Hari pertama saya memandang R saya telah merasa getaran dalam jiwa. R tidak seperti perempuan lain yang berusia seperti dia. Maksud saya, R tidak nampak berusia seperti 36 tahun.
Penampilannya kemas, manis dan raut wajah yang bersih serta sentiasa tersenyum. R tidaklah secantik artis, namun pandangan matanya menusuk ke kalbu saya.
Hari pertama saya hanya mengajar teori saja, itupun banyak perkataan tersasul. Saya tidak tahu kenapa saya berperasaan begini, ini bukan yang saya minta.
Selama mengajar R, saya rasa sangat selesa dan dia seorang yang matang dan memahami. Itu yang membuatkan saya terpaut.
R pernah cerita dia berkhidmat di salah sebuah hospital kerajaan. Dia hanya dapat focus belajar memandu pada hari sabtu atau ahad sahaja. Walaupun secara umum, saya mudah faham apa yang dia sampaikan.
Barulah saya tau dia selalu bagi talk dan masa sangat pack dengan tugasan. Itupun saya tau dari status dalam whatsapp. Tapi tidak selalu, dalam seminggu ada la dalam 2 atau 3 kali saja dia update which is tak memuakkan.
Jujurnya hati saya berbunga bila membaca status itu walaupun berkaitan kerja. Dalam hal ini saya masih mampu berfikiran waras kerana R telah berkahwin dan mempunyai 2 anak lelaki.
Saya selalu melihat suami R menjemput R selepas kelas. Saya bertambah yakin yang saya mencintai R bila saya perasan yang saya akan sakit hati bila melihat R dengan suami.
Saya tahu perasaan ini tidak betul, maka saya meminta management untuk menukar tutor R. Saya tidak sanggup berhadapan dengan R walaupun hanya 2 jam.
Saya menyibukkan diri dan mengelak untuk membuka status whatsapp R walaupun hati saya meronta-ronta ingin mengetahui khabarnya.
Syukur Alhamdulillah, saya dapat menjauhi R, usaha saya berhasil.
Tetapi baru-baru ini R ada chat saya mengatakan dia telah lulus ujian JPJ. Dia berterima kasih kerana saya banyak mencurah ilmu dan memberi dia tips-tips untuk lulus ujian.
Jujurnya saya sangat gembira R menghubungi saya. Terasa seperti hendak menangis.
Betapa saya rindu dengan nasihat dan kata-katanya semangat kepada saya seolah-olah dia faham apa masalah yang saya hadapi.
Tatkala ini saya seperti merindui orang yang tidak wujud. Saya doakan R bahagia. Kebahagiaan R adalah kebahagiaan saya juga.
Kami berlainan status dan amat tidak wajar saya meruntuhkan sebuah ikatan yang telah lama terjalin.
Tambahan pula R tidak seperti berminat dengan saya. Apa yang dia tunjukkan adalah kebaikan yang ada dalam dirinya. Cuma saya seorang yang “perasan” sendiri.
Apapun saya berharap pembaca doakan saya juga untuk saya mudah melupakan cinta ini. Walaupun hanya sekejap, ianya indah tetapi menyakitkan.
– W (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit